Perkahwinan adalah satu anugerah
Allah Ta’ala kepada hamba-Nya. Islam adalah agama fitrah yang memahami naluri
setiap manusia. Allah tidak menciptakan manusia semata-mata untuk menyeksa
manusia, sebaliknya diciptakan manusia itu seiring dengan penciptaan sistem
yang memenuhi hajat manusia. Justeru perkahwinan itu juga satu sistem yang
memenuhi fitrah seseorang manusia. Perkahwinan menghalalkan manusia menyalurkan
nafsu mereka ke arah yang dikehendaki syarak. Al-Quran membenarkan pasangan
lelaki dan wanita yang sudah diijabkabulkan melakukan persetubuhan. Ayat yang
diturunkan oleh Allah Ta’ala ini, sebenarnya hadiah bagi memenuhi hajat semua
makhluk.
Ayat
berupa larangan pula sudah semestinya sesuatu keburukan yang dikenal pasti oleh
Allah Ta’ala. Turunnya ayat di dalam surah al-Baqarah ayat 223:
نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ ۖ
وَقَدِّمُوا لأنْفُسِكُمْ ۚ
وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ مُلَاقُوهُ ۗ
وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Isteri-isteri kamu
adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu
menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri
kamu; dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan
menemui-Nya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira (wahai
Muhammad) kepada orang-orang Yang beriman.”
Di
dalam ayat ini Allah Ta’ala merestui cara persetubuhan yang dilakukan oleh
seorang suami ke atas isteri dalam apa cara sekalipun. Bahkan seakan-akan isteri
umpama tempat untuk melampias nafsu suami tanpa had dan batasan. Namun
sebenarnya maksud ayat ini dihuraikan secara tepatnya daripada hadis Nabi saw sendiri. Ada had-had yang perlu dibatasi oleh seseorang isteri. Antara isu yang
yang menjadi kekeliruan adalah hukum mendatangi isteri dari belakang. Kekeliruan
dalam hukum hakam agama sering berlaku dalam masyarakat, khususnya masyarakat
hari ini yang kehidupannya semakin moden dan terdedah kepada cabaran
globalisasi. Bagi menyelesaikan kekeliruan yang timbul, bantuan dan pandangan
ulama sudah semestinya sangat diperlukan.
Terdapat
beberapa kekeliruan timbul terhadap ayat 223 daripada Surah al-Baqarah yang
bermaksud:
نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ ۖ
Maksudnya: “Isteri-isterimu adalah
(seperti) kebun tanaman kamu, maka datangilah kebun tanaman kamu menurut cara
yang kamu sukai…”
Mereka
yang tidak memahami agama dengan baik mengatakan bahawa harus mendatangi isteri
walaupun pada duburnya. Ini salah faham terhadap maksud nas di atas. Walaupun
terdapat sebahagian pandangan yang agak ganjil dalam membenarkan perbuatan ini
seperti hujah yang menyandarkan perbuatan ini, namun khilaf atau pandangan ini
ditolak majoriti ulama. Ini kerana terdapat banyak huraian daripada hadis
Rasulullah SAW, pendapat ahli tafsir terdahulu dan semasa. Kita cuba merungkai
beberapa pandangan ulama yang menceritakan sebab diturunkan ayat di dalam 223
di dalam surah al-Baqarah ini.
Pertama: Pendapat
Mujahid yang mengatakan ia disebabkan orang Yahudi menjauhi wanita ketika
datang haid serta mendatangi wanita pada dubur ketika datangnya haid. Bahkan
orang Yahudi menganggap menyentuh wanita ketika haid adalah najis. Oleh itu
mereka mengasingkan mereka daripada makan, minum dan tidur bersama. Manakala
orang Nasrani pula tidak mengambil berat tentang haid. Sehingga mereka tidak
membezakan di antara waktu haid atau tidak. Rujuk Tafsir al-Munir Wahbah
al-Zuhaily.
Kedua: Pandangan
dari Jabir bin Abdillah yang menceritakan bahawa orang Yahudi beranggapan
apabila seseorang lelaki mendatangi isteri (pada farajnya) dari arah belakang,
maka bayi yang bakal dilahirkan akan menjadi juling matanya. Lalu turunlah ayat
ini. Pendapat beliau ini dinukil daripada Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran
karangan Imam al-Qurtubi.
Ketiga: Ibn Abbas
mengatakan bahawa ayat ini diturunkan disebabkan sebilangan golongan Ansar yang
mengikuti pandangan orang Yahudi bahawa anak akan menjadi juling jika suami
mendatangi (faraj) isteri dari arah belakang.
Mereka
terpengaruh kerana beranggapan bahawa orang Yahudi itu ahli kitab yang memiliki
kelebihan ilmu berbanding mereka. Disebabkan itu, berlaku kes apabila sahabat
Nabi SAW dari kelompok Quraisy Makkah yang berhijrah ke Madinah berkahwin
dengan wanita Ansar. Apabila ia ingin melakukan persetubuhan menurut cara
budaya orang Quraisy iaitu daripada hadapan, belakang dan berbaring, maka
wanita Ansar itu menolak dan berkata:
“Kami pada kebiasaannya bersetubuh
dari arah hadapan saja. Jika tidak jauhilah daripada aku. Akhirnya berita ini
sampai kepada Rasulullah SAW, lalu turunlah ayat ini.
Ulama
membuat kesimpulan bahawa, penafsiran ayat ini sebenarnya membenarkan suami
bersetubuh bersama isteri dari arah mana saja yang dikehendaki. Tetapi semuanya
mestilah dilakukan pada lubang faraj saja.
Disebabkan itulah Imam al-Alusi dalam
tafsirnya Ruh al-Ma’ani mengatakan dengan ini dibolehkan mendatangi isteri dari
arah mana sekalipun asalkan masih ke arah kemaluannya. Al-Zamakhsyari seorang
mufassir yang terkenal dengan kemahiran bahasa arabnya menyifatkan ia
dibolehkan dengan sebab tempat tersebut (faraj) adalah saluran sebenar dalam
melahirkan keturunan. Kenyataan hukuman ini disokong banyak hadis Nabi saw
berkenaan pengharaman mendatangi isteri melalui arah belakang (dubur).
Antaranya hadis riwayat al-Tirmizi bahawa Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud:
“Apabila seorang kamu melepaskan angin
(terkentut) maka hendaklah berwuduk dan jangan mendatangi wanita pada dubur.
Maka sesungguhnya Allah Ta’ala tidak malu dengan perkara sebenarnya.”
Juga dalam hadis riwayat al-Tirmizi
yang lain menyatakan bahawa: “Allah Ta'ala tidak melihat kepada lelaki yang mendatangi
lelaki atau perempuan pada dubur.” Malah sebahagian riwayat mengatakan
perbuatan suami mendatangi isteri dari arah belakang (dubur) adalah perbuatan
kufur dan tergolong dalam kategori ‘liwat kecil’ seperti yang disebut dalam
riwayat al-Tabrani. Tidak menjadi masalah bagi pasangan suami isteri yang
melakukan hubungan seks dengan berbagai-bagai posisi atau teknik, tetapi ia
mesti halakan zakarnya ke lubang faraj isterinya. Ini bertepatan dengan hadis
Rasulullah yang bermaksud:
“Tidak kiralah dia berjimak dalam
keadaan berdiri, duduk atau meniarap (suami tindih perempuan yang meniarap)
selagi tempat masuk zakar adalah faraj.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Larangan
ini bukanlah bererti Islam mengongkong umatnya menikmati naluri nafsu
masing-masing. Namun Islamlah yang terlebih dulu menghalang manusia daripada
terus tersalah haluan dalam menentukan tempat nafsu yang sebenar. Dubur itu
bukanlah tempat untuk mencari kelazatan jimak. Dubur adalah tempat keluarnya
najis, sudah pasti ia akan memudaratkan. Sedangkan wanita dalam haid sekalipun
dinyatakan kotor oleh al-Quran, inikan pula dubur. Ada pula sebahagian orang
yang bertanyakan, sekiranya memasukkan zakar ke dalam dubur isteri itu
diharamkan, bagaimana pula sekiranya memasukkan sesuatu objek ke dalam dubur
isteri. Sama ada menggunakan jari mahupun alat tertentu.
Perkara
ini dijawab beberapa ulama, antaranya Imam al-Zahabi. Dalam sebuah hadis
dinukilkan Imam Az-Zahabi dalam kitabnya Al-Kabair menjelaskan Allah Ta’ala melaknat suami yang menyetubuhi isteri masing-masing
di duburnya tidak di qubulnya. Jika memasukkan alat kelamin dilaknat oleh Allah
dan berdosa, maka memasukkan jari ke dalam dubur adalah sesuatu yang haram dan
tidak wajar juga.
Kesimpulannya
di sini, jimak itu diharuskan melalui mana-mana arah sekalipun asalkan ia di
qubul bukan di dubur. Ini menunjukkan kepada kita bahawa Islam mempertahankan
hak wanita dalam menikmati hidup berkeluarga.
Sekian, wassalam
No comments:
Post a Comment