PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Tuesday 1 May 2012

ULAMA DALAM BIDANG ILMU FIQH


Di bawah ini kami nyatakan beberapa orang tokoh-tokoh ulama yang terkenal dalam bidang fiqh Islam dan mempunyai pengaruh yang besar sehingga idea dan pemikiran mereka berjaya menguasai umat Islam di seluruh dunia. Pandangan dan buah fikiran mereka telah mengubah suasana kehidupan serta menjadi pegangan hidup dalam aliran mazhab di seluruh pelusuk dunia. Di samping mazhab-mazhab yang empat, iaitu; Mazhab Maliki, Mazhab Hanafi, Mazhab Syafi’ei dan Mazhab Hanbali, di sana terdapat mazhab-mazhab lainnya yang termasuk dalam mazhab kecil yang tidak mempunyai para pengikut yang ramai, seperti Mazhab Ath Thauri, An Nakha’ei, At Tabari, Al Auza’ei dan Az Zahiri, kami hanya menyatakan mazhab-mazhab yang empat sahaja.

1. Imam Malik Bin Anas (93-179H/172-258M)
Beliau ialah Malik bin Anas bin Malik bin Abu Amar Al Ashbahi Al Madani, dilahirkan di Madinah pada tahun 93H, beliau berasal daripada keturunan Arab yang sangat dihormati dan beliau juga adalah pengasas dalam Mazhab Maliki, merupakan seorang ulama besar yang menetap di Madinah dan mempunyai pengaruh yang besar terhadap dunia Islam. Dinisbahkan kepada beliau Al Ashbahi, kerana nenek moyang beliau berasal dari sebuah kabilah bangsa arab bernama Ashbah dan berhijrah dari Yaman menetap di Madinah. Manakala dinisbahkan pula dengan Al Madani, kerana beliau lahir di Madinah. Beliau adalah anak dari salah seorang ulama besar tabi’ein bernama Anas bin Malik. Ibu beliau bernama ‘Aliyah binti Syariek Al Adziyyah. Beliau merupakan seorang hartawan dan dermawan dan menggunakan hartanya untuk menolong golongan yang susah, beliau adalah seorang ulama yang warak, taat dan patuh kepada Allah serta kuat beribadat terutama sekali pada waktu malam.

Sejak kecil beliau menghafaz Al Quran dan hadith, dan beliau mempunyai kecerdasan akal fikiran yang luar biasa sehingga dapat mengingati semua hadith yang disampaikan oleh gurunya setelah mendengarnya secara lisan. Beliau pernah belajar daripada 900 orang guru dan sebahagian daripadanya terdiri dalam kalangan ulama tabi’ein ketika Kota Madinah menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan. Di antara tokoh-tokoh ulama besar yang pernah beliau menuntut ilmu dengan mereka ialah Nafi’ bin Abi Nuaim, Ibn Syihab Al Zuhri, Abu Zinad, Hasyim bin Urwa, Yahya bin Said Al Anshari, Muhammad bin Munkadir, Abdul Rahman bin Hurmuz dan Abdullah bin Dinar. Beliau pernah berguru dengan ulama sufi, iaitu Imam Musa Kadzim, Maaruf Al Khurki dan Imam Ja’afar As Shodiq. Berkat kerajinan dan usaha gigih beliau dalam menuntut ilmu pengetahuan, akhirnya Imam Malik muncul sebagai ulama fiqh yang terbesar dan unggul di seluruh Madinah. Menurut satu riwayat, Imam Malik telah menghabiskan umurnya selama 40 tahun untuk menghimpunkan dan menapis hadith-hadith yang diterima daripada gurunya. Imam Malik telah menghafaz sebanyak 100,000 buah hadith. Walau bagaimanapun tidak semua hadith-hadith tersebut diterima untuk dijadikan sumber hukum. Maka, setelah ditapis hanya 10,000 buah hadith sahaja yang boleh diguna-pakai, manakala daripada 10,000 buah hadith yang telah dikenAl pasti dan dipadankan dengan Al Quran dan hanya 5,000 buah hadith sahaja yang benar-benar diterima sebagai hadith dari Nabi s.a.w. yang sahih dan dimuatkan dalam kitabnya Al Muwatta’ yang merupakan kitab yang agung menjadi bahan rujukan sehingga ke hari ini. Selain dari Al Muwatta', Imam Malik juga menyusun kitab Al Mudawwanah Al Kubra, yang berisi fatwa-fatwa dan jawaban Imam Malik mengenai pelbagai persoalan, Risalah Fi Al Qadar yang dikirimkan kepada Abdullah bin Wahb, An Nujum Wa Manazil Al Qamar, Risalah Fi Al Aqdhiyah, Kitab As Sir, Risalah Ila Laits Fi ljma Ahlil Madinah dan lain-lain. Beliau adalah seorang ulama Islam yang sangat berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu hukum dan fatwa, beliau merujuk kepada Al Quran dan hadith sebagai sumber asas, kemudian beliau merujuk kepada ijmak, qiyas dan al maslahah al mursalah serta sumber yang diambil dari penduduk Madinah. Menurut satu riwayat, dinyatakan bahawa murid Imam Malik yang terkenal mencapai 1,300 orang termasuk Imam Abu Hanifah dan Imam Syafi’ei. Di antara mereka yang sangat terkenal adalah Ishaq bin Abdullah bin Abu Thalhah, Ayyub bin Abu Tamimah As Sakhtiyani, Ayyub bin Habiib Al Juhani, Ibrahim bin ‘Uqbah, Isma’il bin Abi Hakim, Ibnl Mubarak, Al Qoththon, Ibn Mahdi, Ibn Wahb, Ibn Qosim, Al Qa’nabi, Abdullah bin Yusuf, Sa’id bin Manshur, Yahya bin Yahya al Andalusi, Yahya bin Bakir, Qutaibah Abu Mush’ab, Al Auza’i, Sufyan Ats Tsaury, Sufyan bin Uyainah dan Ismail Ibn Muhammad bin Sa’ad.

Di antara tokoh-tokoh ulama yang membawa aliran pemikiran beliau ialah Ibn Rusyd yang mengarang kitab Al Mudawwanah Al Kubra dan Bidayatul Mujtahid Wa Nihaayatul Muqtashid, Abu Muhammad Abdullah bin Zaid yang mengarang kitab Matan Ar Risalah Fi Al Fiqh Al Maliki, Shihabuddin Al Baghdadi yang mengarang kitab Aslu Al Madarik Syarh Irsyad Al Masalik Fi Fiqh Al Imam Malik dan Syeikh Ahmad as Sawi yang mengarang kitab Bulghah As Salik Li Aqrab Al Masalik.

Ketika Imam Malik beusia 54 tahun, beliau menjawat jawatan sebagai mufti di Madinah semasa pemerintahan Islam berada di bawah Khalifah Al Mansur yang berpusat di Baghdad. Ketika itu di Madinah dipimpin oleh seorang gabenor bernama Jaafar bin Sulaiman Al Hasymi. Imam Malik pernah mengeluarkan fatwa bahawa talak secara paksa oleh seseorang suami ke atas isteri tidak jatuh dan fatwa ini bertentangan dengan kehendak gabenor. Beliau memberi amaran keras kepada Imam Malik supaya menarik semula fatwa tersebut, tetapi Imam Malik enggan berbuat demikian. Akibatnya, beliau dihukum, didera dan diikat dengan tali dan dinaikkan ke atas punggung unta, lalu dibawa mengelilingi Kota Madinah supaya Imam Malik merasa malu dan menarik balik fatwanya. Namun, Imam Malik tetap dengan pendiriannya, kerana ketegasannya itu beliau dihukum dengan sebat sebanyak 70 kali menyebabkan tulang belakangnya hampir patah. Beliau telah meninggal dunia pada pagi hari Ahad bulan Rabi`ul Awal tahun 179H/ 789M ketika berusia 89 tahun dan jenazahnya ditanam di perkuburan Baqi, Madinah. Beliau meninggalkan tiga orang putera dan seorang puteri. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, amin ya Rabb.

2. Imam Abu Hanifah (80-150H/699-767M)
Beliau ialah Nu’man bin Thabit bin Zufi’at At Tamimi merupakan pengasas dalam Mazhab Hanafi. Beliau dilahirkan pada tahun 80H/699M di Kufah. Dalam empat mazhab yang terkenal, hanya Imam Hanafi sahaja yang bukan dari bangsa arab, beliau adalah dari keturunan Parsi. Pendirian beliau sama dengan pendirian imam yang lain, iaitu sama-sama menegakkan Al Quran dan sunnah Nabi s.a.w. Menurut ahli sejarah, kemasyhuran nama beliau ada beberapa sebab kerana beliau mempunyai seorang anak lelaki bernama Hanifah, maka dengan sebab itu beliau diberi nama Abu Hanifah. Di katakan juga kerana sejak kecil lagi beliau sangat rajin dan menghayati setiap apa yang dipelajarinya, maka beliau dianggap seorang yang hanif, iaitu kecenderungan kepada agama, sebab itu beliau masyhur dengan gelaran Abu Hanifah. Dalam Bahasa Parsi, Hanifah bererti tinta dan Imam Hanafi sangat rajin menulis hadith-hadith, ke mana saja beliau pergi sentiasa membawa tinta, maka dengan sebab itu beliau dinamakan Abu Hanifah.

Beliau dilahirkan pada zaman pemerintahan Islam berada di bawah Khalifah Abdul Malik bin Marwan, dari pemerintahan Bani Umaiyah yang kelima. Kebijaksanaan Imam Hanafi tidak dapat diragukan lagi, beliau adalah seorang yang alim dalam ilmu fiqh, ilmu kalam dan ilmu hadith, di samping beliau juga bijak dalam ilmu kesusasteraan dan hikmah. Sejak dari kanak-kanak lagi beliau telah menghafal Al Quran dan kemudian mendalami ilmu pengetahuan tentang Al Quran dengan Imam Abu A’sim yang merupakan seorang ulama yang terkenal ketika itu. Beliau mempelajari ilmu fiqh dengan seorang ulama yang terkenal iaitu Humad Ibn Abu Sulaiman tidak kurang dari 18 tahun dan mempelajari ilmu hadith dari sahabat-sahabat Nabi s.a.w. seperti dari Anas Ibn Malik, Abdullah Ibn Aufa, Abu Tufail Ibn Amir dan lain-lain lagi. Selepas kematian gurunya, beliau pergi ke Mekah dan berguru dengan salah seorang murid Abdullah Ibn Abbas r.a. Imam Abu Hanifah terkenal sebagai seorang yang sangat alim dalam ilmu pengetahuan, terutama dalam ilmu fiqh, seorang ahli zuhud, tawadduk dan sangat pemurah. Beliau pernah berguru dengan ulama sufi bernama Imam Ja’afar As Shodiq.

Imam Abu Hanifah sebenarnya seorang peniaga kain dan seorang usahawan yang aktif, gabungan pemikiran usahawan dengan ilmu pengetahuan menghasilkan suatu pemikiran yang produktif. Beliau menggunakan Al Quran dan As Sunnah sebagai asas dalam konsep pemikiran ijtihad, di samping menggunakan kaedah qiyas dan istihsan. Namun, aliran pemikiran beliau tertumpu kepada ra’yu di mana beliau terkenal sebagai Ahlu Ar Ra`yu (ahli fikir) yang disifatkan sebagai ‘akal dalam ilmu pengetahuan’. Di antara kitab karangan beliau ialah Al Musu’un, Al Makha’rij dan Fiqh Akhbar. Beliau mempunyai empat orang murid yang masyhur yang mendokong aliran pemikiran beliau iaitu: Abu Yusuf, Zufar bin Al Hudhay bin Qays, Muhammad bin Al Hassan bin Farqad As Syaybani dan Al Hassan bin Ziyad Al Lu'lu'i.

Beliau tidak tertarik kepada apa-apa bentuk jawatan rasmi kerajaan ketika itu dan dengan sebab itu beliau pernah menolak jawatan hakim yang ditawarkan oleh Khalifah Al Mansur. Diriwayatkan, dengan sebab beliau menolak jawatan tersebut, beliau kemudiannya dimasukkan ke dalam penjara selama beberapa tahun dan dikenakan hukuman sebat. Imam Hanafi menolak semua tawaran yang diberikan oleh pihak kerajaan Umaiyah dan Abbasiyah adalah kerana beliau tidak setuju dengan corak pemerintahan ketika itu. Oleh sebab itu, pihak kerajaan berusaha mengajak Imam Hanafi untuk bekerjasama mengikut gerak langkah mereka, tetapi beliau enggan dan menolak semua tawaran yang diberikan. Tidak lama selepas itu, Imam Hanafi dipanggil oleh baginda untuk mengadap, lalu diberinya segelas air yang berisi racun dan memaksa beliau meminumnya. Setelah diminum air yang beracun itu Imam Hanafi kembali dimasukkan ke dalam penjara. Imam Hanafi wafat dalam keadaan menderita di penjara ketika berusia 70 tahun pada 150H/767M dan dimakamkan diperkuburan Khizra. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, amin ya Rabb.

3. Imam Asy Syafi’ei (150-240H/717-820M)
Beliau ialah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Uthman bin Syafi’ei bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf, beliau bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad s.a.w. pada sebelah datuk baginda yang ketiga iaitu Abdul Manaf. Beliau dilahirkan di Ghazzah, daerah Palestin pada bulan Rejab 150H/767M. Beliau adalah pengasas dalam Mazhab Asy Syafi’ei. Sebelum beliau dilahirkan, ibunya bermimpi melihat sebutir bintang keluar dari perutnya lalu naik ke langit, kemudian bintang itu pecah jatuh bertaburan ke bumi menyebabkan cahayanya menerangi seluruh alam. Bapanya meninggal dunia semasa beliau masih dalam kandungan, semasa berumur dua tahun Imam Asy Syafi’ei dibawa oleh ibunya pergi Kota Makah. Imam Asy Syafi’ei  menghafal Al Quran sewaktu berumur 9 tahun dan menghafal Kitab Al Muwatha’ yang ditulis oleh Imam Malik ketika berumur 10 tahun, mula belajar di sisi Imam Malik ketika umurnya 13 tahun. Beliau mempunyai kecerdikan dan daya ingatan yang sangat luar biasa, sehingga dibenarkan memberikan fatwa sendiri oleh gurunya sewaktu berusia 15 tahun sewaktu mengajar di Masjidil Haram. Apabila ibunya membawa Imam Asy Syafi’ei untuk berguru dengan Imam Ismail Kustantani, seorang guru ilmu Al Quran yang terkenal waktu itu, Imam Ismail pada mulanya menolak kerana Imam Asy Syafi’ei  baru berusia 9 tahun sedangkan dia hanya menerima orang menjadi muridnya setelah berumur 12 tahun. Tetapi, setelah dia menguji hafalan dan ingatan Imam Asy Syafi’ei tentang Al Quraan, beliau amat tertarik dengan daya ingatannya dan terus mengambil Imam Asy Syafi’ei menjadi muridnya. Apabila Imam Ismail ada urusan lain, Imam Asy Syafi’ei pula disuruh menggantikan tempatnya mengajar di situ. Imam Asy Syafi’ei  juga amat meminati syair dan puisi, beliau pernah berguru dengan Mas’ab bin Zubair seorang penyair terkenal dan dalam masa 3 bulan sahaja beliau mampu menghafal 10,000 rangkap syair kaum Bani Huzail. Suatu ketika, beliau pernah memasuki pertandingan syair atas desakan kawan-kawannya dan mengalahkan gurunya Al Mas'ab. Imam Asy Syafi’ei  berguru pula dengan Imam Sufian Ainiah dalam ilmu hadith sehingga menjadi pakar dalam bidang hadith dan diberi kepercayaan oleh gurunya untuk mengajar menggantikannya sewaktu ketiadaannya. Selepas itu Imam Asy Syafi’ei berguru pula dengan Imam Muslim Al Zanji dalam bidang fiqh, akhirnya dia diakui oleh gurunya dan dibenarkan mengajar serta memberikan fatwa pula. Imam Asy Syafi’ei juga pernah belajar ilmu peperangan dan bermain senjata dengan gurunya iaitu Amiruddin, seorang bekas tentera, selepas itu beliau terkenal sebagai seorang pemanah yang handal. Imam Asy Syafi’ei pernah mengembara ke Madinah yang mengambil masa selama lapan hari dengan menaiki unta, dalam perjalanan beliau sempat mengkhatamkan Al Quran sebanyak 16 kali. Selepas itu Imam Asy Syafi’ei merantau pula ke Iraq untuk belajar dengan anak murid Imam Hanafi iaitu Imam Muhamad Al Hassan dan Imam Abu Yusof. Beliau telah menghafal Kitab Al Awsat karangan Imam Hanafi dalam masa tiga hari sahaja dan perkara ini telah mengejutkan kedua orang gurunya, kerana biasanya murid-murid mereka yang lain mengambil masa paling kurang satu tahun untuk menghafalnya. Imam Asy Syafi’ei  pernah berguru dengan ulama sufi yang bernama Syuhbban Ar Raie dan Abu Hamzah As Sufi.

Imam Asy Syafi’ei juga belajar ilmu firasat dengan Maulana Arif di Yaman, semasa di Yaman beliau berkahwin dengan wanita bernama Hamidah dari keturunan Khalifah Uthman Bin Affan dan dikurniakan tiga orang anak. Semasa di Najran, Imam Asy Syafi’ei telah difitnah oleh Gabenor As Saud kononnya Imam Asy Syafi’ei menghasut rakyat untuk menjatuhkan Kerajaan Abbasiyah yang diperintah oleh Khalifah Harun Ar Rashid. Akibat dari fitnah itu, Imam Asy Syafi’ei dan beberapa orang muridnya telah ditangkap, tangan dan kaki mereka dirantai dan mereka semua dipaksa berjalan kaki dari Najran ke Kota Kufah. Walau bagaimanapun dengan izin Allah, Imam Asy Syafi’ei terlepas dari hukuman oleh Khalifah dan orang yang memfitnah mendapat hukuman yang setimpal.

Dalam Mazhab Syafi’ei terdapat dua aliran mazhab, iaitu Mazhab Qadim yang merupakan pengikut pendapat Imam Asy Syafi’ei semasa beliau berada di Baghdad dan Mazhab Jadid yang merupakan pengikut beliau semasa berada di Mesir. Di antara murid Imam Asy Syafi’ei yang terkenal dalam Mazhab Qadim ialah Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Tsur, Az Za'farani dan Al Karabisi, manakala murid beliau dalam Mazhab Jadid ialah Al Muzani, Al Buwaiti, Ar Rabi' Al Muradi yang digelar sebagai ‘Rawiyat Al Mazhab’ atau perawi mazhab. Mereka ini kesemuanya meninggal dunia pada kurun ketiga hijrah. Selepas itu menyusul pula generasi ulama lain yang mendokong aliran pemikiran Mazhab Imam Asy Syafi’ei, di antaranya ialah Imam Ibn Suraij dan Al Qaffal Al Kabir pada kurun keempat, kemudian Imam Al Mawardi, Abu Ishaq As Syirazi, Abu Muhammad Al Juwaini dan anaknya Imam Al Haramain serta Imam Al Baihaqi pada kurun kelima seterusnya Hujatul Islam Imam Ghazali, As Syasyi dan Al Baghawi pada kurun keenam, selepas itu muncul Imam An Nawawi dan Ar Rafi'ei yang digelar sebagai Syeikhul Mazhab, juga Ibn Daqiq Al 'Aid pada kurun ketujuh, Attaqi As Subki dan anaknya Attaj, Ibn Jama'ah dan Al Hisni pada kurun kelapan, Al Hafiz Ibn Hajar Al Asqalani dan Ibn Al Muqri pada kurun kesembilan. As Sakhawi, As Syihab Ar Ramli dan anaknya As Syams, Ibn Hajar Al Haitami, As Sayuthi dan Syeikh Zakaria Al Ansari pada kurun kesepuluh, As Syaribini, Al Qalyubi, Al Baijuri, Ibn Qasim, As Syabramallisi, Al Kurdi, As Saqqaf, Syatha, Al Malibari, Bafadhl, Al Masyhur, Al Jardani, Al Bujairimi Ali Khatib, Ba'isyn dan ramai lagi para fuqaha pada kurun-kurun yang terkemudian. 

Dasar dan kaedah dalam mazhabnya, Imam Asy Syafi’ei menggunakan Al Quran dan As Sunnah sebagai batu asas dalam mengeluarkan sesuatu hukum, di samping ijma’ dan qiyas sebagai kaedah yang seterusnya. Beliau juga tidak mengambil Istihsan sebagai dasar dalam mazhabnya dan menolak maslahah mursalah serta amalan penduduk Madinah. Imam Asy Syafi’ei pernah berkata: ”Jika ada sebuah hadith sahih bertentangan dengan perkataan ku, maka hadith yang sahih itu adalah mazhab ku, buanglah perkataanku di belakang tembok[1].” Di antara kitab Imam Asy Syafi’ei yang terkenal ialah Ar Risalah yang merupakan kitab pertama dalam ilmu usul fiqh yang ditulis secara tersusun, seterusnya kitab Al Umm, Kitab Al Imla Al Shaghir, Kitab Al Imla Al Kabir, Kitab Mukhtasar Al Muzni dan Kitab Mukhatsar Al Buwaithi yang dicetak dalam kitab Al Umm pada jilid yang akhir. Pada tahun 198 Hijrah, Imam Asy Syafi’ei telah berhijrah ke Mesir dan menetap di sana sehinggalah wafatnya, beliau mengajar di Masjid Amru Ibn Ash r.a. dalam pelbagai ilmu pengetahuan sehingga pada tahun 204H/ 820M beliau mengalami sakit buasir dan melemahkan tubuh badannya. Beliau meninggal dunia pada malam jumaat 28 Rejab 204H/820M di pangkuan muridnya Rabi’ei Ibn Sulaiman Al Jizi, di rumah Abdullah bin Hakam ketika berumur 54 tahun. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Az Zaharah di Mesir. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, amin ya Rabb.

4. Imam Ahmad Ibn Hanbal (164-241H/780-855M)
Beliau ialah Abu Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal As Syaibani dan beliau juga adalah satu keturunan dengan Nabi Muhammad s.a.w. iaitu pada sebelah neneknya yang bernama Nazar bin Maad bin Adnan. Beliau dilahirkan di Baghdad pada bulan Rabiul Awal tahun 164H dan beliau adalah pengasas dalam Mazhab Hanbali. Semasa hidupnya, beliau merupakan seorang ahli sunnah yang terbesar, soleh dan sangat zuhud. Setengah ulama menganggap beliau adalah mujaddid pada abad ketiga Hijrah. Imam Ahmad bin Hanbal menghafal Al Quran sejak kecil dan pada umurnya 16 tahun beliau sudah menjadi penghafal hadith yang terkenal. Beliau meneruskan pengajian hadithnya dengan ramai guru dan pada penghujung hayatnya beliau telah menghafal lebih daripada sejuta hadith termasuk sanad perawinya. Pada tahun189H/ 805M Imam Ahmad bin Hanbal berhijrah ke Basrah, tidak lama kemudian ke Mekah dan ke Madinah untuk menuntut ilmu. Di sana beliau sempat duduk berguru dengan Imam Asy Syafi’ie. Di antara guru-gurunya yang masyhur ialah Abu Yusuf, Husseain Ibn Abi Hazim Al Washithi, Umar Ibn Abdullah Ibn Khalid, Abdul Rahman Ibn Mahdi dan Abu Bakar Ibn Iyasy. Pada tahun 198H Imam Ahmad bin Hanbal ke negeri Yaman pula untuk berguru dengan Abdul Razzaq Ibn Humam, seorang ahli hadith yang besar ketika itu, terkenal dengan kitabnya yang berjudul Al Musannaf. Dalam perjalanannya ini Imam Ahmad mula menulis hadith-hadith yang dihafalnya setelah sekian lama. Imam Ahmad bin Hanbal kembali semula ke Baghdad dan mula mengajar. Kehebatannya sebagai seorang ahli hadith dan pakar fiqh menarik perhatian orang ramai dan mereka mula berkumpul dan bertalaqqi dengannya untuk belajar bersama. Antara anak muridnya yang kemudian berjaya menjadi tokoh hadith terkenal ialah Imam Al Bukhari, Muslim dan Abu Daud. Imam Ahmad bin Hanbal tidak mengambil masoleh al mursalah sebagai kaedah pengeluaran sesuatu hukum kerana menurut beliau kebanyakan permasalahan yang berlaku terdapat dalam Al Quran, hadith dan juga qiyas. Walaupun bagaimanapun, beliau masih menggunakan kaedah ini sebagai kaedah mengistinbat hukum dengan mengambil maksud masoleh al mursalah dalam penggunaan qiyas. Apabila timbul masalah baru, beliau akan mencari titik persamaan dan membuat perbandingan antara masalah tersebut dengan masalah lama yang sedia ada, kemudian memutuskan hukumnya sebagai jalan penyelesaian. Penyelesaian tersebut kebiasaannya akan membawa kebaikan dan menolak kemudaratan kepada manusia.

Imam Ahmad pernah berguru dengan ulama sufi yang bernama Abu Hamzah As Sufi dan Bisyru Al Hafi. Imam Asy Syafi’ie adalah salah seorang guru beliau, mereka bertemu semasa berada di Mekah sewaktu menunaikan ibadat haji, ketika itu Imam Asy Syafi’ie mengajar di Masjidil Haram. Mereka kemudian bertemu kali kedua di Baghdad dan Imam Asy Syafi’ei pernah menasihati beliau supaya mengikutnya ke Mesir, tetapi niatnya tidak kesampaian. Menurut Az-Zahabiy, bilangan guru Imam Ahmad yang dia meriwayatkan daripada mereka dalam Al Musnad ialah lebih 280 orang, di antara guru-guru beliau yang masyhur ialah Al Qadhi Abu Yusuf , Hasyim bin Basyir, Mu`tamir bin Sulayman At Taymi, Abu Muhammad Al Basri, Jarir bin `Abdul Hamid bin Qurt, Muhammad bin Ja`far bin Ghundar Abu `Abdillah Al Basri Al Hazli, Waki` bin Al Jarrah Ibn Malih Ar Ru’asi Abu Sufyan Al Kufi, Sufyan bin `Uyaynah Ibn Maymun Al Hilali Al Kufi Abu Muhammad, Abdul Rahman bin Mahdi Ibn Hassan Al`Anbari Al Basri Al Lu’lu’iy dan lain-lain lagi.

Di antara kitab-kitab yang ditulis oleh Imam Ahmad  Kitab Al Irja’, As’ilatu `Ani, Ar Ruwati As Siqati Wadh Dhu`afa’, Al Asma’ Al Kuna, Al Asyribatu As Saghir, Al Asyribat Al Kabir, Kitab Al Imamah, Ahl A Milalu Wa Ar Riddah Wa Az Zanadiqah Al Watariq As Salati Wa Al Fara’idhi, Al Iman, Bab Ahkamu n-Nisa’, At Tarajjul, At Tarikh, At Tafsir, Al Masa’il, Al Musnad dan banyak lagi. Antara tokoh-tokoh ulama yang terkenal yang menyebarkan fahaman mazhabnya ialah Abu Bakr bin Hani’, Abu Qasim Al Kharqi, Muwaffiq Ad Din bin Qudamah, Syamsuddin bin Qudamah Al Maqdisi dan Taqiyyuddin Ahmad bin Taimiyah.

Imam Ahmad bin Hanbal pernah hidup di dalam penjara kerana kekerasannya menentang Mazhab Mu’tazilah yang menjadi mazhab rasmi kerajaan Abbasiyah ketika itu. Pihak kerajaan memaksa Imam Ahmad supaya menyatakan Al Quran itu makhluk, tetapi beliau menegaskan bahawa Al Quran bukan makhluk, tetapi Kalamullah. Dengan sebab itu, beliau disebat dalam penjara sehingga pengsan. Kerana ketegasan beliau dan tekanan dari orang ramai, akhirnya pihak pemerintah Abbasiyah terpaksa akur dan membebaskan beliau dari penjara. Imam Ahmad kemudiannya meneruskan pengajarannya kepada orang ramai sehinggalah kematiannya pada tahun 241H/856M, ketika berusia 77 tahun. Setelah mendengar kewafatan beliau, jenazah beliau disembahyangkan lebih dari 130,000 orang muslimin. Imam Ahmad bin Hanbal meninggalkan kepada dunia Islam kitab hadithnya yang terkenal iaitu Al Musnad yang mengandungi lebih kurang 30,000 hadith Nabi s.a.w. Dua orang anaknya meneruskan perjuangan bapa mereka berdua, iaitu Abdullah bin Ahmad dan Soleh bin Ahmad. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, amin ya Rabb.


Sekian, wassalam

Al Faqir Ila 'Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani




[1] Lihat kitab Majmu' oleh: Imam An Nawawi, juz: 2, hal:63.

No comments:

Post a Comment