Seseorang
muslim yang mengaku beriman kepada Allah mesti mengabdikan diri kepadaNya dalam
setiap detik dan ruang lingkup kehidupannya. Pengabdian diri itu mesti
diterjemahkan dalam bentuk yang lebih luas, sebagaimana Rasulullah s.a.w.
meletakkan pengabdian dirinya itu meliputi semua aspek kehidupan, tidak hanya terbatas dalam ibadat sahaja, bahkan
meliputi segala rupa bentuk kehidupan. Ibadat yang dilakukan oleh
seseorang hamba Allah itu merupakan suatu proses ketaatan terhadap
suruhan dan arahanNya, kerana melalui ibadat itulah dia dapat menjalin
hubungan yang erat dengan Allah secara berterusan dan menghadirkan dirinya ke
hadapan Allah.
Firman Allah Ta'ala:
يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ قُمِ اللَّيْلَ
إِلاَّ قَلِيلاً نِصْفَهُ أَوِ انْقُصْ مِنْهُ قَلِيلاً أَوْ زِدْ عَلَيْهِ
وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلاً إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلاً ثَقِيلاً إِنَّ
نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْئًا وَأَقْوَمُ قِيلاً
Maksudnya: “ Wahai
orang-orang yang berselimut! Bangunlah pada malam (untuk mengerjakan ibadat)
selain sedikit waktu, seperduanya atau kurang sedikit daripadanya ataupun
tambahlah sedikit lagi (dari waktu itu) dan bacalah Al Quran dengan sebutan
yang baik, sesungguhnya Kami akan menurunkan ke atas mu bicara yang berat dan sesungguhnya
bangun di waktu malam itu adalah lebih mengukuhkan jiwa dan lebih betul
perkataannya “ (Al Muzzammil:1-6).
Sesungguhnya
Rasulullah s.a.w. merupakan seorang hamba Allah yang sangat kuat melakukan
ibadat kepada Allah. Di samping tugas baginda sebagai seorang Rasul yang
menerima amanah ketuhanan dan baginda juga sebagai seorang pemimpin yang
bertanggungjawab memimpin manusia ke jalan yang benar, namun baginda tidak
sedikitpun alpa terhadap suruhan dan arahan Allah, baginda tidak pernah lalai
ataupun cuai dalam melaksanakan amal ibadatnya kepada Allah. Walau apa jua
kesibukan yang datang menjelma, baginda tetap beristiqomah dengan amal
ibadatnya sehingga melepasi lewat malam.
Amal
ibadat itu juga merupakan pengakuan jiwa raga seseorang hamba supaya tidak
sekali-kali lupa terhadap tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh Tuhannya dan
tidak lalai ketika menguruskan program kehidupannya. Amal ibadat itu sebenarnya
dapat membentuk persamaan hidup di kalangan manusia dari sudut penyelarasan
melalui peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dan cara-cara amalan yang
dikendalikan.
Firman Allah Ta'ala:
وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةً وَأَصِيلاً وَمِنَ
اللَّيْلِ فَاسْجُدْ لَهُ وَسَبِّحْهُ لَيْلاً طَوِيلاً
Maksudnya: “ Dan
ingatlah nama Tuhanmu di waktu pagi dan di waktu petang, sujudlah kepadaNya di
sebahagian malam dan bertasbihlah memujiNya di sebahagian malam yang panjang “
(Ad Dahr: 25-26).
Sesungguhnya
umat Islam adalah umat yang selalu beribadat kepada Allah, umat yang sentiasa
mengingati kebesaran dan keagungan Allah, umat yang dibentuk di bawah pengakuan
syahadat untuk membina suatu keyakinan diri melalui program amal ibadat yang
dikemukakan oleh syari’at.
Firman Allah Ta'ala:
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ عَسَىٰ
أَنْ يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَحْمُودًا
Maksudnya: “ Dan pada
sebelah malam hendaklah kamu bangun bertahajjud mengerjakan sembahyang nafilah
(sunat), semoga Tuhan mu akan mengangkat mu ke darjat yang terpuji “ (Al Isra:
79).
Marilah kita saksikan bagaimana amal ibadat
Rasulullah s.a.w. yang dilakukannya ketika di waktu dinihari. Sepotong hadith
yang diriwayatkan oleh Al Mughirah bin Syu'bah r.a. telah menjelaskan:
كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى الله عليه وسلَّم يَقُوْمُ
مِنَ اللَّيْلِ حَتَّى تَتَوَرَّمَ قُدَمَاهُ وَلَمَّا قِيْلَ لَهُ أَلَيْسَ قَدْ
غَفَرَ اللهُ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ قَالَ: أَفَلاَ
أَكُوْنُ عَبْدًا شَكْوْرًا
Maksudnya: “ Adalah
Rasulullah s.a.w. bangun di waktu malam ( untuk menunaikan solat ) sehingga
bengkak kakinya, apabila dikatakan kepada baginda: Tidakkah Allah telah
mengampunkan dosa mu yang lalu dan yang akan datang? Baginda menjawab: Tidakkah
patut aku menjadi seorang hamba yang bersyukur....? “ (Riwayat Bukhari dan
Muslim).
Di dalam sepotong hadith yang lain, 'Ulqimah
r.a. pula pernah bertanya kepada Aisyah r.a. tentang ibadat Rasulullah s.a.w.:
أَكَانَ رَسُوْلُ اللهِ صلَّى الله علَيه وسلَّم يَخُصُّ
شَيْئًا مِنَ اْلأَيَّامِ قَالَتْ: لاَ
كَانَ عَمَلُهُ دِيْمَةً وَأَيُّكُمْ يُطِيْقُ مَا كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صلَّى
اللهُ علَـيْه وَسَلَّمَ يَطِيْقُ؟
Maksudnya: “ Adakah
Rasululah s.a.w. mengkhususkan masa tertentu setiap hari (untuk mengerjakan
ibadat)? Lalu Aisyah r.a. menjawab: Tidak! Amalannya setiap hari sama belaka
dan siapakah di antara kamu yang mampu beribadat sebagaimana yang dilakukan
oleh Rasulullah s.a.w. dalam ibadatnya ?” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Sebagai seorang Rasul utusan Tuhan, baginda
perlu menjadi contoh yang terbaik untuk sekalian umat dan benarlah..! Bahawa
baginda adalah seorang hamba Allah yang layak menjadi kekasihNya kerana amal
ibadat yang begitu hebat sekali.
Sekian, wassalam
Al faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment