Al-Qur’an membawa pelbagai bukti penting
tentang beberapa peristiwa dan kisah-kisah umat terdahulu sebelum dibangkitkan
Nabi s.a.w. Kisah-kisah tersebut telah luput dalam memori dan ingatan manusia,
tetapi diimbas kembali oleh al-Qur’an dalam bentuk pengajaran dan siri teladan
yang baik untuk dihayati oleh generasi hari ini. I’jaz al-tarikh ini
menjelaskan tentang kemampuan al-Qur’an mencungkil kembali fakta-fakta sejarah
yang lampau dan juga fakta-fakta yang terkini. Justeru, al-Qur’an dengan
ideanya sendiri mampu membawa informasi semasa dan mengetahui perkara yang akan
datang dengan mengemukakan fakta yang tidak boleh dipertikaikan.
Di antara kisah silam
yang telah dirakamkan oleh fakta sejarah dan diimbas kembali oleh al-Qur’an
ialah mengenai kisah Fir’aun yang mengaku sebagai Tuhan, tetapi dia telah
ditenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Nabi Musa a.s. bersama para
pengikutnya. Di saat kematiannya, akhirnya dia mengaku beriman kepada Allah,
tetapi taubatnya tidak diterima, sebagaimana dijelaskan dalam al-Qur’an.
Firman Allah Ta’ala:
وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتْبَعَهُمْ
فِرْعَوْنُ وَجُنُودُهُ بَغْيًا وَعَدْوًا حَتَّىٰ إِذَا أَدْرَكَهُ الْغَرَقُ
قَالَ آمَنْتُ أَنَّهُ لاَ إِلَٰهَ إلاَّ الَّذِي آمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ
وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ آلآنَ وَقَدْ عَصَيْتَ قَبْلُ وَكُنْتَ مِنَ
الْمُفْسِدِينَ فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ
آيَةً وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ
عَنْ آيَاتِنَا لَغَافِلُونَ
Maksudnya: “Dan
Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Fir’aun dan
tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga
apabila Fir’aun hampir tenggelam dia berkata: Aku beriman bahawa tiada Tuhan
melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil dan aku dalam kalangan muslimin,
(Allah berfirman): Adakah sekarang (baru kamu beriman), padahal sesungguhnya
kamu dari dahulu telah kufur derhaka dan kamu telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan, maka
pada hari ini, Kami biarkan kamu terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa,
daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakang
mu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan
manusia lalai daripada tanda-tanda kekuasaan Kami” (Surah Yunus: 10: 90-92)
Di samping itu, ayat ini
juga menceritakan bagaimana jasad dan tubuh badan Fir’aun tidak hancur ditelan
oleh ombak atau dimakan oleh ikan, tetapi sebaliknya dibawa oleh ombak ke tepi
pantai untuk disaksikan oleh umat manusia sebagai ‘bahan bukti’ tentang Fir’aun
yang suatu ketika mengaku sebagai tuhan akhirnya mati lemas dan dibinasakan
dalam keadaan sangat hina. Jasad dan tubuh badannya diletakkan dalam muzium di
Mesir bersama-sama dengan mumia lain untuk tatapan umat manusia.
Dengan kisah ini
membuktikan bahawa al-Qur’an itu bukan tulisan Nabi s.a.w. tetapi ianya adalah
sebuah kitab yang i’jaz yang membawa bukti secara langsung dengan kesan
peninggalan sejarah yang masih wujud sehingga ke hari ini.
Al-Qur’an juga telah
menjelaskan kepada kita mengenai sifat-sifat syurga dan neraka serta wujudnya
alam lain setelah mati, iaitu alam akhirat. Sebenarnya, kematian itu merupakan
pemisahan di antara kehidupan di alam dunia dan kehidupan di alam akhirat. Pada
zahirnya manusia mati, tetapi hakikatnya manusia terus hidup, iaitu di alam
akhirat. Kebahagiaan dan kecelakaan mengenai kehidupan di alam ini ditentukan
melalui amalan yang dilakukan di atas dunia. Mereka yang melakukan kebaikan
akan mendapat nikmat kubur dan akan menjadi warga syurga, mereka hidup kekal
abadi di dalamnya. Manakala mereka yang melakukan kejahatan dan maksiat akan
mendapat azab kubur dan akan menjadi warga neraka.
Gambaran yang dijelaskan
ini merupakan informasi semasa dan terkini terhadap mereka yang berada di
ambang kematian. Apabila kematian datang menjelma, seseorang hamba itu akan
dimasukkan ke dalam salah satu dari dua tempat ini, sama ada mendapat nikmat
kubur atau mendapat azab kubur.
Mengenai kehidupan di
alam syurga, al-Qur’an telah menceritakan gambaran hidup di dalamnya dengan
penuh kenikmatan dan kelazatan. Penghuni di dalamnya tiada seorangpun dalam
kalangan orang kafir, mereka semua adalah muslim dan mempunyai benih-benih
keimanan kepada ketuhanan Allah Yang Maha Agung.
Firman Allah Ta’ala:
وَبَشِّرِ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا
الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ كُلَّمَا رُزِقُوا مِنْهَا مِنْ ثَمَرَةٍ
رِزْقًا قَالُوا هَٰذَا الَّذِي رُزِقْنَا مِنْ قَبْلُ وَأُتُوا بِهِ مُتَشَابِهًا وَلَهُمْ فِيهَا أَزْوَاجٌ مُطَهَّرَةٌ وَهُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Maksudnya: “Dan berilah
khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya
mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali
mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka
berkata: Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu dan mereka diberikan
rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya) dan disediakan untuk
mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih
suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya”(Surah al-Baqarah: 2: 25).
Manakala keadaan
dalam neraka pula, al-Qur’an telah menggambarkan situasi yang amat jauh berbeza
dengan apa yang ada dalam syurga, di mana penghuni di dalamnya adalah terdiri
dalam kalangan orang-orang yang tidak ada roh keimanan kepada ketuhanan Allah,
walaupun sebesar zarah dan di dalamnya
penuh dengan azab sengsara yang sangat menggerumkan.
Firman Allah Ta’ala:
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ
نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُمْ بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا
لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ إِنَّ اللَّهَ
كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا
Maksudnya:
“Sesungguhnya orang-orang yang kufur
kepada ayat-ayat Kami, nanti Kami akan membakar mereka dalam api neraka, tiap-tiap
kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain
supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah
Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”(Surah
al-Nisa: 4: 56).
Kedua-dua gambaran yang
membentuk suasana berbeza ini merupakan suatu perkhabaran yang menunjukkan
bahawa al-Qur’an mampu mencetuskan situasi semasa dan ilham terkini yang sedang
berlaku. Perkara ini merupakan fakta yang tidak boleh dipertikaikan dan tidak
mampu dikalahkan oleh sesiapa. Dengan kehadiran bukti-bukti yang dinyatakan ini
sekaligus menolak dakwaan orientalis bahawa al-Qur’an ini adalah ilham atau
sumber produk pemikiran Nabi s.a.w. Dan di sana, al-Qur’an telah mencetuskan
maklumat masa depan dengan memberitahu tentang kemenangan yang akan dicapai oleh
tentera Rom ke atas Parsi dalam tempoh beberapa tahun sahaja, sedangkan
peperangan tersebut masih belum berlaku lagi, sebagaimana yang digambarkan
dalam ayat 1-6, Surah al-Rom.
Firman Allah Ta’ala:
الم
غُلِبَتِ الرُّومُ فِي
أَدْنَى الأرْضِ وَهُمْ مِنْ بَعْدِ غَلَبِهِمْ
سَيَغْلِبُونَ فِي بِضْعِ سِنِينَ لِلَّهِ الأمْرُ مِنْ قَبْلُ وَمِنْ بَعْدُ
وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ بِنَصْرِ اللَّهِ يَنْصُرُ مَنْ
يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ وَعْدَ اللَّهِ لاَ
يُخْلِفُ اللَّهُ وَعْدَهُ
وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Alif, Lam, Mim. Tentera Rom telah dikalahkan, di negeri yang dekat sekali dan
sesudah kekalahannya itu mereka
akan
mengalahkan lawannya, dalam tempoh tidak sampai sepuluh tahun, kepada Allah jualah kembali segala urusan, sebelum berlakunya
dan sesudah berlakunya dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu,
orang-orang yang beriman akan bergembira,
dengan
kemenangan yang diberi Allah,
Dia
memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Dialah jua Yang Maha
Kuasa, lagi Maha Mengasihi. Demikian dijanjikan Allah dan Allah tidak pernah mengubah
janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”(Surah al-Rom: 30: 1-6).
Sesungguhnya
golongan orientalis tidak mempunyai nilai upaya dan tidak mampu lagi bergerak
untuk mencetuskan dakyah dan menyebarkan propagandanya terhadap kewibawaan
al-Qur’an yang muncul dengan maklumat yang tepat pada paksi kebenarannya.
Bahkan, golongan orientalis itu sendiri terpukau dan kagum dengan inovasi
al-Qur’an, bagaimana ianya mampu menjangkau masa depan dan mengambil beberapa
maklumat di sana untuk dibawa dan disampaikan mesej tersebut, bahawa perkara tersebut akan
berlaku nanti. Seolah-olah al-Qur’an itu sedang bergerak dan kemudian ianya
berlari pantas ke hadapan, lalu mengambil maklumat di sana dan kemudian
berpatah balik untuk memberitahu kepada orang ramai tentang maklumat yang
diperolehinya di hadapan sana. Demikian i’jaz al-Qur’an yang merupakan kekuatan
tersendiri yang ada padanya dan tidak ada pada yang lain.
Sekian,
wassalam
Al
Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi
Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment