PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 1 May 2012

BIODATA MUHAMMAD BIN ABDUL WAHAB


Beliau ialah Muhammad bin Abdul Wahab bin Sulaiman bin Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Rasyid bin At-Tamimi, dilahirkan di ‘Uyainah, utara Riyadh pada tahun 1115H/1703M. Beliau membesar di bawah jagaan ayahnya yang juga merupakan seorang Qadi di ‘Uyainah. Beliau menghafal Al Quran sebelum mencapai umur sepuluh tahun. Beliau telah mempelajari fiqh Hanbali, tafsir dan hadith daripada bapanya dan banyak membaca tulisan hasil karya Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim.

            Istilah ‘wahabi’ yang dikaitkan dengan Syeikh Muhammad Abdul Wahab ini sebenarnya diberikan oleh musuh-musuh beliau sempena nama ayahnya Abdul Wahab, kerana pihak musuh yang menghalang gelombang kebangkitan yang dibawa oleh beliau tidak mahu mengguna-pakai namanya yang sebenar, kerana nama beliau kebetulan sama dengan nama Nabi Muhammad s.a.w. Beliau dan para pengikutnya tidak pernah menamakan gerakan yang dibawa itu sebagai gerakan wahabi, tetapi mereka menamakan gerakan mereka dengan nama Al Muslimun atau Al Muwahidun, yang bererti pendukung ajaran yang mengabdikan diri kepada Allah dan mereka juga menamakan diri mereka sebagai pengikut Mazhab Hanbali atau Gerakan As Salafi.

            Beliau berangkat ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji, kemudian Madinah menziarahi Nabi s.a.w. dan para sahabat r.a. Semasa di Madinah, beliau mendalami ilmu agama dengan tpkoh-tokoh ulama di sana seperti Syeikh Abdullah Ibn Ibrahim Ibn Saif, Sheikh Ali Afandi Ad Daghastani, Syeikh Ismail Al Ajluni, Syeikh Abdul Latif Al Afaaqi Al Ahsaai’, Syeikh Muhammad Hayat As Sindi. Selepas itu beliau ke Basrah untuk mendalami ilmu dengan tokoh-tokoh ulama di sana seperti Syeikh Muhammad Al Mujmuei dan Al ‘Allamah Malla Hamdu Al Jamili. Beliau juga sempat berguru dengan Syeikh Muhammad Ibn Abdul Latif As Syafi’e di Al Ahsa semasa perjalanan pulang ke kampung halamannya. Pada tahun 1158H, Syeikh Muhammad Abdul Wahab pergi ke Dir’iyyah dan menjadi tetamu kepada dua orang tokoh ilama di sana iaitu Syeikh Abdul Rahman bin Suwailim dan Syeikh Ahmad Suwailim. Semasa di sana,  beliau telah dikunjungi oleh masyarakat di sana yang bertujuan untuk mempelajari ilmu agama dengan beliau. Menjadi kelaziman sebagai seorang ulama, bahawa di sana terdapat beberapa golongan yang menentang dakwah yang disampaikan sehingga ada dalam kalangan mereka yang terpengaruh dengan dakyah-dakyah golongan yang menentang itu. Puak penentang telah menulis surat kepada kerajaan Uthmaniyah agar menghalang aktiviti dakwah yang disampaikan oleh beliau. Mereka menyalakan api fitnah yang direka-cipta dengan menuduh beliau menubuhkan mazhab yang kelima dan beliau tidak mencintai Rasulullah s.a.w. Dalam kalangan ‘ulama yang cari makan’ telah mengambil kesempatan dengan mengeruhkan lagi suasana ini kerana bimbang dakwah salafi yang sampaikan oleh Syeikh Muhammad Abdul Wahab menghalang periuk nasi mereka. Setengah ulama yang lain pula tidak mendapat gambaran yang jelas tentang beliau dan mereka menulis karya berpandukan dakyah-dakyah yang didengar.

            Syeikh Muhammad Abdul Wahab telah mendapati bahawa unsur-unsur khurafat, bid’ah dan kesesatan yang merosakan akidah masyarakat telah berleluasa di Najd dan kawasan sekitarnya. Masyarakat ketika itu sering berulang alik ke kawasan perkuburan yang dianggap keramat untuk meminta hajat atau meminta agar mereka dilepaskan daripada kesusahan. Meraka melakukan upacara ibadat yang menyimpang dari ajaran Islam seperti bernazar, tawaf, menyembelih, meminta tolong dan lain-lain lagi. Apabila mereka ditimpa musibah, maka mereka akan menjerit-jerit menangis sambail meminta tolong di atas kubur. Di Jubailah, masyarakat di situ berulang alik ke kubur Yazid Al Khattab untuk meminta hajat, manakala di Mantahah pula masyarakat di situ bertawasul dengan ‘Pokok Tamar Jantan’ untuk memohon jodoh perkahwinan. Maka, beliau bangkit dengan dakwah yang disampaikan bertujuan untuk menentang perkara bid'ah ini dengan mengajak mereka kembali ke pangkuan Allah dan percaya kepada Al Quran dan As Sunnah s.a.w. Usaha dakwah beliau mengajak masyarakat supaya mengesakan Allah dalam pengabdian hidup dan berjuang untuk menghapuskan khurafat, syirik, bid'ah dan kesesatan.

            Syeikh Muhammad Abdul Wahab banyak mengarang kitab bagi menegakkan ajaran Al Quran dan As Sunnah s.a.w. di samping menjelaskan matlamat dakwah beliau. Di antara kitab-kitab tersebut ialah Kitab At Tauhid, Kasyfu Asy Syubhat, Thulatha Al Usul, Mukhtasar As Sirah An Nabawiyah, Al Qawaid Al Arba’, Usul Al Iman, Kitab Mufid Al Mustafid Fi Kufri Tariq At Tauhid, Syurut As Solah Wa Arkaanuha, Kitab Fadl Al Islam, Majmu’ Rasail Fi At Tauhid Wal Iman Wa Masail Al Jahiliyyah, Kitab At Thoharah, Mukhtasar Al Insof Fi Ma’rifah Ar Rajih Minal Khilaf, Nasihah Al Muslimin Bi Ahaadith Khatimal Mursalin, Kitab Al Kabair, Mukhtasar Zaadul Ma’ad, Kitab Fadhailul Quran, Istinbath Min Al Quran, Al Huda An Nabawi,  Majmu’ As Sawaiq, Majmu’ Al Hadith ‘Ala Abwab Al Fiqh,  Ahadith Al Fitan, Mukhtasar Al Bukhari, Ar Rasail Asy Syakhsyiyah, Ikhtisar As Syarh Al Kabir dan Masail Al Jahiliyah dan lain-lain lagi.

            Di samping itu terdapat ramai murid-murid yang muncul sebagai tenaga penggerak Dakwah Salafiyah di merata-rata tempat. Kebanyakan mereka telah menjadi qadhi atau mufti di seluruh pelusuk Tanah Arab. Di antara mereka itu ialah Syeikh Abdul Aziz Ibn Abdullah Al Husain Al Naasiri, Syeikh Sa’id Ibn Huja’ei, Syeikh Abdur Rahman Ibn Naami, Syeikh Hamid Ibn Nasir Ibn Usman Ibn Ma’mar, Syeikh Ahmad Ibn Rasyid Al Uraini, Syeikh Abdul Aziz Abu Hasan, Syeikh Abdul Aziz Ibn Suwailim dan Syeikh Hasan Ibn Aidan dan lain lain lagi.

            Dalam fatrah kehidupan dan perjuangannya, pelbagai fitnah dan tuduhan yang dilemparkan kepada beliau, di antaranya ialah mereka mendakwa bahawa beliau dan pengikut-pengikutnya menghina Nabi s.a.w. Di antara tokoh ulama yang terpedaya dengan api fitnah tersebut ialah Syeikh Alwi Al Haddad dalam kitabnya Misbah Al An’am menyatakan: “Syeikh Muhammad Abdul Wahab dan para pengikutnya telah menyatakan bahawa tongkat di tangan saya adalah lebih baik daripada Muhammad kerana ianya dapat membunuh ular dan seumpamanya, sedangkan Nabi s.a.w. mati dan tidak terdapat manfaat sekali padanya”. Manakala Syed Ahmad Zaini Dahlan pula berkata: “Para pengikut Syeikh Muhammad Abdul Wahab telah melarang daripada berselawat ke atas Nabi s.a.w. selepas azan di atas menara, apabila mu’azzin yang buta berselawat kepada baginda s.a.w. selepas azan, lalu dia dibawa kepada syeikh dan dibunuh mu’azzin itu, tidak akan wujud melainkan pada orang-orang mulhid, Yahudi dan Nasrani”. Ini di antara tuduhan-tuduhan palsu yang dilemparkan kepada Syeikh Muhammad Abdul Wahab yang terpedaya dengan fitnah jalanan.

            Sebenarnya, Syeikh Muhammad Abdul Wahab merupakan seorang mujadid Islam pada zaman tersebut, beliau merupakan seorang tokoh agama yang berani bangkit dan bangun menentang aktiviti kemasyarakatan yang tidak sihat seperti khurafat, syirik, bid'ah dan kesesatan. Beliau berdakwah untuk mengajak masyarakat kembali ke pangkuan Allah dan percaya kepada Al Quran dan As Sunnah s.a.w. Dengan sebab dakwah dan pembaharuan yang dibawa, beliau difitnah dan dituduh dengan pelbagai tuduhan oleh mereka yang mempunyai kepentingan diri dengan pemerintah ketika itu. Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab meninggal dunia pada tahun 1206H, semoga Allah memberkati perjuangan hidup beliau dan mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Sekian, wassalam

No comments:

Post a Comment