Al-Qur’an adalah kitab i’jaz yang diturunkan
oleh Allah kepada Nabi Muhamad s.a.w. melalui perantaraan Jibril a.s.[1]
Al-Qur’an diturunkan untuk membimbing manusia ke jalan yang lurus dan kemudian
membawa manusia ke pangkuan Allah. Al-Qur’an
diturunkan dalam tempoh dua puluh tahun, sepuluh tahun semasa baginda
s.a.w. berada di Mekah dan sepuluh tahun semasa baginda s.a.w. berada di
Madinah.[2]
Terdapat pelbagai keunikan dan kehebatan yang terkandung dalam al-Qur’an sehingga usaha-usaha yang dilakukan oleh
golongan orientalis dan musuh-musuh al-Qur’an untuk memusnahkannya menemui
kegagalan dan kehampaan. Al-Qur’an pernah dibakar oleh musuh-musuhnya yang
fanatik, tetapi isi kandungannya tidak terbakar dan masih utuh di dada para
penghafaz al Quran. Al-Qur’an pernah
dieksploitasikan oleh musuh-musuhnya yang jahat dengan mengemukakan pelbagai
kajian yang mengelirukan kononnya terdapat kesalahan dan kesilapan di dalamnya,
tetapi ternyata mereka yang melemparkan tuduhan itulah yang salah dan silap, kerana
al-Qur’an tetap tidak berubah dengan
nilai dan mutunya sejak ianya mula diturunkan sehingga sekarang. Ayat-ayat al-Qur’an pernah dicampur-aduk dengan tulisan tangan
manusia bagi tujuan untuk mengelirukan, tetapi ternyata para penghafaz al-Qur’an tidak pernah terkeliru dan segala isi
kandungannya masih tetap sempurna sehingga ke hari ini.
Maka,
inilah yang dimaksudkan bahawa al-Qur’an
ini adalah kitab i’jaz yang tidak boleh dikalahkan dan tidak pernah
dikalahkan oleh sesesiapapun. Sejak dahulu lagi, orang-orang Arab yang terkenal
dengan keindahan syair dan pujangga serta penggunaan bahasa yang tinggi tidak
dapat menandingi keunikan bahasa-bahasa yang terdapat dalam ayat-ayat al Quran.
Perkara ini adalah i’jaz, iaitu melemahkan mereka untuk menandingi bahasa yang
diguna-pakai dalam al-Qur’an dengan bahasa yang ditulis dan diilhamkan oleh
mereka.[3]
Firman Allah:
قُلْ لَئِنِ
اجْتَمَعَتِ الانْسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَنْ يَأْتُوا بِمِثْلِ هَٰذَا الْقُرْآنِ
لا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا
Maksudnya: “Katakanlah (wahai
Muhammad): Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan
hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Qur’an ini, mereka tidak akan dapat membuat dan
mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama
sendiri”(al-Isra
88:17).
Ini merupakan janji Allah, bahawa al-Qur’an tidak sekali-kali
dapat ditewaskan dengan begitu mudah dan mereka yang cuba menewaskan al-Qur’an pasti
akan tertewas dan mereka pasti kecundang dalam jurang kehinaan. Walaupun al-Qur’an itu hanya deretan ayat yang terkandung dalam
beberapa surah, namun ianya mengandungi i’jaz dan kekuatan sendiri yang mampu
mengalahkan musuh, sebagaimana yang berlaku dalam peristiwa Hijrah ketika Nabi
s.a.w. mahu keluar dari rumahnya yang dikepung oleh orang-orang kafir Quraisy.
Baginda s.a.w. mengambil segenggam pasir sambil membaca potongan ayat dari
Surah Yasin, dari ayat satu sehingga ayat sembilan.[4]
Sekian,
wassalam
Al
Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi
Mustafa El-Batnani
[1] Nasr Hamid Abu Zaid. 1997. Mafhum
al-Nash, hlm:
59. Beirut: al-Markaz al-Tsaqafi al-Arabi.
[2] Abu al-Hassan Ali bin
Ahmad al-Wahidi an-Naisaburi. 1985. Asbab an-Nuzul, hlm: 7.Beirut: Dar al-Maktabah al-Hilal.
[3] Muhammad Zaglul Salam dan Muhammad
Khalfullah Ahmad. (t.th). Salasu
Rasail Fi I’jaz Al-Quran: Li al- Rumani Wa al-Khuthabi Wa Abdul Qadir
al-Jurjani, hlm: 75. Kaherah:
Dar al-Ma’arif.
[4] Ibn Hisyam, Abu Muhamad Abdul Malik. (t.th). Sirah Al-Nabi S.A.W.
juz: 2, hlm: 95-96. Kaherah: Maktabah Dar At Turath.
No comments:
Post a Comment