Sesungguhnya Al Quran merupakan kitab mukjizat yang
sangat hebat dan mempunyai pelbagai khazanah agung yang masih belum dapat
diterokai oleh manusia. Sehingga kini, pelbagai tafsiran, kupasan, perbahasan
dan kajian yang dilakukan oleh ulama, Cendiakawan dan para ilmuan, sama ada dari kalangan
orang-orang Islam ataupun bukan Islam terhadap Al Quran, tetapi sehingga kini
tiada tanda-tanda yang menunjukkan kajian itu akan berakhir. Lazimnya, kajian
tentang Al Quran ini melibatkan cara penggunaan bahasa dalam struktur perkataan
dan penggunaan sesuatu ayat, fakta-fakta sejarah yang dikemukakan walaupun
tidak dinyatakan tarikhnya, fakta biologi yang melibatkan kejadian manusia,
haiwan, tumbuh-tumbuhan dan kehidupan seni, fakta sains yang melibatkan
kejadian alam, perubahan siang dan malam, pergerakan bumi, pancaran cahaya
matahari, cahaya bulan, kerlipan bintang dan lain-lain lagi, di mana kajian
yang dilakukan itu masih belum ada tanda-tanda titik noktahnya. Isi kandungan Al
Quran yang tidak pernah berubah sejak ianya diturunkan dan saranannya sentiasa
relevan dengan setiap peralihan zaman menyebabkan para pengkaji semakin ghairah
untuk menerokai khazanah yang masih belum ditemui. Ketika
Al Quran diturunkan pada kurun keenam Masehi, di sana belum terdapat kajian
yang mendalam dan masyarakat ketika itu tidak mengetahui mengenai ilmu sains
dan teknologi. Kajian mengenai pelbagai rahsia kejadian alam bermula pada kurun
kesembilan dan rumusan dalam kajian tersebut menepati maklumat yang dikemukakan
Al Quran. Penemuan baru sains dan teknologi pada hari ini yang berasaskan
kepada sumber Al Quran adalah bukti yang paling nyata bahawa setiap ayat dan
susunan perkataannya mengandungi hikmah dan rahsia tersendiri mukjizat dari
Allah Ta’ala:
الر تِلْكَ آيَاتُ
الْكِتَابِ الْحَكِيمِ
Maksudnya:
“Alif, Lam Raa'
ini adalah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmah-hikmah (kebenaran
yang tetap teguh)”
(Yunus: 1).
Sesungguhnya khazanah ilmu yang terdapat dalam
Al Quran mendahului zaman memandangkan fakta sains dan teknologi yang ada di
dalamnya adalah terbukti benar. Di antara Cendiakawan yang terkenal terlibat dalam kajian sains dan
teknologi Al Quran ialah Ibn Sina terkenal dalam dunia perubatan sehingga
kitabnya ‘Al Qanun Fi Al Tibb’ telah diterbitkan di Rom pada tahun 1593 sebelum
dialih-bahasa ke dalam Bahasa Inggeris dengan judul ‘Precepts of Medicine’.
Tidak sampai seratus tahun, kitab itu telah dicetak ke dalam lima belas bahasa
dan pada abad ketujuh belas, kitab tersebut telah dijadikan sebagai bahan
rujukan asas di universiti-universiti di Itali dan Perancis malah sehingga abad kesembilan belas, kitab
itu masih diulang cetak dan digunakan oleh para pelajar perubatan. Al Zahrawi dikenali
sebagai ‘bapa pembedahan Islam’ dan beliau mengemukakan kaedah pembedahan dalam kitabnya ‘Al Maqalah Fi Amali ‘Ala Fanni Al
Jarahah’ dan kitab ensklopedianya ‘Al Tasrif liman ‘Ajaza Ani Al Ta’lif’ yang menyatakan
tentang kedoktoran, pembedahan dan perubatan mengenai pembidanan, pembedahan
mata, telinga dan gigi. Ibn Haitham terkenal dalam bidang optik, beliau telah berjaya
mengilatkan kanta bagi membuat mikroskop dan membuat kesimpulan bahawa
pembesaran kanta berkait rapat dengan kadar kecembunganya. Al Khawarizmi
dikenali sebagai bapa algebra terkenal dalam bidang matematik, beliau menghasilkan buku pertama di dalam algebra yang dinamakan ‘Aljabar
Wa Al Muqabalah’ mengandungi himpunan pengetahuan yang membolehkan terbentuknya
algebra. Al Biruni terkenal dalam bidang astronomi dan beliau menulis
sebuah kitab ‘Rasa'l Al Biruni’ sebuah ensiklopedia astronomi dan matematik,
kejayaannya yang terpenting ialah menentukan musim dan pasang sudut air laut,
menentukan kedudukan garis lintang dan garis bujur bumi, mencipta jam dan
kalendar, mencipta rumus trigonometri dan mencipta alat menyukat ketumpatan.
Ramai lagi Cendiakawan Islam yang terlibat dalam kajian sains dan
teknologi dalam Al Quran ini. Namun, apabila berlaku kejatuhan empayar Islam
dan kejatuhan Daulah Islamiyah di Turki pada 1924, segala khazanah agung Cendiakawan
Islam telah diceduk dan dikikis oleh
penjajah. Mereka mendakwa bahawa ilmu-ilmu yang dikaji oleh cendikiwan Islam
itu sebagai hak milik mereka. Nama-nama mereka tenggelam dalam lipatan sejarah dan
penjajah mengiklankan nama-nama baru dalam dunia sains dan teknologi seperti Isacc
Newton, Charles Darwin, Aristotle, Leonardo da Vinci, Galilieo Galilie dan
lain-lain. Bahkan, nama-nama Cendiakawan
Islam itu telah ditukar ke dalam bahasa Inggeris seperti Ibn Sina kepada
Avicenna, Ibn Rushd kepada Averroes, Ibn Haitam kepada Alhazen, Al Biruni
kepada Alberuni, Al Battani kepada Albetagnius, Al Khindi kepada Alkindus, Al
Zahrawi kepada Albucasis. Penjajah telah menipu fakta sejarah sains dan
teknologi yang menyatakan Isacc Newton adalah orang pertama menemui teori graviti,
tetapi sebenarnya Ibn Haitam lebih dahulu menemui teori tersebut sebelum Isacc
Newton. Jika sejarah mengatakan Wilbur Wright dan Oliver Wright merupakan
manusia pertama mencipta kapalterbang, tetapi sebenarnya Ibn Firnas adalah
orang pertama yang membuat penerbangan dan perkara ini diakui oleh seorang
pakar sejarah bernama Philip Hitti, dalam buku
‘History of the Arabs’: Ibn Firnas was the first man in history to make a
scientific attempt at flying.
Penerokaan
khazanah sains dan teknologi dalam Al Quran masih lagi diusahakan oleh para
pengkaji sehingga ke hari ini untuk mencari perkara-perkara baru yang boleh
diguna-pakai dalam dunia teknologi atau sebagai maklumat untuk membentuk
realiti semasa terhadap kajian yang sedang diusahakan.
Di sini kami nyatakan beberapa fakta sejarah yang
merupakan khazanah ilmu yang telah muncul dalam dunia kemanusiaan dan telah
berlaku, tetapi masih belum mampu diaplikasi oleh para penyelidik dan
pakar-pakar sains dalam bentuk teknologi ialah:
1. Kisah Istana Balqis
Diangkat
Kisah istana Puteri Balqis diangkat dari Yaman ke
Palestin dengan sekelip mata telah didedahkan dalam Al Quran dan perkara ini
telah berlaku dalam sejarah kemanusiaan. Walaupun perkara ini dianggap sebagai
‘ karamah’ yang dikurniakan oleh Allah kepada hambaNya yang terpilih, tetapi
sebenarnya itulah teknologi yang ada pada zaman tersebut dan berbeza dengan
teknologi yang ada pada hari. Namun, pada hakikatnya walaupun ianya berbeza
tetapi kedua-dua adalah kurniaan dari Allah yang datang dari satu sumber yang
sama.
Firman Allah:
قَالَ عِفْرِيتٌ مِنَ الْجِنِّ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ
أَنْ تَقُومَ مِنْ مَقَامِكَ وَإِنِّي
عَلَيْهِ لَقَوِيٌّ أَمِينٌ قَالَ الَّذِي عِنْدَهُ عِلْمٌ مِنَ الْكِتَابِ أَنَا
آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ فَلَمَّا رَآهُ مُسْتَقِرًّا عِنْدَهُ قَالَ
هَٰذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ وَمَنْ شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ
Maksudnya:“ Berkata Ifrit dari golongan jin: Aku akan membawa (istana Balqis)
kepada mu sebelum engkau bangun dari tempat duduk mu dan sesungguhnya aku amat
kuat lagi amanah. Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari
Kitab Allah: Aku akan membawa (istana Balqis) kepada mu sebelum mata mu
berkelip, setelah Nabi Sulaiman melihat istana itu terletak di sisinya lalu berkata:
Ini adalah limpah kurnia Tuhan ku, untuk menguji aku adakah aku bersyukur atau
aku kufur terhadap nikmat pemberianNya, sesiapa yang bersyukur maka faedah
syukur itu terpulang kepada dirinya dan sesiapa yang tidak bersyukur maka
sesungguhnya Tuhan ku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah” (An Naml: 40).
Peristiwa
istana Puteri Balqis diangkat dari Yaman ke Palestin telah berlaku pada zaman
Nabi Sulaiman a.s. dan peristiwa ini diakui bukan sahaja di kalangan
orang-orang Islam, tetapi di kalangan orang-orang bukan Islam termasuk
orang-orang Yahudi mengakui kebenaran peristiwa tersebut. Dalam peristiwa ini,
pengajaran yang dapat diambil ialah keilmuan yang ada pada manusia telah mengatasi
keilmuan yang dimiliki oleh golongan jin yang telah diberi kefahaman tentang Al
Kitab yang diturunkan oleh Allah. Orang yang mengangkat istana Puteri Balqis
ialah Ashif Burkhiya yang merupakan setiausaha kepada Nabi Sulaiman a.s. Perkara
ini telah berlaku dalam lipatan sejarah Islam dan tidak mustahil suatu hari
nanti manusia akan dapat mencipta teknologi yang boleh mengangkat atau mengalih
bangunan ke tempat yang lain dan tidak mustahil kejadian yang telah berlaku itu
dianggap ‘karamah’ boleh diolah menjadi suatu bentuk teknologi yang canggih.
2. Kisah Nabi Yunus a.s. Ditelan Ikan
Kisah Nabi Yunus a.s. yang ditelan oleh seekor ikan
telah diceritakan dalam Al Quran untuk dijadikan contoh teladan dan pengajaran
yang baik kepada sekalian umat manusia tentang kekuasaan Allah terhadap
hambaNya yang terpilih.
Firman Allah Ta’ala:
وَإِنَّ يُونُسَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ إِذْ أَبَقَ إِلَى
الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ فَسَاهَمَ فَكَانَ مِنَ الْمُدْحَضِينَ فَالْتَقَمَهُ
الْحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٌ فَلَوْلاَ أَنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُسَبِّحِينَ لَلَبِثَ
فِي بَطْنِهِ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ فَنَبَذْنَاهُ بِالْعَرَاءِ وَهُوَ
سَقِيمٌ وَأَنْبَتْنَا عَلَيْهِ شَجَرَةً مِنْ يَقْطِينٍ وَأَرْسَلْنَاهُ إِلَىٰ
مِائَةِ أَلْفٍ أَوْ يَزِيدُونَ فَآمَنُوا فَمَتَّعْنَاهُمْ إِلَىٰ حِينٍ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari rasul-rasul (Kami) yang diutus,
ketika dia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat, maka dia pun turut
mengundi, lalu dia dari orang-orang yang kalah yang dibuang (ke laut), setelah
itu dia ditelan oleh ikan besar, sedang dia berhak ditempelak, maka kalaulah
dia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan
tasbih), tentulah dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari
manusia dibangkitkan keluar dari kubur, oleh itu Kami campakkan dia keluar
(dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang dia berkeadaan
sakit dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok yang berdaun
lebar, Kami utuskan kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih, maka
merekapun beriman, lalu Kami biarkan mereka menikmati kesenangan hidup hingga
ke suatu masa” (Shaffat:139-148).
Kisah
bermula apabila Nabi Yunus a.s. merasa kecewa terhadap kaumnya yang tidak mahu
beriman kepada Allah, lalu beliau meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah sambil
memohon kepada Allah agar diturunkan bala ke atas mereka. Permohonannya
dimakbulkan Allah, lalu kaumnya itu mendapat laknat dari Allah. Nabi Yunus yang
meninggalkan kaumnya menaiki sebuah kapal, apabila berlaku undian kerana kapal
tersebut hampir tenggelam, Nabi Yunus a.s. diarahkan terjun ke laut dan kemudian
dia ditelan oleh seekor ikan Nun. Allah mewahyukan kepada seekor ikan tersebut
untuk menelannya dan menyimpannya di dalam perut sebagai amanat Tuhan. Ikan
tersebut membawanya memecah gelombang timbul dan tenggelam ke dasar laut.
Beliau merasa bersedih sambil memohon ampun kepada Allah di atas tindakan salah
yang dilakukannya secara tergesa-gesa. Di dalam perut ikan itu, beliau berdoa:
أَنْ لا إِلَٰهَ إِلا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ
مِنَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya: “Tidak ada Tuhan melainkan Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku
termasuk orang-orang yang zalim.” (Al Anbiya: 87).
Setelah selesai menjalani hukuman Allah berada dalam perut ikan beberapa lama, maka ikan tersebut telah memuntahkan Nabi Yunus a.s. ke tepi pantai dan dia berada dalam keadaan lemah dan lembik. Kemudian, Allah Ta’ala dengan rahmatNya telah menumbuhkan pokok labu, di mana daunnya digunakan oleh Nabi Yunus a.s. untuk menutup badannya di samping menikmati rasa buahnya. Dalam peristiwa ini, Nabi Yunus a.s. berada dalam perut ikan dalam tempoh yang lama dan dari segi logiknya adalah mustahil bagi seseorang yang ditelam seekor binatang boleh hidup dalam perutnya dalam tempoh yang lama. Maka di sini, menunjukkan kepada kita bahawa inilah bentuk teknologi yang diguna-pakai oleh Nabi Yunus a.s. yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. Sehingga kita, teknologi yang diguna-pakai oleh Nabi Yunus a.s. ini masih lagi tidak mampu dikuasai atau dimiliki oleh dunia sains hari ini. Akan tetapi, kisah Nabi Yunus a.s. ditelan oleh ikan ini menjadi ilham kepada pakar-pakar sains untuk mencipta kapal selam.
3. Kelahiran Nabi
Isa a.s. Tanpa Bapa
Al Quran telah menceritakan kisah kelahiran
Nabi Isa a.s. yang unik kerana dilahirkan tanpa bapa dan manakala ibunya Maryam
pula tidak pernah ‘disentuh’ oleh mana-mana lelaki. Tetapi, kisah yang unik ini
telah dieksploitasikan oleh penganut Agama Kristian sehingga mendakwa beliau
adalah anak tuhan. Secara logik akal, bagaimana seorang gadis yang tidak pernah
disentuh atau diusik oleh lelaki, apatah lagi untuk melakukan perkara-perkara
yang terkutuk mengandung dan kemudian melahirkan anak…? Dari sudut biologinya,
perkara ini adalah sesuatu yang mustahil dan tidak boleh diterima akal, kerana
untuk melahirkan anak seseorang itu mesti melalui proses persenyawaan di antara
benih lelaki dengan benih perempuan dalam rahim. Namun, proses kelahiran Nabi
Isa a.s. ini tidak seperti manusia lain dan apabila Allah Ta’ala mengutuskan
Jibril untuk memberitahu berita gembira kepada Maryam bahawa dia akan melahirkan
seorang anak lelaki, beliau merasa terkejut dan hairan dengan tiba-tiba tanpa
apa-apa isyarat bahawa dia akan melahirkan anak lelaki, sedangkan dia tidak
pernah ‘disentuh’ oleh seorang lelakipun, apatah lagi untuk melakukan
perbuatan-perbuatan yang terkutu. Maryam bertanya kepada Jibril:
أَنَّىٰ يَكُونُ لِي غُلامٌ وَلَمْ يَمْسَسْنِي بَشَرٌ
وَلَمْ أَكُ بَغِيًّا
Maksudnya: “Bagaimana aku dapat melahirkan seorang anak
lelaki sedangkan tidak pernah seorang manusiapun menyentuh aku dan aku bukannya
seorang penzina” (Maryam:
20).
Persoalan yang
menjadi keserabutan Maryam itu telah dijawab oleh Jibril dan sekaligus merungkaikan
ikatan keserabutan yang ada dalam fikirannya. Kemudian, barulah Maryam faham
bahawa dia tergolong di kalangan manusia yang terpilih dan dikasihi Allah:
قَالَ كَذَٰلِكِ قَالَ رَبُّكِ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ وَلِنَجْعَلَهُ
آيَةً لِلنَّاسِ وَرَحْمَةً مِنَّا وَكَانَ أَمْرًا مَقْضِيًّا
Maksudnya: “Jibril menjawab: Demikianlah keadaannya dan Tuhan mu berfirman: Perkara
ini amat mudah bagi Ku dan Kami mahu jadikan pemberian anak itu sebagai satu
tanda (membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat
dari Kami dan perkara ini adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlaku” (Maryam: 21).
Kelahiran Nabi Isa
a.s. adalah berbeza dengan kelahiran manusia yang ada atas dunia ini, kerana beliau dilahirkan tanpa
proses persenyawaan dan tanpa bapa, maka sudah tentu proses kematiannya juga
adalah berbeza dari manusia lain. Apabila Isa a.s. dilahirkan, maka kelahirannya
itu telah mencetuskan kontroversi di kalangan masyarakat sehingga Maryam
dituduh melakukan perbuatan zina, tetapi beliau menafikan dan menyuruh kaumnya berbicara
dengan Isa a.s. yang masih dalam buaian. Dengan izin Allah, Isa a.s. dapat
berkata-kata dengan kaumnya, sekaligus menolak tohmahan yang dilontarkan pleh
kaumnya kepada ibunya. Walaupun masih bayi dan berada dalam buaian, perbualan Isa
a.s. dengan kaumnya merupakan uslub dakwah yang menyeru kaumnya agar beriman
dengan Allah, Tuhan Yanag Maha Esa, Isa a.s. berkata:
قَالَ إِنِّي عَبْدُ اللَّهِ آتَانِيَ الْكِتَابَ
وَجَعَلَنِي نَبِيًّا وَجَعَلَنِي
مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنْتُ وَأَوْصَانِي بِالصَّلاةِ وَالزَّكَاةِ مَا دُمْتُ
حَيًّا وَبَرًّا
بِوَالِدَتِي وَلَمْ يَجْعَلْنِي جَبَّارًا شَقِيًّا وَالسَّلامُ عَلَيَّ يَوْمَ وُلِدْتُ وَيَوْمَ
أَمُوتُ وَيَوْمَ أُبْعَثُ حَيًّا
Maksudnya: “Isa berkata: Sesungguhnya aku ini hamba
Allah, Dia memberiku Al-Kitab (Injil) dan Dia menjadikan aku seorang nabi dan
Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana sahaja aku berada. Dia memerintahkan
kepada ku mendirikan solat dan menunaikan zakat selama aku hidup, diperintahkan kepada ku supaya berbuat baik kepada ibuku dan Dia tidak
menjadikan aku takabur atau derhaka, salam kesejahteraan kepada ku pada hari
aku dilahirkan, pada hari aku mati dan pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada
hari kiamat)” (Maryam: 30-33).
Jawaban yang diungkapkan
oleh lidah Nabi Isa a.s. walaupun masih bayi telah menolak dakwaan kaumnya yang
menuduh ibunya yang suci itu melakukan perbuatan yang terkutuk. Daripada
peristiwa ini yang didedahkan oleh Al Quran ini, di sana ada dua perkara
penting yang dapat diambil pengajaran, iaitu kelahiran Nabi Isa
a.s. tanpa proses persenyawaan dan Nabi Isa a.s. boleh bercakap dan berdakwah
dengan baik walaupun ketika masih bayi.
Walaupun
realiti yang didedahkan oleh Al Quran ini agak sukar diterima akal dan ada pula
yang menyatakan kisah tersebut tidak logik langsung. Namun hakikatnya, walau
apa jua dakwaan sekalipun perkara ini telah berlaku dalam lipatan sejarah Islam
dan Nabi Isa a.s. telah dilahirkan ke dunia ini. Pendedahan oleh Al Quran ini tentang
kelahiran Nabi Isa a.s. masih belum mampu diterjemahkan oleh manusia dalam
bentuk teknologi untuk melahirkan manusia tanpa proses persenyawaan dan
mencipta bayi yang boleh bercakap dengan baik. Akan tetapi, pendedahan Al Quran
ini telah melahirkan pakar-pakar sains yang sentiasa berfikir untuk mencipta
manusia melalui pelbagai proses kelahiran, di antaranya melalui Teknologi Reproduksi Bantuan (Assisted Reproduction Technology) yang berkaitan dengan Bayi
Tabung Uji, iaitu bayi yang
dilahirkan oleh seorang perempuan hasil daripada persenyawaan ovumnya dengan
sperma lelaki di luar tubuh perempuan itu. Di antaranya ialah Persenyawaan Luar
Rahim (IVF), Pemindahan Gamet Dalam Fallopio atau Gamet Intra-Fallopian Transfer, Penyimpanan dan Pendermaan Sperma, Ovum dan
Embrio, Diagnosis Genetik pra-penempelan atau Preimplantation Genetic Diagnosis (PGD) dan pemilihan jantina bayi, Ibu Tumpang
dan Permanian Beradas (Artificial
Inseminatio/Intra-Uterine Insemination-IUI).
4. Kisah Ikan
Mati Hidup Semula
Al Quran telah mendedahkan suatu kisah yang
sungguh menakjubkan tentang ikan yang telah mati dapat hidup semula. Kisah ini
berlaku ketika Nabi Musa a.s. bersama muridnya bernama Yusya’ bin Nun dalam
perjalanan mahu berjumpa dengan Nabi Khaidir a.s. di suatu tempat pertemuan dua
laut. Dalam perjalanan tersebut, ikan yang dibawa sebagai bekalan telah menggelungsur
ke dalam air lalu terus hidup semula.
Friman Allah Ta’ala:
وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَاهُ لا أَبْرَحُ حَتَّىٰ
أَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِيَ حُقُبًا فَلَمَّا بَلَغَا
مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا فَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ
سَرَبًا فَلَمَّا
جَاوَزَا قَالَ لِفَتَاهُ آتِنَا غَدَاءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِنْ سَفَرِنَا
هَٰذَا نَصَبًا قَالَ
أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ فَإِنِّي نَسِيتُ الْحُوتَ وَمَا
أَنْسَانِيهُ إِلا الشَّيْطَانُ أَنْ أَذْكُرَهُ ۚ وَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ عَجَبًا قَالَ
ذَٰلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ فَارْتَدَّا عَلَىٰ آثَارِهِمَا قَصَصًا
Maksudnya: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya:
Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua
laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun. Maka apabila mereka berdua
sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka,
lalu ikan itu menggelungsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di
bawah tanah. Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada
temannya: Bawalah makan tengah hari kita sebenarnya kita telah mengalami penat
lelah dalam perjalanan kita ini. Temannya berkata: Tahukah apa yang telah
terjadi ketika kita berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan
itu dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu
melainkan syaitan dan ikan itu telah menggelungsur menempuh jalannya di laut,
dengan cara yang menakjubkan. Nabi Musa berkata: Itulah yang kita kehendaki;
merekapun balik semula ke situ, dengan menurut jejak mereka” (Al Kahfi: 60-64).
Pendedahan
Al Quran ini seolah-olah tidak melambangkan pertimbangan akal yang sihat dan
seolah-olah ianya tidak logik langsung dengan fakta kehidupan, kerana sesuatu
yang telah mati adalah mustahil dapat hidup semula. Tetapi, perkara seumpama
ini merupakan perkara biasa bagi Allah dan sangat mudah bagiNya. Jika dikaji
dan diteliti, pendedahan Al Quran ini bukan hanya bertujuan untuk memberitahu
cerita pencarian Nabi Musa a.s. untuk bertemu dengan Nabi Khaidir a.s. semata-mata
atau hanya sekadar pengetahuan untuk mengisi kekosongan minda, tetapi
pendedahan Al Quran ini mempunyai maksud yang tersirat untuk memberitahu
tentang teknologi baru dalam bidang biologi spesis ikan yang hidup di dalam air,
bagaimana ikan yang telah mati itu dapat hidup semula seperti biasa. Namun, sehingga
kini pakar-pakar sains tidak mampu menghidupkan semula ikan yang telah mati
untuk kembali bernafas semula.
Akan
tetapi, pendedahan Al Quran ini telah memberi ilham kepada para penyelidik
dalam bidang biologi ikan dan akuakultur telah
menemui kaedah mematikan ikan buat sementara waktu dengan meletakkan ikan yang masih hidup ke dalam ais dan
kemudian menghidupkan semula setelah mengeluarkan ikan itu dari ais tersebut.
5. Nabi Sulaiman Berjalan
Dengan Angin
Al Quran telah mencerikan kisah Nabi Sulaiman
a.s. yang boleh berjalan dengan menggunakan kuasa angin sebagai kenderaan, beliau
juga boleh berbicara dan berinteraksi dengan jin dan mengarahkan mereka sebagai
tenaga buruh untuk membuat sesuatu kerja.
Firman Allah Ta’ala:
وَلِسُلَيْمَانَ الرِّيحَ غُدُوُّهَا شَهْرٌ وَرَوَاحُهَا
شَهْرٌ وَأَسَلْنَا لَهُ عَيْنَ الْقِطْرِ
وَمِنَ الْجِنِّ مَنْ يَعْمَلُ بَيْنَ يَدَيْهِ بِإِذْنِ رَبِّهِ وَمَنْ يَزِغْ
مِنْهُمْ عَنْ أَمْرِنَا نُذِقْهُ مِنْ عَذَابِ السَّعِيرِ
Maksudnya: “Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk
perjalanannya: sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan
dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan dan Kami
alirkan baginya mata air dari tembaga dan sebahagian dari jin bekerja di
hadapannya dengan izin Tuhannya dan sesiapa dari jin itu yang menyeleweng dari
perintah Kami, Kami akan merasakannya (pukulan) dari azab api Neraka” (Saba’:
12).
Nabi
Sulaiman a.s. mempunyai kelebihan luar biasa yang dianugerahkan oleh Allah,
beliau bolah berbicara dengan jin dan boleh mengarahkan jin untuk melakukan
sesuatu kerja. Beliau juga boleh bergerak ke udara dengan menggunakan kuasa
angin dan boleh mengarahkan angin untuk terbang ke mana sahaja destinasi yang
beliau kehendaki. Pendedahan Al Quran ini telah mencetuskan ilham kepada para saintis
yang merumuskan bahawa angin sangat penting dalam teknologi untuk menggerakkan
sesuatu kenderaan. Sebagai contoh, kapal layar bergerak menggunakan kuasa angin
untuk belayar di lautan. Kuasa angin ini juga telah mencetuskan ilham kepada
para saintis untuk mencipta kapalterbang. Di peringkat awal teknologi kapal
terbang ini dicipta adalah menggunakan kuasa angin, di mana enjin yang
digunakan bertujuan untuk memutarkan kipas bagi menghasilkan angin yang akan
memberi tekanan dan kuasa tujahan yang menggerakkan kapalterbang. Tekanan dan
kuasa tujahan angin itu kemudiannya bertindak menaikkan kapalterbang secara
meluncur dan seterusnya terbang tinggi ke udara. Walaupun kapalterbang moden hari
ini menggunakan kuasa dan enjin jet, tetapi yang sebenarnya kuasa angin masih
lagi digunakan, di mana angin disedut melalui turbin gas untuk dipanaskan dan
dimampatkan. Kemudian, angin yang panas yang mempunyai tekanan tinggi akan
dilepaskan ke arah belakang untuk memberi daya tujahan yang besar yang boleh
menggerakkan dan menerbangkan badan kapal terbang dengan kelajuan yang tinggi. Helikopter
yang digunakan pada hari ini adalah menggunakan teknologi kuasa angin, di mana
kipas yang berbilah panjang bertujuan menghasilkan angin yang kuat untuk
mengangkat dan menerbangkan badan helikopter. Walaupun
Al Quran hanya membentang kisah Nabi Sulaiman a.s. yang menggunakan kuasa angin
untuk bergerak, tetapi pendedahan Al Quran itu telah memberi maklumat yang sangat
penting kepada dunia sains untuk mencipta teknologi yang berasaskan angin,
terutama dalam bidang aeroangkasa.
Firman Allah Ta’ala:
فَسَخَّرْنَا لَهُ الرِّيحَ تَجْرِي بِأَمْرِهِ رُخَاءً
حَيْثُ أَصَابَ
Maksudnya: “Maka Kami mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup
perlahan-lahan menurut kemahuannya, ke arah mana sahaja yang hendak ditujunya” (Sad:
38).
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment