PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Thursday 1 September 2011

ASAL USUL KALIMAH TASAWUF



MUQADDIMAH
Ilmu tasawuf merupakan sebahagan daripada ilmu-ilmu syari'at yang muncul di dalam ajaran agama dan pada asalnya ilmu tersebut merupakan jalan yang diambil dari para sahabat dan para tabi'ein serta ulama-ulama yang mencari kebenaran dan petunjuk, yang sentiasa beriktikaf dan beribadat kepada Allah. Mereka meninggalkan segala perhiasan dunia kerana zuhud kepada Allah. Kehidupan para ahli sufi penuh dengan iltizam dan commitment terhadap manhaj ILAHI, yang berupa segala rupa bentuk ajaran-ajaranNya dan tuntutan-tuntutanNya terhadap diri manusia. Di sana tiada sedikitpun perasaan kecenderungan hati mereka untuk bertaut kepada manhaj yang lain, manhaj jahiliyah atau manhaj-manhaj yang sama ke arah itu, bahkan ia menolak dengan sekeras-kerasnya. Hati sanubari dan jiwa nuraninya sentiasa bersih dan sentiasa digilap dengan roh ketaqwaan dan ketundukkan diri kepada Allah.

ASAL USUL KALIMAH TASAWUF
Para ulama telah berselisih pendapat tentang asal usul kalimah tasawuf ataupun kalimah sufi ini, di antaranya ialah:

1. Mereka berpendapat bahawa kalimah ini adalah pecahan dari perkataan    (الصفاء ) ataupun  ( الصفو ) yang membawa maksud kebersihan hati sanubari dan berlapang dada untuk mencari keredhaan Allah dan asal perkataan ini juga diambil dari perkataan ( صفوى ), tetapi perkataan tersebut agak sukar untuk disebut oleh lidah orang-orang arab lalu diubahnya menjadi perkataan (صوفى ) yang bererti membersihkan hati sanubari dan jiwa nurani terhadap Allah. 

2. Di antara mereka ada yang berpendapat bahawa kalimah tersebut diambil dari kalimah (الصوف) bererti bulu, kerana para ahli sufi suka memakai pakaian yang diperbuat daripada bulu kerana pakaian tersebut merupakan pakaian yang digemari oleh para anbiya dan para siddiqin dan pakaian ini juga merupakan syiar kepada orang-orang zuhud.

Anas bin Malik r.a. pernah menceritakan tentang perihal makanan dan pakaian yang pernah dipakai oleh Rasulullah s.a.w. :

أَكَلَ خَشِنًا وَلَبِسَ خَشِنًا، لَبِسَ الصُّوْفَ وَاحْتَذَى الْمَخْصُوْفَ

Maksudnya: " Baginda makan makanan yang kasar, memakai pakaian yang kasar dan pakaian yang diperbuat daripada bulu serta memakai sepatu yang dijahit “ (Riwayat Ibn Majah).
 
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

عَلَيْكُمْ بِلِبَاسِ الصُّوْفِ تَجِدُوْنَ حَلاَوَةَ اْلإِيْمَانِ فِىْ قُلُوْبِكُمْ   

Maksudnya: " Hendaklah kamu memakai pakaian yang diperbuat daripada bulu, nescaya kamu akan dapati kemanisan iman di dalam hati kamu “ (Riwayat Al Hakim). 

     Tujuan memakai pakaian yang diperbuat daripada bulu ini adalah untuk menambahkan lagi sifat tawadduk kepada Allah Ta'ala dan di antara sahabat yang sentiasa kelihatan memakai pakaian yang diperbuat daripada bulu ialah Abu Zar Al-Ghifari, Salman Al Farisi, Abu 'Ubaidah Al Jarrah dan lain-lain lagi.

Hassan Al Basri r.a. pernah menukilkan:

أَدْرَكْتُ سَبْعِيْنَ بَدْرِيًّا كَانَ لِبَاسُهُمْ الصُّوْف، وَالْبَدْرِيُّوْنَ هُمُ الَّذِيْنَ حَـارِبُوْا مَعَ الرَّسُوْلِ فِى بَدْرٍ، وَكُلُّهُم يُمَثِّلُوْنَ الصَّفْوَةَ الْمَاجِدَةَ الرَّائِدَةَ مِنَ صَّحَابَةِ الرَّسُوْلِ صَلَّى الله عليه وسلم

Maksudnya: " Aku dapati tujuh puluh orang ahli Badar memakai pakaian bulu, mereka adalah orang yang berperang bersama Rasulullah s.a.w. di dalam peperangan Badar, mereka semua bagaikan mutiara di kalangan sahabat Rasul s.a.w. "

3. Di sana pula ada yang berpendapat bahawa kalimah sufi itu diambil dari perkataan  ( أهل الصفة ) iaitu para sahabat yang terdiri di kalangan orang-orang Muhajirin yang tidak mempunyai waris dan kaum kerabat dan mereka tinggal di serambi Masjid Nabi s.a.w. di Madinah. Mereka adalah golongan miskin yang tidak mempunyai tempat tinggal, namun demikian walaupun mereka miskin, tetapi mereka mempunyai jiwa yang kaya kerana amalan hidup mereka seharian ialah sentiasa beribadat kepada Allah dan bermunajat kepadaNya. Apabila suara jihad ditiupkan untuk mengajak ke medan juang, merekalah di kalangan para sahabat yang pertama melangkah kaki terjun memenuhi saf-saf hadapan untuk menggempur barisan musuh.

4. Ada juga yang berpendapat menyatakan bahawa kalimah ini diambil dari perkataan (الصف), sama ada saf perjuangan di medan perang ataupun saf sembahyang, kerana kebanyakkan para ahli sufi biasanya suka memenuhi saf-saf hadapan berperang atau ketika menunaikan sembahyang di masjid.

Sabda Rasulullah s.a.w.

مَقَامُ الرَّجُلِ فِىْ اْلصَفِّ فِىْ سَبِيْلِ اللهِ أَفْضَلُ عِنْدَ اللهِ مِنْ عِبَادَةِ رَجُلِ سِتِّيْنَ سَنَةً

Maksudnya: " Maqam seseorang lelaki berada di dalam saf sabilillah lebih baik bagi Allah daripada ibadat seorang lelaki selama enam puluh tahun “ (Riwayat Al Hakim).

5. Di antaranya lagi ada yang berpendapat bahawa kalimah sufi ini diambil dari perkataan Yunani (سوفيا) yang bererti hikmat atau filsafat, kerana kebanyakan ahli sufi terdiri di kalangan para hukama' dan ahli falsafah. Oleh kerana berlaku perkembangan dan kemajuan dunia Arab di dalam bidang ilmu pengetahuan, maka perkataan (سوفيا) telah diubah menjadi perkataan ( صوفى) untuk disesuaikan ke dalam Bahasa Arab.

6. Ada juga yang menyatakan bahawa kalimah sufi ini nisbahkan kepada seorang lelaki yang bernama Al Ghaus bin Mar bin Ad bin Thabikhah bin Elyas bin Madhar yang sentiasa bermunajat kepada Allah di Masjidil Haram dan beliau digelar sebagai seorang ahli sufi.


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment