I’jaz al-‘Adadi ini bererti kei’jazan
al-Qur’an mengenai bilangan, sama ada pada bilangan lapaznya, bilangan
perkataannya, bilangan ayat-ayatnya dan bilangan surah-surahnya yang tidak
pernah berubah, sama ada berubah dari sudut pertambahan atau dari sudut berkurangan.
Sifat-sifat ini akan kekal sehingga ke hari kiamat walaupun terdapat di sana
usaha-usaha untuk mempertikaikan kewibawaan al-Qur’an. Terdapat dalam kalangan
orientalis dan konco-konconya gerakan Kristian cuba meniru gaya bahasa
al-Qur’an dan membuat surah yang menyamai Surah al-Fatihah:
الحَمْد لِلرَّحْمَن رَبِّ الأكْوَان المَلِكِ الدَّيَّانِ
لَكَ العِبَادَةُ وَبِكَ الْمُسْتَعَانِ اِهْدِنَا صِرَاطَ الإيْمَان
Maksudnya: “ Pujian bagi rahman,
tuhan sekalian alam, raja segala agama, bagi kamu ibadat, dengan kamu
persediaan, tunjukkanlah kami jalan iman”.
Dilihat
dari sudut Ilmu balaghah dan ilmu Bayan mengenai ayat di atas ternyata ianya
mengandungi banyak kelemahan. Penulis ayat ini dari kalangan orang Kristian berusaha
memetik makna dan meniru gaya pengertian dalam Surah al-Fatihah. Ternyata,
ungkapan bodoh ini kelihatan cacat dan pincang, dan tidak mempunyai apa-apa
tujuan apakah yang hendak dimaksudkan dalam ayat yang direka ini. Pada ungkapan
pertama: (al-Hamdu Li Rahman), kita tidak menemui apa-apa konsep uluhiyah dan
rububiyah yang hendak disandarkan kepada ketuhanan Allah dan konsep perhambaan
manusia terhadap ketuhanan Allah.
Kalau
kita membaca Surah al-Fatihah dan membandingkan dengan ayat di atas, sudah
tentu dering bacaannya amat berbeza. Surah al-Fatihah mempunyai frekuensi yang
saling terikat dan berkait di antara dering bacaannya, naik turun nada dan
iramanya adalah sama, imbangan lapaz dan perkataannya seiring, seolah-olah
ianya sentiasa bekerjasama, manakala dari sudut pengertian dan maknanya pula
menimbulkan pengabdian dalam hati sanubari dan jiwa nurani kepada ketuhanan
Allah. Akan tetapi, ungkapan ayat ciptaan itu tidak langsung memperlihatkan
kekuatan bahasa dan tidak mengandungi apa-apa bentuk keistimewaan mengenai
uslub balaghah. Maka inilah yang disebut sebagai i’jaz al-‘adadi, di mana
bilangan lapaz dan perkataan ayat-ayat al-Qur’an tidak boleh ditambah atau
dikurangkan.
Dr.
Abu Zahra’ al-Najdi telah menjelaskan mengenai i’jaz al-‘Adadi dalam kitabnya ‘Min
al-‘Ijaz al-Balaghi Wa al-‘Adadi Li al-Qur’an al-Karim’ (I’jaz Balaghi Dan
I’jaz ‘Adadi Dalam al-Qur’an) telah menghuraikan mengenai bilangan angka dalam
al-Qur’an yang menunjukkan bahawa ianya adalah Kalamullah yang tidak sedikitpun
mengandungi kecacatan atau kelemahan.[1] Beliau juga menghuraikan
sejarah perhitungan berkenaan dengan al-Qur’an sejak zaman ulama Salaf lagi,
tetapi beliau sendiri mengakui sangat dipengaruhi oleh hasil penemuan Abdul
Razaq Nawfal dari Mesir. Pada tahun 1975 beliau menulis sebuah kitab berjudul
‘al-I’jaz al-'Adadi Li al-Qur’an al-Karim’ (I’jaz Adadi Bagi al-Qur’an
al-Karim) dan mendapati bahawa terdapat pasangan kata-kata yang frekuensi dari
sudut sebutan yang sama dalam al-Qur’an. Di sini dinyatakan beberapa contoh
hasil perhitungan yang ditemui oleh Abdul Razaq Naufal, di antaranya ialah
perkataan iblis dan isti’azah disebutkan 11 kali, perkataan ma’shiyah dan syukr beserta turunan katanya disebutkan 75 kali,
perkataan al-dunya dan al-akhirat disebutkan 115 kali, perkataan al-malaikat
dan al-syaitan disebutkan 88 kali, perkataan al-harr (panas) dan al-harb
(dingin) disebutkan 4 kali, perkataan al-yaum (hari) dalam bentuk mufrad
disebut 365 kali, perkataan al-yaum (hari) dalam bentuk musanna dan jama’
disebut 30 kali dan perkataan syahr (bulan) disebut 12 kali.
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani
[1] Dr. Abu Zahra' Al-Najdi.
1990. Min al-I'jaz al-Balaghiy WA al-'Adadiy Li al-Qur’an al-Karim. terbitan
Al-Wakalah AI-'Alamiyah li At-Tauzi’.
No comments:
Post a Comment