Penyusuan yang
menimbulkan ikatan mahram yakni yang menjadikan seorang wanita sebagai mahram
kepada anak yang disusuinya ialah yang memenuhi syarat-syarat berikut;
1. Hendaklah dari susu manusia dan wanita, bukan susu binatang atau susu
abstrak dari lemah sayuran atau susu lelaki.
2. Menurut ulama dari mazhab Syafie dan Hanafi; disyaratkan juga wanita
yang menyusu hendaklah telah mencapai umur sembilan tahun, tetapi ulama dalam
kalangan mazhab Maliki tidak mensyaratkannya.
3. Hendaklah jumlah penyusuan tidak kurang dari lima kali kenyang.
4. Bayi yang disusui hendaklah umurnya belum mencapai dua tahun.
5. Menurut jumhur ulama, iaitu mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi’ie; tidak
disyaratkan wanita yang menyusui itu didahului dengan mengandung. Oleh itu,
jika seorang wanita yang masih gadis atau wanita tidak mengandung, tetapi
ditakdirkan dia mempunyai susu, lalu dia menyusui seorang bayi, bayi itu akan
menjadi anak susuannya jika memenuhi syarat tadi. Adapun mazhab Imam Ahmad, wanita
yang masih gadis jika dia menyusui anak, anak itu tidak dianggap anak susuannya
kerana susu yang terbit darinya adalah luar biasa dan tidak diterima pada adat kebiasaan
untuk menjadi makanan bayi.
6. Ekoran daripada pandangan jumhur di atas, wanita yang keluar susu kerana
makan ubat atau suntikan hormon, kemudian dia menyusui seorang bayi dengan
susunya itu, bayi itu akan menjadi anak susuannya. Namun bayi itu tidak akan
menjadi anak susu bagi suaminya kerana susu itu bukan dari suaminya, iaitu bukan
susu yang muncul kerana kelahiran hasil benih suaminya. Walaupun bayi itu bukan
anak susunya, namun dia menjadi anak tirinya kerana susuan.
7. Penyusuan yang menimbulkan ikatan mahram kerana penyusuan tidaklah
disyaratkan bayi menyusu di badan. Yang disyaratkan ialah masuknya susu ibu itu
ke dalam mulut bayi. Oleh demikian, jika seorang wanita memerah susunya
kemudian memberi minum susu itu kepada bayi, maka bayi itu tetap akan menjadi
anak susuannya jika memenuhi syarat-syarat tadi.
8. Disyaratkan lima kali penyusuan sekurang-kurangnya, sekali penyusuan
ialah apabila anak yang menyusu berhenti menghisap dengan pilihan sendiri,
bukan kerana suatu sebab lain. Adapun jika dia berhenti kerana suatu sebab
seperti kerana mengambil nafas atau untuk rehat seketika dan kemudian segera
kembali menghisap atau ada sesuatu yang menarik perhatian tetapi kemudian ia
segera kembali menghisap, atau dihentikan seketika oleh wanita yang menyusuinya
kemudian kembali menyusuinya, semua itu tidak mengeluarkannya dari pengertian
sekali penyusuan. Begitu juga, perpindahan dari satu tetek ke tetek sebelahnya
juga masih dikira satu penyusuan. Apabila berlaku lima kali penyusuan mengikut
makna penyusuan di atas, akan terhasillah ikatan mahram. Jika bayi hanya
mengisap sekali dua, tidaklah menghasilkan ikatan mahram kerana ia tidak memenuhi
pengertian sekali penyusuan dan tidak memberi kesan kepada pemakanan.
9. ‘Aisyah menceritakan bahawa Nabi bersabda: “Setakat sekali dua
hisapan tidaklah mengharamkan (iaitu tidaklah menghasilkan ikatan mahram)” (Riwayat al-Jamaah kecuali al-Bukhari).
10. Jika ibu susuan itu mempunyai anak-anaknya
sendiri, beliau wajib memberitahu kepada anak-anaknya bahawa bayi susuan itu
hukumnya menjadi adik beradik kepada anak-anaknya dan haram berkahwin, walaupun
mereka tidak mempunyai pertalian darah dan ikatan kaum kerabat.
Wallahu ‘Allam
No comments:
Post a Comment