PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Thursday 1 September 2011

USUL TAWASUF



MUQADDIMAH
Manusia memerlukan program hidup yang tersusun dan teratur untuk membina kekuatan diri dari semua sudut, termasuk kekuatan iman dan ‘iktikad sebagai suatu keyakinan  hidup yang kekal abadi. Penjelmaan iman ke dalam lubuk hati manusia adalah hasil dari program hidup yang sempurna dan pelaksanaannya terhadap amalan-amalan yang telah ditetapkan oleh syari'at ataupun datang hasil dari kesedaran yang menguasai budaya hidup menyebabkan mereka memperolehi petunjuk ILAHI untuk menyuluh jalan yang dilalui. Hakikatnya, keimanan itu dijelmakan oleh Allah Ta'ala sendiri ke dalam jiwa sesiapa yang dikehendakiNya, kalaulah tidak kerana kehendak Allah Ta'ala yang tersimpan di dalam iradatNya, nescaya manusia akan buta-teraba di tengah-tengah persimpangan hidup. Oleh sebab itu, hakikat kehidupan mestilah mendapatkan keredhaan ILAHI untuk mendukung cita-cita suci ke arah membina kekuatan diri, sama ada kekuatan lahiriyah atau kekuatan batiniyah. Maka, menjadi hasrat dalam ilmu tasawuf bahawa kekuatan yang dibina dari semua aspek haruslah diambil kira untuk memapankan lagi perjalanan hidup bagi mencari keredhaan ILAHI. Di sini dinyatakan beberapa usul tasawuf yang menjadi asas dalam perjuangan:

Pertama: Bertaqwa kepada Allah Ta'ala di dalam apa jua bentuk dan keadaan, sama ada ketika berada dalam keadaan sunyi ataupun ketika berada dalam keadaan terbuka. Ketaqwaan kepada Allah akan mencetuskan rasa kemanisan iman di dalam lubuk hati dan perasaan jiwa raga akan merasa lebih seronok untuk mengharapkan rahmat dari Tuhan. Di samping itu, hendaklah memperkuatkan lagi perasaan diri sebagai proses persiapan untuk mencapai hakikat keagungan iman dengan sifat-sifat yang wara' dan beristiqomah tetap berdiri teguh di jalan Allah. Ianya telah dibentangkan oleh Allah dalam sepotong ayatNya.

Firman Allah Ta'ala:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا فلاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ ولاَ هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: " Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap beristiqomah “ (di jalan Allah), maka tiada ketakutan kepada diri mereka dan tidak pula mereka berduka cita “ (Al Ahqaf: 13).

    Pengakuan terhadap keesaan Allah yang diterima dalam konsep syahadah mencetuskan babak-babak keagungan iman yang tidak boleh diputuskan dan tidak boleh dimusnahkan oleh sesiapapun. Kekuatan iman akan terbukti apabila datangnya ujian yang datang menjelma, ianya datang dari pelbagai bentuk yang muncul dalam segenap aspek dan sudut kehidupan. Adakalanya ia datang dalam bentuk ancaman dan ugutan dari pihak yang berkuasa, adakalanya ia datang dalam bentuk penyiksaan dan penderitaan batin, adakalanya pula ia datang dalam bentuk kekayaan dengan harta benda yang melimpah-ruah ataupun dalam bentuk kemiskinan yang tidak mempunyai sesuatupun. Kalaulah manusia dapat melepasi ujian dan ranjau kehidupan seperti ini, nescaya ia akan mencapai suatu darjat yang tinggi di sisi Tuhannya.

Kedua: Mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. dalam apa jua bentuk, sama ada dalam bentuk perkataan atau perbuatan dan kemudian hendaklah menjaga maruah dan kehormatan diri, di samping memelihara akhlak dan budi pekerti yang baik. Mari kita mendengar sepotong ayat yang dinyatakan oleh Allah Ta'ala di dalam Al Kitab:

Firman Allah Ta'ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً

Maksudnya: " Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul serta pemerintah di kalangan kamu, apabila berlaku perselisihan di dalam sesuatu perkara, hendaklah kamu kembali kepada Allah “ (Al Quran) dan Rasul “ (As Sunnah) sekiranya kamu beriman kepada Allah dan hari kiamat, yang demikian itu lebih baik bagi kamu dan lebih baik akibatnya “ (An Nisa': 59).

     Ketaatan kepada Allah dan RasulNya adalah ketaatan yang benar-benar hakiki tanpa ada perasaan ragu-ragu dan syak wasangka, tanpa diselaputi oleh perasaan prajudis atau perasaan yang tidak percaya kepada sebahagian daripada apa yang diturunkan oleh Allah dan di bawa oleh RasuNya s.a.w. Kalaulah perasaan seumpama ini muncul ke dalam diari kehidupan manusia, nescaya hancur-leburlah keimanannya dan di sana akan muncul sejenis virus yang dipanggil zindiq yang menukarkan warna keimanannya kepada kekufuran, Islamnya kepada jahiliyah. Walaupun pada zahirnya sahaja ia beramal dengan ajaran Islam, tetapi pada hakikatnya ia adalah seorang yang kufur. Adapun ketaatan kepada pemimpin atau pemerintah adalah ketaatan yang berkait, bergantung kepada arahan-arahan yang dikeluarkan. Kalaulah arahan tersebut bersesuaian dengan Kitab Allah dan sunnah RasulNya s.a.w. maka arahan tersebut wajib diterima dan diguna-pakai, tetapi jika arahan yang dikeluarkan itu bertentangan dengan Kitab Allah dan Sunnah Rasul s.a.w. maka arahan tersebut wajib disanggah dan tidak boleh diterima, sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:

عَلَى اْلمَرْءِ اْلمُسْلِمِ اْلسَمْعُ وَالطَّاعَةُ فِيْمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ إِلاَّ أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ

Maksudnya: "  Ke atas seseorang muslim boleh dengar dan boleh taat sama ada disukai atau tidak, kecuali jika diperintah melakukan maksiat, apabila disuruh melakukan maksiat, maka tidak wajib dengar dan tidak wajib taat “ (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ketiga: Menjauhkan diri dari akhlak dan sifat yang buruk dalam apa jua keadaan sekalipun dan jangan sekali-kali cuba melakukan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah, kerana Allah itu Maha Melihat terhadap apa yang dilakukan oleh setiap manusia. Justeru itu, hendaklah memperteguhkan diri dengan sifat- sifat kesabaran dan sentiasa bertawakkal kepada Allah.

Firman Allah Ta'ala:

وَلاَ تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلاَ السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ وَمَا يُلَقَّاهَا إِلاَّ الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلاَّ ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ

Maksudnya: " Kebaikan dan kejahatan itu tidak sama, tolaklah kejahatan itu dengan cara yang sebaik-baiknya sehingga orang yang bermusuhan antara kamu dengan dia seolah-olah teman yang setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak diberi kepada sesiapapun selain dari orang yang bersabar dan tidak pula diberikan kecuali orang yang mendapat keuntungan yang besar “ (Fushilat: 34-35).

      Nilai hakikat sesuatu itu diukur baik atau buruk adalah mengikut perhitungan syari'at yang telah digariskan dalam manhaj hidup Islam, bukan mengikut perhitungan akal fikiran yang sentiasa mutable dari suatu aspek tertentu ketika membuat penilaian. Lagipun, kalaulah akal manusia dijadikan pedoman dalam membuat acuan penilaian terhadap sesuatu perkara, nescaya akan muncullah pelbagai pandangan dan pendapat yang saling bertentangan di antara satu sama lain dan tidak pula berkesudahan dan tiada pula ada perhujungnya, kerana akal seseorang manusia dengan seseorang yang lain adalah berbeza-beza. Maka, untuk mengeluarkan dari kemelut persengketaan dan pendapat yang berbeza ini, Islam telah mengatur program hidup manusia supaya mengikut garis sempadan yang telah digariskan dalam manhajnya dan penilaian baik buruk hakikat sesuatu itu mestilah mengikut manhaj tersebut. Di antara kebaikan dan kejahatan memanglah tidak sama dan tidak serupa, bahkan ianya amat jauh perbezaannya. Tetapi, Islam telah mengajar para penganutnya supaya menolak kejahatan dari seseorang manusia dengan sebaik mungkin, supaya timbul di dinding hatinya itu suatu perasaan lain, perasaan ingin meninggalkan kejahatan yang tidak memberi apa-apa manfaat dan tidak mahu mengulangi lagi, sebaliknya menaruh minat kepada agenda kebaikan yang sangat memberi keuntungan di dunia dan di akhirat.

Keempat: Redha terhadap pemberian Allah dan kurniaanNya, sama ada sedikit apatah lagi banyak dan di samping itu hendaklah memperkukuhkan hakikat keredhaan dengan sifat-sifat qana’ah, iaitu memadai dengan apa yang ada dan juga dengan sifat berserah diri kepada Allah.

Firman Allah Ta'ala:

فَسَتَذْكُرُونَ مَا أَقُولُ لَكُمْوَأُفَوِّضُ أَمْرِي إِلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ

Maksudnya: " Nanti kamu segera mengingati apa yang aku katakan kepada kamu dan hanya kepada Allah aku serahkan segala urusan ku, sesungguhnya Allah melihat dengan terang akan hamba-hambaNya “ (Al Mukmin: 44).

Kelima: Mengembalikan setiap urusan hidup hanya kepada Allah, sama ada dalam keadaan senang ataupun susah, kerana pergantungan hidup manusia dalam apa jua bentuk sekalipun mestilah diserahkan kepada Allah yang memberi segala nikmat dan rahmat kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Di samping itu pula, hendaklah memperkukuhkan hakikat pengembalian diri kepada Allah itu dengan penuh kesyukuran dan kesenangan, dengan penuh keikhlasan dan kesabaran terhadap nilai-nilai kesejahteraan hidup yang diberikanNya itu dan kemudiannya hendaklah menyerah diri kepada Allah Ta'ala sekalipun ketika susah.

Firman Allah Ta'ala:

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Maksudnya: " Orang-orang yang apabila ditimpa musibah lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepadaNya-lah kami kembali “ (Al Baqarah:156).

     Orang-orang Islam yang berjuang di jalan Allah sentiasa mengemukakan kesabaran hidup kepada Allah, membuat aduan terhadap apa yang berlaku menimpa mereka kepada Allah dan merayu dengan rintihan doa dan permintaan untuk menjunjung tinggi optimis mereka hanya kepada Allah semata-mata.  Kekuatan hidup manusia itu adalah bergantung kepada kehebatan iman yang tersemat di celah-celah lipatan hati sanubari dan jiwa nurani, ikatan tali aqidah mereka kepada ILAHI....

Firman Allah Ta'ala:

وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ

Maksudnya: " Dan orang-orang yang sabar dalam kesengsaraan dan melarat ketika di waktu perang, merekalah orang-orang yang benar dan merekalah orang yang memelihara diri “ (dari kejahatan) “ (Al Baqarah: 177).



Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani




No comments:

Post a Comment