Al Quran yang diturunkan
oleh Allah kepada Nabi s.a.w. merupakan kitab mukjizat yang mengandungi
pelbagai ilmu pengetahuan yang sangat penting kepada umat manusia dan ianya
juga merupakan kitab maklumat yang banyak membantu para Cendiakawan dan intelektual mengkaji tentang sejarah awal
kejadian manusia, sejarah bagaimana pembinaan tamadun purbakala bermula, sejarah
silam perjalanan hidup manusia dan permulaan era pembangunan, sejarah bermula
evolusi pemikiran manusia yang membentuk sebuah tamadun kehidupan, sejarah yang
mengemukakan bagaimana manusia ketika itu mewujudkan sistem kehidupan dalam
keadaan serba kekurangan, sejarah bagaimana teknologi pada zaman tersebut
bermula dan juga perkara-perkara yang berkaitan tentang kejadian manusia,
kejadian alam, perubahan dan peredaran alam yang silih berganti tanpa
berhenti-henti dan sehingga kepada perkara-perkara ghaib yang masih lagi
menjadi misteri dalam kajian manusia.
Sesungguhnya perkara-perkara tersebut ada dimuatkan dalam Al Quran yang
menunjukkan bahawa Al Quran itu adalah kitab yang mempunyai sumber maklumat,
bahkan di dalam Al Quran itu sendiri terdapat banyak lagi perkara-perkara yang
masih belum diterokai oleh para penyelidik dan belum mampu diterjemahkan oleh
manusia, sama ada dalam bentuk penghayatan dan kehidupan, dalam bentuk
praktikal dan aplikasi, dalam bentuk sains dan teknologi atau seumpamanya.
Firman Allah
Ta’ala:
الم ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ
Maksudnya: “Alif, Laam, Miim, Kitab Al Quran itu tidak
ada sebarang keraguan padanya, ia pula menjadi petunjuk kepada orang-orang yang
bertakwa” (Al Baqarah: 1-2).
Sama ada dari sudut nahu dan
tatabahasanya, dari sudut uslub balaghah dan kekuatan kesusasteraannya, dari
sudut mantik dan logik akal sesuatu fakta yang dikemukakannya, dari sudut
maklumat dan ketepatan sejarahnya yang berlaku, tempat-tempat yang berlaku
sesuatu kejadian dan nama-nama mereka yang terlibat serta lain-lain lagi, maka tidak
ada alasan di sana yang boleh diguna-pakai untuk menyatakan bahawa Al Quran itu
mempunyai keraguan atau mempunyai maklumat yang tidak tepat atau mempunyai
fakta-fakta yang bercanggah dengan apa yang berlaku. Tidak ada satu alasanpun
yang meragukan dari mana-mana fakta yang boleh mengaitkan tentang keunggulan
dan kemurnian Al Quran, bahkan apa yang terdapat di dalamnya semuanya tepat dan
berpijak kepada realiti.
PERTAMA:
Maklumat Tentang Kejadian Manusia:
Di dalam Al Qur’an proses kejadian manusia
secara biologi dijelaskan secara terperinci melalui firman Allah:
وَلَقَدْ
خَلَقْنَا الإِنْسَانَ مِنْ سُلاَلَةٍ مِنْ طِينٍ ثُمَّ جَعَلْنَاهُ نُطْفَةً فِي
قَرَارٍ مَكِينٍ ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ
مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ
أَنْشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ
Maksudnya: “Dan
sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia itu dari suatu saripati yang berasal
dari tanah, kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam
tempat yang kokoh (rahim), kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah,
lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu
Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan
daging, kemudian Kami jadikan ia makhluk yang (berbentuk) lain, Maka Maha Suci Allah,
Pencipta Yang Paling Baik” (Al Mukminun: 12-14).
Mari kita lihat satu persatu urutan kisah
kejadian manusia yang dihuraikan oleh Al Quran. Apa yang dimaksudkan dengan
perkataan: (سُلاَلَةٍ مِنْ طِينٍ) dalam ayat di atas ialah ‘saripati berasal dari tanah’ iaitu Adam a.s. kerana
semua manusia yang ada di atas bumi iaitu berasal dari Adam a.s. dan Adam a.s.
telah dicipta oleh Allah dari tanah-tanah yang ada di atas bumi ini. Sebab itu,
ada di kalangan anak-anak cucunya yang berkulit pulih, ada yang berkulit hitam,
ada yang berkelakuan baik dan ada pula yang berkelakuan jahat. Kemudian melalui
proses metabolisme yang ada di dalam tubuh di antaranya menghasilkan hormon
sperma, iaitu air mani (نُطْفَةً) dan hasil dari hubungan seksual manusia, maka terbentuk percampuran di
antara sperma lelaki dengan ovum sel telur wanita di dalam rahim untuk
membentuk lembaga manusia (embrio). Seterusnya proses dari setitik air mani itu
akan menjadi seketul darah (عَلَقَةً ) yang mula bergerak secara perlahan-lahan untuk membentuk lembaga manusia
(embrio). Kemudian dari seketul darah itu tadi akan terbentuk pula segumpal
daging (مُضْغَةً) di mana proses perkembangan dari peringkat embrio agak kelihatan jelas untuk
membentuk bahagian organ dan kerangka tubuh badan, walaupun tidak kelihatan
sempurna. Maka, dari segumpal daging itu jadikan tulang belulang (عِظَامًا), lalu dari tulang belulang itu dibungkus pula dengan daging (لَحْمًا), kemudian barulah dijadikan makhluk yang berbentuk (خَلْقًا).
Proses kejadian manusia ini mengandungi
beberapa peringkat yang menunjukkan apa yang dinyatakan oleh Al Quran ini
adalah realiti dan itulah proses kejadian manusia dalam rahim. Proses kejadian
manusia ini juga telah diperjelaskan pula oleh Rasulullah s.a.w. sabdanya:
إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِىْ بَطْنِ أُمِّهِ
أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا نُطْفَةً ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ
يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ اْلمَلَكُ فَيَنْفُخُ
فِيْهِ الرُّوْحَ وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ
وَعَمَلِهِ وَشَقِىٌّ أَوْ سَعِيْدٌ
Maksudnya: "
Sesungguhnya seseorang itu dihimpunkan kejadiannya di dalam perut ibu selama
empat puluh hari dalam bentuk air mani, kemudian berubah menjadi seketul darah
selama empat puluh hari, kemudian bertukar pula menjadi seketul daging selama
empat puluh hari juga, lalu diutuskan malaikat meniupkan roh dan dicatatkan
empat kalimah: rezekinya, ajalnya, amalannya dan celaka atau bahagia” (Riwayat
Bukhari dan Muslim).
Maklumat tentang proses kejadian
manusia secara terperinci telah diperkisahkan dalam Al Quran yang membuktikan
bahawa Al Quran itu adalah sumber maklumat yang tepat yang tidak perlu
dipertikaikan lagi. Perkara ini tidak disentuh dalam kitab-kitab yang
diturunkan Allah sebelum ini, apatah lagi kitab-kitab tersebut telah
diubah-suai mengikut selera dan kehendak hawa nafsu mereka.
KEDUA:
Maklumat Israk dan Mikraj:
Peristiwa
Israk dan Mikraj berlaku dalam lipatan sejarah Islam pada 27 Rejab, malam Isnin, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah dan peristiwa tersebut berlaku
hanya satu malam sahaja sebagaimana yang dijelaskan dalam Al Quran:
Firman
Allah Ta’ala:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ
الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الاقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ
لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ
إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah
menjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu malam, dari Masjid Al Haram (di
Mekah) ke Masjid Al Aqsa (di Palestin), yang Kami berkatkan sekelilingnya,
untuk memperlihatkan kepadanya tdia-tdia (kekuasaan dan kebesaran) Kami.
Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” (Isra: 1).
Para ulama, sama ada ulama hadith, ulama fiqh dan ulama tafsir telah menegaskan
bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj ini berlaku pada diri Rasulullah s.a.w.
hanya satu malam sahaja dan berlaku dalam keadaan sedar, berserta roh dan
jasadnya sekali, bukan bermimpi atau berlaku dengan roh sahaja. Peristiwa ini masih
lagi menjadi ‘mimpi ngeri’ pada pdiangan orang yang tidak beriman, terutama
para orientalis barat yang sememangnya menentang Islam. Mereka menyatakan
bahawa peristiwa ini tidak mungkin berlaku dan tidak mungkin akan berlaku.
Tetapi, bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dan RasulNya dan bagi
mereka yang memahami hakikat kebenaran, peristiwa ini adalah realiti dan wajib
percaya. Baginda s.a.w. telah membuktikan kebenaran peristiwa tersebut kepada
masyarakat arab dalam suatu majlis ‘press forum’ setelah berjaya menjawab
dengan tepat soalan-soalan yang dikemukakan kepada baginda s.a.w. Namun,
orang-orang kafir tetap dengan kekafiran mereka dan bertambah kuat mengejek
baginda s.a.w. malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini memeluk Islam
telah menjadi murtad kerana tidak yakin dengan peristiwa tersebut.
Sebelum
berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah s.a.w. dada baginda s.a.w. telah dibedah
oleh malaikat dan hatinya pula dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam
('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswas. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam
dada baginda s.a.w. Sesudah itu, dada baginda s.a.w. dijahit dan dimeterikan
dengan ‘Khatimin Nubuwwah’. Selesai pembedahan, baginda s.a.w. didatangkan seekor
binatang bernama Buraq untuk ditunggangi dalam perjalanan itu. Semasa israk,
iaitu perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, baginda s.a.w. telah
diiringi oleh
malaikat Jibrail dan Israfil. Baginda s.a.w. telah diarah oleh Jibrail supaya
berhenti dan mendirikan solat sebanyak dua rakaat di Negeri Thaibah (Madinah),
tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah, di Bukit Tursina, iaitu tempat
Nabi Musa a.a. menerima wahyu dan di Baitul Laham (tempat Nabi 'Isa A.S.
dilahirkan). Apabila sampai di Masjid Al Aqsa yang terletak di Palestin,
Rasulullah s.a.w. masuk ke dalam masjid dan menjadi imam solat dua rakaat yang dimakmumkan oleh segala
anbiya dan mursalin. Selepas itu, baginda s.a.w. bersama Jibrail melakukan mikraj, iaitu perjalanan naik ke langit untuk menemui
Allah Ta’ala, Tuhan Rabul Jalil.
Beberapa persoalan yang masih menjadi
igauan kepada para pengkritik ialah bagaimana proses Israk itu berlaku dan
bagaimana pula dengan proses Mikraj itu, sedangkan perjalanan naik ke langit terpaksa
melepasi beberapa lapisan atas atmosfera yang tidak mempunyai ruang udara yang
mencetuskan persoalan bagaimana baginda s.a.w. dapat bernafas..?
Persoalan dalam proses perjalanan Israk
terjawab apabila terciptanya kapalterbang yang boleh membawa penumpang dalam
sekelip mata. Dalam peristiwa Mikraj pula, sebelum peristiwa ini berlaku dada
baginda s.a.w. telah dibedah dan di antara unsur yang dimasukkan ke dalam dada
baginda s.a.w. ialah hikmat, iaitu bekalan oksigen yang membolehkan baginda
s.a.w. bernafas ketika naik ke langit melepasi lapisan atmosfera.
Walaupun di kalangan para pengkritik tidak percaya dengan peristiwa Israj dan
Mikraj ini, tetapi melalui peristiwa inilah manusia mula memikirkan bagaimana mahu
terbang sehingga terciptanya kapalterbang dan roket untuk menerokai angkasa
lepas.
KETIGA:
Maklumat Sejarah Pembinaan Ka’bah
Sejarah dan
maklumat pembinaan Ka’abah yang menjadi mercu tdia dan juga pusat ibadat umat
Islam di seluruh dunia telah dinyatakan dalam Al Quran. Kisah pembinaan
tersebut dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. bersama anak kandungnya Ismail a.s. setelah
mendapat arahan dari Allah telah diabadikan dalam Al Quran untuk dijadikan
renungan bersama:
Firman Allah
Ta’ala:
وَإِذْ
جَعَلْنَا الْبَيْتَ مَثَابَةً لِلنَّاسِ وَأَمْنًا وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ
إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى وَعَهِدْنَا إِلَىٰ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَنْ
طَهِّرَا بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ
رَبِّ اجْعَلْ هَٰذَا بَلَدًا آمِنًا وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ الثَّمَرَاتِ مَنْ
آمَنَ مِنْهُمْ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ قَالَ وَمَنْ كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ
قَلِيلاً ثُمَّ أَضْطَرُّهُ إِلَىٰ عَذَابِ النَّارِ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ
الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ
أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: “Dan
(ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi
umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman dan jadikanlah oleh kamu
Makam Ibrahim itu tempat sembahyang dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim
dan Nabi Ismail (dengan berfirman): Bersihkanlah Rumah Ku (Kaabah dan
Masjidilharam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf,
dan orang-orang yang beriktikaf serta orang-orang
yang rukuk dan sujud. Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa: Wahai Tuhanku!
Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki
dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang
beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka. Allah berfirman:
(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan
beri juga dia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia),
kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab Neraka dan (itulah)
seburuk-buruk tempat kembali. Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama
Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil
keduanya berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal
kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui”(Al Baqarah:
25-27).
Pembinaan Ka’abah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Ismail
a.s. adalah berdasarkan perintah daripada Allah Ta’ala, iaitu selepas beberapa
kali Nabi Ibrahim a.s. datang menziarahi isteri dan anaknya Ismail a.s. di Makah.
Pada kedatangan kali yang ketiga, baginda a.s. telah diperintahkan oleh Allah
supaya membina Ka’abah untuk dijadikan pusat ibadat. Ketika itu, anaknya Ismail
a.s. telah mencapai umur dua puluh tahun dan ibunya pula telah meninggal dunia.
Dengan iringan doa restu kepada Allah, Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Ismail
a.s. maka Ka’abah sekarang bukan sahaja
menjadi pusat ibadat bagi umat Islam, tetapi ianya juga menjadi pusat tumpuan
dunia dan secara tidak langsung menjadi pusat perdagangan yang terkenal di
seluruh dunia.
Ada dua perkara yang pelik dan ajaib mengenai
Kota Mekah ini, yang pertama mengenai telaga air zamzam yang terletak di tepi
Ka’abah yang wujud sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. tidak pernah kering sehingga
ke hari ini walaupun telah digunakan sejak berjuta-juta umat Islam di seluruh
dunia. Manakala yang kedua pula ialah orang-orang bukan Islam tidak boleh masuk
ke Tanah Haram walaupun terdapat usaha di kalangan mereka untuk memasuki
kawasan haram kota tersebut, tetapi tidak berjaya dan tidak diizinkan oleh
Allah.
KEEMPAT:
Maklumat Umat Yang Derhaka Kepada Allah:
Kisah-kisah silam
yang dikemukakan oleh Al Quran telah memberi maklumat yang penting bagi para
pengkaji sejarah di seluruh dunia. Di antara kisah-kisah pemimpin dunia yang
terkenal menentang Allah dan pejuangan para anbiya ialah Kisah Fir’aun yang
dilaknat oleh Allah:
وَإِذْ
فَرَقْنَا بِكُمُ الْبَحْرَ فَأَنْجَيْنَاكُمْ وَأَغْرَقْنَا آلَ فِرْعَوْنَ
وَأَنْتُمْ تَنْظُرُونَ
Maksudnya: “Dan
(ingatlah), ketika kami belah laut untukmu, lalu kami selamatkan kamu dan kami
tenggelamkan (Fir’aun) dan pengikut-pengikutnya sedang kamu sendiri menyaksikan” (Al Baqarah:50).
Kisah Namrud yang menentang dakwah dan
perjuangan Nabi Ibrahim a.s. berdebat
mengenai kuasa sihir yang dimilikinya lebih hebat dari kuasa yang ada pada Allah
Ta’ala:
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِي حَاجَّ إِبْرَاهِيمَ فِي رَبِّهِ أَنْ
آتَاهُ اللَّهُ الْمُلْكَ إِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّيَ الَّذِي يُحْيِي
وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا أُحْيِي وَأُمِيتُ قَالَ إِبْرَاهِيمُ فَإِنَّ اللَّهَ يَأْتِي
بِالشَّمْسِ مِنَ الْمَشْرِقِ فَأْتِ بِهَا مِنَ الْمَغْرِبِ فَبُهِتَ الَّذِي
كَفَرَ وَاللَّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya: “Tidakkah engkau (pelik)
memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim
(dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa
pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan
Yang mematikan. Dia menjawab: Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan. Nabi
Ibrahim berkata lagi: Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh
itu terbitkanlah ia dari barat? Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu
diam membisu) dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum
yang zalim” (Al Baqarah: 258).
Kisah Qarun yang kaya-raya mempunyai
harta kekayaan yang melimpah-ruah, tetapi beliau degil dan tidak mahu menerima
seruan dakwah nabi Musa a.s.:
إِنَّ
قَارُونَ كَانَ مِنْ قَوْمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَيْهِمْ وَآتَيْنَاهُ مِنَ
الْكُنُوزِ مَا إِنَّ مَفَاتِحَهُ لَتَنُوءُ بِالْعُصْبَةِ أُولِي الْقُوَّةِ إِذْ
قَالَ لَهُ قَوْمُهُ لاَ تَفْرَحْ إِنَّ
اللَّهَ لاَ يُحِبُّ الْفَرِحِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Qarun adalah dari kaum Nabi
Musa, kemudian dia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka dan Kami telah
mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi
beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa, ketika
kaumnya berkata kepadanya: Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu),
sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah” (Al
Qasas: 76).
Dan
di sana banyak lagi kisahkisah mereka yang tidak beriman kepada Allah telah
dimuatkan dalam Al Quran bertujuan untuk dijadikan pengajaran kepada umat yang
kemudian bahawa kuasa dan harta kekayaan tidak sedikitpun menjejaskan kekuasaan
Allah, bahkan mereka yang menjadi menentang itu tumbang penyembah bumi dalam
keadaan hina. Kisah-kisah penentangan oleh golongan yang tidak beriman berakhir
dengan kesengsaraan, di penghujung cerita mereka telah dilaknat oleh Allah,
seperti kisah Fir’aun ditenggelam dalam Laut Merah, Kisah Qarum ditenggelam
dalam sebuah tasik di Fayoum, kisah Namrud yang hebat dengan kuasa sihirnya meninggal
dunia hanya disebabkan seekor nyamuk masuk dalam telinga, kisah umat Nabi Nuh
a.s. yang durhaka telah ditenggelam dalam peristiwa banjir besar dan kapalnya
mendarat di atas Bukit Judi yang terletak di Turki, kisah umat Nabi Lut a.s. yang
durhaka kerana mengamalkan homoseksual telah ditenggelam dalam Laut Mati, kisah
umat Nabi Soleh a.s. yang engkar terhadap seruan dakwahnya telah ditenggelam ke
dalam bumi setelah ditimpa halilintar yang dahsyat dan beriringan dengan gempa
bumi yang sangat mengerikan dan di sana banyak lagi kisah-kisah umat-umat yang
terdahulu yang menentang perintah Allah dan perjuangan para anbiya telah
dilaknat dalam keadaan yang sangat tragis.
Semua kisah-kisah tersebut dimuatkan
dalam Al Quran walaupun tarikh dan tahun bila berlaku kejadian tidak
dinyatakan, kerana Al Quran bukan kitab sejarah, tetapi Kitab Petunjuk ke jalan
yang benar. Tujuan Al Quran membuka helaian sejarah silam ini bukan untuk
menentukan ketepatan masa peristiwa itu berlaku dan bukan untuk menjelaskan
siapa yang terlibat, tetapi untuk memberitahu dan menjelaskan kepada seluruh
umat manusia tentang orang-orang yang tidak mahu mengikut perintah Allah dan
seruan yang disampaikan oleh rasul-rasul utusanNya akan menerima padah dan
mendapat pembalasan dari Allah. Walau bagaimanapun, kesan-kesan sejarah dan
tempat berlakunya peristiwa tersebut masih kekal sehingga ke hari ini yang
membuktikan apa yang diberitahu oleh Al Quran itu benar.
KELIMA: Maklumat
Para Anbiya Dan Pejuang Islam:
Manakala kisah
perjuangan para anbiya, bermula dari Kisah Nabi Adam a.s. sehingga kisah
perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. serta kisah-kisah angkatan pejuang iman
sepanjang zaman telah diceritakan dengan penuh penghayatan dalam Al Quran.
Mereka semua adalah pembawa bingkasan dakwah dari Allah untuk menyeru manusia
kembali ke pangkuanNya. Kisah pejuangan mereka yang membawa risalah dakwah ke dalam
masyarakat sentiasa mendapat tentangan dari orang-orang yang tidak setuju
dengan wadah perjuangan yang mereka bawa dan perkara inilah yang hendak diketengahkan
oleh Al Quran bahawa setiap perjuangan untuk membentuk ‘aqidah dan pegangan
hidup manusia ke pangkuan Allah bukan suatu perkara yang mudah, mesti ada saja tribulasi
yang datang menghalang lalu-lintas perjalanan tersebut.
Sebagai
pengajaran di sini, cuba kita renungkan bersama tentang seruan dakwah yang
disampaikan oleh Nabi Nuh a.s. kepada kaumnya supaya beriman kepada Allah:
Firman
Allah Ta'ala:
يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ
إِلَٰهٍ غَيْرُهُ
Maksudnya:
" Wahai kaum ku! Hendaklah kamu mengabdikan diri kepada Allah yang
tiada Tuhan bagi kamu melainkan Dia” (Al A'raf: 59).
Nabi Nuh a.s. hanya berdakwah menyeru kaumnya supaya beriman
kepada Allah dan kembali ke pangkuan Allah, dia tidak menyuruh kaumnya
melakukan kerja-kerja yang membebankan atau kerja-kerja yang sukar dan susah
untuk melakukannya, hanya percaya kepada ketuhanan Allah sahaja dan
meninggalkan sembahan patung berhala. Tetapi, kaumnya tidak memdiang serius
terhadap seruan dakwah yang disampaikan itu, sebaliknya mereka menuduh Nuh a.s.
berada di dalam kesesatan, sebagaimana yang diceritakan dalam Al Quran:
إِنَّا لَنَرَاكَ فِي ضَلاَلٍ مُبِينٍ
Maksudnya:
" Sesungguhnya kami melihat kamu (wahai Nuh) berada di dalam keadaan
kesesatan yang nyata” (Al A'raf: 60).
Sungguh tergamak, seruan dakwah yang disampaikan oleh Nabi Nuh
a.s. yang mengajak kaumnya beriman kepada Allah telah diputar-belitkan oleh
kaumnya, sebaliknya menuduh Nabi Nuh a.s. sebagai orang yang sesat. Tuduhan
seperti ini merupakan perkara biasa dalam menyampaikan risalah dakwah kepada
manusia, ada saja tribulasi yang datang menjelma semata-mata untuk menguji
kesabaran dan ketabahan para pendakwah. Mereka yang tidak tahan menghadapi
ujuan dari Allah sudah pasti akan kecundang dan rebah di tengah jalan. Namun demikian, di dalam kisah Nabi Nuh a.s.
bersama kaumnya yang tidak beriman, beliau menjawab tuduhan yang dilemparkan
itu dengan nada yang lembut dan lunak; bahawa beliau sebenarnya tidak sesat,
akan tetapi beliau adalah rasul utusan Allah untuk sekalian alam.
قَالَ يَا قَوْمِ لَيْسَ
بِي ضَلاَلَةٌ وَلَٰكِنِّي رَسُولٌ مِنْ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Maksudnya:
" Nuh berkata: Wahai kaum ku! Aku tidak sesat, akan tetapi aku adalah utusan
dari Tuhan Semesta Alam” (Al A'raf: 61).
Ini merupakan hakikat seruan dakwah yang disampaikan oleh Nabi Nuh
a.s. dan sekaligus menjawab tuduhan yang dilemparkan oleh kaumnya itu, kerana
beliau sebenarnya adalah utusan dari Allah untuk menyeru manusia beriman
kepadaNya, bukan seorang manusia yang sesat, sebagaimana tuduhan yang tidak
berasas itu.
Mari kita saksikan pula bagaimana seruan dakwah yang disampaikan
Nabi Hud a.s. kepada kaumnya, beliau berkata:
يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ
إِلَٰهٍ غَيْرُهُ
Maksudnya: " Wahai kaum ku! Hendaklah
kamu mengabdikan diri kepada Allah yang tiada Tuhan bagi kamu melainkan Dia” (Hud:
50).
Cerita
yang sama saja, seruan dakwah yang disampaikan itu mengajak manusia semata-mata
beriman kepada Allah dan meninggalkan sembahan yang lain selain dari Allah. Tetapi,
kaumnya berdegil dan enggan menerima konsep dakwah yang dikemukakan oleh Hud
a.s. dengan membuat alasan bahawa dakwahnya itu tidak jelas dan tidak terang:
قَالُوا
يَا هُودُ مَا جِئْتَنَا بِبَيِّنَةٍ وَمَا نَحْنُ بِتَارِكِي آلِهَتِنَا عَنْ
قَوْلِكَ وَمَا نَحْنُ لَكَ بِمُؤْمِنِينَ
Maksudnya:
" Mereka berkata: Wahai Hud! Kamu tidak mendatangkan apa-apa kepada
kami suatu bukti yang nyata dan kami tidak sekali-kali akan meninggalkan
sembahan-sembahan kami kerana perkataan mu, dan kami tidak akan percaya kepada
kamu” (Hud: 53).
Demikianlah tabiat dalam perjalanan dakwah yang hendak disampaikan
dalam Al Quran, bahawa setiap kali seruan dakwah yang dihembuskan ke dalam
masyarakat, ada saja perkara yang tidak kena sehingga seruan itu mendapat
tentangan dari mereka yang ‘tidak sebulu’ dan mereka yang mempunyai perasaan yang
tidak puas hati, seolah-olah beriman kepada Allah itu adalah suatu perkara yang
sangat susah, berat dan sangat membebankan sehingga mereka tidak boleh menerima
hakikat tersebut dalam kehidupan.
Manakala kisah Nabi Soleh a.s. yang diutuskan oleh Allah kepada
kaum Thamut adalah kisah yang sama dan mempunyai rantaian dengan kisah
nabi-nabi yang lain, iaitu menyeru manusia kepada ketuhanan Allah:
قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ
مِنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُ
Maksudnya: "Wahai kaum ku! Hendaklah kamu mengabdikan diri
kepada Allah yang tiada Tuhan bagi kamu melainkan Dia” (Hud: 61).
Tetapi, kaumnya
bingkas bangun menentang seruan dakwah Nabi Soleh a.s. sedangkan seruan
tersebut tidak melibatkan jatuhnya maruah hidup atau gangguan tenaga kerja atau
kehilangan harta benda, cuma melibatkan pegangan hidup, itu sahaja..!
Kaum Nabi Soleh a.s. berkata:
قَالُوا يَا صَالِحُ قَدْ كُنْتَ فِينَا مَرْجُوًّا قَبْلَ هَٰذَا أَتَنْهَانَا
أَنْ نَعْبُدَ مَا يَعْبُدُ آبَاؤُنَا وَإِنَّنَا لَفِي شَكٍّ مِمَّا تَدْعُونَا
إِلَيْهِ مُرِيبٍ
Maksudnya: "Wahai Soleh! Sesungguhnya kamu sebelum ini
adalah seorang di antara kami yang kami harapkan, apakah kamu melarang kami
untuk menyembah apa yang disembah oleh bapak-bapak kami? Dan sesungguhnya kami
betul-betul dalam keadaan kebingungan terhadap agama yang kamu serukan kepada
kami" (Hud: 62) .
Apa yang
diceritakan oleh Al Quran ini amat penting bagi diri seorang pendakwah ke jalan
Allah, bahawa seruan untuk menyeru manusia ke pangkuan Allah bukan suatu
perkara yang mudah, perjalanan yang dilalui itu penuh dangan semak-samun, penuh
dengan liku-liku yang amat berbahaya, penuh dengan onak dan duri yang sangat
tajam lagi berbisa. Sesungguhnya perjalanan dalam medan dakwah tidak
sekali-kali dihampar dengan permaidani merah..!
Begitu juga para pejuang Islam
sepanjang zaman yang sanggup menggadai nyawa dan kehidupan semata-mata kerana
mahu mempertahankan ‘aqidah dan pegangan hidup mereka terhadap ketuhanan Allah.
Mari kita lihat, apa yang terjadi dalam kisah penghuni parit, Ashabul Uqdud:
وَالسَّمَاءِ
ذَاتِ الْبُرُوجِ وَالْيَوْمِ
الْمَوْعُودِ وَشَاهِدٍ وَمَشْهُودٍ قُتِلَ أَصْحَابُ
الأخْدُودِ النَّارِ ذَاتِ
الْوَقُودِ إِذْ هُمْ
عَلَيْهَا قُعُودٌ وَهُمْ عَلَىٰ
مَا يَفْعَلُونَ بِالْمُؤْمِنِينَ شُهُودٌ وَمَا نَقَمُوا
مِنْهُمْ إِلاَّ أَنْ يُؤْمِنُوا بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ
Maksudnya: “Demi langit yang
mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang, dan hari (pembalasan) yang
dijanjikan, dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala
keadaan yang disaksikan, celakalah kaum yang menggali parit, dalam parit itu
terdapat api yang penuh dengan bahan bakaran, ketika mereka duduk di
kelilingnya, sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang
yang beriman, dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman
itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi
Maha Terpuji” (Al Buruj: 1-8).
Paparan yang terukir dalam kisah Ashabul
Uqdud ini menunjukkan bahawa orang-orang yang beriman dibakar hangus dalam
parit itu bukan kerana mereka melakukan kerja-kerja yang tidak senonoh atau
kerja-kerja jahat atau perkara-perkara yang boleh mengakibatkan putus hubungan
atau perbalahan kaum atau boleh menjatuhkan kerajaan, tetapi mereka dibakar
hangus dalam parit adalah disebabkan mereka beriman kepada Allah, itu sahaja..!
Ertinya, jika demikian beriman kepada Allah adalah suatu kesalahan yang sangat besar
di sisi kerajaan yang pemerintah ketika itu sehingga surat arahan dikeluarkan,
bahawa sesiapa yang mengaku beriman kepada ketuhanan Allah akan dibakar hangus dalam
parit.
Al Quran hendak memberitahu, bahawa
apabila hubungan hati dan nadi mula menggamit terhadap keagungan Allah, maka
tiada sesiapa yang dapat menghalang sekalipun nyawa mereka hangus terbakar,
tetapi ‘aqidah dan pegangan hidup mereka tidak sedikitpun hangus dan tidak
mudah terbakar.
Lain pula ceritanya, kisah Ashabul
Kahf, penghuni gua yang lari bersembunyi dalam sebuah gua dari pemerintah yang
zalim kerana mempertahankan kesucian ‘aqidah, bahawa hanya Allah Tuhan Yang
Satu:
أَمْ
حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحَابَ الْكَهْفِ وَالرَّقِيمِ كَانُوا مِنْ آيَاتِنَا عَجَبًا إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا رَبَّنَا
آتِنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا فَضَرَبْنَا عَلَىٰ آذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ سِنِينَ
عَدَدًا ثُمَّ بَعَثْنَاهُمْ لِنَعْلَمَ أَيُّ الْحِزْبَيْنِ
أَحْصَىٰ لِمَا لَبِثُوا أَمَدًا نَحْنُ نَقُصُّ
عَلَيْكَ نَبَأَهُمْ بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ
فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى
Maksudnya: “Adakah engkau
menyangka (wahai Muhammad) bahawa kisah Ashaabul Kahf dan Ar Raqiim itu sahaja
yang menakjubkan di antara tdia-tdia yang membuktikan kekuasaan Kami?
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan para pemuda pergi ke gua, lalu
mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi Mu dan
berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama
kami. Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu bertahun-tahun
yang banyak bilangannya. Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk
Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat
kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua), Kami ceritakan kepada mu
(wahai Muhammad) kisah mereka dengan benar, sesungguhnya mereka itu orang-orang
muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambah mereka dengan hidayat
petunjuk” (Al Kahf: 9-13).
Mereka terdiri dalam kalangan para
pemuda yang beriman kepada Allah, oleh kerana mereka telah diburu oleh agen
risikan pemerintah ketika itu kerana didakwa beriman kepada agama yang lain
dari agama yang dibawa oleh pemerintah, maka mereka telah dikenakan tindakan
yang tegas supaya kembali semula kepada agama yang dibawa oleh pemerintah itu.
Demi menjaga ‘aqidah dan pegangan hidup kepada Allah dari pemerintah yang zalim
itu, mereka sekumpulan para pemuda bertindak lari dari kampung halaman dan
teman seiring pergi bersembunyi ke dalam sebuah gua sehingga mereka ditidurkan
Allah beberatus tahun lamanya.
Al Quran telah mendedahkan maklumat
ini bertujuan untuk memberi gambaran sikap orang-orang yang benar-benar beriman
kepada Allah tetap akan mempertahan ‘aqidah dan kepercayaan hidup mereka walau
dalam apa jua keadaan sekalipun dan mereka sanggup meninggalkan kampung halaman
yang dicintai dan teman seiring. Akhirnya, mereka telah diselamatkan oleh Allah
dengan menidurkan mereka di dalam sebuah gua beberatus tahun lamanya.
Kisah Ashabul Yasin telah memberi satu
gambaran yang sangat indah dan amat menarik untuk dihayati bersama tentang
usaha dakwah yang dilakukan oleh utusan Allah kepada masyarakat mereka tanpa
mengenal erti penat dan lelah, kisah perjuangan mereka terukir dengan baik
dalam Surah Yasin:
وَاضْرِبْ
لَهُمْ مَثَلاً أَصْحَابَ الْقَرْيَةِ إِذْ جَاءَهَا الْمُرْسَلُونَ إِذْ أَرْسَلْنَا إِلَيْهِمُ اثْنَيْنِ فَكَذَّبُوهُمَا
فَعَزَّزْنَا بِثَالِثٍ فَقَالُوا إِنَّا إِلَيْكُمْ مُرْسَلُونَ قَالُوا مَا أَنْتُمْ إلاَّ بَشَرٌ مِثْلُنَا وَمَا أَنْزَلَ
الرَّحْمَٰنُ مِنْ شَيْءٍ إِنْ أَنْتُمْ إلاَّ تَكْذِبُونَ قَالُوا رَبُّنَا
يَعْلَمُ إِنَّا إِلَيْكُمْ لَمُرْسَلُونَ وَمَا عَلَيْنَا إلاَّ الْبَلاَغُ
الْمُبِينُ قَالُوا إِنَّا
تَطَيَّرْنَا بِكُمْ لَئِنْ لَمْ تَنْتَهُوا لَنَرْجُمَنَّكُمْ وَلَيَمَسَّنَّكُمْ
مِنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ قَالُوا
طَائِرُكُمْ مَعَكُمْ أَئِنْ ذُكِّرْتُمْ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ مُسْرِفُونَ
Maksudnya: "Dan buatlah bagi mereka suatu
perumpamaan, iaitu penduduk suatu negeri ketika utusan-utusan datang kepada
mereka, ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang utusan, lalu mereka
mendustakan keduanya; kemudian Kami kuatkan dengan (utusan) yang ketiga, maka
ketiga utusan itu berkata: 'Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang diutus
kepada mu, mereka menjawab: Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami dan
Allah Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatu pun, kamu tidak lain hanyalah
pendusta belaka, mereka berkata: Tuhan kami mengetahui bahawa sesungguhnya kami
adalah orang yang diutus kepada kamu, dan kewajiban kami tidak lain hanyalah
menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas, mereka menjawab: Sesungguhnya kami
bernasib malang kerana kamu, sesungguhnya kamu jika tidak berhenti (menyeru
kami), nescaya kami akan merejam kamu dan kamu pasti akan mendapat siksa
yangpedih dari kami. Utusan-utusan itu berkata: Kemalangan kamu itu adalah
kerana kamu sendiri. Apakah jika kamu diberi peringatan (kamu mengancam kami)?
Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas" (Yasin: 13-19).
Seruan dakwah yang disampaikan oleh
utusan Allah itu adalah untuk membawa masyarakat ke pangkuan Allah, supaya
mereka hidup dengan rupa bentuk ‘aqidah yang luhur dan tidak melencong dari
nilai-nilai kemanusiaan. Malangnya, seruan dakwah untuk membawa mereka ke
pangkuan jalan tidak mempunyai apa-apa nilai, sebaliknya bertindak mengugut untuk
merejam utusan Allah itu jika tidak berhenti daripada menyampaikan seruan
tersebut. Demikianlah suasana perjalanan dakwah yang penuh dengan suka duka,
ugutan dan ancaman dari mana-mana pihak adalah perkara lumrah yang berlaku
bertujuan untuk menguji ketahanan jiwa sebagai da’ei.
Kisah Zurqarnain yang diceritakan
dalam Al Quran telah menjadi igauan kepada orientalis barat dan golongan yang
menentang Islam, mereka mendakwa bahawa Zurqarnain itu adalah seorang pejuang
‘sebelah mereka’ dan bukannya seorang yang beriman kepada Allah, mereka
kemudian mereka-cipta dan menokoh-tambah cerita-cerita untuk disesuaikan dengan
kehendak mereka. Kisah Zulqarnain yang dibawa oleh orientalis barat dengan apa
yang diceritakan oleh Al Quran amat jauh berbeza, beliau sebenar adalah seorang
pemimpin agung yang gagah perkasa mempunyai angkatan pejuang iman yang berjaya
meluaskan empayar kekuasaanya ke sebelah timur dan barat semata-mata untuk
menyebarkan ‘aqidah dan kepercayaan yang bertuhankan ketuhanan Allah, beliau
dan angkatan pejuangnya telah menyebarkan dakwah ke seluruh pelusuk dunia dan
menentang golongan yang tidak beriman kepada Allah. Kisah pejuangan beliau telah
diceritakan di dalam Al Quran:
وَيَسْأَلُونَكَ
عَنْ ذِي الْقَرْنَيْنِ قُلْ سَأَتْلُو عَلَيْكُمْ مِنْهُ ذِكْرًا إِنَّا
مَكَّنَّا لَهُ فِي الأرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا فَأَتْبَعَ
سَبَبًا حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ مَغْرِبَ الشَّمْسِ وَجَدَهَا تَغْرُبُ فِي عَيْنٍ
حَمِئَةٍ وَوَجَدَ عِنْدَهَا قَوْمًا قُلْنَا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِمَّا أَنْ
تُعَذِّبَ وَإِمَّا أَنْ تَتَّخِذَ فِيهِمْ حُسْنًا
Maksudnya: “Dan mereka bertanya
kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain, katakanlah: Aku akan bacakan
kepada kamu tentang perihalnya, sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya
kekuasaan memerintah di bumi dan Kami beri kepadanya jalan untuk menjayakan
tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya, lalu dia menurut jalan (yang menyampaikan
maksudnya), sehingga apabila dia sampai ke daerah matahari terbenam, dia
mendapatinya terbenam di sebuah mata air yang hitam berlumpur dan dia dapati di
sisinya satu kaum (yang kufur ingkar), Kami berfirman (kepadanya): Wahai
Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau
bertindak secara baik terhadap mereka” (Al Kahf: 83-86).
Manakala kisah Luqman Al Hakim yang
merupakan seorang pendidik yang berjaya dalam mentarbiyah anaknya telah
diabadikan kisahnya dengan penuh teliti di dalam Al Quran sebagai renungan
untuk umat yang akan datang:
وَلَقَدْ
آتَيْنَا لُقْمَانَ الْحِكْمَةَ أَنِ اشْكُرْ لِلَّهِ وَمَنْ يَشْكُرْ فَإِنَّمَا
يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ وَإِذْ قَالَ
لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ
الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami
telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (Kami perintahkan
kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepada mu) dan
sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu terpulang kepada dirinya sendiri dan
sesiapa yang kafir sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. Dan
(ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat
kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah
(dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu
kezaliman yang besar” (Luqman: 12-13)
Sistem pendidikan dan tarbiyah yang
hendak diwujudkan oleh Luqman ini adalah sistem asasi dengan rupa bentuk
‘aqidah yang bertuhanan Allah sebagai ‘tapak semaian’ untuk diletakkan ke dalam
hati sanubari dan jiwa nurani setiap anak-anak. Apabila hati sanubari dan jiwa
nurani mereka itu ditanam dengan keimanan, maka apa jua gangguan yang datang
menjelma dengan mudah dapat dihapuskan dan dikuburkan.
Sesungguhnya banyak lagi kisah-kisah
yang menarik telah dijelaskan oleh Al Quran untuk paparan hidup kita bersama,
kisah-kisah tersebut adalah maklumat yang sangat berharga untuk dijadikan
panduan dalam menyampaikan risalah dakwah kepada masyarakat. Kisah-kisah
tersebut juga membuktikan bahawa Al Quran adalah kitab saluran maklumat yang
tepat untuk membawa mesej keamanan kepada masyarakat bahawa nilai-nilai
keimanan itu bukan untuk ditentang, tetapi untuk diserap-terima ke dalam hati
sanubari dan jiwa nurani sebagai batu asas atau akar tunjang dalam kehidupan.
Sekian,
wassalam
Al
Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi
Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment