PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Thursday 1 September 2011

TAKRIF TASAWUF



Tawassuf dapat diertikan sebagai suatu cara atau kaedah pendekatan jiwa untuk mencari keredhaan Allah melalui program-program dan pelaksanaan hidup yang berpandukan kepada Al Quran dan As Sunnah s.a.w. Penekanan yang ditumpukan dalam mengharungi perjalanan ini ialah berkaitan dengan persoalan rohani yang menyentuh unsur kebatinan, persoalan spritual yang berkaitan dengan perasaan isi hati, perasaan jiwa raga dan perasaan dalaman seseorang manusia, kerana persoalan-persoalan itulah yang dapat menguasai akal fikiran manusia daripada dinodai oleh syaitan laknat dan hawa nafsu, justeru ianya juga dapat mengubah tingkah manusia. Konsep tasawuf juga dapat mencetuskan adegan yang lebih flexible atau lebih abstruse dalam penghayatan hidup untuk membina kekuatan iman dan keteguhannya terhadap ILAHI.

Sabda Rasulullah s.a.w.

اَلاَ وَإِنَّ فِى اْلجَسَدِ مُضْغَةً وًإٍذَا صَلَحَتْ صَلَحَ اْلجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ اَلاَ وَهِىَ الْقَلْبُ

Maksudnya: " Ingatlah! Sesungguhnya di dalam jasad terdapat segumpal darah, apabila ia berada dalam keadaan baik, maka seluruh jasad menjadi baik, tetapi apabila ia berada dalam keadaan buruk, maka seluruh jasad menjadi buruk, darah yang dimaksudkan ialah hati “ (Riwayat Bukhari).

            Maka, kekuatan manusia itu sebenarnya diukur dari sudut kekuatan dalaman, kekuatan perasaan hati sanubari dan jiwa nurani, kekuatan rohani, iaitu kekuatan ‘aqidah yang disimpul dengan tali keimanan terhadap ILAHI. Perjalanan hidup manusia akan sentiasa berada dalam kepuasan apabila batinnya sentiasa mendakap erat terhadap keesaan ILAHI. Itulah sebenarnya matlamat kehidupan sejagat dan itulah sebenarnya apa yang dikehendaki dalam perjalanan tasawuf...!

Firman Allah Ta‘ala:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

Maksudnya: “ Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka apabila disebut nama Allah gementar hati mereka dan apabila dibaca kepada mereka ayat-ayatNya bertambah pula keimanan, hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal “ (Al Anfal: 2).

     Namun demikian persoalan luaran juga harus diambil kira, persoalan yang berkaitan dengan kekuatan fizikal, kekuatan lahiriyyah yang mencatatkan aksi kecerdasan, kerana ianya merupakan lambang kepada kekuatan spritual.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w.

اَلْمُؤْمِنُ اْلقَوِىُّ خَيْرٌ وَأَحَبَّ اِلَى اللهِ مِنَ اْلمُؤْمِنِ الْضَعِيْفِ

Maksudnya: " Mukmin yang kuat itu lebih baik dan disukai oleh Allah dari mukmin yang lemah “

     Oleh sebab itu, pergabungan dan kombinasi kedua-dua tenaga di antara rohani dan jasmani atau di antara spritul dan fizikal adalah perlu untuk membentuk suatu program dan pelaksanaan hidup yang complete, maka segala rupa bentuk problam dan permasalahan hidup akan dapat dihadapi semua sekali, bahkan dapat pula dikikis sehingga ke akar umbinya, kerana kuasa gabungan di antara kedua-dua unsur tadi bertindak sebagai pelindung ataupun tirai untuk menyelesaikan problam dan permasalahan tersebut. Tasawuf juga merupakan suatu kaedah, kaedah untuk menyampaikan diri kepada Allah dan menyerahkan seluruh jiwa raga kepadaNya, kaedah yang dibentuk hasil dari kesedaran diri untuk terus bergantung hidup kepada Allah dan mengharapkan kurniaanNya dan rahmatNya. Melalui proses tersebut, di sana manusia akan dapat membezakan di antara kebenaran dan kebatilan, kebaikan dan keburukan dan ianya juga merupakan suatu proses yang membezakan dan menilai semula penghayatan hidup supaya tidak tersesat dan melencong jauh dari jalan hidup yang asal, iaitu jalan Islam dan jalan iman yang luhur.

       Di sana, ulama-ulama Islam telah memberi huraian yang berbeza-beza tentang takrif dan pengertian konsep tasawuf, kerana mereka menilai dari sudut pandangan dan pemerhatian masing-masing. Namun demikian, walaupun pandangan mereka itu berbeza-beza, tetapi pada hakikatnya penumpuan mereka adalah sama sahaja dengan memberi penekanan kepada aspek kerohanian ataupun perkara-perkara yang berhubung-kait dengan persoalan jiwa. Ibnu Khaldun telah mentakrifkan makna tasawuf sebagai berkata:
  
اَلتَّصَوُّفُ رِعَايَةٌ حُسْنِ اْلأَدَبِ مَعَ اللهِ فِى اْلأَعْمَالِ اْلبَاطِنَةِ وَالطَّاهِرَةِ بِاْلوُقُوْفِ عِنْدَ حُدُوْدِهِ مُقَدِّمًا اْلإِهْتِمَام بِإِقْفَالِ اْلقُلُوْبِ، مُرَاقَبًا خِفَايَاهَا حَرِيْصًا بِذَلِكَ عَلَى النَّجَاةِ

Maksudnya: " Tasawuf ialah memelihara kemuliaan adab bersama Allah dalam sesuatu amalan, sama ada  amalan batin atau zahir dengan meletakkan batas sempadan mendahului kepentingan diri yang boleh mengunci hati, menghampiri diri dalam keadaan sunyi, merasa ragus ketika bermunajat “.

            Takrif yang dikemukakan itu memberi penekanan kepada aspek keindahan akhlak yang mulia dan budi pekerti manusia, lebih-lebih lagi ketika menghadirkan diri untuk beribadat kepada Allah, sama ada secara zahir ataupun batin. Jiwa manusia akan menjadi lebih kuat dan lebih kukuh dengan meletakkan segala kepentingan diri dan amalan hidup seharian semata-mata kerana mencari keredhaan Allah, kerana mencari seteguk kepuasan yang benar-benar relevant terhadap Allah dan meletakkan nilai-nilai keagungan iman sebagai bab yang utama untuk dipersembahkan kepada Allah. Jiwa manusia itu akan mula mendadak melambung tinggi apabila hubungan mereka dengan Allah mula terbuhul erat dengan simpulan tali yang telah diikat di bawah satu pengakuan iaitu, LAA ILAHA ILLALLAH. Jiwa manusia pasti akan kelihatan indah bersemi di sudut hati sanubari dan jiwa nurani apabila ikatan tali itu mula terikat erat yang tidak mungkin akan terputus, kerana ikatan tersebut menjadi sebati dengan darah daging mereka.

            Takrif yang dinyatakan itu telah diperkuatkan lagi dengan pandangan yang dikemukakan oleh seorang ulama sufi yang bernama Muhammad bin Ali Al Qashab, beliau berkata:

الَتَّصَوُّفُ أَخْلاَقٌ كَرِيْمَةٌ، ظَهَرَتْ فِىْ زَمَانٍ كَرِيْمٍ، مِنْ رَجُلٍ كَرِيْمٍ، مَعَ قَوْمٍ كِرَامٍ

Maksudnya: " Tasawuf ialah akhlak yang mulia, muncul di zaman yang mulia, dari seorang lelaki yang mulia bersama kaum yang dimuliakan “

            Manakala seorang lagi ulama tasawuf yang bernama Al Junaid  bin Muhammad telah membuat pentakrifan yang lebih luas tentang apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan tasawuf, beliau menyatakan:

هُوَ أَنْ تَكُوْنَ مَعَ اللهِ تَعَالَى بِلاَ عَلاَقَةٍ

Maksudnya: " Tasawuf ialah mengadakan hubungan dengan Allah tanpa perantaraan “

            Iaitu, mengadakan hubungan dengan Allah Ta’ala dalam konsep pengabdian diri kepadaNya secara direct, secara terus-terang tanpa ada batas-batas perantaraan atau wasilah di antaraNya.

     Berkata pula Dalfu Al Syubli , salah seorang ahli tasawuf yang kuat beramal:  

اَلتَّصَوُّفُ الْجُلُوْسُ مَعَ اللهِ تَعَالَى بِلاَ هَمٍّ

Maksudnya: " Tasawuf ialah beribadat kepada Allah tanpa perasaan dukacita

Berkata Ahmad Al Jurairi, salah seorang pengamal dalam pengajian ilmu tasawuf: 
اَلتَّصَوُّفُ مُرَاقَبَةٌ اْلأَحْوَالِ وَلُزُوْمٌ اْلأَدَبِ

Maksudnya: " Tasawuf ialah menghampiri diri kepada Allah di dalam setiap keadaan dan sentiasa memperbaiki adab  

            Apabila ditanya kepada Ahmad Al Jala, salah seorang pengamal budaya hidup sufi tentang makna sufi, lalu beliau berkata: 

لاَ نَعْرِفُهُ فِىْ شَرْطِ اْلعِلْمِ، وَلَكِنْ نَعْرِفُ فَقِيْرًا مُجَرَّدًا مِنَ اْلأَسْبَابِ، كَانَ مَعَ اللهِ تَعَالَى بِلاَ مَكَان، وَلاَ يَمْنَعُهُ اْلحَقَّ سُبْحَانَهُ مِنْ عِلْمٍ كُلّ مَكَانٍ، فَسُمِّىَ صُوْفِيًّا

Maksudnya: " Kami tidak mengetahuinya apa yang terkandung dalam syarat ilmu, tetapi kami mengetahui tentang kefakiran semata-mata melalui sebab-sebab tersebut, kerana ia bersama Allah Ta'ala tanpa mengira tempat dan tidak menegah hak Ta’ala berpandukan kepada ilmu di setiap tempat, maka itulah dinamakan sufi “.

     Daripada apa yang dinyatakan itu, konsep tasawuf dalam Islam mengandungi beberapa pendekatan yang bertujuan untuk menghampirkan diri kepada Allah. Di antaranya ialah pendekatan spritual yang menekankan kebersihan jiwa raga seluruhnya daripada segala rupa bentuk kekotoran atau unsur-unsur yang menjijikan, yang boleh memusnahkan ikatan tali dengan Allah, seperti unsur-unsur riya, sombong dan takabbur, pendekatan yang menumpukan perhatian kepada konsep keindahan akhlak dan budi pekerti, kerana untuk mendekatkan diri kepada Allah, setiap muslim mestilah memelihara adab-adab ketika bersama-samaNya, mengandungi pendekatan ilmu pengetahuan sebagai syarat untuk mengislahkan diri, kerana tanpa ilmu seseorang itu tidak akan sampai ke tempat yang hendak dituju dan ia tidak dapat membezakan di antara kebenaran dan kebatilan. Justeru itu, konsep tasawuf juga mengandungi pendekatan fizikal yang dikombinasikan dengan pendekatan spritual sebagai usaha sama untuk membentuk kekuatan pada diri seseorang.

     Sebagai kesimpulannya daripada apa yang telah dihuraikan, perkataan tasawuf boleh diertikan sebagai berkata:

هُوَ عِلْمٌ تُعْرَفُ بِهِ أَحْوَالَ تَزْكِيَةِ النَّفْسِ، وَتَصْفِيَةِ اْلأَخْلاَقِ، وَتَعْمِيْرِ الظَّاهِرِ وَاْلبَاطِنِ لِنَيْلِ السَّعَادَةِ اْلأَبَدِيَّةِ

Maksudnya: " Ianya merupakan ilmu yang membicarakan persoalan kebersihan jiwa dan penyucian akhlak, beramal dengan anggota zahir ataupun batin untuk mencapai kebahagiaan yang kekal abadi “.

     Abdullah bin Ali At Thusi telah menghuraikan tentang siapakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ahli tasawuf:

هُمُ اْلعُلَمَاءُ بِاللهِ وَبِأَحْكَامِ اللهِ، اَلْعَامِلُوْنَ بِمَا عَلَّمَهُمُ اللهِ تَعَالَى، اَلْمُحَقِّقُوْنَ بِمَا اسْتَعْمَلَهُمُ اللهِ عَزَّوَجَلَّ، اَلْوَاجِدُوْنَ بِمَا تُحَقِّقُوْا، اَلْفَانُوْنَ بِمَا وَجِدُوْا، ِلأَنَّ كُلَّ وَاحِدٍ قَدْ فَنَى بِمَا وُجِدَ

Maksudnya: " Mereka ialah ulama yang mencari keredhaan Allah dan berhukum dengan segala hukuman Allah, beramal dengan apa yang diajarkan oleh Allah Ta'ala kepada mereka, bersifat tegas dengan apa yang disuruh oleh Allah Azza Wajalla, mereka merasa sukacita dengan apa yang ditegaskan, merasa fana' “ (tengelam dalam keseronokan) dengan apa yang dicintai, kerana tiap-tiap sesuatu akan fana' dengan apa yang ada “.

    Apa yang dinyatakan oleh Al Thusi itu dalam kitabnya itu mengandungi lima unsur:

Pertama: Al Ilmu - Iaitu ilmu yang berpandukan kepada 'aqidah dan syari'at Islamiyyah yang terkandung di dalam Al Quran dan As Sunnah, yang dapat menggerakkan perasaan hati untuk bertaup dengan ILAHI, kerana setiap ahli sufi mestilah seorang ulama yang mempunyai ilmu yang cukup masak dan matang, justeru mereka dapat menilai kebenaran dan kebatilan.

Kedua: Al Amal- Iaitu mempraktikkan atau melaksanakan ilmu  tersebut dengan amalan-amalan yang berpandukan kepada sunnah Rasulullah s.a.w. tanpa terkeluar sedikitpun dari batas  sempadan yang digariskan oleh syari'at.

Ketiga: Al Tahkiq- Iaitu beramal dengan ilmu yang disuruh oleh Allah Ta'ala dengan melahirkan sifat yang tegas dan mewujudkan perasaan nikmat terhadap amalan yang dilakukan.

Keempat: Al Wajd - Iaitu melahirkan perasaan cinta dan sukacita terhadap ketegasan diri dan keteguhan jiwa yang tersemat di celah-celah dinding hati sanubari dan jiwa nurani.

Kelima: Al Fana'- Iaitu tenggelam di dalam lautan musyahadah dan pengabdian diri kepada Allah tanpa timbul sedikipun perasaan ragu dan syak wasangka.

      Pembentukan jiwa tasawuf ke dalam diri muslim mestilah menepati kelima-lima elemen ini, supaya penguasaan hidup terhadap diri manusia itu benar-benar dikuasai oleh iman yang luhur untuk dipersembahkan menjadi suatu etika hidup yang kekal abadi. Bermula dari ilmu pengetahuan, diproses menjadi amalan dan amalan itu mestilah diperkuatkan dengan perasaan istiqomah yang hakiki dengan melahirkan perasaan cinta yang tidak ternilai untuk tenggelam dalam lautan musyahadah.




Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment