PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Wednesday 1 February 2012

Al QURAN MEMBENTUK SISTEM KEHIDUPAN


Asy Syahid Syed Qutb pernah menyatakan tentang suatu sistem kehidupan yang baik untuk dikecapi:


الحيَاةُ فِى ظِلاَلِ القرآنِ نِعْمَةٌ نِعْمَةٌ لاَ يَعْرِفُهَا إلاَّ مَنْ ذاقَها

Maksudnya: “Sesungguhnya hidup di bawah bayangan Al Quran adalah suatu nikmat, nikmat yang tidak akan dapat dikecapi oleh sesiapapun melainkan hanya orang yang pernah merasainya”.

            Tidak ada sistem kehidupan yang paling baik melainkan berada di bawah naungan dan pengawasan Al Quran, kerana Al Quran itu akan menjadi pelindung kepada sistem hidup yang kita praktikkan, Al Quran akan memberi rahmat kepada setiap juzuk dan ruang-lingkup kehidupan yang menghayati sistem hidupnya  dan Al Quran akan menjadi perantaraan untuk mengikat erat hubungan mereka dengan ketuhanan Allah.

Al Quran mengemukakan sistem hidupnya yang bebas dari suku-sakat jahiliyah dan tidak bercampur-baur dengan mana-mana sistem hidup ciptaan manusia, kerana sistem hidup ciptaan manusia itu mengandungi kelemahan dan kepincangan yang belum tentu mampu memulihkan krisis hidup manusia. Jika demikian, bagaimana sistem itu boleh diterima-pakai untuk menyelesaikan permasalahan hidup yang dihadapi oleh manusia, kerana permasalahan hidup itu adalah bersifat subjektif yang mengandungi pelbagai persoalan yang melibatkan urusan duniawi dan urusan ukhrawi. Tetapi, sistem hidup yang dikemukakan Al Quran ternyata dapat memulihkan krisis kehidupan yang dihadapi oleh manusia dalam semua sudut dan lapangan hidup, sebagaimana yang diaplikasikan oleh Nabi s.a.w dan para sahabat r.a. Dengan sistem hidup Islam yang telah diamalkan, akhirnya sistem hidup jahiliyah yang menjadi darah daging dan kebanggaan masyarakat arab selama ini dapat ditumbangkan, bahkan dapat dikuburkan terus sehingga jahiliyah tidak mampu untuk bangkit lagi.

1. Sistem ‘Aqidah

Setiap hamba yang mengaku beriman kepada Allah mesti merenung hakikat kehidupannya dari pelbagai sudut dan ruang-lingkup yang menyentuh pelbagai aspek dan urusan, dia perlu menilai segala gerak-geri dan gerak langkahnya, segala perbuatan dan perlakukan hidupnya, segala amalan dan pertuturan hidupnya dan segala apa jua tindakannya agar kehidupannya yang sedang berlangsung itu menepati citarasa Al Quran. Sesungguhnya Al Quran telah mengemukakan sistem kehidupan yang cukup kukuh sebagai batu asas dalam diri manusia dengan meletakkan ‘aqidah ketuhanan Allah sebagai matlamat utama dalam pegangan hidup manusia. Sistem ‘aqidah ini bertujuan untuk memperkenalkan manusia kepada Allah, Tuhan Yang Sebenar dan kemudian mengikat erat hubungan ketuhanan itu dalam hati sanubari dan jiwa nurani mereka. Pelaksanaan sistem ‘aqidah itu diterjemahkan melalui pengakuan pengabdian LAA ILAHA ILLALLAH dan kemudian disusuli pula dengan MUHAMMADUR RASULULLAH, bererti sistem ‘aqidah mula ditanam dalam diri manusia sebagai batu asas.

Firman Allah Ta'ala:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: " Tidaklah Aku jadikan manusia dan jin melainkan supaya mengabdikan diri kepada Aku" (Ad Zariyat: 56).

Nilai-nilai pengabdian itu ialah nilai-nilai yang akan menterjemahkan sistem ‘aqidah dalam diri manusia, nilai-nilai yang akan mengeratkan hubungan secara langsung dengan ketuhanan Allah dan nilai-nilai itu juga bertanggungjawab mengawal segala tingkah laku dan amalan hidup agar tidak terkeluar dari norma-norma kemanusiaan. Pengakuan pengabdian yang benar-benar tulus ikhlas  akan mengalir ke dalam diri manusia apabila kalimah LAA ILAHA ILLALLAH dapat menguasai seluruh hati sanubari dan jiwa nurani, dapat menguasai setiap degup jantung dan gerak nadi, dapat mengawal segala cetusan perasaan dan lingkaran pemikiran, dapat mengawal segala tindakan dan amalan hidup, akhirnya LAA ILAHA ILLALLAH itu akan meresap ke seluruh anggota badan menjadi sebati dengan darah daging. Selepas itu muncul kalimah MUHAMMADUR RASULULLAH yang akan menambahkan lagi kelazatan iman sehingga sistem ‘aqidah yang mereka tanam itu benar-benar mengecapi kenikmatan hidup.

Seorang lelaki pernah bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang suatu amalan yang membolehkan dirinya dengan mudah untuk masuk ke syurga, dia bertanya:

دُلَّنِى عَلَى عَمَلٍ اِذَا عَمَلْتُهُ دَخَلْتُ اْلجَنَّةَ قَالَ تَعْبُدُ اللهَ وَلاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئاً وَتُقِيْمُ الصَّلاَةَ الْمَكْتُوْبَةَ وَتُؤْتِىَ اْلزَكَاةَ الْمَفْرُوْضَةَ وَتَصُوْمَ رَمَضَانَ قَالَ وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ لاَ أَزِيْدُ عَلَى هَذَا فَلَمَّا وَلَّى قَالَ النَِبىُّ صلَّى الله عليه وَسلَّم : مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَنْطُرَ اِلَى رَجُلٍ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَلْيَنْظُرْ اِلَى هَذَا

Maksudnya: “ Tunjukkan kepada ku suatu amalan yang apabila aku lakukannya akau akan dapat masuk syurga, Nabi s.a.w. menjawab: Kamu mengabdikan diri kepada Allah dan jangan menyekutukanNya dengan sesuatupun, kamu mendirikan solat yang difardhukan dan kamu mengeluarkan zakat yang diwajibkan ke atas diri kamu, kamu juga dikehendaki berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian lelaki itu berkata: Demi Allah yang jiwa ku berada di bawah kekuasaanNya, aku tidak akan tambah lebih dari itu. Apabila lelaki itu berlalu pergi, Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang ingin merasa senang melihat lelaki dari ahli syurga,maka lihatlah lelaki ini” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sesungguhnya jiwa seseorang muslim ialah jiwa yang sentiasa bergantung erat dengan Allah, jiwa yang sentiasa berpegang teguh dengan janji Allah, jiwa yang sentiasa taat dan patuh kepada suruhan dan larangan Allah, jiwa yang tidak pernah  menyekutukan Allah dengan apa jua sekalipun, sama ada pada konsep rububiyahNya atau uluhiyahNya. Kerana, jiwa seseorang muslim itu adalah jiwa yang mempunyai ikatan ‘aqidah, jiwa yang mempunyai pertalian dengan pegangan tauhid, jiwa yang sentiasa dihiasi dengan warna keikhlasan dan ketundukan diri, jiwa yang sentiasa mencari ketenangan diri dan kejernihan rohani, jiwa yang sentiasa berdampingan dengan ketuhanan Allah dan sentiasa beriringan dalam pengabdian hidup, jiwa yang tidak pernah terluka dan tidak mempunyai apa-apa bentuk kecacatan dalam menguruskan bahtera kehidupan, jiwa yang tidak mempunyai apa-apa kesalahan dan kesilapan, jiwa yang sentiasa menggamit mengharapkan rahmat dan keredhaan Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w.

لاَ يَقْبَلُ اللهُ مِنَ اْلعَمَلِ اِلاَّ مَا كَانَ لَهُ خَالِصًا وَابْتُغِىَ بِهِ وَجْهُهُ

Maksudnya: “ Allah tidak akan menerima sesuatu amalan itu melainkan (amalan itu dilakukan denganpenuh) keikhlasan dan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah ”(Riwayat Ibn Majah).

‘Aqidah itu akan menterjemahkan bentuk amalan hidup yang dilakukan agar menepati citarasa syari’at yang diturunkan oleh Allah dan bukannya memenuhi selera hawa nafsu. Sebabnya, syari’at telah menggariskan batas-batas sempadan tentang perkara-perkara  yang harus dilakukan dan perkara-perkara yang tidak harus dilakukan, tetapi perkara ini amat bertentangan dengan citarasa hawa nafsu, kerana hawa nafsu tidak mempunyai batas sempadan di dalam sesuatu perkara.

2. Sistem Ibadat

Al Quran mengemukakan sistem ibadat yang mengajak seseorang hamba mengabdikan diri kepada ketuhanan Allah, yang merupakan upacara atau proses ketaatan terhadap suruhan dan larangan Allah. Sistem ini akan membentuk nilai-nilai perhambaan dan perasaan rendah diri seseorang hamba untuk tunduk kepada arahan yang telah ditetapkan oleh Allah, kerana melalui ibadat seseorang hamba itu dapat menghadirkan dirinya untuk dibawa ke pangkuan Allah.

Firman Allah Ta'ala:

يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ قُمِ اللَّيْلَ إِلاَّ قَلِيلاً نِصْفَهُ أَوِ انْقُصْ مِنْهُ قَلِيلاً أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلاً إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلاً ثَقِيلاً إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْئًا وَأَقْوَمُ قِيلاً

Maksudnya: " Wahai orang-orang yang berselimut! Bangunlah pada malam (untuk mengerjakan ibadat) selain sedikit waktu, seperduanya atau kurang sedikit daripadanya ataupun tambahlah sedikit lagi (dari waktu itu) dan bacalah Al Quran dengan sebutan yang baik, sesungguhnya Kami akan menurunkan ke atas mu bicara yang berat dan sesungguhnya bangun di waktu malam itu adalah lebih mengukuhkan jiwa dan lebih betul perkataannya "(Al Muzzammil:1-6).

Ibadat juga merupakan proses pengakuan jiwa raga seseorang hamba untuk melaksanakan ketetapan Allah supaya menjadi suatu bentuk amalan yang direstuiNya. Tujuannya ialah supaya dia tidak sekali-kali lupa terhadap tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh Tuhannya dan tidak lalai ketika menguruskan program kehidupan. Ibadat itu sebenarnya dapat membentuk persamaan hidup seseorang hamba di sisi Allah tanpa mengira warna kulit, pertalian darah dan darjat keturunan.  Ianya terletak dari sudut penyelarasan terhadap arahan-arahan dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan atau cara-cara sesuatu amalan itu dikendalikan. Umpamanya di dalam ibadat solat, mereka yang mahu mendirikan solat hendaklah mengikut aturan yang telah ditetapkan dalam peraturan solat; sama ada rukun atau syarat-syarat solat, di antaranya berdiri bagi yang berkuasa, rukuk, sujud, duduk di antara dua sujud sehingga selesai memberi salam. Oleh itu, semua manusia yang mukallaf dari pelbagai peringkat umur dan lapisan masyarakat mesti mengikut arahan dan ketetapan ini apabila mahu mendirikan ibadat solat. Jika seseorang itu merasakan dirinya dari keturunan yang mulia dan tidak mahu mengikut salah satu dari rukun atau syarat-syarat ibadat solat, maka solatnya tidak sah dan terbatal, dia tidak mendapat apa-apa ganjaran pahala dalam ibadatnya itu. Maka, ibadat ini bertujuan untuk membentuk persamaan hidup di kalangan ummat manusia yang mengaku beriman kepada Allah dan RasulNya tanpa mengira tinggi rendah darjat dan batas keturunan.

Firman Allah Ta'ala:

وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةً وَأَصِيلاً وَمِنَ اللَّيْلِ فَاسْجُدْ لَهُ وَسَبِّحْهُ لَيْلاً طَوِيلاً

Maksudnya: " Dan ingatlah nama Tuhanmu di waktu pagi dan di waktu petang, sujudlah kepadaNya di sebahagian malam dan bertasbihlah memujiNya di sebahagian malam yang panjang " (Al Insan: 25-26).

Pengakuan hidup seseorang hamba muslim tidak akan diterima jika dia tidak melakukan peribadatan terhadap Tuhannya, kerana perkara ini adalah suatu tanggungjawab. Setiap muslim yang merasakan dirinya seorang hamba yang mempunyai tanggungjawab mesti memusatkan ibadat kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa, dia hendaklah sentiasa mengingati kebesaran dan keagungan Allah, kerana dia adalah sebahagian dari umat yang dibentuk di bawah pengakuan dua kalimah syahadat untuk membina suatu keyakinan diri melalui program ibadat yang dikemukakan oleh syari ’at.

Firman Allah Ta'ala:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ عَسَىٰ أَنْ يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَحْمُودًا

Maksudnya: " Dan pada sebelah malam hendaklah kamu bangun bertahajud untuk mengerjakan solat nafilah (sunat), semoga Tuhan mu akan mengangkat mu ke darjat yang terpuji "(Al Isra: 79).

Mari kita lihat bagaimana ibadat Rasulullah s.a.w. yang dilakukan ketika menjelmanya waktu dinihari, sebagaimana sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Al Mughirah bin Syu'bah r.a. telah menjelaskan:

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى الله عليه وسلَّم يَقُوْمُ مِنَ اللَّيْلِ حَتَّى تَتَوَرَّمَ قُدَمَاهُ، وَلَمَّا قِيْلَ لَهُ: أَلَيْسَ قَدْ غَفَرَ اللهُ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ؟ قَالَ: أَفَلاَ أَكُوْنُ عَبْدًا شَكْوْرًا

Maksudnya: " Adalah Rasulullah s.a.w. bangun di waktu malam (untuk menunaikan solat) sehingga bengkak kakinya, apabila dikatakan kepada baginda: Tidakkah Allah telah mengampunkan dosa mu yang lalu dan yang akan datang? Baginda menjawab: Tidakkah patut aku menjadi seorang hamba yang bersyukur....? " (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Di dalam sepotong hadith yang lain, 'Ulqimah r.a. pernah bertanya kepada Aisyah r.a. tentang ibadat Rasulullah s.a.w.:

أَكَانَ رَسُوْلُ اللهِ صلَّى الله علَيه وسلَّم يَخُصُّ شَيْئًا مِنَ اْلأَيَّامِ  قَالَتْ: لاَ، كَانَ عَمَلُهُ دِيْمَةً وَأَيُّكُمْ يُطِيْقُ مَا كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صلَّى اللهُ علَـيْه وَسَلَّمَ يَطِيْقُ؟

Maksudnya: " Adakah Rasululah s.a.w. mengkhususkan masa tertentu setiap hari (untuk mengerjakan ibadat)? Lalu Aisyah r.a. menjawab: Tidak! Amalannya setiap hari sama belaka dan siapakah di antara kamu yang mampu beribadat sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dalam ibadatnya ?"(Riwayat Bukhari dan Muslim).

3. Sistem Akhlak

Al Quran telah membentuk sistem akhlak yang terbaik untuk memberi petunjuk dan garis pemisah di antara akhlak yang baik dan terpuji dengan akhlak yang buruk dan keji. Seseorang hamba muslim mesti memelihara akhlak dan pekerti hidup agar menjadi contoh teladan dan suri ikutan yang baik dalam masyarakat. Dia mesti bersifat dengan sifat yang baik yang mampu mengubah rentak hidup agar menjadi seorang hamba yang sempurna yang bebas dari ikatan jahiliyah dan suku-sakatnya. Dia mesti menampilkan diri dengan watak sebagai seorang muslim yang hebat agar kelihatan tampan, segak dan bergaya. Seseorang hamba muslim perlu mengubah corak dan warna hidup yang  jijik dan kotor serta bercampur-baur dengan noda dan dosa yang boleh mencacatkan warna kehidupan, kerana kehidupan seperti itu hanya memberi keseronakan buat sementara waktu sahaja. Dia perlu mengambil langkah selamat dengan memahami cara hidup Islam dari masa ke semasa dan lama-kelamaan cara hidup yang dianjurkan oleh Islam itu menjadi sebati dengan darah dagingnya. Di samping itu, dia juga mesti membebaskan diri dari tabiat buruk dan kebiasaan yang boleh menjejaskan reputasi diri serta nama baik Islam, seperti terlibat dengan penyalahgunaan dadah, pengambilan pil-pil khayal, ketagih arak, terlibat dengan perniagaan haram, amalan riba, memberi rasuah, terlibat dengan kongsi gelap, terlibat dalam perbalahan dan perkelahian kumpulan samseng, terlibat dalam pertubuhan-pertubuhan haram dan lain-lain. Dia perlu menjauhi daripada terlibat dalam perkara-perkara tersebut kerana ianya bukan muncul dari akhlak yang mulia, tetapi amat berbahaya dan boleh mengancam keselamatan diri. Oleh sebab itu, Islam sejak awal-awal lagi menjaga dan memelihara akhlak setiap para penganutnya daripada terlibat dengan perkara-perkara haram dan bertentangan dengan syari’at. Islam membawa umat manusia ke pangkuan Allah agar mereka menjadi manusia yang berakhlak mulia dan diredhai Allah. Untuk menjadi seorang muslim yang benar-benar excellent di sisi Allah, dia perlu mengetahui hakikat peradaban hidup sebagai seorang muslim seperti memberi salam ketika bertemu dan berpisah, ziarah-menziarahi di antara saudara seagama, sentiasa mendoakan kesejahteraan, sentiasa tolong-menolong dan saling bantu-membantu serta lain-lain lagi. Di samping itu, dia hendaklah menjauhkan diri daripada perbuatan menyakitkan hati sesama manusia, lebih-lebih lagi sesama saudara seagama seperti berbalah,  bertelingkah, mengumpat, mencela, mengeji, mengejek, mengampu dan lain-lain lagi. Akhlak yang paling baik untuk dicontohi ialah akhlak Nabi s.a.w. dan akhlak baginda s.a.w. menjadi ikutan yang amat berguna kepada generasi yang akan datang supaya mereka terus menjalani kehidupan mengikut garis panduan yang ada pada akhlak dan pekerti baginda s.a.w. Akhlak dan pekerti hidup baginda s.a.w. itu telah mendapat perhatian dan sanjungan di dalam Al Quran. Di sana, banyak ayat-ayat Al Quran memuji peribadi baginda s.a.w. sebagai seorang hamba yang mempunyai peradaban yang tinggi.


Firman Allah Ta’ala:

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ

Maksudnya: " Dan sesungguhnya kamu mempunyai keperibadian akhlak yang agung "(Al Qalam: 4).

            Baginda s.a.w. telah ditakdirkan oleh Allah bangkit di kalangan bangsa arab dan mereka terkenal mempunyai budaya hidup yang kasar dan akhlak yang rendah. Sebelum ini, tiada seorang pemimpin yang berjaya mengubah rentak akhlak dan pekerti bangsa arab, melainkan setelah bangkitnya baginda s.a.w. Dengan sebab itu, di antara tujuan asas baginda s.a.w. diutuskan ialah mengabdikan diri manusia kepada Allah, tetapi di samping itu baginda s.a.w. bertindak membetul dan membentuk akhlak hidup mereka  supaya bersesuaian dengan konsep keimanan yang dibawa oleh baginda s.a.w.

Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan sepotong hadith, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

ِإنَّمَا بُعِثْتُ ِلأُتَمِّمَ مَكَارِمَ اْلأَخْلاَقِ

Maksudnya: " Sesungguhnya Aku dibangkitkan oleh Allah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak "(Riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi).

Di dalam sepotong hadith yang lain, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda

وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ لاَ يَدْخُلُ اْلجَنَّةَ إِلاَّ حُسْنُ اْلأَخْلاَقِ

Maksudnya: " Demi Tuhan diri ku berada dalam kekuasaanNya! Seseorang itu tidak akan masuk syurga melainkan mempunyai akhlak yang baik "(Riwayat Tirmizi ).

4. Sistem Siasah Dan Politik

Al Quran telah mengatur sistem siasah dan politik bertujuan untuk membentuk sistem pemerintahan yang adil dan syumul serta bebas dari sistem politik ala jahiliyah. Sistem siasah dan politik yang dikemukakan oleh Al Quran adalah sistem yang mengikat erat dengan ketuhanan Allah dan tidak boleh dipisahkan, supaya kuasa pemerintahan yang diperolehi oleh seseorang pemimpin itu tidak disalah-gunakan kepada perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai agama. Namun begitu, terdapat beberapa peraturan hukum-hakam dan undang-undang mengenai hal ehwal pentadbiran dan pengurusan dalam sesebuah negara tidak disebut secara jelas (qath'ei) dalam Al Quran dan As Sunnah s.a.w. maka para ulama telah menggunakan kaedah ijtihad yang dinamakan sebagai ‘Siasah Syar'iyah’ yang merupakan dasar-dasar hukum-hakam yang diaplikasikan secara praktikal dalam sistem pemerintahan dengan merujuk kepada dasar perundangan yang boleh menerima perubahan bagi tujuan kemaslahatan. Pelaksanaan siasah syar’iyah tidak hanya tertakluk kepada persoalan jenayah seperti hudud, qisas dan ta'zir atau persoalan mengenai hukum-hakam semata-mata, tetapi ianya merangkumi aspek pemerintahan, aspek pentadbiran, aspek pembangunan, aspek perundangan, aspek penghakiman, hubungan dua hala, hubungan antarabangsa dan lain-lain lagi. Sebab itu, sistem siasah dan politik Islam bertujuan untuk merealisasikan prinsip-prinsip  asy syura (musyawarah), al hurriyah (kebebasan), al musawah (persamaan), al amanah (kepercayaan), al ‘adalah (keadilan) dan al masuliyah (tanggungjawab).

Firman Allah Ta’ala:

شَرَعَ لَكُمْ مِنَ الدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِ نُوحًا وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰ  أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ

Maksudnya: “Allah telah menerangkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: “Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya”(Asy Syura: 13).

Firman Allah Ta’ala:

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الأرْضِ أَقَامُوا الصَّلاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الأُمُورِ

Maksudnya: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”(Al Hajj: 41).

        Sistem siasah dan politik Islam juga bertanggungjawab menyebarkan dakwah Islamiyah di atas muka bumi ini, kerana  pemimpin yang mempunyai kuasa pemerintahan harus bijak mengguna-pakai kuasa tersebut untuk mengembangkan agama Allah kepada mereka yang belum menerima cahaya hidayat.

Firman Allah Ta’ala:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ كَافَّةً لِلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يَعْلَمُونَ


Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutus mu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi peringatan (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).”(Surah Saba’: 28)

       Sistem siasah dan politik Islam juga bertujuan untuk merealisasikan keadilan dalam pelbagai aspek dan lapangan hidup, sama ada keadilan sosial, keadilan dalam sistem kemasyarakatan, keadilan dalam sistem undang-undang dan kehakiman, keadilan dalam sistem pentadbiran negara dan pengurusan serta lain-lain lagi. Ianya termasuk pengagihan dan pemberian hak rakyat, pengawasan dan perlindungan hak dari sebarang kezaliman atau ketidak-adilan, pemeliharaan kebebasan dan nilai-nilai persamaan. Dengan sistem siasah dan politik Islam ini, maka objektif terakhir ialah menegakkan sebuah Daulah Islamiyah yang bebas dari cengkaman jahiliyah, di mana masyarakat yang dibentuk itu adalah masyarakat yang berdiri di atas falsafah keimanan dan ketaqwaan serta berani menegakkan kebaikan dan menentang kemungkaran.

Firman Allah Ta’ala:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi manusia, (di antara tugas) kamu hendaklah melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah, kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman, tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka, tetapi di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah fasik”(Ali ‘Imran: 110).

5. Sistem Ekonomi

Al Quran telah mengemukakan sistem ekonomi yang seimbang dan sangat adil kepada umat manusia untuk mencari bekalan hidup dalam menguruskan saki-baki kehidupan dan sistem ekonomi yang dianjurkan ini memberi ruang yang sangat luas kepada mereka yang ingin mencari seberapa banyak kekayaan dan keuntungan dalam bidang ekonomi, sama ada berbentuk perniagaan, perdagangan, pelaburan saham, peluang mencari keuntungan, perkongsian syarikat dalam perniagaan, hutang-piutang dan lain-lain lagi. Akan tetapi, mereka tetap terikat dengan peraturan dan undang untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku dalam sistem ekonomi seperti, melakukan penindasan, memonopoli sesuatu barangan, mengurangkan timbangan, mengamalkan budaya rasuah, menjual barangan tidak halal dan najis dan lain-lain lagi. Sistem ekonomi yang dikemukakan ini merupakan garis panduan dan ianya juga merupakan jaminan keadilan terhadap mereka yang terlibat dalam urusan hal ehwal ekonomi. Sebab itu, sistem ekonomi Islam amat jauh berbeza dengan sistem ekonomi bukan Islam, kerana sistem ekonomi Islam berasaskan kepada wahyu yang menjadi akar tunjang dalam perjalanan sistem tersebut. Setiap umat Islam perlu mencari peluang ekonomi sebagai persiapan membina kehidupan untuk masa hadapan. Ekonomi yang diusahakan itu bertujuan untuk menjamin kekuatan hidup agar mereka menjadi manusia yang dikasihi oleh Allah. Dengan perniagaan yang dijalankan dan pelaburan yang dikeluarkan, bererti mereka telah memiliki jaminan masa hadapan untuk membina kekuatan hidup dan sekaligus membasmikan diri mereka dari gangguan kefakiran. Peluang perniagaan dan pelaburan dalam sektor ekonomi amat luas sekali yang melibatkan pelbagai urusan yang boleh membuat keuntungan yang berlipat kali ganda, sama ada berkaitan dengan urusan duniawi ataupun berkaitan dengan urusan ukhrawi. Apabila sesuatu sektor itu dikaitkan dengan mencari keredhaan Allah, maka sesungguhnya masa depan perusahaan itu pasti terjamin untuk terus berada di bawah naungan rahmat Allah dan akan membuahkan hasil yang lumayan serta berlipat kali ganda. Sebab itu, mereka yang terlibat dalam urusan ekonomi mesti bijak mengendalikan sesuatu perusahaan yang dijalankan supaya jaminan keuntungan tercapai dan tidak sekali-kali membawa risiko kerugian dalam pasaran.

    Apa yang penting di sana ialah perusahaan dalam ekonomi itu tidak mengandungi unsur-unsur terlarang seperti unsur-unsur riba atau gharar ataupun unsur-unsur kekeliruan serta kekaburan yang tidak diketahui dengan jenis. Namun, apa yang penting di sana ialah niat yang tulus ikhlas kerana Allah di samping lapangan hidup dalam menguruskan sistem ekonomi ini adalah berkisar di atas nama fi sabilillah  yang bergerak semata-mata untuk mencari keredhaan Allah.


Firman Allah Ta’ala:

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلاةُ فَانْتَشِرُوا فِي الأرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Maka apabila selesai menunaikan ibadat solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan dari Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung”(Al Jumu’ah: 10).



Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment