PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Saturday 28 April 2012

ULAMA DALAM BIDANG ILMU HADITH


Di sana terdapat beberapa tokoh ulama dalam bidang hadith[1] di mana kitab-kitab mereka menjadi rujukan penting terutamanya kepada para pelajar dan ahli ilmu sehingga ke hari ini. Berikut ini kami nyatakan biografi penting mengenai enam tokoh ulama hadith yang terkemuka, di mana kitab-kitab hadith mereka disebut sebagai ‘Sunan Sittah’. Cara mereka mengumpul hadith ialah dengan menemui tokoh-tokoh ulama ketika itu atau sesiapa sahaja yang dianggap ‘thiqhah’ secara manual, iaitu berjumpa seorang demi seorang untuk menerima hadith yang ditinggalkan Rasulullah s.a.w. Mereka mengembara ke tempat-tempat di mana para ulama ini berkumpul semata-mata untuk mengumpul hadith. Selepas itu mereka akan menapis hadith-hadith yang mereka terima secara periwayatan untuk mengetahui susur-galur hadith-hadith tersebut sama ada benar-benar dari Rasulullah s.a.w. atau sebaliknya. Secara tidak langsung, mereka akan mengetahui sesuatu hadith yang mereka terima itu sahih atau tidak. Apa yang unik mengenai ulama-ulama hadith ini ialah mereka semua bukan dari kalangan bangsa arab, tetapi mereka berjaya menguasai bidang ilmu yang sangat penting yang menjadi sumber hukum yang kedua selepas Al Quran.

1. Imam Bukhari (194-256H/810-870M)
Beliau ialah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al Mughirah Al Bukhari, dilahirkan di Bukhara pada 194H/ 810M, iaitu di wilayah Uzbekistan. Perkataan Bukhari itu ialah nisbah kepada nama tempat kelahiran beliau. Imam Bukhari adalah seorang ulama Islam yang menguasai pelbagai ilmu pengetahuan, tetapi beliau lebih menumpukan perhatian kepada ilmu hadith dan beliau di antara salah seorang penghafaz hadith Nabi s.a.w. di antara kitab-kitab karangan beliau ialah Jami’ie As Sahih, At Tarikh dan Ad Dhuafa’. Pada tahun 210H, beliau telah keluar bermusafir jauh ke Khurasan, Iraq, Mesir dan Syria semata-mata untuk mencari hadith Nabi s.a.w. yang ada pada tokoh-tokoh ulama ketika itu. Beliau mempelajari hadith lebih dari seribu orang guru dan mengumpulkan sekitar 600,000 hadith. Dari jumlah tersebut, beliau memilih perawi yang thiqhah sahaja untuk ditulis dan dimuatkan dalam kitab sahihnya, iaitu sebanyak 7562 buah hadith. Iman Bukhari meninggal dunia pada tahun 256H/870M di Hartank, sebuah tempat yang terletak di Samarkhand. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, amin.

2. Imam Muslim (204-261H/820-875M)
Beliau ialah Muslim bin Hajjaj bin Muslim Al Quraisyi An Naisaburi, dilahirkan di Naisabur pada tahun 204H/820M, iaitu di Iran. Imam Muslim telah mengembara ke serata tempat termasuk ke Hijaz, Mesir, Syam dan Iraq semata-mata untuk mengumpul hadith. Di antara kitab beliau yang terkenal ialah Kitab Sahih Muslim yang memuatkan hadith-hadith yang sahih. Di antara karyanya yang lain ialah Al Musnad Al Kabir, Al Jami’ie, Al Kinaawa Al Asma’, Al Afrad Wal Wihdan, Tasmiyah Syuyukh Malik Wa Sufyan Wa Syu’bah, Kitab Al Mukhadhramin dan Kitab Aulad As Sohabah. Di dalam Kitab Sahih Muslim terdapat 3033 buah hadith yang sahih setelah beliau membuat penelitian dan tapisan terhadap hadith-hadith yang beliau kumpul secara berulang-ulang. Imam Muslim meninggal dunia di Kota Naisabur pada tahun 261H/875M. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, amin.

3. Imam Abu Daud (202-275H/817-889M)
Beliau ialah Sulaiman bin Al Asy’ath bin Ishaq bin Basyir Al Azdi As Sijistani, dilahirkan di Sijistan pada tahun 202H/817M, di Afghanistan. Beliau merupakan imam dan ahli hadith pada zaman tersebut dan keluar mengembara untuk mencari ilmu pengetahuan ke Iraq, Hijaz, Mesir dan Syam. Di antara kitabnya yang terkenal ialah As Sunan yang merupakan salah satu dari enam kitab hadith rujukan. Di dalam kitab tersebut, terdapat 5232 hadith yang dipilih dari 500,000 hadith yang dihafaznya. Manakala kitab-kitab lain karangan beliau ialah Kitab Az Zuhd, Al Ba’ts, Tasmiyah Al Ikhwah dan Al Akhbar Abi Daud yang disusun oleh Imam Al Juludi. Beliau meninggal dunia pada tahun 275H/889M di Basrah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, amin.

4. Imam At Tirmizi (209-279H/824-892M)
Beliau ialah Muhammad bin Isa bin Saurah bin Musa As Silmi Al Bughi At Tirmizi, dilahirkan di Tirmiz pada tahun 209H/824M, iaitu di daerah Uzbekistan. Perkataan Tirmizi sebenarnya nisbah kepada tempat kelahiran beliau. Imam At Tirmizi mempelajari hadith dengan Imam Bukhari dan beberapa orang guru Imam Bukhari serta tokoh-tokoh ulama ketika itu. Beliau mengembara semata-mata untuk menuntut ilmu pengetahuan ke Khurasan, Iraq dan Hijaz. Pada penghujung kehidupannya, mata beliau menjadi buta, namun begitu beliau tetap menghafal hadith-hadith Nabi s.a.w. dan menjadi contoh teladan yang baik. Antara karya beliau ialah Al Jami’ei Al Kabir yang dikenal sebagai Sahih At Tirmizi, Kitab Asy Syamail Muhamadiyah, At Tarikh dan Al ’Ilal. Di dalam kitab Sahih Tirmizi terdapat 3956 buah hadith dan beliau meninggal dunia di Tirmiz pada tahun 279H/892M. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, amin.

5. Imam An Nasa’ie (215-303H/830-915M)
Beliau ialah Ahmad bin Ali bin Syu’aib bin Ali bin Sinan bin Bahr bin Dinar, dilahirkan di Nasa pada tahun 215H/830M, itu di Turkemanistan. Perkataan Nasa’ie sebenarnya nisbah kepada tempat kelahiran beliau. Sebagaimana ulama-ulama hadith yang lain, beliau mengembara dan bermusafir ke Tiberistan, Qazwain, Iraq, Hijaz, Mesir dan Palestin untuk mencari ilmu sehingga  meninggal dunia di Palestin. Beliau menulis Kitab As Sunan An Nasa’ie yang merupakan kitab hadith yang terkenal. Ada pendapat mengatakan beliau meninggal dunia di Makah ketika menunaikan ibadah haji. Kitab-kitab beliau yang lain ialah Kitab As Sunan Al Kubra, Sunan As Sughra, Ad Dhuafa Wal Matrukun, Khasa’eis Ali dan Musnad Malik. Di dalam Kitab Sunan At Tirmizi terdapat 5769 buah hadith dan beliau meninggal dunia pada tahun 303H/915M di Baitul Maqdis, Palestin. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, amin.

6. Imam Ibn Majah (209-273H/824-887M)
Beliau ialah Muhammad bin Yazid Ar Rabi’ Al Qazwaini, dilahirkan di Qazwain pada tahun 209H/824M, di Iran. Perkataan Majah adalah nisbah kepada ayahnya, Yazid yang juga dikenali sebagai Maula Rab’at. Beliau adalah seorang yang alim dalam ilmu hadith dan merupakan penduduk asli Qazwain yang terletak sebelah barat laut dari Kota Teheran. Beliau mengembara ke Basrah, Baghdad, Syam, Mesir dan Hijaz untuk mencari menimba ilmu pengetahuan. Karya beliau adalah Sunan Ibn Majah yang merupakan salah satu dari enam kitab hadith rujukan. Karya lain beliau ialah Tafsir Al Qur’an dan Tarikh Al Qazwain. Dalam Sunan Ibn Majah terdapat 4341 buah hadith dan sebanyak 3003 hadith juga terdapat dalam lima buah kitab hadith rujukan sebelum ini. Beliau meninggal dunia pada bulan Ramadan tahun 273H/887M di Qazwain 64 tahun. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, amin.


[1] Atlas Al Hadith Asy Syarif, oleh: Dr. Syauqi Abu Khalil

No comments:

Post a Comment