Di bawah ini kami nyatakan beberapa orang tokoh-tokoh ulama yang
terkenal dalam bidang fiqh Islam dan mempunyai pengaruh yang besar sehingga idea
dan pemikiran mereka berjaya menguasai umat Islam di seluruh dunia. Pandangan
dan buah fikiran mereka telah mengubah suasana kehidupan serta menjadi pegangan
hidup dalam aliran mazhab di seluruh pelusuk dunia. Di samping mazhab-mazhab
yang empat, iaitu; Mazhab Maliki, Mazhab Hanafi, Mazhab Syafi’ei dan Mazhab
Hanbali, di sana terdapat mazhab-mazhab lainnya yang
termasuk dalam mazhab kecil yang tidak mempunyai para pengikut yang ramai,
seperti Mazhab Ath Thauri, An Nakha’ei, At Tabari, Al Auza’ei dan Az Zahiri, kami
hanya menyatakan mazhab-mazhab yang empat sahaja.
1. Imam Malik Bin Anas (93-179H/172-258M)
Beliau ialah Malik bin Anas bin Malik bin Abu Amar Al Ashbahi Al Madani,
dilahirkan di
Madinah pada tahun 93H, beliau berasal daripada keturunan Arab yang sangat
dihormati dan beliau juga adalah pengasas dalam Mazhab Maliki, merupakan
seorang ulama besar yang menetap di Madinah dan mempunyai pengaruh yang besar
terhadap dunia Islam. Dinisbahkan
kepada beliau Al Ashbahi, kerana nenek moyang beliau berasal dari sebuah
kabilah bangsa arab bernama Ashbah dan berhijrah dari Yaman menetap di Madinah.
Manakala dinisbahkan pula dengan Al Madani, kerana beliau lahir di Madinah. Beliau
adalah anak dari salah seorang ulama besar tabi’ein bernama Anas bin Malik. Ibu
beliau bernama ‘Aliyah binti Syariek Al Adziyyah. Beliau merupakan seorang
hartawan dan dermawan dan menggunakan hartanya untuk menolong golongan yang
susah, beliau adalah seorang ulama yang warak, taat dan patuh kepada Allah
serta kuat beribadat terutama sekali pada waktu malam.
Sejak kecil beliau menghafaz Al
Quran dan hadith, dan beliau mempunyai kecerdasan akal fikiran yang luar biasa
sehingga dapat mengingati semua hadith yang disampaikan oleh gurunya setelah
mendengarnya secara lisan. Beliau pernah belajar daripada 900 orang guru dan
sebahagian daripadanya terdiri dalam kalangan ulama tabi’ein ketika Kota
Madinah menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan. Di antara
tokoh-tokoh ulama besar yang pernah beliau menuntut ilmu dengan mereka ialah
Nafi’ bin Abi Nuaim, Ibn Syihab Al Zuhri, Abu Zinad, Hasyim bin Urwa, Yahya bin
Said Al Anshari, Muhammad bin Munkadir, Abdul Rahman bin Hurmuz dan Abdullah
bin Dinar. Beliau pernah berguru dengan ulama
sufi, iaitu Imam Musa Kadzim, Maaruf Al Khurki dan Imam Ja’afar As Shodiq. Berkat
kerajinan dan usaha gigih beliau dalam menuntut ilmu pengetahuan, akhirnya Imam
Malik muncul sebagai ulama fiqh yang terbesar dan unggul di seluruh Madinah. Menurut
satu riwayat, Imam Malik telah menghabiskan umurnya selama 40 tahun untuk
menghimpunkan dan menapis hadith-hadith yang diterima daripada gurunya. Imam
Malik telah menghafaz sebanyak 100,000 buah hadith. Walau bagaimanapun tidak
semua hadith-hadith tersebut diterima untuk dijadikan sumber hukum. Maka,
setelah ditapis hanya 10,000 buah hadith sahaja yang boleh diguna-pakai,
manakala daripada 10,000 buah hadith yang telah dikenAl pasti dan dipadankan
dengan Al Quran dan hanya 5,000 buah hadith sahaja yang benar-benar diterima
sebagai hadith dari Nabi s.a.w. yang sahih dan dimuatkan dalam kitabnya Al
Muwatta’ yang merupakan kitab yang agung menjadi bahan rujukan sehingga ke hari
ini. Selain dari Al
Muwatta', Imam Malik juga menyusun kitab Al Mudawwanah Al Kubra, yang berisi
fatwa-fatwa dan jawaban Imam Malik mengenai pelbagai persoalan, Risalah Fi Al
Qadar yang dikirimkan kepada Abdullah bin Wahb, An Nujum Wa Manazil Al Qamar,
Risalah Fi Al Aqdhiyah, Kitab As Sir, Risalah Ila Laits Fi ljma Ahlil Madinah
dan lain-lain. Beliau adalah seorang ulama Islam yang sangat
berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu hukum dan fatwa, beliau merujuk kepada
Al Quran dan hadith sebagai sumber asas, kemudian beliau merujuk kepada ijmak,
qiyas dan al maslahah al
mursalah serta sumber yang diambil dari penduduk Madinah. Menurut satu riwayat, dinyatakan
bahawa murid Imam Malik yang terkenal mencapai 1,300 orang termasuk Imam Abu
Hanifah dan Imam Syafi’ei. Di antara mereka yang sangat terkenal adalah Ishaq
bin Abdullah bin Abu Thalhah, Ayyub bin Abu Tamimah As Sakhtiyani, Ayyub bin
Habiib Al Juhani, Ibrahim bin ‘Uqbah, Isma’il bin Abi Hakim, Ibnl Mubarak, Al
Qoththon, Ibn Mahdi, Ibn Wahb, Ibn Qosim, Al Qa’nabi, Abdullah bin Yusuf, Sa’id
bin Manshur, Yahya bin Yahya al Andalusi, Yahya bin Bakir, Qutaibah Abu
Mush’ab, Al Auza’i, Sufyan Ats Tsaury, Sufyan bin Uyainah dan Ismail Ibn
Muhammad bin Sa’ad.
Di antara tokoh-tokoh ulama yang
membawa aliran pemikiran beliau ialah Ibn Rusyd yang mengarang kitab Al
Mudawwanah Al Kubra dan Bidayatul Mujtahid Wa Nihaayatul Muqtashid, Abu
Muhammad Abdullah bin Zaid yang mengarang kitab Matan Ar Risalah Fi Al Fiqh Al Maliki,
Shihabuddin Al Baghdadi yang mengarang kitab Aslu Al Madarik Syarh Irsyad Al
Masalik Fi Fiqh Al Imam Malik dan Syeikh Ahmad as Sawi yang mengarang kitab
Bulghah As Salik Li Aqrab Al Masalik.
Ketika Imam Malik beusia 54 tahun, beliau
menjawat jawatan sebagai mufti di Madinah semasa pemerintahan Islam berada di
bawah Khalifah Al Mansur yang berpusat di Baghdad. Ketika itu di Madinah
dipimpin oleh seorang gabenor bernama Jaafar bin Sulaiman Al Hasymi. Imam Malik
pernah mengeluarkan fatwa bahawa talak secara paksa oleh seseorang suami ke
atas isteri tidak jatuh dan fatwa ini bertentangan dengan kehendak gabenor.
Beliau memberi amaran keras kepada Imam Malik supaya menarik semula fatwa
tersebut, tetapi Imam Malik enggan berbuat demikian. Akibatnya, beliau dihukum,
didera dan diikat dengan tali dan dinaikkan ke atas punggung unta, lalu dibawa
mengelilingi Kota Madinah supaya
Imam Malik merasa malu dan menarik balik fatwanya. Namun, Imam Malik tetap
dengan pendiriannya, kerana ketegasannya itu beliau dihukum dengan sebat
sebanyak 70 kali menyebabkan tulang belakangnya hampir patah. Beliau telah meninggal dunia pada pagi
hari Ahad bulan Rabi`ul Awal tahun 179H/ 789M ketika berusia 89 tahun dan jenazahnya
ditanam di perkuburan Baqi, Madinah. Beliau meninggalkan tiga orang putera dan seorang puteri.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, amin ya Rabb.
2. Imam Abu Hanifah (80-150H/699-767M)
Beliau
ialah Nu’man bin Thabit bin Zufi’at At Tamimi merupakan pengasas dalam Mazhab
Hanafi. Beliau dilahirkan pada tahun 80H/699M di Kufah. Dalam empat mazhab yang
terkenal, hanya Imam Hanafi sahaja yang bukan dari bangsa arab, beliau adalah
dari keturunan Parsi. Pendirian beliau sama dengan pendirian imam yang lain,
iaitu sama-sama menegakkan Al Quran dan sunnah Nabi s.a.w. Menurut ahli
sejarah, kemasyhuran nama beliau ada beberapa sebab kerana beliau mempunyai
seorang anak lelaki bernama Hanifah, maka dengan sebab itu beliau diberi nama
Abu Hanifah. Di katakan juga kerana sejak kecil lagi beliau sangat rajin dan
menghayati setiap apa yang dipelajarinya, maka beliau dianggap seorang yang
hanif, iaitu kecenderungan kepada agama, sebab itu beliau masyhur dengan
gelaran Abu Hanifah. Dalam Bahasa Parsi, Hanifah bererti tinta dan Imam Hanafi
sangat rajin menulis hadith-hadith, ke mana saja beliau pergi sentiasa membawa
tinta, maka dengan sebab itu beliau dinamakan Abu Hanifah.
Beliau dilahirkan pada zaman
pemerintahan Islam berada di bawah Khalifah Abdul Malik bin Marwan, dari
pemerintahan Bani Umaiyah yang kelima. Kebijaksanaan Imam Hanafi tidak dapat diragukan
lagi, beliau adalah seorang yang alim dalam ilmu fiqh, ilmu kalam dan ilmu
hadith, di samping beliau juga bijak dalam ilmu kesusasteraan dan hikmah. Sejak
dari kanak-kanak lagi beliau telah menghafal Al Quran dan kemudian mendalami
ilmu pengetahuan tentang Al Quran dengan Imam Abu A’sim yang merupakan seorang
ulama yang terkenal ketika itu. Beliau mempelajari ilmu fiqh dengan seorang
ulama yang terkenal iaitu Humad Ibn Abu Sulaiman tidak kurang dari 18 tahun dan
mempelajari ilmu hadith dari sahabat-sahabat Nabi s.a.w. seperti dari Anas Ibn Malik,
Abdullah Ibn Aufa, Abu Tufail Ibn Amir dan lain-lain lagi. Selepas kematian
gurunya, beliau pergi ke Mekah dan berguru dengan salah seorang murid Abdullah Ibn
Abbas r.a. Imam Abu Hanifah
terkenal sebagai seorang yang sangat alim dalam ilmu pengetahuan, terutama
dalam ilmu fiqh, seorang ahli zuhud, tawadduk dan sangat pemurah. Beliau pernah
berguru dengan ulama sufi bernama Imam Ja’afar As
Shodiq.
Imam Abu Hanifah sebenarnya seorang peniaga
kain dan seorang usahawan yang aktif, gabungan pemikiran usahawan dengan ilmu
pengetahuan menghasilkan suatu pemikiran yang produktif. Beliau menggunakan Al
Quran dan As Sunnah sebagai asas dalam konsep pemikiran ijtihad, di samping
menggunakan kaedah qiyas dan istihsan. Namun, aliran pemikiran beliau tertumpu kepada
ra’yu di mana beliau terkenal sebagai Ahlu Ar Ra`yu
(ahli fikir) yang disifatkan sebagai ‘akal dalam ilmu pengetahuan’. Di antara kitab karangan beliau
ialah Al Musu’un, Al Makha’rij dan Fiqh Akhbar. Beliau
mempunyai empat orang murid yang masyhur yang mendokong
aliran pemikiran beliau iaitu: Abu Yusuf, Zufar bin Al Hudhay bin Qays, Muhammad
bin Al Hassan bin Farqad As Syaybani dan Al Hassan bin Ziyad Al Lu'lu'i.
Beliau tidak tertarik kepada apa-apa
bentuk jawatan rasmi kerajaan ketika itu dan dengan sebab itu beliau pernah
menolak jawatan hakim yang ditawarkan oleh Khalifah Al Mansur. Diriwayatkan,
dengan sebab beliau menolak jawatan tersebut, beliau kemudiannya
dimasukkan ke dalam penjara selama beberapa tahun dan dikenakan hukuman sebat.
Imam Hanafi menolak semua tawaran yang diberikan oleh pihak kerajaan Umaiyah
dan Abbasiyah adalah kerana beliau tidak setuju dengan corak pemerintahan
ketika itu. Oleh sebab itu, pihak kerajaan berusaha mengajak Imam Hanafi untuk
bekerjasama mengikut gerak langkah mereka, tetapi beliau enggan dan menolak
semua tawaran yang diberikan. Tidak lama selepas itu, Imam Hanafi dipanggil
oleh baginda untuk mengadap, lalu diberinya segelas air yang berisi racun dan
memaksa beliau meminumnya. Setelah diminum air yang beracun itu Imam Hanafi
kembali dimasukkan ke dalam penjara. Imam Hanafi wafat dalam keadaan menderita
di penjara ketika berusia 70 tahun pada 150H/767M dan dimakamkan diperkuburan
Khizra. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, amin ya Rabb.
3. Imam Asy Syafi’ei (150-240H/717-820M)
Beliau
ialah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Uthman bin
Syafi’ei bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf,
beliau bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad s.a.w. pada sebelah datuk baginda
yang ketiga iaitu Abdul Manaf. Beliau dilahirkan di Ghazzah, daerah Palestin
pada bulan Rejab 150H/767M. Beliau adalah pengasas dalam Mazhab Asy Syafi’ei. Sebelum
beliau dilahirkan, ibunya bermimpi melihat sebutir bintang keluar dari perutnya
lalu naik ke langit, kemudian bintang itu pecah jatuh bertaburan ke bumi
menyebabkan cahayanya menerangi seluruh alam. Bapanya meninggal
dunia semasa beliau masih dalam kandungan, semasa berumur dua tahun Imam Asy
Syafi’ei dibawa oleh ibunya pergi Kota Makah. Imam Asy Syafi’ei menghafal Al Quran sewaktu berumur 9 tahun
dan menghafal Kitab Al Muwatha’ yang ditulis oleh Imam Malik ketika berumur 10
tahun, mula belajar di sisi Imam Malik ketika
umurnya 13 tahun. Beliau mempunyai kecerdikan dan daya ingatan yang
sangat luar biasa, sehingga dibenarkan memberikan fatwa sendiri oleh gurunya
sewaktu berusia 15 tahun sewaktu mengajar di Masjidil Haram.
Apabila ibunya membawa Imam Asy Syafi’ei untuk berguru dengan Imam
Ismail Kustantani, seorang guru ilmu Al Quran yang terkenal waktu itu, Imam
Ismail pada mulanya menolak kerana Imam Asy Syafi’ei baru berusia 9 tahun sedangkan dia hanya
menerima orang menjadi muridnya setelah berumur 12 tahun. Tetapi, setelah dia
menguji hafalan dan ingatan Imam Asy Syafi’ei tentang Al Quraan, beliau amat
tertarik dengan daya ingatannya dan terus mengambil Imam Asy Syafi’ei menjadi
muridnya. Apabila Imam Ismail ada urusan lain, Imam Asy Syafi’ei pula
disuruh menggantikan tempatnya mengajar di situ. Imam Asy Syafi’ei juga amat meminati syair dan puisi, beliau
pernah berguru dengan Mas’ab bin Zubair seorang penyair terkenal dan dalam masa
3 bulan sahaja beliau mampu menghafal 10,000 rangkap syair kaum Bani Huzail. Suatu
ketika, beliau pernah memasuki pertandingan syair atas desakan kawan-kawannya
dan mengalahkan gurunya Al Mas'ab. Imam Asy Syafi’ei berguru pula dengan Imam Sufian Ainiah dalam
ilmu hadith sehingga menjadi pakar dalam bidang hadith dan diberi kepercayaan
oleh gurunya untuk mengajar menggantikannya sewaktu ketiadaannya. Selepas
itu Imam Asy Syafi’ei berguru pula dengan Imam Muslim Al Zanji dalam bidang
fiqh, akhirnya dia diakui oleh gurunya dan dibenarkan mengajar serta memberikan
fatwa pula. Imam Asy Syafi’ei juga pernah belajar ilmu peperangan dan bermain
senjata dengan gurunya iaitu Amiruddin, seorang bekas tentera, selepas itu
beliau terkenal sebagai seorang pemanah yang handal. Imam Asy Syafi’ei pernah
mengembara ke Madinah yang mengambil masa selama lapan hari dengan menaiki
unta, dalam perjalanan beliau sempat mengkhatamkan Al Quran sebanyak 16 kali.
Selepas itu Imam Asy Syafi’ei merantau pula ke Iraq untuk belajar dengan anak
murid Imam Hanafi iaitu Imam Muhamad Al Hassan dan Imam Abu Yusof. Beliau telah
menghafal Kitab Al Awsat karangan Imam Hanafi dalam masa tiga hari sahaja dan
perkara ini telah mengejutkan kedua orang gurunya, kerana biasanya murid-murid
mereka yang lain mengambil masa paling kurang satu tahun untuk menghafalnya.
Imam Asy Syafi’ei pernah berguru dengan
ulama sufi yang bernama Syuhbban Ar Raie dan Abu Hamzah As Sufi.
Imam
Asy Syafi’ei juga belajar ilmu firasat dengan Maulana Arif di Yaman, semasa di
Yaman beliau berkahwin dengan wanita bernama Hamidah dari keturunan Khalifah Uthman
Bin Affan dan dikurniakan tiga orang anak. Semasa di Najran, Imam Asy Syafi’ei
telah difitnah oleh Gabenor As Saud kononnya Imam Asy Syafi’ei menghasut rakyat
untuk menjatuhkan Kerajaan Abbasiyah yang diperintah oleh Khalifah Harun Ar
Rashid. Akibat dari fitnah itu, Imam Asy Syafi’ei dan beberapa orang muridnya
telah ditangkap, tangan dan kaki mereka dirantai dan mereka semua dipaksa
berjalan kaki dari Najran ke Kota Kufah. Walau bagaimanapun dengan izin Allah,
Imam Asy Syafi’ei terlepas dari hukuman oleh Khalifah dan orang yang memfitnah
mendapat hukuman yang setimpal.
Dalam Mazhab Syafi’ei terdapat
dua aliran mazhab, iaitu Mazhab Qadim yang merupakan pengikut pendapat Imam Asy
Syafi’ei semasa beliau berada di Baghdad dan Mazhab Jadid yang merupakan pengikut
beliau semasa berada di Mesir. Di antara murid Imam Asy Syafi’ei yang terkenal
dalam Mazhab Qadim ialah Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Tsur, Az Za'farani dan Al
Karabisi, manakala murid beliau dalam Mazhab Jadid ialah Al Muzani, Al Buwaiti,
Ar Rabi' Al Muradi yang digelar sebagai ‘Rawiyat Al Mazhab’ atau perawi mazhab.
Mereka ini kesemuanya meninggal dunia pada kurun ketiga hijrah. Selepas itu
menyusul pula generasi ulama lain yang mendokong aliran pemikiran Mazhab Imam
Asy Syafi’ei, di antaranya ialah Imam Ibn Suraij dan Al Qaffal Al Kabir pada
kurun keempat, kemudian Imam Al Mawardi, Abu Ishaq As Syirazi, Abu Muhammad Al
Juwaini dan anaknya Imam Al Haramain serta Imam Al Baihaqi pada kurun kelima
seterusnya Hujatul Islam Imam Ghazali, As Syasyi dan Al Baghawi pada kurun
keenam, selepas itu muncul Imam An Nawawi dan Ar Rafi'ei yang digelar sebagai
Syeikhul Mazhab, juga Ibn Daqiq Al 'Aid pada kurun ketujuh, Attaqi As Subki dan
anaknya Attaj, Ibn Jama'ah dan Al Hisni pada kurun kelapan, Al Hafiz Ibn Hajar
Al Asqalani dan Ibn Al Muqri pada kurun kesembilan. As Sakhawi, As Syihab Ar
Ramli dan anaknya As Syams, Ibn Hajar Al Haitami, As Sayuthi dan Syeikh Zakaria
Al Ansari pada kurun kesepuluh, As Syaribini, Al Qalyubi, Al Baijuri, Ibn
Qasim, As Syabramallisi, Al Kurdi, As Saqqaf, Syatha, Al Malibari, Bafadhl, Al
Masyhur, Al Jardani, Al Bujairimi Ali Khatib, Ba'isyn dan ramai lagi para fuqaha pada kurun-kurun yang
terkemudian.
Dasar
dan kaedah dalam mazhabnya, Imam Asy Syafi’ei menggunakan Al Quran dan As Sunnah
sebagai batu asas dalam mengeluarkan sesuatu hukum, di samping ijma’ dan qiyas
sebagai kaedah yang seterusnya. Beliau juga tidak mengambil Istihsan sebagai
dasar dalam mazhabnya dan menolak maslahah mursalah serta amalan penduduk
Madinah. Imam Asy Syafi’ei pernah berkata: ”Jika ada sebuah hadith sahih
bertentangan dengan perkataan ku, maka hadith yang sahih itu adalah mazhab ku,
buanglah perkataanku di belakang tembok.”
Di antara kitab Imam Asy Syafi’ei yang terkenal
ialah Ar Risalah yang merupakan kitab pertama dalam ilmu usul fiqh yang ditulis
secara tersusun, seterusnya kitab Al Umm, Kitab Al Imla Al Shaghir, Kitab Al
Imla Al Kabir, Kitab Mukhtasar Al Muzni dan Kitab Mukhatsar Al Buwaithi yang
dicetak dalam kitab Al Umm pada jilid yang akhir. Pada tahun 198 Hijrah, Imam
Asy Syafi’ei telah berhijrah ke Mesir dan menetap di sana sehinggalah wafatnya,
beliau mengajar di Masjid Amru Ibn Ash r.a. dalam pelbagai ilmu pengetahuan
sehingga pada tahun 204H/ 820M
beliau mengalami sakit buasir dan melemahkan tubuh badannya. Beliau meninggal
dunia pada malam jumaat 28 Rejab 204H/820M di pangkuan muridnya Rabi’ei Ibn Sulaiman Al
Jizi, di rumah Abdullah bin Hakam ketika berumur 54 tahun. Jenazahnya
dikebumikan di tanah perkuburan Az Zaharah di Mesir. Semoga
Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya,
amin ya Rabb.
4. Imam Ahmad Ibn Hanbal (164-241H/780-855M)
Beliau ialah Abu Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal As
Syaibani dan beliau juga adalah satu keturunan dengan Nabi Muhammad s.a.w.
iaitu pada sebelah neneknya yang bernama Nazar bin Maad bin Adnan. Beliau
dilahirkan di Baghdad pada bulan Rabiul Awal tahun 164H dan beliau adalah pengasas dalam Mazhab Hanbali. Semasa
hidupnya, beliau merupakan seorang ahli sunnah yang terbesar, soleh dan sangat
zuhud. Setengah ulama menganggap beliau adalah mujaddid pada abad ketiga
Hijrah. Imam Ahmad bin Hanbal menghafal Al Quran sejak kecil dan
pada umurnya 16 tahun beliau sudah menjadi penghafal hadith yang terkenal. Beliau
meneruskan pengajian hadithnya dengan ramai guru dan pada penghujung hayatnya beliau
telah menghafal lebih daripada sejuta hadith termasuk sanad perawinya. Pada
tahun189H/ 805M Imam Ahmad bin Hanbal berhijrah ke Basrah, tidak lama kemudian
ke Mekah dan ke Madinah untuk menuntut ilmu. Di sana beliau sempat duduk
berguru dengan Imam Asy Syafi’ie. Di antara guru-gurunya yang masyhur ialah Abu
Yusuf, Husseain Ibn Abi Hazim Al Washithi, Umar Ibn Abdullah Ibn Khalid, Abdul
Rahman Ibn Mahdi dan Abu Bakar Ibn Iyasy. Pada tahun 198H Imam Ahmad bin Hanbal
ke negeri Yaman pula untuk berguru dengan Abdul Razzaq Ibn Humam, seorang ahli
hadith yang besar ketika itu, terkenal dengan kitabnya yang berjudul Al Musannaf.
Dalam perjalanannya ini Imam Ahmad mula menulis hadith-hadith yang dihafalnya
setelah sekian lama. Imam Ahmad bin Hanbal kembali semula ke Baghdad dan mula
mengajar. Kehebatannya sebagai seorang ahli hadith dan pakar fiqh menarik
perhatian orang ramai dan mereka mula berkumpul dan bertalaqqi dengannya untuk
belajar bersama. Antara anak muridnya yang kemudian berjaya menjadi tokoh
hadith terkenal ialah Imam Al Bukhari, Muslim dan Abu Daud. Imam Ahmad bin
Hanbal tidak mengambil masoleh al mursalah sebagai kaedah pengeluaran sesuatu hukum
kerana menurut beliau kebanyakan permasalahan yang berlaku terdapat dalam Al
Quran, hadith dan juga qiyas. Walaupun bagaimanapun, beliau masih menggunakan
kaedah ini sebagai kaedah mengistinbat hukum dengan mengambil maksud masoleh al
mursalah dalam penggunaan qiyas. Apabila timbul masalah baru, beliau akan
mencari titik persamaan dan membuat perbandingan antara masalah tersebut dengan
masalah lama yang sedia ada, kemudian memutuskan hukumnya sebagai jalan
penyelesaian. Penyelesaian tersebut kebiasaannya akan membawa kebaikan dan
menolak kemudaratan kepada manusia.
Imam Ahmad pernah berguru dengan ulama sufi
yang bernama Abu Hamzah As Sufi dan Bisyru Al Hafi. Imam
Asy Syafi’ie adalah salah seorang guru beliau, mereka bertemu semasa berada di Mekah
sewaktu menunaikan ibadat haji, ketika itu Imam Asy Syafi’ie mengajar di
Masjidil Haram. Mereka kemudian bertemu kali kedua di Baghdad dan Imam Asy
Syafi’ei pernah menasihati beliau supaya mengikutnya ke Mesir, tetapi niatnya
tidak kesampaian. Menurut Az-Zahabiy, bilangan guru Imam Ahmad yang dia
meriwayatkan daripada mereka dalam Al Musnad ialah lebih 280 orang, di antara
guru-guru beliau yang masyhur ialah Al Qadhi Abu Yusuf , Hasyim bin Basyir,
Mu`tamir bin Sulayman At Taymi, Abu Muhammad Al Basri, Jarir bin `Abdul Hamid
bin Qurt, Muhammad bin Ja`far bin Ghundar Abu `Abdillah Al Basri Al Hazli,
Waki` bin Al Jarrah Ibn Malih Ar Ru’asi Abu Sufyan Al Kufi, Sufyan bin `Uyaynah
Ibn Maymun Al Hilali Al Kufi Abu Muhammad, Abdul Rahman bin Mahdi Ibn Hassan
Al`Anbari Al Basri Al Lu’lu’iy dan lain-lain lagi.
Di
antara kitab-kitab yang ditulis oleh Imam Ahmad
Kitab Al Irja’, As’ilatu `Ani, Ar Ruwati As Siqati Wadh Dhu`afa’, Al
Asma’ Al Kuna, Al Asyribatu As Saghir, Al Asyribat Al Kabir, Kitab Al Imamah,
Ahl A Milalu Wa Ar Riddah Wa Az Zanadiqah Al Watariq As Salati Wa Al Fara’idhi,
Al Iman, Bab Ahkamu n-Nisa’, At Tarajjul, At Tarikh, At Tafsir, Al Masa’il, Al
Musnad dan banyak lagi. Antara tokoh-tokoh ulama yang terkenal yang menyebarkan
fahaman mazhabnya ialah Abu Bakr bin Hani’, Abu Qasim Al Kharqi, Muwaffiq Ad
Din bin Qudamah, Syamsuddin bin Qudamah Al Maqdisi dan Taqiyyuddin Ahmad bin
Taimiyah.
Imam
Ahmad bin Hanbal pernah hidup di dalam penjara kerana kekerasannya menentang
Mazhab Mu’tazilah yang menjadi mazhab rasmi kerajaan Abbasiyah ketika itu. Pihak
kerajaan memaksa Imam Ahmad supaya menyatakan Al Quran itu makhluk, tetapi beliau
menegaskan bahawa Al Quran bukan makhluk, tetapi Kalamullah. Dengan sebab itu,
beliau disebat dalam penjara sehingga pengsan. Kerana ketegasan beliau dan tekanan
dari orang ramai, akhirnya pihak pemerintah Abbasiyah terpaksa akur dan membebaskan
beliau dari penjara. Imam Ahmad kemudiannya meneruskan pengajarannya kepada
orang ramai sehinggalah kematiannya pada tahun 241H/856M, ketika berusia 77
tahun. Setelah mendengar kewafatan
beliau, jenazah beliau disembahyangkan lebih dari 130,000 orang muslimin. Imam
Ahmad bin Hanbal meninggalkan kepada dunia Islam kitab hadithnya yang terkenal
iaitu Al Musnad yang mengandungi lebih kurang 30,000 hadith Nabi s.a.w. Dua
orang anaknya meneruskan perjuangan bapa mereka berdua, iaitu Abdullah bin
Ahmad dan Soleh bin Ahmad. Semoga
Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, amin ya Rabb.
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila 'Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani