PENGENALAN
Persoalan
mengenai hukum Talfiq (mengamalkan pendapat pelbagai mazhab dan tidak
terikat dengan satu mazhab sahaja) tidak pernah dikenali pada zaman Rasulullah
s.a.w. Malah, tidak juga pada zaman sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in dan juga
pada zaman imam-imam mujtahid. Ia hanya timbul pada kurun ke-10 Hijrah sewaktu
gejala taksub mazhab amat ketara di kalangan kaum muslimin sehingga kebanyakan
ulama’ pada waktu itu mensyaratkan pada waktu itu agar tidak melakukan Talfiq.
PENGERTIAN TALFIQ DARI
SEGI BAHASA
Talfiq dalam
bahasa Arab merupakan kata masdar (kata nama terbitan) daripada fi’il (kata
kerja)laffaqa yang bermaksud mencantumkan. Contohnya, mencantumkan dua
bahagian kain untuk dijadikan pakain. Talfiq mempunyai makna yang
lebih umum dan tidak terhad kepada pakaian sahaja. Malah ia membawa maksud
mencantumkan apa sahaja.
PENGERTIAN TALFIQ DARI
SEGI ISTILAH
Dalam
konteks perbincangan Ilmu Fiqh dan Usul al-Fiqh, istilah Talfiq dilihat
tidak lari daripada konsep asalnya, iaitu penggabungan dua unsur atau lebih.
PENGERTIAN TALFIQ DALAM
ILMU FIQH
Di
dalam bab haid, Talfiq bererti menggabungkan antara hari haid dan
hari suci untuk dikira sebagai tempoh haid. Jika berlaku selang-seli antara
hari yang didatangi haid dan hari suci dalam tempoh minimum untuk haid seorang
wanita. Contohnya, seorang wanita didatangi haid pada hari pertama. Pada hari
kedua pula haidnya terhenti dan datang semula pada hari ketiga. Dalam kes ini,
wanita itu dikira telah didatangi haid selama tiga hari. Ini bermakna hari
kedua dicampurkan dengan hari pertama dan ketiga dan dikira sebagai hari haid walaupun
pada hari itu dia telah terputus haid. Konsep menggabungkan hari kedua yang
suci ini dengan hari pertama dan ketiga yang disebut sebagaiTalfiq dalam
bab haid.
Manakala di dalam bab solat Jumaat pula, Talfiq bererti menggabungkan
rakaat pertama yang tertinggal oleh makmum yang masbuk dengan rakaat
yang lain secara sendirian untuk dikira solatnya sebagai solat jumaat.[2]
Rakaat pertama dinamakan sebagai rakaat mulaffaqah ataupun rakaat
yang ditalfiqkan.
Di dalam bab Solat Qasar pula, Talfiq bermaksud menggabungkan antara
dua jarak safar (perjalanan) bagi sesiapa yang bermusafir di lautan dan di
daratan. Contohnya, seseorang itu telah bermusafir di daratan dalam jarak yang
belum mencukupi untuknya melakukan qasar, kemudian beliau menyambung
perjalanannya di laut. Jika digabungkan antara dua jarak perjalanan itu,
barulah cukup baginya untuk melakukan qasar. Perbuatan menggabungkan antara dua
jarak perjalanan itu dikira sebagai Talfiq dalam bab solat.
Konsep Talfiq dalam Ilmu Fiqh juga sering diistilahkan oleh para
fuqaha dengan istilah taqdir.
PENGERTIAN TALFIQ DALAM
ILMU USUL AL-FIQH
Talfiq dalam
ilmu Usul al-Fiqh diistilahkan mengikut bahagian-bahagiannya seperti
berikut:
Pertama:Ia didefinasikan sebagai melakukan sesuatu yang tidak
pernah dilakukan oleh para mujtahid jika ia merupakan perlakuan menggabungkan
antara pendapat dari pelbagai mazhab dalam sesuatu perkara.
Kedua: Talfiq juga membawa erti menggabungkan dua
mazhab atau lebih dalam sesuatu masalah. Contohnya orang yang berwuduk membasuh
sedikit kepalanya berdasarkan Mazhab Syafi’e. Kemudian, menyapu sahaja kakinya,
tanpa membasuhnya mengikut sesetengah ulama’. Kemudian menyentuh perempuan
ajnabi tetapi wuduknya tidak batal dengan mengambil Mazhab Abu Hanifah.
Penggabungan ini juga dinamakan sebagai hukum murakkabah.
Ketiga: Talfiq juga difahami oleh sesetengah golongan
sebagai ketidakterikatan seseorang muslim itu dengan sesuatu mazhab. Bahkan
mengamalkan pendapat pelbagai mazhab dalam pelbagai perkara. Contohnya bersolat
dengan Mazhab Hanafi, berpuasa menurut Mazhab Maliki, bermuamalat dengan Mazhab
Syafi’e dan sebagainya. Perbuatan seperti ini juga digelar sebagai takhayyur
yang bermaksud memilih mazhab.
PENGERTIAN MAZHAB
Mazhab dari
segi bahasa bermaksud :( الطريق الذي
يذهب فيه)“Jalan
yang diselusuri untuk pergi ataupun yang dilalui”. Ianya juga digunakan untuk
segala perkara yang manusia pergi ke arahnya, samada perkara itu
berbentuk hissi (material) mahupun maknawi. Dalam Lisan
al-Arab, mazhab juga dikenali sebagai tempat yang dituju untuk
berwuduk dan juga iktikad yang dipegang oleh seseorang. Walau bagaimanapun,
penggunaan mazhab seringkali digunakan untuk menunjukkan jalan dan
cara yang diselusuri oleh seseorang atau sesuatu kumpulan, samada dalam bidang
akidah ataupun hukum-hakam dan lain-lain lagi. Jalan atau cara tersebut juga
tidak dinamakan sebagai mazhab yang dinisbahkan kepada seseorang
kecuali jika ia khusus untuk orang itu dan tidak dilakukan untuk orang lain.
Namun begitu, cara makan, minum dan tidur yang dimiliki khusus oleh seseorang
itu tidak pula dinamakan sebagai mazhab kerana istilah mazhab yang
digunakan oleh para ilmuan ialah sesuatu kaedah yang terhasil daripada usaha penelitian
dan pengkajian yang akhirnya digunakan oleh pengkaji atau pemiliknya untuk
menyusuri disiplin ilmu tertentu.
Di
dalam al-Mu’jam al-Wasiit, mazhab juga digunakan dalam bahasa
Arab sebagai “sekumpulan pandangan dan pendapat ilmiah dan falsafah yang
berkaitan antara satu sama lain sehingga menjadikannya sebagai perkara yang
bersangkutan antara satu sama lain ataupun yang berpaksikan pada satu kaedah”.
Berdasarkan definisi ini, perkataan mazhab boleh disimpulkan sebagai gugusan pandangan
dan pendapat yang berpaksikan kaedah yang sama dalam memahami sesuatu perkara
dan ilmu yang khusus kepada individu ataupun kumpulan tertentu. Sebagai
contohnya, mazhab ilmu kalam adalah kaedah yang khusus digunakan oleh ahli
kalam dalam memahami ilmu akidah yang akhirnya menghasilkan pendapat mereka
dalam persoalan akidah. Mazhab-mazhab feqah pula ialah kaedah khusus yang
digunakan oleh para fuqaha’ (ulama’ feqah) dalam memahami al-Quran dan
al-Sunnah untuk mengeluarkan hukum-hukum syari’at. Ini bermaksud, mazhab mereka
hanya khusus kepada ilmu yang berkaitan dengan hukum-hakam yang telah terhasil.
Ia juga dikenali sebagai ilmu fiqh dan bukannya ilmu lain seperti usul
al-Fiqh dan akidah.
Sekian,
wassalam.
minta teks ni sebagai rujukan
ReplyDelete