Kei’jazan ini dinisbahkan pada kekuatan yang muncul dari sudut spiritual
yang mengisyaratkan adanya ‘magical powers’ yang terkandung dalam deretan
ayat-ayat al-Qur’an. Setiap ayat-ayat yang diturunkan itu mempunyai kekuatan
tersendiri dari sudut hissi, terutama ayat-ayat yang menjadi zikir dan doa,
sebagaimana yang diamalkan oleh Nabi s.a.w. Walaupun apapun, i’jaz ini adalah
kurniaan Allah kepada hambaNya yang dikasihi, iaitu para nabi-nabi dan
rasul-rasul. Elemen-elemen i’jaz yang berlaku menyalahi adat dan bercanggah
dengan norma kebiasaan adalah menurut kehendak dan keizinan Allah, ayat-ayat
tersebut adalah hanya wasilah yang mengikat hubungan di antara Allah dan hamba.
Kita membuka lipatan sejarah, di sana kita dapat saksikan mukjizat Nabi Musa
a.s. yang terkenal dengan ‘tongkat saktinya’ yang boleh menjadi ular dan dapat
membelah lautan, tetapi semuanya itu berlaku adalah dengan izin Allah, bukan
kerana adanya kuasa sakti pada tongkat tersebut. Begitu juga dengan mukjizat
Nabi Isa a.s. yang boleh menghidupkan orang yang telah mati, mukjizat Nabi
Ibrahim a.s. yang tidak hangus dibakar dalam api, mukjizat Nabi Yusuf a.s. yang
dapat menafsirkan mimpi, mukjizat Nabi Daud a.s. yang dapat melembut besi,
mukjizat Nabi Muhamad s.a.w. yang dapat membelah bulan dan lain-lain lagi,
semuanya itu adalah menurut kehendak dan keizinan Ilahi. Apabila meninjau
komentar yang dikemukan oleh Jalaludin as-Suyuthi, di mana beliau berpendapat
bahawa kebanyakan mukjizat yang pertontonkan oleh Allah pada diri para nabi dan
rasul yang diutus kepada Bani Israil adalah mukjizat dari jenis spiritual.
Beliau menjelaskan bahawa perkara ini disebabkan kerana mereka mempunyai
kelemahan dari sudut intelegensi, iaitu kemampuan untuk bertindak secara
terarah, berfikir secara rasional dan kelemahan dari sudut psikologi pendidikan
dan bimbingan. [1]
Kembali kita kepada al-Qur’an yang
mengandungi i’jaz hissi, di mana ayat-ayatnya mempunyai nilai-nilai yang
tersendiri yang tidak boleh dibuktikan dengan ‘warna pemikiran akal’ tetapi
ianya berlaku dan adalah suatu realiti, bukan ilusi. Namun, hakikat ini boleh
dibuktikan dengan paparan sejarah yang berlaku pada diri Nabi s.a.w.
sebagaimana dalam peristiwa Hijrah ketika baginda s.a.w. mahu keluar dari
rumahnya yang dikepung oleh orang-orang musyrikin, kafir Quraisy. Baginda
s.a.w. mengambil segenggam pasir sambil membaca beberapa potong ayat dari Surah
Yasin:
Firman
Allah Ta’ala:
يَس وَالْقُرْآنِ
الْحَكِيمِ إِنَّكَ
لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ عَلَىٰ
صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ تَنْزِيلَ
الْعَزِيزِ الرَّحِيمِ لِتُنْذِرَ
قَوْمًا مَا أُنْذِرَ آبَاؤُهُمْ فَهُمْ غَافِلُونَ لَقَدْ
حَقَّ الْقَوْلُ عَلَىٰ أَكْثَرِهِمْ فَهُمْ لاَ يُؤْمِنُونَ إِنَّا
جَعَلْنَا فِي أَعْنَاقِهِمْ أَغْلالاً فَهِيَ إِلَى الأذْقَانِ فَهُمْ
مُقْمَحُونَ وَجَعَلْنَا
مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ سَدًّا وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّا فَأَغْشَيْنَاهُمْ
فَهُمْ لاَ يُبْصِرُونَ
Maksudnya:
“Yaa Siin, demi al-Qur’an yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang
tetap kukuh, sesungguhnya engkau (wahai Muhamad adalah seorang Rasul) dari
Rasul-rasul yang telah diutus, yang tetap di atas jalan yang lurus, al-Qur’an
itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani, supaya
engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama
tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai, demi
sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka
tidak mahu beriman, sesungguhnya Kami jadikan (kesombongan dan keengganan
mereka tunduk kepada kebenaran sebagai) belenggu yang memberkas kedua tangan
mereka ke batang leher mereka; (lebarnya belenggu itu) sampai (menongkatkan)
dagu mereka lalu menjadilah mereka terdongak, dan Kami jadikan (sifat tamak dan
gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang
menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa
dunia yang ada) di hadapan mereka dan sekatan (yang menghalang mereka daripada
memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat), lalu Kami
tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang
benar)[2]”.
Lalu dilemparkan pasir yang digenggam itu kepada orang-orang
musyrikin yang mengepung rumahnya menyebabkan mereka tidak dapat melihat jasad
dan tubuh badan Nabi s.a.w.[3]
Baginda s.a.w. keluar melalui di celah-celah kepungan mereka, tetapi mereka
tidak dapat melihat baginda s.a.w. Hanya dengan beberapa ayat sahaja yang
dibaca, maka elemen-elemen i’jaz itu mula meresap dan bertukar menjadi perkara
yang menyalahi adat, tetapi semuanya itu berlaku dengan kehendak dan izin Allah
Yang Maha Berkuasa.
Sekian,
wassalam
Al
Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi
Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment