Sesungguhnya Al-Qur’an
merupakan kitab i’jaz yang sangat hebat dan mempunyai pelbagai khazanah
agung yang masih belum dapat diterokai oleh manusia sepenuhnya. Sehingga kini,
pelbagai tafsiran, kupasan, perbahasan dan kajian yang dilakukan oleh ulama,
cendiakawan dan para ilmuan, sama ada
dari kalangan orang-orang Islam ataupun bukan Islam terhadap Al Quran, tetapi
sehingga kini tiada tanda-tanda yang menunjukkan kajian itu akan berakhir. Isi
kandungan Al-Qur’an tidak pernah berubah
sejak diturunkan dan saranannya sentiasa relevan untuk setiap peralihan dan
peredaran zaman menyebabkan para pengkaji semakin ghairah untuk menerokai
khazanah yang masih belum ditemui. Kajian mengenai pelbagai rahsia kejadian
alam dan penemuan baru sains dan teknologi pada hari ini yang berasaskan kepada
sumber Al-Qur’an adalah bukti yang
paling nyata bahawa setiap ayat dan susunan perkataannya mengandungi i’jaz dan
rahsia tersendiri. Di sini dinyatakan
beberapa perkara mengenai i’jaz yang dibentangkan oleh al-Qur’an sebagai sebuah kitab yang mendahului
teknologi:
1. Kisah Istana Balqis
Diangkat
Kisah istana Puteri Balqis diangkat dari Yaman ke
Palestin dengan sekelip mata telah didedahkan dalam al-Qur’an dan perkara ini adalah bukti bahawa al-Qur’an adalah kitab i’jaz yang mendedahkan peristiwa
tersebut berlaku dalam sejarah kemanusiaan. Walaupun perkara ini dianggap
sebagai ‘karamah’ yang dikurniakan oleh Allah kepada hambaNya yang terpilih,
tetapi sebenarnya itulah teknologi yang ada pada zaman tersebut dan berbeza
dengan teknologi yang ada pada hari. Namun, pada hakikatnya walaupun ianya
berbeza tetapi kedua-dua adalah kurniaan dari Allah yang datang dari satu
sumber yang sama.
Firman
Allah:
قَالَ عِفْرِيتٌ مِنَ الْجِنِّ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ
أَنْ تَقُومَ مِنْ مَقَامِكَ وَإِنِّي عَلَيْهِ لَقَوِيٌّ أَمِينٌ قَالَ الَّذِي
عِنْدَهُ عِلْمٌ مِنَ الْكِتَابِ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ يَرْتَدَّ
إِلَيْكَ طَرْفُكَ فَلَمَّا رَآهُ مُسْتَقِرًّا عِنْدَهُ قَالَ هَٰذَا مِنْ فَضْلِ
رَبِّي
Maksudnya: “Berkata Ifrit dari golongan jin: Aku akan membawa (istana Balqis)
kepada mu sebelum engkau bangun dari tempat duduk mu dan sesungguhnya aku amat
kuat lagi amanah. Berkata pula seorang
yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: Aku akan membawa (istana
Balqis) kepada mu sebelum mata mu berkelip, setelah Nabi Sulaiman melihat
istana itu terletak di sisinya lalu berkata: Ini adalah limpah kurnia Tuhan ku”( Surah An Naml:27:40.)
Peristiwa istana Puteri Balqis diangkat dari Yaman
ke Palestin telah berlaku pada zaman Nabi Sulaiman a.s. dan peristiwa ini
diakui bukan sahaja di kalangan orang-orang Islam, tetapi di kalangan
orang-orang bukan Islam termasuk orang-orang Yahudi mengakui kebenaran
peristiwa tersebut. Dalam peristiwa ini, pengajaran yang dapat diambil ialah
keilmuan yang ada pada manusia telah mengatasi keilmuan yang dimiliki oleh
golongan jin yang telah diberi kefahaman tentang Al Kitab yang diturunkan oleh
Allah. Orang yang mengangkat istana Puteri Balqis ialah Ashif Burkhiya
yang merupakan setiausaha kepada Nabi Sulaiman a.s. Perkara ini telah berlaku
dalam lipatan sejarah Islam yang merupakan suatu teknologi yang belum mampu di
atasi oleh manusia.
2.
Kisah Nabi Yunus a.s. Ditelan Ikan
Kisah Nabi Yunus
a.s. yang ditelan oleh seekor ikan telah diceritakan dalam Al-Qur’an sebagai i’jaz untuk dijadikan contoh teladan
dan pengajaran yang baik kepada sekalian umat manusia tentang kekuasaan Allah
terhadap hambaNya yang terpilih.
Firman Allah
Ta’ala:
وَإِنَّ
يُونُسَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ إِذْ أَبَقَ إِلَى الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ
فَسَاهَمَ فَكَانَ مِنَ الْمُدْحَضِينَ فَالْتَقَمَهُ الْحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٌ
فَلَوْلاَ أَنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُسَبِّحِينَ لَلَبِثَ فِي بَطْنِهِ إِلَىٰ
يَوْمِ يُبْعَثُونَ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari rasul-rasul (Kami) yang
diutus, ketika dia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat, maka dia pun turut
mengundi, lalu dia dari orang-orang yang kalah yang dibuang (ke laut), setelah
itu dia ditelan oleh ikan besar, sedang dia berhak ditempelak, maka kalaulah
dia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan
tasbih), tentulah dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari
manusia dibangkitkan keluar dari kubur”( Surah Shaffat:37:139-148)
Dalam peristiwa ini, Nabi Yunus a.s. berada
dalam perut ikan dalam tempoh yang lama dan dari segi logiknya adalah mustahil
bagi seseorang yang ditelam seekor binatang boleh hidup dalam perutnya dalam
tempoh yang lama. Maka di sini, menunjukkan kepada kita bahawa inilah bentuk
i’jaz yang dicetuskan dalam al-Qur’an yang
merupakan teknologi yang diguna-pakai oleh Nabi Yunus a.s. Sehingga kita,
teknologi tersebut masih lagi tidak mampu dikuasai atau dimiliki oleh dunia
sains hari ini. Akan tetapi, kisah Nabi Yunus a.s. ditelan oleh ikan ini
menjadi ilham kepada pakar-pakar sains untuk mencipta kapal selam.
3. Kelahiran Nabi Isa a.s. Tanpa Bapa
Al-Qur’an
telah menceritakan kisah kelahiran Nabi Isa a.s. yang unik kerana
dilahirkan tanpa bapa dan manakala ibunya Maryam pula tidak pernah disetubuhi
oleh sesiapapun. Tetapi, kisah yang unik ini telah dieksploitasikan oleh
penganut Agama Kristian sehingga mendakwa beliau adalah anak tuhan. Secara
logik akal, bagaimana seorang gadis yang tidak pernah disetubuhi lelaki, apatah
lagi untuk melakukan perkara-perkara yang terkutuk mengandung dan kemudian
melahirkan anak..? Dari sudut
biologinya, perkara ini adalah sesuatu yang mustahil dan tidak boleh diterima
akal, kerana kelahiran itu mesti melalui proses persenyawaan di antara benih
lelaki dengan benih perempuan dalam rahim. Namun, proses kelahiran Nabi Isa
a.s. ini tidak seperti manusia lain tanpa proses persenyawaan. Apabila Allah
Ta’ala mengutuskan Jibril untuk memberitahu berita gembira kepada Maryam bahawa
dia akan melahirkan seorang anak lelaki, beliau merasa terkejut dan hairan,
Maryam bertanya kepada Jibril:
أَنَّىٰ يَكُونُ لِي
غُلامٌ وَلَمْ يَمْسَسْنِي بَشَرٌ وَلَمْ أَكُ بَغِيًّا
Maksudnya: “Bagaimana aku dapat melahirkan
seorang anak lelaki sedangkan tidak pernah seorang manusiapun menyentuh aku dan
aku bukannya seorang penzina”.(Surah Shaffat:37:139-148)
Persoalan yang menjadi keserabutan Maryam itu
telah dijawab oleh Jibril dan sekaligus merungkaikan ikatan keserabutan yang
ada dalam fikirannya. Kemudian, barulah Maryam faham bahawa dia tergolong di
kalangan manusia yang terpilih dan dikasihi Allah:
قَالَ
كَذَٰلِكِ قَالَ رَبُّكِ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ وَلِنَجْعَلَهُ آيَةً لِلنَّاسِ
وَرَحْمَةً مِنَّا وَكَانَ أَمْرًا مَقْضِيًّا
Maksudnya: “Jibril menjawab: Demikianlah
keadaannya dan Tuhan mu berfirman: Perkara ini amat mudah bagi Ku dan Kami mahu
jadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (membuktikan kekuasaan Kami)
untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami dan perkara ini adalah
satu perkara yang telah ditetapkan berlaku”
(Surah Maryam:19:21).
Pendedahan al-Qur’an tentang kelahiran Nabi Isa a.s. merupakan suatu
i’jaz yang menjangkau teknologi dalam bidang biologi yang belum mampu
diterjemahkan oleh manusia dalam bentuk teknologi moden. Namun begitu, pendedahan
Al-Qur’an ini telah melahirkan
pakar-pakar sains yang sentiasa berfikir untuk mencipta manusia melalui
pelbagai proses kelahiran, di antaranya melalui Teknologi Reproduksi Bantuan
(Assisted Reproduction Technology) yang berkaitan dengan Bayi Tabung Uji, iaitu
bayi yang dilahirkan oleh seorang perempuan hasil daripada persenyawaan ovumnya
dengan sperma lelaki di luar tubuh perempuan itu. Di antaranya ialah
Persenyawaan Luar Rahim (IVF), Pemindahan Gamet Dalam Fallopio atau Gamet
Intra-Fallopian Transfer, Penyimpanan dan Pendermaan Sperma, Ovum dan Embrio,
Diagnosis Genetik pra-penempelan atau Preimplantation Genetic Diagnosis (PGD)
dan pemilihan jantina bayi, Ibu Tumpang dan Permanian Beradas (Artificial
Inseminatio/Intra-Uterine Insemination-IUI).
4. Kisah Ikan Mati Hidup Semula
Kei’jazan al-Qur’an merupakan inovasi penting untuk memberi ilham
kepada manusia membentuk warna pemikiran baru. Al-Qur’an telah mendedahkan suatu kisah yang sungguh
menakjubkan tentang ikan yang telah mati dapat hidup semula. Kisah ini berlaku
ketika Nabi Musa a.s. bersama muridnya bernama Yusya’ bin Nun dalam perjalanan mahu
berjumpa dengan Nabi Khaidir a.s. di suatu tempat pertemuan dua laut. Dalam
perjalanan tersebut, ikan yang dibawa sebagai bekalan telah menggelungsur ke
dalam air lalu terus hidup semula.
Firman Allah Ta’ala:
وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَاهُ لا أَبْرَحُ حَتَّىٰ
أَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِيَ حُقُبًا فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا
فَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ سَرَبًا فَلَمَّا جَاوَزَا قَالَ لِفَتَاهُ آتِنَا غَدَاءَنَا
لَقَدْ لَقِينَا مِنْ سَفَرِنَا هَٰذَا نَصَبًا قَالَ أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ
فَإِنِّي نَسِيتُ الْحُوتَ وَمَا أَنْسَانِيهُ إِلا الشَّيْطَانُ أَنْ أَذْكُرَهُ ۚ
وَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ عَجَبًا قَالَ ذَٰلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ فَارْتَدَّا عَلَىٰ
آثَارِهِمَا قَصَصًا
Maksudnya: “Dan (ingatkanlah peristiwa)
ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: Aku tidak akan berhenti berjalan
sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus
bertahun-tahun. Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut
itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelungsur menempuh
jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah. Setelah mereka
melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya: Bawalah makanan
tengahari kita sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan
kita ini. Temannya berkata: Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat
di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu dan tiadalah yang
menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan syaitan dan
ikan itu telah menggelungsur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang
menakjubkan. Nabi Musa berkata: Itulah yang kita kehendaki; merekapun balik
semula ke situ, dengan menurut jejak mereka (Surah
al-Kahfi:18: 60-64).
Kei’jazan al-Qur’an ini seolah-olah tidak melambangkan
pertimbangan akal yang sihat dan seolah-olah perkara ini tidak logik langsung
dengan fakta kehidupan, kerana sesuatu yang telah mati adalah mustahil dapat
hidup semula. Tetapi, perkara seumpama ini merupakan perkara biasa bagi Allah
dan sangat mudah bagiNya. Jika dikaji dan diteliti, kei’jazan al-Qur’an ini bukan hanya bertujuan untuk memberitahu
cerita pencarian Nabi Musa a.s. untuk bertemu dengan Nabi Khaidir a.s.
semata-mata atau hanya sekadar pengetahuan untuk mengisi kekosongan minda,
tetapi pendedahan al-Qur’an ini mempunyai maksud yang tersirat untuk
memberitahu tentang teknologi baru dalam bidang biologi spesis ikan yang hidup
di dalam air, bagaimana ikan yang telah mati itu dapat hidup semula seperti
biasa. Namun, sehingga kini pakar-pakar sains tidak mampu menghidupkan semula
ikan yang telah mati untuk kembali bernafas semula. Akan tetapi, pendedahan al-Qur’an ini telah memberi ilham kepada para
penyelidik dalam bidang biologi ikan dan akuakultur untuk mematikan ikan buat sementara waktu dalam tempoh tertentu
dan kemudian menghidupkan semula setelah mengeluarkan ikan itu dari air yang
dibekukan.
5. Nabi Sulaiman
Berjalan Dengan Angin
Kei’jazan al-Qur’an dalam paparan kisah Nabi Sulaiman a.s. yang
boleh berjalan dengan menggunakan kuasa angin sebagai kenderaan, boleh
berbicara dan berinteraksi dengan jin dan mengarahkan mereka sebagai tenaga
buruh untuk membuat sesuatu kerja merupakan sesuatu yang sangat luar biasa yang
mengatasi teknologi terkini.
Firman Allah
Ta’ala:
وَلِسُلَيْمَانَ
الرِّيحَ غُدُوُّهَا شَهْرٌ وَرَوَاحُهَا شَهْرٌ وَأَسَلْنَا لَهُ عَيْنَ
الْقِطْرِ وَمِنَ الْجِنِّ مَنْ يَعْمَلُ بَيْنَ يَدَيْهِ بِإِذْنِ رَبِّهِ وَمَنْ
يَزِغْ مِنْهُمْ عَنْ أَمْرِنَا نُذِقْهُ مِنْ عَذَابِ السَّعِيرِ
Maksudnya: “Dan Kami kurniakan kepada Nabi
Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: sepagi perjalanannya
adalah menyamai perjalanan biasa sebulan dan sepetang perjalanannya adalah
menyamai perjalanan biasa sebulan dan Kami alirkan baginya mata air dari tembaga
dan sebahagian dari jin bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya dan sesiapa
dari jin itu yang menyeleweng dari perintah Kami, Kami akan merasakannya (pukulan)
dari azab api Neraka”( Surah al-Kahfi:18: 60-64).
Nabi Sulaiman a.s. mempunyai kelebihan luar
biasa yang dianugerahkan oleh Allah, beliau boleh berbicara dengan jin dan
boleh mengarahkan jin untuk melakukan sesuatu kerja. Beliau juga boleh bergerak
ke udara dengan menggunakan kuasa angin dan boleh mengarahkan angin untuk
terbang ke mana sahaja destinasi yang beliau kehendaki. Walaupun perkara ini
dianggap tidak logik dan tidak masuk akal, namun kei’jazan al-Qur’an ini telah mencetuskan ilham kepada para
saintis yang merumuskan bahawa angin sangat penting dalam teknologi untuk
menggerakkan sesuatu kenderaan. Sebagai contoh, kapal layar bergerak
menggunakan kuasa angin untuk belayar di lautan. Kuasa angin ini juga telah
mencetuskan ilham kepada para saintis untuk mencipta kapalterbang. Di peringkat
awal teknologi kapal terbang ini dicipta adalah menggunakan kuasa angin, di
mana enjin yang digunakan bertujuan untuk memutarkan kipas bagi menghasilkan
angin yang akan memberi tekanan dan kuasa tujahan yang menggerakkan
kapalterbang. Tekanan dan kuasa tujahan angin itu kemudiannya bertindak
menaikkan kapalterbang secara meluncur dan seterusnya terbang tinggi ke udara.
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani
Ibn Kathir. 1988. Tafsir
al-Qur;an al-‘Azim, hlm: 351-352. Kaherah: Dar al-Hadith.