PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Saturday 10 September 2011

PERKEMBANGAN ILMU TASAWUF


Tarikh sebenar perkembangan ilmu tasawuf ialah semasa hayat Rasulullah s.a.w. dan kemudian dibawa oleh para sahabat baginda r.a. Program hidup mereka lebih memberi penekanan kepada kebersihan jiwa raga yang mencetuskan kekuatan rohani dalam kehidupan. Kehidupan baginda bersama-sama para sahabat r.a itu menunjukkan bermulanya era ilmu tasawuf Islam. Kehidupan baginda bersama para sabahat r.a. dipenuhi dengan program rabbani, di mana setiap amal perbuatan mereka merupakan sumber aspirasi dari ILAHI. Benarlah apa yang dinyatakan oleh Allah Ta'ala di dalam Al Kitab:

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ إِنْ هُوَ إِلاَّ وَحْيٌ يُوحَىٰ

Maksudnya: " Rasulullah tidaklah bercakap menurut perasaan hawa nafsu, bahkan ianya merupakan wahyu yang datang dari Allah"(Al Najm: 3-4).

Firman Allah Ta'ala lagi:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: " Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah menjadi ikutan yang baik “ (iaitu) kepada orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah dan kedatangan hari akhirat, lalu mereka menyebut nama Allah dengan sebanyak-banyaknya “ (Al Ahzab: 21).

Kehidupan Rasulullah s.a.w. dan perjalanan hidup baginda telah memberi kesan yang besar kepada masyarakat ketika itu, bukan sahaja memberi kesan kepada masyarakat di tanah arab, bahkan ianya berkembang ke seluruh tanah jajahan Islam, lebih-lebih lagi apabila Islam berjaya menawan Kota Rom dan Parsi serta berjaya membuka Kota Andalus.

Namun demikian, perkataan tasawuf tidak pernah muncul ketika di zaman baginda s.a.w. sekalipun penghayatan manhaj hidupnya telah wujud sebagaimana yang terkandung di dalam syari’at Islam. Para pengkaji tentang ilmu tasawuf telah berpendapat, bahawa perkembangan tasawuf adalah diasaskan dari falsafah zuhud yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai suatu cara kehidupan yang sederhana. Kehidupan tersebut mengajar manusia erti kehidupan yang sebenar, tujuan dan matlamat hidup bahawa segala rupa bentuk kemewahan dunia dan perhiasannya adalah sementara sahaja. Kehidupan itu juga memberi penekanan kepada aspek mystic yang berkaitan hubungan manusia dengan Tuhan secara terus-menerus, memberi penumpuan kepada aspek jiwa, aspek rohani atau spritual, sifat-sifat kebersihan diri terhadap Allah, sifat tawakkal dan selalu mengharapkan keampunan dari Allah dan lain-lain lagi.

Firman Allah Ta'ala:

مَنْ كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ وَمَنْ كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ نَصِيبٍ

Maksudnya: " Sesiapa yang mahu mencari keuntungan di hari akhirat, nescaya Kami akan menambahkan lagi keuntungan kepadanya dan sesiapa yang ingin mencari keuntungan dunia, nescaya Kami akan beri keuntungan kepadanya, tetapi di hari akhirat nanti tiadalah baginya bahagian “ (Asy Syura:20).

Falsafah kehidupan zuhud ini telah mencetuskan suatu bentuk kefahaman yang mendalam terhadap kehidupan yang sebenar, kehidupan yang dinilai pada hakikat hidup itu sendiri, iaitu sebuah kehidupan yang hanya mengharapkan keredhaan ILAHI semata-mata, seolah-olah ianya membuka ruang perjalanan untuk mencapai setinggi-tinggi darjat kemanusiaan. Ekoran daripada perjalanan zuhud inilah, maka timbulnya di sana konsep tasawuf di dalam usaha mendekatkan jiwa dan perasaan manusia terhadap Allah. Persoalan pokok dalam pengajian ilmu tasawuf ini telah dibincangkan secara sepintas lalu di dalam sepotong ayat suci Al Quran:

قُلْ إِنْ كَانَ آبَآؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيْرَتُكُمْ وَأَمْوَالُ اقٌتَرَفْتُمُوْهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَجِهَادٍ فِىْ سَبِيْلِهِ فَتَرَبَّصُوْا حَتَّى يَأْتِىَ اللهُ بِأَمْرِهِ وَاللهُ لاَ يَهْدِى اْلقَوْمَ اْلفَاسِقِيْنَ

Maksudnya: " Katakanlah: Sekiranya bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu, kekayaan yang kamu perolehi, perniagaan yang kamu khuatiri menanggung kerugian dan tempat tinggal yang kamu sukai, sekiranya semua ini kamu cinta melebihi dari Allah dan RasulNya dan dari berjuang di jalan Allah, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan perintahNya dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang fasiq “ (At Taubah: 24).

Kebendaan ini bukan menjadi asas dan ukuran di dalam bicara hidup, ianya pula bukan suatu agenda yang perlu sangat diambil kira untuk diberikan perhatian atau tumpuan, tetapi sebenarnya kebendaan itu boleh merosokan kehidupan seseorang daripada bersifat sederhana kepada bersifat ragus dan tamak haloba kerana terlalu mengejar harta benda dunia. Justeru itu, konsep pergantungan hidup kepada ILAHI mulai pudar secara perlahan-lahan dan beransur-ansur hilang dari lipatan hati, akhirnya hubungan tali ‘aqidah terhadap ILAHI menjadi punah-ranah, sekaligus memusnahkan imannya. Kebanyakan mereka yang hidup di awal kurun hijrah lebih mementingkan aspek-aspek ketuhanan di dalam proses ibadat mereka dan mereka beramal dengan hukum-hukum syara' sama ada secara zahir atau secara batin dan memberi penekanan kepada persoalan yang berbentuk kerohanian atau spiritual. Mereka lebih mementingkan kewajipan batin dan amalan hidup mereka tidak sedikitpun bercanggah dengan ajaran Islam dan tidak pula membelakangi Al Quran dan As Sunnah s.a.w. Sebaliknya mereka mengambil kedua-dua aspek tadi sebagai slogan dalam kehidupan dan dijadikan wirid setiap hari dan ada pula mereka mengambilnya untuk mengubat orang sakit. Pada akhir zaman At Tabi’en, iaitu di akhir kurun kedua hijrah telah muncul perkataan tasawuf atau perkataan sufi hasil dari perkembangan falsafah zuhud, di mana kehidupan ummat manusia ketika itu berada di alam rohaniyyah yang lebih mementingkan aspek jiwa dan spritual yang berasaskan kepada Al Quran dan As Sunnah s.a.w. sebagai syiar untuk menghampirkan diri mereka kepada Allah Ta'ala. Zaman At Tabi’en  merupakan warisan para sahabat r.a. di mana mereka mengambil segala khazanah yang ditinggalkan oleh Nabi s.a.w. untuk dihiasai ke dalam manhaj kehidupan mereka dan kehidupan yang mereka harungi itu seakan-akan sama dengan kehidupan yang dibawa oleh baginda s.a.w. dan para sahabat r.a. 

Berkata Sufian Ath Thauri:

اَلزُّهْدُ فِى الدُّنْيَا قَصْرُ اْلأَمَلِ، لَيْسَ بِأَكْلِ اْلغَلِيْظِ وَلاَ بِلُبْسِ اْلعَبَاءِ

Maksudnya: " Zuhud di dunia ialah pendek angan-angan, bukanlah dikatakan zuhud itu hanya memakan makanan kasar dan tidak berpakaian lengkap “.

Lalu beliau berdoa kepada Allah:

اَللَّهُمَّ زَهِدْنَا فِىْ الدُّنْيَا وَوَسِعْ عَلَيْنَا مِنْهَا وَلاَ تُرَدُّهَا عَنَّا فَتَرْغَبْنَا فِيْهَا

Maksudnya: " Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami zuhud di dunia dan perluaskanlah ke atas kami dan janganlah pula Engkau buang kezuhudan  dari kami, maka perkenankanlah permintaan kami terhadap kezuhudan itu “.

Perluasan jajahan Islam ke seluruh pelusuk dunia sedikit sebanyak telah menyumbangkan kepada perkembangan fahaman tasawuf ke dalam masyarakat luar melalui sistem politik yang wujud di zaman tersebut. Namun demikian, penekanan hidup mereka lebih menjurus kepada usul Islam yang berasaskan kepada Al Quran dan As Sunnah s.a.w. baik kepada individu atau masyarakat dan mereka mengambil kedua-dua sumber tersebut untuk menyelesaikan krisis politik atau krisis jiwa raga. Asas pengajian ilmu tasawuf dibina di atas dasar ‘aqidah yang suci, iaitu dasar ajaran Islam itu sendiri dan tidak sekali-kali diambil dari mana-mana fahaman luar yang bertentangan dengan ajaran Islam. Sekalipun wujud di sana mereka yang mengamalkan konsep tasawuf bukan di kalangan orang-orang Arab, tetapi amalan mereka tidak terkeluar dari landasan hidup yang sebenar dengan berpegang teguh kepada Al Quran dan As Sunnah s.a.w.




Al Faqir Ila Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment