PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Thursday 1 September 2011

BID'AH DALAM KONSEP TASAWUF



MUQADDIMAH
Amalan hidup yang dilakukan oleh manusia mestilah bersesuaian dengan aspirasi syari'at tanpa ditokoh-tambah atau dikurangkan walaupun sedikit. Oleh itu, Allah menurunkan RasulNya adalah untuk membentangkan kepada ummat manusia amalan-amalan hidup yang diharuskan dan amalan-amalan yang tidak diharuskan dengan mengemukakan cara-cara yang praktikal terhadap sesuatu ajaran itu. Tujuan garis panduan ini adalah untuk mengelakkan manusia daripada mereka-cipta amalannya sendiri yang berupa ibadat atau lain-lain amalan mengikut selera dan kehendak masing-masing.

PENGERTIAN BID'AH
Setiap amalan atau perbuatan yang direka-cipta yang bercanggah dengan amalan Rasul s.a.w. adalah bid’ah dan boleh merosokkan iman seseorang.

Sabda Rasulullah s.a.w.
 
خَيْرُ الْحَدِيْثِ كِتَابُ الَّلهِ وَخَيْرُ الْهَدْىِ هَدْىُ مُحَمَّدٍ صلَّى الله عَليه وسلَّم وَشَرُّ اْلأُمُوْرِ مُحْدَثَاتُهَا وكُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضِلاَلَةٌ  وروى البَيْهَقِى وفيه زِيادة: وَكُلُّ ضِلاَلَةٍ فِى النَّار

Maksudnya: " Sesungguhnya sebaik-baik perkataan ialah Kitabullah, sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk yang dibawa oleh Muhammad s.a.w., sejahat-jahat perkara ialah perkara yang diada-adakan, setiap yang diada-adakan itu adalah bid'ah, setiap bid'ah itu adalah sesat dan setiap kesesatan itu berada di dalam neraka “ ( Riwayat Al Baihaqi).

       Imam Asy Syafi'ei r.a. telah membahagikan bid'ah kepada dua bahagian:

البِدْعَةُ بِدْعَتَانِ: بِدْعَةٌ مَحْمُوْدَةٌ وَبِدْعَةٌ مَذْمُوْمَةٌ فَمَا وَافَقَ السُنَّة فَهُوَ مَحْمُوْدٌ وَمَا خَالَفَ السُنَّة فَهُوَ مَذْمُوْمٌ

Maksudnya: " Bid'ah terbahagi kepada dua; iaitu bid'ah mahmudah “ (yang dipuji) dan bid'ah mazmumah “ (yang dicela), sekiranya bertepatan dengan sunnah maka ianya adalah bid'ah mahmudah dan sekiranya bertentangan dengan sunnah maka ianya adalah mazmumah “.

            Kenyataan imam Asy Syafi'ei r.a. yang membahagikan bid’ah ini kepada dua bahagian adalah berpandukan kepada perbuatan Umar Al Khatthab r.a. yang mengubah sembahyang tarawih daripada lapan raka'at kepada dua puluh raka'at dengan katanya:

نِعْمَـتِ الْبِــدْعَـةِ هَــذِهِ

Maksudnya: " Senikmat-nikmat bid'ah ialah ini “

      Imam Al Ghazali r.a. menegaskan bahawa bukanlah setiap bid'ah itu ditegah atau dilarang, tetapi sekiranya bertentangan dengan sunnah s.a.w. dan berpaling dari pandangan syari'at, maka ianya adalah ditegah dan dilarang. Manakala Asy Syathibi r.a. dalam kitabnya menyatakan: Bahawa bid'ah itu merupakan jalan agama yang direka-cipta menyerupai syari'at seolah-olah jalan yang dimaksudkan itu sama seperti jalan untuk menyampaikan diri ketika beribadat kerana Allah Ta'ala. 

SEBAB-SEBAB BERLAKU BID'AH
Di antara faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya bid'ah dalam ajaran agama ialah:

1. Jahil dan tidak mengerti terhadap ajaran agama, kerana menyangka untuk mencapai ke maqam yang lebih tinggi tidak perlu menuntut ilmu pengetahuan, cukuplah hanya beribadat kepada Allah semata-mata.

2. Salah faham dalam menguasai ilmu pengetahuan yang disebabkan oleh kecuaian dirinya sendiri di dalam memahami sesuatu ajaran, terutamanya dalam persoalan ibadat menyebabkan ia merasakan apa yang telah dilakukan itu termasuk dalam lingkungan ajaran agama.

3. Tidak menuntut ilmu pengetahuan dengan seorang guru yang benar-benar mursyid, adakalanya ia merasakan dirinya telah memahami dalam sesuatu ajaran agama dengan hanya membaca buku semata-mata tanpa merujuk kepada seorang guru yang benar-benar bijak dalam persoalan agama.

4. Sengaja mengada-adakan sesuatu perkara yang bercanggah dengan amalan hidup Islam untuk disesuaikan dengan akal fikirannya sendiri, kerana merasakan dirinya telah bijak dan mempunyai darjat kedudukan yang tinggi.

5. Kerana ingin mendapat sanjungan dan pujian dari pihak pemerintah atau pihak berkuasa dan juga dari masyarakat menyebabkan mereka mengambil sikap melampaui batas-batas agama semata-mata untuk memenuhi harapan dan impiannya.

6. Amalan yang diwarisi sejak turun-temurun dari orang-orang dahulu lagi, sedangkan amalan tersebut bercanggah dan bertentangan dengan ajaran agama, tetapi diteruskan juga oleh generasi yang kemudian.

BID'AH DALAM KONSEP KESUFIAN
Di antara beberapa bid'ah yang biasa berlaku di dalam pengajian ilmu tasawuf dan anggapan biasa oleh seseorang yang ingin menjuruskan dirinya ke alam tasawuf ialah:

1. Di antara manusia yang menjalani hidup di alam rohani ada yang menganggap bahawa konsep kesufian ini hanyalah menumpukan perhatian kepada persoalan ibadat semata-mata tanpa mementingkan persoalan-persoalan yang lain. Kehidupan itu mestilah dipenuhi dengan amalan yang menjurus diri kepada Tuhan dan tidak sekali-kali membenarkan ruangan hidup itu dipenuhi oleh amalan-amalan yang berunsur keduniaan menurut pandangan mereka.     Anggapan tersebut boleh menyesatkan manusia dari jalan yang benar dan boleh melemahkan ummat Islam seluruhnya kerana tidak mahu akur kepada perubahan hidup semasa, sedangkan dunia ini adalah tepat persinggahan sementara menunggu perjalanan di hari esok. Justeru itu, mereka yang ingin meneruskan perjalanan memerlukan bekalan yang cukup untuk sampai ke destinasi yang dituju.

    Sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. bahawa beliau berkata:

جَاءَ ثَلاَثَةُ رَهْطٍ إِلَى بُيُوْتِ أَزْوَاجِ النَّبِى صَلَى الله عليه وسلم يَسْأَلُوْنَ عَن عِبَادَتِهِ،  فَلَمَّا أَخْبَرُوْا كَأَنَّهُمْ تُقَالُّوْهَا فَقَالُوْا: أَيْنَ نَحْنُ مِنَ النَّبِىِّ صَلَّى الله عليه وسلّم وَقَدْ غُفِرَلَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ؟ قَالَ أَحَدُهُمْ: أَمَّا أَنَا فَأُصَلِّى اللَّيْلَ أَبَدًا، وَقَالَ آخَر: وَأَنَا أَصُوْمُ الدَّهْرِ أَبَدًا وَلاَ أَفْطُرُ وَقَالَ آخَر: وَأَنَا أَعْتَزِلُ النِّسَاءَ فَلاَ أَتَزَوَّجُ أَبَدًا، فَجَاءَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى الله عليه سلم إِلَيْهِمْ فَقَالَ: أَنْتُمْ قُلْتُمْ  كَذَا وَكَذَا؟ أَمَّا وَاللهِ إِنِّى لأَخْشَاكُمْ ِللهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، وَلَكِنِّى أَصُوْمُ وَأَفْطَر وَأُصَلِّى وَأَرْقَد وَأَتَزَوَّجُ النِّسَآءَ، فَمَنْ رَغَبَ عَنْ سُنَّتِى فَلَيْسَ مِنِّى

Maksudnya: " Telah datang tiga orang lelaki ke rumah isteri-isteri Nabi s.a.w. bertanyakan tentang ibadat baginda, apabila diterangkan seolah-olah mereka memperkecil-kecilkan amalan baginda sambil berkata: Di manakah bandingannya kami dengan Nabi s.a.w. yang diampun dosanya yang lalu dan akan datang? Salah seorang dari mereka berkata: Aku berterusan menunaikan sembahyang sepanjang malam, berkata seorang lagi: Aku pula sentiasa berpuasa tanpa berbuka dan yang ketiga berkata: Aku  mengasingkan diri dari wanita dan tidak akan berkahwin buat selama-lamanya. Lalu datanglah Rasulullah s.a.w. sambil bersabda: Adakah kamu yang mengatakan begini-begini? Demi Allah! Aku adalah manusia yang paling takut dan paling bertaqwa kepada Allah, tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku sembahyang malam dan aku tidur, aku juga mengahwini wanita dan sesiapa yang membenci sunnah ku, maka dia bukan dari golongan ku “ (Riwayat Bukhari dan Muslim).

      Ibn Al-Jauzi menyatakan bahawa para ahli sufi terdahulu telah meninggalkan perkahwinan kerana sibuk di dalam mengerjakan ibadat dan mereka berpendapat bahawa perkahwinan itu boleh mengganggu ketaatan diri kepada Allah Azza Wajalla. Mewujudkan suatu bentuk persembahan lain dalam mengendalikan urusan amal ibadat adalah bercanggah sama sekali dengan nilai-nilai agama, seolah-olah apa yang telah ditetapkan oleh Allah itu masih terdapat kekurangannya.

2. Di antara mereka juga ada yang menganggap bahawa konsep kehidupan sufi ini mestilah mengasingkan diri dari orang ramai dan masyarakat, kononnya kerana ingin mendekatkan diri kepada Allah. Mereka berpendapat bahawa masyarakatlah yang banyak melalaikan hati manusia dan memesongkan ingatan kepada Allah. Ini adalah suatu andaian yang silap dan salah dan tidak menepati fakta-fakta agama.

    Marilah kita menjenguk sepotong hadith yang  diriwayatkan oleh Imam Al Baihaqi untuk dihayati dan difahami secara bersama.

أَنَّ رَجُلاً أَتَى اْلجَبَل لِيَتَعَبُّد فِيْهِ، فَجِيءَ بِهِ إِلَى النبىِّ صَلَّى الله عليه وسلّم فَقَالَ: لاَ تَفْعَلْ أَنْتَ وَلاَ أَحَدٌ مِنْكُمْ لَصَبْرٌ أَحَدُكُمْ فِىْ بَعْضِ مَوَاطِنِ اْلإِسْلاَمِ خَيْرٌ لَّهُ مِنْ عِبَادَةِ أَحَدِكُمْ أَرْبَعِيْنَ عَامًا

Maksudnya: " Seorang lelaki telah pergi ke sebuah bukit untuk “ (mengasingkan diri) beribadat di sana, lalu ia pergi berjumpa Rasulullah s.a.w. untuk meminta kebenaran, lalu baginda bersabda: Jangan kamu lakukan dan juga sesiapa saja di kalangan kamu, kerana sabar di dalam menghadapi masyarakat Islam adalah lebih baik baginya daripada beribadat empat puluh tahun “ (Riwayat Al Baihaqi).

            Di dalam sepotong hadith yang lain pula, At Tirmizi telah meriwayatkan, sebagaimana yang dibawa oleh Abu Hurairah r.a. bahawa beliau telah berkata:

فَمَرَرْنَا بِشِعْبٍ فِيْهِ عُيَيْنَةٌ طَيِّبَةُ الْمَاءِ، فَقَالَ وَاحِدٌ مِنَ اْلقَوْمِ:  لَوِ اعْتَزَلْتُ النَّاسُ فِى هَذَا الشِعْبِ وَلَنْ أَفْعَلُ ذَلِكَ حَتَّى أَذْكُرَهُ  لِرَسُـوْلِ اللهِ صَلَّى الله عليه وسَلَّم، فَقَالَ رَسول الله صلّى الله عليه وسلّم: لاَ تَفْعَلْ فَإِنَّ مَقَامَ أَحَدُكُمْ فِى سَبِيْلِ اللهِ خَيْرٌمِنْ صَلاَتِهِ فِى أَهْلِهِ سِتِّيْنَ عَامًا، اَلاَ تُحِبُّوْنَ أَنْ يَغْفِرَ اللهُ لَكُمْ، وَتَدْخُلُوا الْجَنَّةَ؟ اغْزُوْا فِى سَبِيْلِ اللهِ فَإِنَّهُ مَنْ قَاتَلَ فِى سَبِيْلِ اللهِ فَوَاقَ نَاقَةِ أَدْخُلَهُ اللهُ اْلجَنَّةَ

Maksudnya: " Kami melalui suatu lembah yang terdapat air terjun yang menakjubkan, salah seorang dari kaum berkata: Kalaulah aku dapat mengasingkan diri dari manusia dan dapat beribadat di sini, tetapi aku tidak akan lakukan selagi tidak mendapat keizinan dari Rasulullah s.a.w. Lalu ia berjumpa Rasulullah s.a.w. dan kemudian baginda bersabda: Janganlah kamu lakukan, sesungguhnya kedudukan  kamu berjuang di jalan Allah lebih baik dari solatnya di rumah enam puluh tahun, adakah kamu suka mendapat keampunan dari Allah dan kemudian kamu masuk syurga? Berjuanglah kamu di jalan Allah, sesiapa yang berjuang di jalan Allah sambil menunggang unta, Allah akan memasukkannya ke syurga” (Riwayat At Tirmizi).

      Sebenarnya, berjuang dan berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga lebih baik dari mengasingkan diri dari masyarakat kerana ingin beribadat di suatu tempat yang jauh terpinggir dan tidak pula diketahui orang kononnya sebagai consecration terhadap Tuhan. Cara tersebut dilarang oleh Islam kerana ianya bukan cara hidup Islam yang syumul. Islam menentang ciri-ciri kehidupan yang mengandungi unsur-unsur pengasingan, kerana unsur-unsur tersebut datangnya dari unsur kerahiban ala Kristian.

Sabda Rasulullah s.a.w.

إنَّ الَّلهَ أَبْدَلَنَا بِالرَّهْبَانِيَّةِ الْحَنِيْفِيَّةَ السَّمْحَةَ

Maksudnya: " Sesungguhnya Allah telah menukarkan kehidupan kita dari bersifat kerahiban kepada cara hidup beragama yang mudah “.

            Konsep pertapaan seperti amalan rahib Kristian dan amalan ajaran Buddha bukan menjadi suatu agenda dalam ajaran Islam, ianya telah dimansuhkan dan dihapuskan sama sekali sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam hadith di atas. Islam telah menggantikan dengan konsep perjuangan yang bertindak untuk membentuk masyarakat yang komprehensif dan aktif supaya menghayati nilai-nilai hidup secara Islam dan sekaligus membimbing masyarakat supaya taat kepada ajaran Tuhannya. Konsep mengasingkan diri dari masyarakat hanya memberi penumpuan kepada individu sahaja, seolah-olah ianya bersifat opportunist kerana tidak mahu bersama-sama dengan masyarakat. Anggapan seperti ini telah membatalkan konsep hidup secara berjama'ah sebagaimana yang telah diamalkan oleh Nabi s.a.w. dan sekaligus perbuatan seperti ini terang-terang bertentangan dengan ajaran Islam yang syumul.

3. Di antara mereka lagi ada yang menganggap bahawa segala harta benda dan segala rupa bentuk kekayaan adalah perhiasan dunia belaka yang mesti dipisahkan sama sekali dalam kehidupan. Bahkan harta itu boleh melalaikan manusia dari mengingati Allah dan juga boleh merosokan tumpuan manusia untuk melakukan amal ibadat kepadaNya, kerana terlalu sibuk menguruskan harta benda. Mereka menganggap, manusia tidak perlu kepada sebarang bentuk kekayaan kerana kekayaan itu tidak kekal abadi, apatah lagi kemewahan hidup, kerana manusia itu dicipta adalah untuk menumpukan perhatian kepada ruangan ibadat, bukan menumpukan perhatian kepada mengumpulkan kekayaan.

            Terdapat juga realitinya daripada kenyataan ini, apabila manusia terlalu sibuk menguruskan harta kekayaan, nescaya akan melalaikan ingatan mereka kepada Allah. Tetapi harta kekayaan itu adalah anugerah Allah yang diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya dan manusia tidak harus menyalahkan kepada harta atau membuang segala harta benda tersebut, tetapi yang harus dipersalahkan ialah sikap dan tabiat ragus manusia itu sendiri, kerana manusialah yang bertanggungjawab menguruskan harta dan kalaulah manusia bijak menguruskan harta dengan baik dan bijak pula membahagikan masa untuk ruangan ibadat kepada Allah, maka itulah sebaik-baiknya.

            Sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Imam Al Baihaqi yang diambil dari Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

كَادَ الْفَقْرُ أَنْ يَكُوْنَ كُفْرًا

Maksudnya: " Hampir-hampir kefakiran boleh menyebabkan seseorang menjadi kafir “ (Riwayat Al Baihaqi).

     Dan Rasulullah s.a.w. pernah mengajar ummatnya supaya berdoa kepada Allah Ta'ala untuk menghindarkan diri dari sifat-sifat kefakiran.

Sabda Rasulullah s.a.w.

اَللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوْذُ بِكَ مِنَ اْلفَقْرِ وَعَذَابِ اْلقُبْرِ وَفِتْنَةِ اْلمَحْيَا وَاْلمَمَاتِ

Maksudnya: " Wahai Tuhan! Aku memohon perlindungan dengan Mu dari kefakiran, azab kubur, fitnah kehidupan dan fitnah kematian “ (Riwayat At Thabarani).

     Manakala Abu Said Al Khudri r.a. pernah meriwayatkan sepotong hadith Rasululah s.a.w.:

اَللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوْذُبِكَ مِنَ اْلكُفْرِ وَاْلفَقْرِ

Maksudnya: " Wahai Tuhan! Aku memohon perlindungan dengan Mu dari kekufuran dan kefakiran “ (Riwayat An Nasaei).

     Jelaslah! bahawa kefakiran atau kemiskinan itu bukanlah dari konsep kehidupan seorang ahli sufi yang benar-benar menghayati perjalanan hidup Rasulullah s.a.w. Kehidupan itu mestilah menjunjung tinggi konsep kesederhanaan sejagat atau konsep pertengahan yang diamalkan oleh baginda. Kaya atau miskin seseorang bukan suatu persoalan dan bukan suatu ukuran untuk meletakkan nilai-nilai kemanusiaan ke darjat yang tinggi, tetapi apa yang penting di sana ialah sifat-sifat  ketaqwaan yang ada di dalam hati terhadap terhadap Allah.

4. Di kalangan orang-orang yang mengamalkan kehidupan sufi terdapat mereka yang mengambil pedoman di dalam laluan hidup itu dengan berpandukan kepada wali-wali menurut anggapan mereka dan mereka merasa kagum terhadap amalan-amalan dan kebolehan yang ada pada diri para wali-wali tersebut. Tumpuan hidup mereka hanya melakukan upacara ibadat semata-mata kerana ingin mencapai kedudukan atau maqam yang  tinggi atau setaraf dengan para wali-wali pujaan mereka. Sebaliknya, mereka meninggalkan Al Quran di belakang telinga mereka dan meletakkan perjalanan hidup sunnah Rasulullah s.a.w. di bawah telapak kaki mereka. Apa yang menarik perhatian, mereka yang memuja dan memuji para wali-wali menurut anggapan mereka kerana wali-wali tersebut mempunyai sifat-sifat sakti dan kelebihan luar biasa dari orang lain.

5. Seorang ulama tasawuf yang terkenal bernama Abu Yazid Al Busthami r.a. telah berkata:

لَوْ نَظَرْتُمْ إِلَى رَجُلٍ أُعْطِىَ مِنَ اْلكَرَامَاتِ حَتَّى تَرْبَعَ فِى اْلهَوَاءِ فَلاَ تَغْتَرُوا بِهِ حَتَّى تَنْظُرُوا كَيْفَ تَجِدُوْنَهُ عِنْدَ اْلأَمْرِ وَالنَّهْىِ وَحِفْظِ اْلحُدُوْدِ وَأَدَاءِ الشَّرِيْعَةِ

Maksudnya: " Jika kamu melihat seseorang yang diberi keramat sehingga dapat terbang di udara, janganlah kamu terpengaruh dengannya sehingga kamu melihat keadaan dirinya terhadap suruhan dan larangan Allah, dan juga pemeliharaannya terhadap hudud-hudud Allah dan tanggungjawabnya terhadap syari'at “

        Pada suatu hari, Abu Yazid Al Busthami r.a. pernah mengajak sahabatnya untuk pergi menziarahi seorang yang mengenalkan dirinya sebagai seorang wali. Memang orang itu sentiasa diziarahi orang ramai dan masyhur pula sebagai seorang yang zuhud. Apabila orang itu keluar dari rumahnya dan memasuki masjid, lalu dia meludahkan kahaknya ke arah kiblat. Melihat yang demikian itu, Abu Yazid mengajak para sahabatnya kembali dan tidak jadi menziarahinya sambil berkata:

إنَّهُ غَيْرُ مُؤْتَمِنٍ عَلَى أَدَبٍ مِنْ آدَابِ رَسُولِ الله صلى الله عليه وسلّم فَكَيْفَ يَكُوْنُ مَأْمُوْنًا عَلَى مَا يُدْعِيْهِ؟

Maksudnya: " Orang ini tidak dapat menjaga salah satu adab dari adab-adab Rasulullah s.a.w. maka betapa dia dapat menjaga tentang apa yang didakwanya sebagai seorang wali”

5. Di antaranya juga ada yang lebih mementingkan kasyaf atau ilham atau rahsia-rahsia batin ataupun mimpi-mimpi yang dialami semasa tidur sebagai suatu pendekatan dan panduan hidup untuk meningkatkan lagi martabat dan juga nilai kedudukan dirinya yang lebih mulia daripada orang lain.

      Seorang ulama tasawuf yang terkenal bernama Abu Al Hassan Asy Syazali pernah menyatakan:

إِذَا تَعَارَضَ كَشْفُكَ مَعَ الْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، فَتَمَسَّكَ بِاْلكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَدَعْ الكَشْفَ، وَقُلْ لِنَفْسِكَ: إِنَّ اللهَ تَعَالَى ضَمِنَ لِي اْلعُصْمَةُ فِى اْلكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَلَمْ يَضْمَنْهَا فِى جَانِبِ اْلكَشْفِ وَلاَ اْلإِلْهَامَ وَلاَ اْلمَشَاهِدَ إِلاَّ بَعْدَ عِرْضِهِ عَلَى اْلكِتَابِ وَالسُّنَّة

Maksudnya: " Jika kasyafmu bertentangan dengan Al Quran dan Sunnah s.a.w. maka kamu hendaklah berpegang teguh dengan Al Quran dan As Sunnah s.a.w. serta meninggalkan kasyaf itu dan katakan kepada diri mu: Bahawa Allah Ta'ala telah menjamin ku untuk selamat dengan Al Quran dan As Sunnah s.a.w. dan Dia tidak menjamin ku pada sudut kasyaf ataupun ilham ataupun melihat secara batin, melainkan setelah dibentangkannya kepada Al Quran dan As Sunnah s.a.w. ”

            Manakala Imam Junaid Al Baghdadi r.a. salah seorang ahli sufi yang terkenal pernah menasihatkan tentang panduan hidup sebenar yang wajib dijadikan pedoman di dalam setiap perjalanan mencari keredhaan ILAHI, beliau menyatakan:

مَذْهَبُنَا هَذَا مُقَيِّدٌ بِأُصُوْلِ اْلكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، اَلطُّرُقُ كُلُّهَا مَسْدُوْدَةٌ عَلَى اْلخَلْقِ إِلاَّ عَلَى مَنِ اقْتَفَى أَثَرَ الرَسُوْلِ صلى الله عليه وسلّم

Maksudnya: " Perjalanan kami ini terikat dengan dengan usul-usul Al Quran dan As Sunnah s.a.w. Semua jalan akan ditutup kepada manusia kecuali jalan yang menjejaki langkah Rasulullah s.a.w. “

            Begitu juga dengan pendapat Imam Abu Said Al Kharraz r.a. yang menyatakan:

كُلٌّ بَاطِنٍ خِلاَفُ اْلظَاهِرٍ فَهُوَ بَاطِلٌ

Maksudnya: " Setiap batin yang bertentangan dengan zahir, maka itu adalah batil “

6. Di antaranya ada yang menganggap konsep kesufian ini adalah suatu konsep mengasingkan diri semata-mata yang mesti terpisah dari orang ramai, sekaligus mengambarkan tidak wujud sama sekali konsep jama'ah ataupun konsep ukhuwwah dan konsep persaudaraan iman sejagat. Pendapat seumpama ini bertentangan dengan amalan hidup Rasulullah s.a.w. yang lebih mementing konsep jama'ah yang tersusun untuk memperkuatkan lagi da'wah Islamiyyah yang bertujuan meninggikan lagi syi'ar Islam kepada seluruh ummat manusia.

Sabda Rasulullah s.a.w.

فَعَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ فَإِنَّ اللهَ عَزَّوَجَلَّ لَنْ يَجْمَعَ أُمَّتِى إِلاَّ عَلَى هُدَى

Maksudnya: " Wajiblah kamu bersama-sama jama'ah, kerana Allah Azza Wajalla tidak sekali-kali mengumpulkan ummat ku kecuali dalam petunjuk “ (Riwayat Imam Ahmad).

     Ini adalah suatu arahan yang dianjurkan oleh Islam dengan mengemukakan konsep berjama’ah dan meninggalkan konsep ifrad, kerana Islam telah mengetahui sememangnya manusia memerlukan bantuan di antara satu sama lain dan kekuatan sesuatu ajaran itu adalah terletak kepada ramai bilangan penganutnya yang beristiqomah mengerjakan arahan yang dituntut dalam ajaran agama. Islam adalah agama untuk semua manusia yang mengamalkan dasar buka pintu untuk sesiapa sahaja menganutnya. Oleh sebab itu, setiap ummat Islam mestilah bertanggungjawab menyeru manusia ke jalan yang benar, iaitu jalan mentauhidkan Allah…..

Umar Al Khathab r.a. pernah berkata:

كَلُّوْا جَمِيْعًا وَلاَ تَفَرَّقُوْا فَإِنَّ اْلبَرَكَةَ مَعَ اْلجَمَاعَةِ

Maksudnya: " Berusahalah kamu sekalian dan janganlah kamu berpecah-belah, kerana keberkatan itu muncul bersama jama'ah “ (Riwayat Ibn Majah).

7. Di antara mereka juga menganggap bahawa menuntut ilmu itu tidak penting dalam kehidupan, yang penting ialah beramal seberapa banyak untuk mendekatkan diri kepada Allah.  Ini adalah suatu anggapan yang silap, kerana melalui ilmu itulah seseorang manusia dapat menilai hakikat kebenaran dan hakikat kepalsuan. Ilmu itu akan bertindak menjaga dan memelihara diri seseorang manusia daripada melakukan perkara-perkara mungkar dan perkara-perkara terkutuk yang dilarang dan ditegah dalam syari’at dan juga daripada bertindak di luar batas-batas agama.

Imam Asy Syafi'ei r.a. pernah berkata:

لَيْسَ بَعْدَ أَدَاءِ اْلفَرَائِضِ شَيْءٌ أَفْضَلٌ مِنْ طَلَبِ اْلعِلْمِ، مَنْ أَرَادَ الدُّنْيَا فَعَلَيْهِ بِاْلعِلْمِ وَمَنْ أَرَادَ اْلآخِرَةِ فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ

Maksudnya: " Tidak ada selepas kefardhuan yang terlebih baik melainkan menutut ilmu, sesiapa yang mahukan dunia mestilah dengan ilmu dan sesiapa pula mahukan akhirat juga dengan ilmu

     Kalaulah menuntut ilmu itu tidak penting dan tidak perlu kepada kehidupan manusia, bagaimana pula seseorang itu dapat membezakan di antara kebenaran dan kebatilan atau bagaimana seseorang itu dapat membezakan amalan-amalan yang diredhai oleh Allah dan amalan yang tidak diredhai oleh Allah? Sedangkan Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

طَلَبُ اْلعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

Maksudnya: " Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas setiap muslim

Di dalam sepotong hadith yang lain, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

أُطْلُبُ اْلعِلْمَ مِنَ اْلمَهْدِ إِلَى الَّلهْدِ

Maksudnya: " Tuntutlah ilmu itu dari buaian sehingga ke liang lahat “.

            Ibn Al Jauzi telah menyatakan: Di antara pakaian iblis yang menutupi di kalangan ahli tasawuf ialah meninggalkan menuntut ilmu pengetahuan dan mereka tidak mahu mengambil pelajaran atau kefahaman berhubung dengan ilmu, kerana mereka hanya menumpukan perhatian kepada aspek ibadat sahaja. Sebenarnya, ilmu adalah cahaya yang menerangi kegelapan hidup manusia, menerangi warna kehidupan yang dilingkungi oleh bayangan jahiliyah yang datang menjelma dan ilmu juga bertindak sebagai penghalang kepada jiwa manusia supaya tidak berkompromi dan terjun ke dalam lubuk maksiat. Sekiranya cahaya tersebut dapat dipadamkan dan dihembus oleh mulut syaitan laknat itu, nescaya mudahlah ia membisikan suatu bentuk perasaan prajudis atau syak wasangka di dalam hati manusia menyebabkan timbullah pula perasaan waswas terhadap amalan-amalan yang dilakukan itu. Kemudian, syaitan pula akan berbicara kepada diri mereka dengan suatu bicara yang halus di dalam perasaan hati dan jiwa sehingga mereka tidak dapat membezakan sedikitpun bahawa bicara tersebut adalah bicara dari mulut syaitan, kerana mereka tidak memiliki ilmu pengetahuan untuk membezakan di antara bicara kebenaran dan bicara kebatilan.

8. Di kalangan mereka ada yang menganggap dirinya sebagai seorang ahli sufi yang telah mencapai darjat dan maqam yang tinggi. Apabila mereka merasakan dirinya itu berada dalam keadaan demikian, mereka membicarakan tentang zat Allah dan sifat-sifatNya secara bebas kepada orang-orang awam, sedangkan perkara-perkara yang berhubung-kait dengan konsep ketuhanan hendaklah dibicarakan menurut saluran secara ilmiyyah dan teratur. Islam melarang ummatnya berbicara tentang zat Allah secara rambang, sekalipun mereka yang merasakan dirinya telah mencapai ke maqam yang tinggi.

            Abu Hurairah r.a. telah menceritakan ketika beliau bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. :

فَوَاللهِ إِنِّى لَجَالِسُ يَوْمًا إِذْ قَالَ لِي رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ اْلعِرَاقِ هَذَا اللهُ خَلَقَنَا فَمَنْ خَلَقَ اللهَ؟ قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ: فَجَعَلْتُ أَصْبَعِى فِى أُذُنِى ثُمَّ صَحّت، صَدَقَ رَسولُ الله ـ اللهُ الوَاحِدُ اْلأَحَدُ اْلصَمَدُ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُوْلَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَّهُ كُفْوًا أًحًدٌ

Maksudnya: " Demi Allah! Ketika aku sedang duduk pada suatu hari datang seorang lelaki dari Iraq berkata: Ini Allah yang mencipta Kami, siapakah pula yang mencipta Allah? Abu Hurairah berkata: Aku masukan jari tangan ku ke dalam telinga ku, lalu Rasulullah s.a.w. membenarkan tindakan tersebut sambil berkata: Allah Tuhan Yang Satu dan Maha Esa, Dia adalah tempat pergantungan, Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan, tiada sesuatu yang serupa denganNya “.

     Di dalam sepotong hadith yang lain yang diriwayatkan dari Aisyah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

إِنَّ الشَيْطَانَ يَأْتِى أَحَدُكُمْ فَيَقُوْلُ: مَنْ خَلَقَكَ؟ فَيَقُوْلُ: اللهُ، فَيَقُوْلُ: مَنْ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَاْلأَرْضَ؟ فَيَقُوْلُ: اللهُ، فَيَقُوْلُ: مَنْ خَلَقَ اللهَ؟ فَإِذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ فَيَقُوْلُ: آمَنْتُ بِاللهِ وَرَسُوْلِهِ

Maksudnya: " Sesungguhnya syaitan datang kepada seseorang sambil berkata: Siapa yang mencipta kamu? Lalu dijawab: Allah, syaitan berkata lagi: Siapa yang mencipta langit dan bumi? Lalu dijawab lagi: Allah, kemudian syaitan bertanya pula: Siapa yang mencipta Allah? Apabila seseorang kamu menghadapi situasi seperti ini hendaklah berkata: Aku beriman dengan Allah dan RasulNya “

            Syaitan cuba merasuahkan pemikiran manusia dengan membicarakan tentang hakikat zat Allah, sifat-sifatNya dan juga perbuatanNya secara rambang atau membahaskannya di kedai-kedai kopi dan di tepi-tepi jalan. Setiap manusia walaupun mempunyai tingkat ilmu yang tinggi adalah dilarang mengemukakan persoalan ketuhanan secara bebas yang boleh menyebabkan terpesongnya ‘aqidah seseorang apabila mendengarnya dan boleh terjelumus ke lembah zindiq.

9. Setengah di kalangan ahli sufi memahami konsep tawakkal ini ialah meninggalkan usaha dan ikhtiar. Mereka menyerahkan sesuatu urusan itu bulat-bulat kepada Allah sebagai takdir yang menentukannya. Mereka tidak berusaha dan tidak bekerja, tetapi hanya menunggu rezeki datang kepada mereka dan mereka telah berhujjah dengan sepotong ayat:

أَلَيْسَ اللهُ بِكَافٍ عَبْدَهُ

Maksudnya: “ Bukankah Allah telah mencukupkan keperluan kepada hambaNya “ (Az Zumar: 36 ).

            Ini adalah suatu kefahaman yang silap, kefahaman manusia yang malas untuk bekerja mencari rezeki, mereka lebih suka menghabiskan masa begitu sahaja tanpa berusaha dan berikhtiar. Tidak cukup hanya sepotong ayat sahaja menjadi hujjah atau alasan kepada mereka yang bersifat seperti ini tanpa menoleh kepada ayat-ayat yang lain.

Firman Allah Ta’ala:

هَلْ أَتَىٰ عَلَى الإنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا

Maksudnya: “ Sesungguhnya telah datang kepada manusia suatu masa, ketika itu dia tidak mempunyai sesuatupun untuk disebut “ (Ad Dahr: 1).

     Konsep tawakal ialah konsep bekerja mencari rezeki, berusaha untuk mencapai kejayaan dan berikhtiar untuk mendapat apa yang diperlukan. Orang-orang yang memahami konsep tawakkal dalam erti kata tidak melakukan apa-apa pekerjaan dan hanya menunggu rezeki datang bergolek adalah terdiri di kalangan mereka yang malas bekerja.

Firman Allah Ta’ala:

إِنَّ الَّذِينَ تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ لاَ يَمْلِكُونَ لَكُمْ رِزْقًا فَابْتَغُوا عِنْدَ اللَّهِ الرِّزْقَ وَاعْبُدُوهُ وَاشْكُرُوا لَهُ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Maksudnya: “ Sesungguhnya apa yang kamu abdikan selain dari Allah, tidak berkuasa memberi rezeki kepada mu, maka carilah rezeki dari Allah dan hendaklah mengabdikan diri kepadaNya serta bersyukurlah, kepadaNya kamu dikembalikan “ (Al Ankabut: 17).

            Ini adalah suatu tuntutan yang datang dari Allah, yang menyeru manusia supaya menuntut rezeki dariNya, kerana sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka ia adalah seorang yang beriman

Firman Allah Ta’ala:

وَعَلَى اللَّهِ فَتَوَكَّلُوا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “ Dan hanya kepada Allah hendaklah kamu bertawakkal sekiranya kamu beriman “ (Al Maidah: 23).

            Konsep tawakkal ini merupakan suatu syarat untuk mencukupkan rezeki dan keperluan seseorang manusia.

Firman Allah Ta’ala:

وَمَنْ يَتَّقِِ اللهَ يَجْعَلْ لَّهُ مَجْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لاَ يَحْتَسِبُ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

Maksudnya: “ Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, Dia akan mengadakan orang itu jalan keluar dari kesulitan. Dan memberi rezeki kepadanya dari sumber yang tidak pernah diduga dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya “ (Al Talaq: 2-3).

            Dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, mereka itulah golongan yang dikasihi dan dicintai oleh Allah.

Firman Allah Ta’ala:
         إِنَّ اللهَ يُحِبُّ اْلمُتَوَكِّلِيْنَ

Maksudnya: “ Sesungguhnya Allah menyintai orang-orang yang bertawakkal “ (Ali ‘Imran: 159).

10. Di antaranya lagi, terdapat di kalangan mereka yang menganggap bahawa kehidupan di alam sufi ini lebih mulia daripada segala-galanya, tidak ada kehidupan yang lain yang lebih bersih dan lebih suci melainkan kehidupan sebagai seorang ahli sufi. Anggapan ini telah meletakkan konsep kesufian itu sebagai suatu ajaran yang mesti diikuti ataupun sebagai suatu aliran mazhab yang wajib dipatuhi oleh setiap muslim yang benar-benar mahu membersihkan diri dari segala rupa bentuk kekotoran dan maksiat. Anggapan ini juga telah meletakkan bahawa jiwa manusia mestilah diletakkan di bawah agenda sufi untuk menjadi seorang manusia yang dihormati, adapun kehidupan yang lain daripada itu terkeluar dari norma-norma hidup sejagat dan bukan dari kehidupan yang sebenar.

            Ini adalah suatu bid’ah…!

            Sebenarnya, manusia silap membuat tekaan dan menilai etika kehidupan yang dilalui selama ini akibat suatu speculation yang melanda jiwa dan perasaan, tetapi sebenarnya hawa nafsu itu telah memainkan peranan yang penting untuk menguasai perjalanan hidup mereka. Nilai dan harga diri akan menjadi punah-ranah dan luntur sedikit demi sedikit akibat daripada penguasaan hawa nafsu tadi, ditambah pula kurangnya ilmu pengetahuan yang sepatutnya dapat membezakan di antara hakikat kehidupan yang sebenar dan yang palsu. Maka berlakulah di sana suatu krisis atau argument di antara realiti dan perasaan, tetapi kecenderungan mereka lebih berpihak kepada perasaan yang dikuasai oleh hawa nafsu, maka penilaian hidup mereka bertindak untuk menghasilkan kesimpulan yang berbentuk perasaan.

            Cara kehidupan yang sebenar dan cara menguruskan kehidupan yang sebenar ialah sebagaimana yang telah diuruskan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda r.a. Adapun cara kehidupan yang lain daripada itu, sekiranya mempunyai persamaan dengan cara hidup Rasulullah s.a.w. dan sahabatnya r.a. boleh diterima dan diguna pakai, tetapi sekiranya bertentangan dengan amalan hidup mereka, maka mestilah ditolak dan dibuang jauh-jauh.



Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment