Kehidupan Nabi s.a.w. amat
jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan pemimpin-pemimpin umat manusia
lain yang ada di atas dunia ini, mereka hidup dalam keadaan mewah dan dipenuhi
dengan harta kekayaan, mereka tinggal di dalam istana dan membina mahligai yang
indah-indah. Akan tetapi kehidupan baginda s.a.w. dipenuhi dengan program amal
ibadat dan hubungan yang erat dengan Allah. Setiap detik kehidupan baginda
s.a.w. sentiasa dikaitkan dengan Allah dan baginda s.a.w. pula tidak pernah
lalai ingatannya kepada Allah.
Allah Ta'ala telah
berfirman:
لاَ
تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَىٰ مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِنْهُمْ وَلاَ
تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِلْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “ Dan
jangan kamu memanjangkan pandangan mu kepada kesenangan yang Kami berikan
kepada beberapa golongan di kalangan mereka dan janganlah kamu merasa sedih
terhadap mereka “ ( Al Hijr: 88).
Rasulullah s.a.w. memilih kehidupan zuhud
dalam kehidupannya semata-mata untuk menyatakan pengabdian dirinya kepada
Allah, baginda s.a.w. memilih jalan untuk sibuk melakukan amal ibadat kepada
Allah dan tidak sibuk mengumpul harta kekayaan. Baginda s.a.w. memilih jalan
zuhud sebagai dasar kehidupannya adalah kerana untuk memberi pengajaran kepada umatnya
bahawa seseorang pemimpin tidak semestinya kaya-raya untuk memimpin umat
manusia, bahkan apa yang penting di sana ialah ilmu pengetahuan yang diikat
dengan usaha dan pengorbanan, di samping hubungan yang tulus ikhlas dengan
Allah. Kehidupan
zuhud baginda s.a.w. telah digambarkan di dalam sepotong hadith, sebagaimana
yang telah diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas'ud r.a.
دَخَلْتُ عَلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ وَقَدْ قَامَ عَلَى حَصِيْرٍ، وَقَدْ أَثَّرَ فِىْ جَنْبِهِ
الشَّرِيْفِ، فَقُلْتُ: يَارَسُوْلَ الله! لَوِ اتَّخَذْنَا لَكَ وِطَاءً
نَجْعَلُهُ بَيْنَكَ وَبَيْنَ اْلحَصِيْرِ يَقِيْكَ مِنْهُ! فَقَالَ: مَالِى
وَلِـلدُّنْيَا مَا أَنَا وَالدُّنْيَا إِلاَّ كَرَاكِبٍ اسْتَظَلَّ تَحْتَ
شَجَرَةٍ ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا
Maksudnya: “ Saya
telah datang berjumpa Rasulullah s.a.w. dan ketika itu baginda sedang berbaring
di atas sebidang tikar (yang diperbuat dari daun kurma) yang memberi kesan pada
bahagian belakang baginda yang mulia itu, maka akupun berkata: Wahai
Rasulullah! Apa kata sekiranya kita buatkan suatu bantal yang diletakkan antara
kamu dan tikar itu, supaya tidak lagi memberi kesan belakang mu! Maka baginda
bersabda: Apalah aku dan dunia ini! Tidaklah aku dan dunia ini melainkan
seperti seorang pengembara yang berhenti berteduh sejenak di bawah pohon,
kemudian itu dia meneruskan perjalanan “
Demikianlah..!
Apabila kemuliaan diri benar-benar berada di puncak yang paling tinggi dan
menguasai segala impian dan harapan, maka sesungguhnya ikatan pertalian dengan
ketuhanan Allah itu pasti akan menggamit. Hubungan cinta dan belaian kasih
sayang adalah hanya untuk mendapat keredhaan Allah semata-mata, hubungan
tersebut bertujuan untuk membina ikatan tali keimanan dan ketundukkan diri
kepada Allah, hubungan yang menagih secebis kerinduan dan seteguk kecintaan.
Apabila keimanan itu mula mendakap erat dan mula mendapat tempat di sudut hati
sanubari dan jiwa nurani dan apabila terlerai sudah cengkaman hawa nafsu dan
kejahilan diri, maka segala-galanya akan dipersembahkan ke hadapan Allah, Tuhan
Yang Maha Agung itu, segala-galanya akan diserahkan bulat-bulat kepadaNya.
Hati kecilnya akan mula berkata: Bahawa sebenarnya segala
harta benda dan kemewahan hidup ada pinjaman buat sementara waktu sahaja dan
kehidupan itu pula merupakan perjalanan untuk menunggu hari esok sementara
menunggu hari perpisahan di antara roh dan jasad....!
Manakala
di dalam sepotong hadith yang lain, Anas bin Malik r.a. telah meriwayatkan:
دَخَلْتُ
عَلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى سَرِيْرٍ
مُضْطَجِعٍ مُزَمِّلٍ بِشَرِيْطٍ وَتَحْتَ رَأْسِهِ وَسَادَةِ مِنْ أَدَمٍ
حَشُوْهَا لِـيْف فَدَخَلَ عَلَيْهِ نَفَرٌ مِنَ الصَّحَابَةِ وَدَخَلَ عُمَرَ،
فَانَحَرَفَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْحِرَافَةً، فَلَمْ
يَرَى عُمَرَ بَيْنَ جَنْبِهِ وَبَيْنَ الشَّرِيْطِ ثَوْبًا وَقَدْ أَثَرَ
بِجَنْبِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَـكَى عُمَرَ، فَقَالَ
لَهُ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلّم: مَا يَبْكِيْكَ يَا عُمَرَ؟
قَالَ: وَاللهِ مَا أَبْكِى إِلاَّ لِكَوْنِى أَعْلَمُ أَنَّكَ أَكْرَمُ عَلَى
رَبِّكَ مِنْ كَسْرٍ وَقَيْصَر وَيَعِيْشَانِ فِىْ الدُّنْيَّا فِيْمَا
يَعِيْشِانِ فِيْهِ وَأَنْتَ يَا رَسُوْلَ اللهِ فِى اْلمَكَانِ الَّذِى أَرَى،
فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلّى اللهُ عَلَيْه وَسَلَّمَ: أَمَّا تَرْضى أَنْ
تَكُوْنَ لَهُمُ الدُنْيِّا وَلَنَا اْلآخِرَة؟ قَالَ: بَلَى، قَالَ: فَإِنَّهُ
كَذَلِكَ
Maksudnya: “ Aku
berjumpa Rasulullah s.a.w. dan ketika itu baginda berada di atas katil sambil
berbaring dan dibawah kepalanya terdapat bantal yang diperbuat daripada sabut,
beberapa orang sahabat datang berjumpa baginda dan kemudian datang pula Umar
r.a. lalu baginda bangun memberi ruang kepada Umar r.a. untuk duduk. Ketika itu
Umar r.a. melihat baginda tanpa alas kain menutup belakang tubuhnya dan jelas
kelihatan kesan-kesan pada belakang baginda s.a.w. Melihat keadaan itu, Umar
r.a. menangis, lalu Rasulullah s.a.w. bertanya: Apakah yang menyebabkan kamu
menangis wahai Umar? Dia menjawab: Demi Allah! Tidaklah aku menangis melainkan
keadaan ku ini dan aku mengetahui bahawa kamu lebih mulia di sisi Tuhan mu dari
Maharaja Kisra dan Kaisar yang hidup dengan penuh kemewahan dunia dan kamu
wahai Rasulullah hidup dalam keadaan yang apa aku lihat, maka Rasulullah s.a.w.
bersabda: Tidakkah kamu redha wahai Umar? Mereka memiliki dunia dan kita
memiliki akhirat, lalu Umar berkata: Bahkan wahai Rasulullah! Kemudian
Rasulullah s.a.w. meneruskan sabdanya: Sesungguhnya kamu demikian juga “ (Riwayat
Imam Ahmad).
Mengapa
Rasulullah s.a.w. memilih kehidupan seperti ini sebagai jalan mencari keredhaan
Allah, mengapa baginda s.a.w. tidak menyimpan harta kekayaan untuk ditinggalkan
sebagai pusaka selepas kematian nanti, adakah baginda suka hidup dalam keadaan
miskin dan bencikan kekayaan..? Sediainya demikian, mengapa baginda tidak
melarang menantunya Uthman bin Affan r.a. daripada memiliki harta kekayaan,
mengapa baginda tidak melarang sahabat karibnya Abu Bakar As Siddiq, Umar Al
Khattab dan lain-lain sahabat termasuk
Abdul Rahman bin Auf daripada terus memiliki harta kekayaan, mengapa
demikian..?
Di
sana terdapat beberapa fakta yang perlu difahami oleh setiap muslim dan fakta
ini perlu dijadikan pengajaran mengapa Rasulullah s.a.w. memilih jalan zuhud
sebagai laluan hidupnya untuk kembali ke pangkuan Allah:
Pertama: Baginda mahu mendidik
generasi muslim yang akan datang supaya menghayati nilai-nilai zuhud supaya
mereka mengerti dan faham makna tolong-menolong dan bantu-membantu di antara
satu sama lain, lebih-lebih lagi mereka yang tidak memiliki apa-apa harta
kekayaan. Baginda s.a.w. mahu membentuk generasi yang tumbuh di atas dasar
kesedaran diri sendiri dan mempunyai pertalian yang erat dengan ketuhanan
Allah, di samping mereka sentiasa mengambil cakna tentang hal ehwal yang
berlaku di dalam masyarakat. Apa yang penting di sana, kekayaan yang diperolehi
itu bukan untuk disimpan, tetapi untuk dibelanjakan ke jalan Allah dan membantu
saudara seagama yang berada di dalam kesusahan.
Firman Allah Ta'ala:
وَالَّذِينَ
تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالإِيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ
إِلَيْهِمْ وَلاَ يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ
عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ
Maksudnya: “ Dan bagi
orang-orang yang telah menetap di Kota Madinah dan beriman, mereka mencintai
orang-orang yang berhijrah kepada mereka dan mereka tidak sedikitpun menaruh
keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (yang
berhijrah), sekalipun mereka berada dalam kesusahan “ (Al Hasr: 9).
Kedua: Baginda mahu mendidik
generasi muslim agar sanggup hidup dalam keadaan serba sederhana, tidak terlalu
mewah, tidak bersifat tamak haloba mengejar kebendaan dan mengumpul kekayaan,
tidak pula berlumba-lumba mengumpulkan harta, kerana perbuatan tersebut boleh
melalaikan ingatan manusia terhadap Allah, justeru tugas dan tanggungjawab
dalam urusan agama menjadi semakin terhad dan terbatas. Harta yang terlalu
banyak sehingga melimpah-ruah boleh menyebabkan seseorang itu menjadi buta
terhadap kewajiban dalam agama, dia tidak lagi dapat melihat dengan baik dan
sempurna melainkan penglihatannya itu dihiasi dengan kemewahan dan ratna mutu
manikam.
Inilah yang ditakuti oleh baginda s.a.w. dan
hal ini bukanlah bererti baginda menolak terus kekayaan dan kemewahan, akan
tetapi baginda khuatir dengan memiliki harta kekayaan dan kemewahan hidup akan
merosakan hubungan dengan Allah.
Firman Allah Ta'ala:
وَمَا
هَٰذِهِ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إلاَّ لَهْوٌ وَلَعِبٌ وَإِنَّ الدَّارَ الآخِرَةَ
لَهِيَ الْحَيَوَانُ ۚ
لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “ Dan tidaklah kehidupan dunia itu melainkan
sia-sia dan permainan belaka, sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan
(yang sebenar) sekiranya mereka mengetahui “ (Al 'Ankabut: 64).
Ketiga: Baginda mahu mendidik
generasi muslim supaya merasa cukup dengan rezeki yang dikurniakan oleh Allah,
jangan terlalu ghairah mengumpul kekayaan dan kemewahan sehingga lupa daratan
dan melampaui batas-batas dalam agama. Baginda s.a.w. mahu supaya generasi
muslim yang akan dibentuk nanti menjadi generasi yang pertengahan dan merasa
cukup dengan rezeki yang diperolehinya dan memadailah dengan apa yang dikecapi.
Namun demikian, usaha yang gigih dan pengorbanan yang berlipat kali gdia perlu
dilakukan dalam kehidupan, di samping keazaman dan tawakkal yang kuat kepada
Allah. Apabila Allah mengurniakan rezeki, lantas dia terus bersyukur dan
apabila Allah tidak mengurniakan apa-apa baginya, dia tetap bersyukur.
Firman Allah Ta'ala:
وَكَذَٰلِكَ
جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ
الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا
Maksudnya: “
Demikianlah Kami jadikan kamu umat yang pertengahan supaya kamu menjadi saksi
kepada manusia, manakala Rasul pula menjadi saksi kepada kamu” (Al Baqarah: 143).
Keempat: Baginda mahu mendidik
generasi muslim dan memberi kefahaman kepada mereka bahawa perjuangan Islam
bukanlah bertujuan untuk mengumpulkan harta dan membina kekayaan, perjuangan
Islam bukanlah perjuangan yang mahukan kesenangan hidup buat sementara waktu
dan perjuangan Islam juga bukanlah perjuangan yang inginkan kenikmatan buat
seketika. Oleh sebab itu, baginda s.a.w. tidak pernah memperdagangan agama
semata-mata mengangkat darjat dan kedudukannya di sisi masyarakat, baginda pula
tidak pernah mencari kedudukan di dalam masyarakat dengan menggunakan nama
Islam atau mengumpulkan harta kekayaan dan kemewahan hidup di atas nama Islam,
sebaliknya baginda menjadikan Islam itu sebagai saluran dan sasaran untuk
menyeru manusia kembali kepada Allah, baginda meletakkan Islam itu sebagai ad
deen dan sebagai suatu cara hidup yang praktikal untuk dihayati. Dengan sebab
itu, baginda dapat menarik minat manusia ke arah Islam kerana cara hidup Islam
yang universal…!
Mari kita renungkan
firman Allah Ta'ala ini:
وَيَا
قَوْمِ لاَ أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مَالاً إِنْ أَجْرِيَ إِلاَ عَلَى اللَّهِ
Maksudnya: “ Wahai kaum ku! Aku tidak
pernah meminta dari kamu harta kekayaan kerana ganjaran ku hanyalah kepada
Allah “ (Hud: 29).
Sekian, wassalam
Al faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment