PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Wednesday 24 August 2011

SYARI'AT, HAKIKAT DAN TARIKAT DALAM ILMU TASAWUF



Di sana terdapat beberapa istilah yang perlu difahami dalam pengajian ilmu tasawuf yang sering kali diperkatakan. Istilah tersebut adalah untuk menambahkan lagi kefahaman secara menyeluruh terhadap konsep yang dibawa dalam ilmu tersebut sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Istilah yang dimaksudkan itu ialah syari’at, hakikat dan tarikat.  Ketiga-tiga istilah ini saling berkaitan di antara satu sama lain, sebagaimana yang dijelaskan:

إنَّ الشَّرِيْعَةَ مَعْرِفَةُ السُّلُوْكِ اِلَى الَّلهِ تَعَالَى والحَقِيْقَةَ دَوَامُ النَّظَرِ إِلِيْهِ والطَّرِيْقَةَ سُلُوْكُ طَرِيْقِ الشَّرِيْعَةِ أَى العَمَلُ بِمُقْتَضَاهَا

Maksudnya: " Sesungguhnya syari'at merupakan ma’rifat tentang cara untuk sampai kepada Allah, hakikat pula ialah mengekalkan perhatian kepadaNya, manakala tarikat itu ialah jalan untuk menuju kepada syari'at, iaitu beramal dengan apa yang telah ditetapkannya “

Para ulama telah membuat perumpamaan bahawa syari'at itu bagaikan pohon yang rendang, tarikat pula bagaikan dahan dan rantingnya, manakala hakikat pula bagaikan buah yang dihasilkan oleh pohon tersebut.

1. SYARI'AT
Salah satu istilah yang terdapat di dalam ilmu tasawuf ialah syari'at yang merupakan ketetapan Allah terhadap hambaNya dalam ajaran agama, yang memperkatakan tentang sistem perundangan dan peraturan hidup manusia, yang mencakupi semua sekali aspek kehidupan, termasuk politik, ekonomi, sosial, kebudayaan dan lain-lain perkara sebagaimana yang diturunkan kepada Nabi s.a.w. melalui wahyu ILAHI. Syari’at juga dapat ditakrifkan sebagai hukum-hakam yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. yang diambil oleh para ulama di dalam Al Quran dan sunnah perjalanannya untuk dijadikan nas dan mengeluarkan hukum. Di antara hukum-hakam tersebut ialah sebagaimana yang terdapat dalam ilmu Tauhid, ilmu Fiqh dan disebut juga ilmu Tasawuf.         

Firman Allah Ta'ala:

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ مِنَ الأمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: " Kemudian Kami jadikan kepada kamu syari'at dalam urusan “ (keagamaan), maka janganlah kamu mengikut hawa nafsu orang-orang yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan “ ( Al Jasiyah: 18).

Firman Allah Ta'ala:
لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا
Maksudnya: " Bagi setiap “ (kaum) masing-masing Kami jadikan kepada kamu syari'at dan manhaj “ (Al Maidah: 48).

Konsep syari'at memberi penekanan kepada ajaran Islam dan iman itu sendiri yang merupakan program asas dan akar umbi di dalam pembentukan individu muslim, pembentukan jiwa dan rohani. Ianya bermula dari pengakuan dua kalimah syahadah yang menekankan soal ‘aqidah di lubuk hati dan diikat erat-erat di dalamnya sehingga tidak terkeluar lagi.

Ibn Abbas r.a. telah meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

أَبْغَضُ النَّاسِ إلَى الَّلهِ عزّ وجَلَّ مَنْ فِىْ اْلإِسْلاَمِ سُنَّةَ الجَاهِلِيَّةِ وَطَالَبَ دَمَ امْرِءٍ بِغِيْرِ حَقٍّ لِيُرِيْقَ دَمَهُ
Maksudnya: " Orang yang sangat dimurkai oleh Allah Azza Wajalla ialah orang yang menghendaki sunnah jahiliyah dalam Islam dan orang yang menuntut darah tanpa hak semata-mata hanya untuk menumpahkan darahnya “ (Riwayat Bukhari).

Sebenarnya, syari'at Allah itu meliputi segala sesuatu yang telah diatur oleh Allah sendiri untuk menguruskan hal ehwal kehidupan manusia. Perkara pokok dalam syari'at ialah bicara tentang ‘aqidah keimanan atau hakikat ketuhanan, iaitu hakikat pertalian manusia dengan Tuhannya dan hakikat kenabian yang diutuskan oleh Allah kepada ummat manusia. Syari’at juga menyatakan urusan manusia dalam pentadbiran hidup yang berkisar kepada dasar-dasar yang lain yang mempunyai kaitan dengan urusan agama seperti ekonomi, politik, pendidikan, kebudayaan, kemasyarakatan dan lain-lain perkara yang menyentuh tentang moral dan akhlak. Semuanya itu membolehkan 'ubudiyyah kamilah' menjelma ke dalam setiap jiwa manusia supaya terlaksana sebuah pengabdian yang jitu.

2. HAKIKAT
Hakikat bukanlah suatu ilmu yang mempunyai persamaan dengan ilmu-ilmu agama seperti ilmu Tauhid, ilmu Fiqh atau lain-lain ilmu, sebagaimana yang difahamkan oleh setengah manusia yang ingin menjalani hidup ke alam sufi, tetapi ianya merupakan suatu realiti yang tidak dapat dinafikan lagi kebenarannya atau kenyataannya. Apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan hakikat di sini ialah ad deen itu sendiri, iaitu suatu cara hidup atau way of life yang berkesan untuk memberi kebahagiaan kepada manusia di dunia dan di akhirat, sebagaimana yang telah diturunkan kepada para anbiya dan mengekalkan perhatian terhadap fenomena tersebut untuk diterjemahkan ke dalam kehidupan.

     Di dalam sepotong hadith ada dijelaskan tentang hakikat, apabila Harithah bin Malik Al Ansari ditanya oleh Rasulullah s.a.w. pada suatu hari:

كَيْفَ أَصْبَحْتَ يآ حَارِثَة؟ قال: أَصْبَحْتُ مُؤْمِنًا حَقًّا، فقَال لَهُ: إنَّ لِكُلِّ قَوْلٍ حَقِيْقَةً فَمَا حَقِيْقَةُ إيْمَانِكَ؟ فقَالَ: عَزَفْتُ نَفْسِي عَنِ الدُّنْيَا

Maksudnya: " Bagaimanakah kamu jadikan waktu pagi wahai Harithah? Beliau menjawab: Aku jadikan pagi ku sebagai seorang yang benar-benar mu'min, baginda bertanya lagi: Sesungguhnya setiap perkataan mengandungi hakikat, apakah hakikat iman mu? Harithah menjawab: Aku hindarkan diri ku dari dunia“ (Riwayat At Thabarani).

Hakikat dan syari'at mempunyai hubungan yang rapat di antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan sama sekali, kerana Al Quran dan As Sunnah Nabawi s.a.w. itu sendiri mengandungi syari'at dan hakikat.

Imam Malik r.a. pernah menyatakan:

مَنْ تَشَرَّعَ وَلَمْ يَتَحَقَّقَ فَقَدْ تَفَسَّقَ، وَمَنْ تَحَقَّقَ وَلَمْ يَتَشَرَّعَ فَقَدْ تَزَنْدَقَ، وَمَنْ جَمَعَ بَيْنَهُمَا فَقَدْ تَحَقَّقَ

Maksudnya: " Sesiapa yang hanya mengambil syari'at tanpa hakikat, maka dia adalah fasiq, sesiapa yang hanya mengambil hakikat tanpa syari'at, maka dia disifatkan sebagai zindiq, sesiapa yang menghimpun kedua-duanya, maka itulah sebaik-baiknya “ .

Gambaran yang dinyatakan itu menjelaskan bahawa hakikat berkaitan rapat dengan syari'at, kerana syari'at adalah urusan yang mewajibkan ‘ubudiyyah kepada Allah, manakala hakikat pula sebagai musyahadah rububiyyah, iaitu penyaksian di dalam hati sanubari dan jiwa nurani hati terhadap keesaan ILAHI, kebesaranNya dan keagunganNya. Setiap syari'at yang tidak mempunyai kaitan dengan hakikat, maka urusan tersebut tidak sekali-kali diterima, manakala setiap hakikat tanpa syari'at pula, urusan tersebut tidak mendatangkan apa-apa berhasil . Hakikat dapat dibahagikan kepada tiga bahagian:

2.1. Hakikat Kauniyyah
Hakikat ini meliputi beriman dengan qada’’ dan qadar, bahawa Allah menjadikan setiap sesuatu merupakan Tuhan yang mencipta sekalian alam. Dia telah menetapkan hakikat sesuatu perkara dan segala ketetapanNya itu menjadi asas kewajipan kepada setiap individu muslim untuk mempercayainya atau menyakininya. Oleh sebab itu, setiap muslim yang mengaku beriman kepada Allah mestilah bertanggungjawab dengan mengisytiharkan kepada dirinya suatu ketaatan yang tidak berbelah bagi terhadap apa yang telah ditetapkanNya dan si muslim itu tidak harus memberi alasan untuk tidak mahu patuh dan tunduk kepada segala perintahNya, kerana sesungguhnya bagi Allah-lah alasan yang tepat.

Firman Allah Ta'ala:

قُلْ فَلِلَّهِ الْحُجَّةُ الْبَالِغَةُ فَلَوْ شَآءَ لَهَدَاكُمْ أَجْمَعِيْنَ

Maksudnya: " Katakanlah: Bagi Allah lah alasan yang tepat dan kalau Dia mahu nescaya diberi petunjuk kepada kamu semua “ (  Al An'am: 149).

2.2. Hakikat Bad'iyyah
Hakikat ini pula merupakan suatu cara untuk menuju kepada Allah Ta'ala terhadap apa yang telah diletakkan dalam hati sanubari dan jiwa nurani seseorang hamba dengan melahirkan perasaan kasih sayang atau mahabbah terhadap Keesaan Allah. Adapun orang-orang mu'min yang benar-benar beriman kepada Allah, ajaran hidupnya atau sistem hidupnya ataupun budaya hidupnya mestilah sentiasa mendakat erat dengan keagungan dan kebesaran ILAHI dan beramal dengan sekalian amalan yang dituntut ke atas mereka.

Firman Allah Ta'ala:

فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلاً صَالِحًا وَلاَ يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

Maksudnya: " Sesiapa yang berharap untuk bertemu dengan Tuhannya, maka hendaklah beramal dengan amalan yang soleh dan jangan sekali-kali menyekutukan dalam beribadat terhadap Tuhannya dengan sesuatupun “ (Al Kahfi: 110).

Setiap amalan mesti ikhlas kepada Allah, tanpa keikhlasan amalan tersebut tidak diterima. Umar Al Khattab r.a. pernah berkata:

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ عَمَلِى كُلُّهُ صَالِحًا وَاجْعَلْهُ لِوَجْهِكَ خَالِصًا وَلاَ تَجْعَلْ ِلأَحَدٍ فِيْهِ شَيْئًا

Maksudnya: " Wahai Tuhan ku! Jadikanlah amalan ku ini semuanya soleh dan semata-mata untuk mencari keredhaan Mu dengan penuh keikhlasan, janganlah pula Engkau jadikan amalan itu kerana seseorang “

2.3. Hakikat Syar'iyyah
Manakala hakikat syar'iyyah pula ialah memperteguhkan lagi apa yang telah ditetapkan oleh Allah seperti ikhlas kepada Allah, tawakkal kepada Allah, takut kerana Allah, syukur kerana Allah, sabar di dalam menjalani hukum Allah dan suka duka hanya bagi Allah dan juga RasulNya s.a.w. Hubungan manusia dengan Tuhannya merupakan jalinan hidup yang berterusan yang diikat erat untuk diletakkan dalam lubuk hati sanubari dan jiwa nurani. Di bawah ikatan kemesraan ini, ianya menyaksikan keteguhan jiwa manusia apabila bersama-sama dengan keesaan Tuhannya, menyatakan keteguhan iman dan kekuatannya ketika melihat temasya-temasya ILAHI yang dipamirkan di hadapan kaca matanya, membentuk suatu realiti yang konkrit di atas ubun-ubun kebenaran dan bebas dari suku-sakat kepalsuan, menilai segala bentuk pegangan hidup, keyakinannya dan kemudian menyahut cabaran yang datang menjelma ke dalam hidupnya. Apabila iman itu menghayati hati dan nadi, penilaian hidupnya tidak akan berubah dan berganjak sama sekali, melainkan tingkat keimanan dan darjat ketinggiannya berubah dan berganjak kerana kekuatan imannya itu yang sentiasa mengalir terhadap Tuhan Semesta Alam. Ketenangan jiwa perlu sekali dihadirkan bersama ketika menyaksikan temasya ILAHI dan kebesaranNya.

3. TARIKAT
Tarikat merupakan suatu jalan ke arah pembentukan ilmu yang muncul dari syari'at bagi memudahkan perjalanan seseorang hamba mencari keredhaan Tuhannya di samping melakukan perkara-perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang sama ada zahir atau batin. Tarikat juga merupakan method atau prosedur yang dikhususkan bagi orang-orang yang mahu menuju ke jalan Allah, iaitu jalan untuk sampai ke arah matlamat dan tujuan yang sebenar. Jalan yang dimaksudkan itu ialah jalan untuk mengharapkan seteguk keredhaan Allah dan mencari limpah kurniaNya.

Firman Allah Ta'ala:

قَالُوا يَا قَوْمَنَا إِنَّا سَمِعْنَا كِتَابًا أُنْزِلَ مِنْ بَعْدِ مُوسَىٰ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ يَهْدِي إِلَى الْحَقِّ وَإِلَىٰ طَرِيقٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: " Mereka berkata: Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar kitab yang diturunkan kepada kami selepas Musa yang membenarkan kitab sebelumnya, memimpin ke arah kebenaran dan ke jalan yang lurus “ (Al Ahqaf:30).

Tarikat merupakan jalan yang lurus, jalan kebenaran dan jalan untuk memberi kebahagiaan kepada manusia di dunia dan di akhirat, iaitu jalan yang terdapat di dalam ajaran Islam itu sendiri untuk memberi petunjuk kepada mereka yang beriman.

Firman Allah Ta'ala:

نَحْنُ أَعْلَمُ بِمَا يَقُولُونَ إِذْ يَقُولُ أَمْثَلُهُمْ طَرِيقَةً إِنْ لَبِثْتُمْ إلاَّ يَوْمًا

Maksudnya: " Kami lebih mengetahui apa yang mereka katakan, ketika orang yang lebih baik perjalanannya di antara mereka, berkata pula: Kamu hanya tinggal sehari sahaja lagi” (Taha: 104).

Dan firman Allah Ta'ala lagi:

وَأَنْ لَوِ اسْتَقَامُوا عَلَى الطَّرِيقَةِ لاَسْقَيْنَاهُمْ مَاءً غَدَقًا

Maksudnya: " Dan sekiranya mereka beristiqomah melalui jalan “ (kebenaran), sudah tentu Kami turunkan kepada mereka air yang cukup “ (Al Jin:16).

Di sana terdapat beberapa potong hadith yang menyatakan kalimah tarikat sebagai jalan yang dikhususkan untuk mencari keredhaan Allah. Abu Darda r.a. telah meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيْقًا يَطْلُبُ فِيْهِ عِلْمًا سَلَكَ الَّلهُ طَرِيْقًا مِنْ طُرُقِ الجَنَّةِ

Maksudnya: " Sesiapa yang berjalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, nescaya Allah akan membuka baginya jalan dari jalan-jalan untuk menuju ke syurga “ (Riwayat Abu Dawud).

Di dalam sepotong hadith yang lain, Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan, bahawa Rasululah s.a.w. telah bersabda:

مَا مِنْ رَجُلٍ يَسْلُكُ طَرِيْقًا يَطْلُبُ فِيْهِ عِلْمًا إِلاَّ سَهَّلَ الَّلهُ لَهُ بِهِ طَرِيْقَ الجَنَّةِ

Maksudnya: " Sesiapa di kalangan lelaki yang berjalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, melainkan Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga “ (Riwayat Abu Dawud).

Ibn Umar r.a. pula meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

لِكُلِّ شَىْءٍ طَرِيْقٌ وَطَرِيْقُ الْجَنَّةِ الْعِلْمُ

Maksudnya: " Tiap-tiap sesuatu ada jalan, jalan ke syurga ialah ilmu “ (Riwayat Ad Dailami).

Oleh sebab itu, ianya merupakan jalan yang dikhususkan kepada orang-orang ingin sampai kepada Allah untuk menuju ke arah suatu maqam, seperti taubat, sabar, redha, yakin, mahabbah, tawakkal dan lain-lain maqam sehingga ke akhir maqam iaitu maqam tauhid atau maqam ma'rifatullah. Semuanya itu adalah ingin mencari keredhaan Allah di dalam apa jua bentuk, mencari limpah kurnia yang berupa nikmat dan rahmatNya, mencari kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.    Tarikat juga boleh dikatakan cara-cara  untuk bermujahadah menghapuskan sifat-sifat yang tercela dan keji, semata-mata untuk mendapatkan cahaya petunjuk dari Allah untuk dimasukkan ke dalam hati sanubari dan sekaligus ianya juga mempunyai kaitan yang rapat dengan adab-adab dan akhlak yang diharungi oleh kelompok ahli sufi. Proses mengharungi perjalanan untuk mencari keredhaan Allah mestilah melalui proses pendidikan dan pentarbiyah yang dikemukakan oleh seorang guru yang mursyid supaya jalan atau ilmu yang dicari itu tidak menyeleweng dan tidak melencong ke arah yang lain. Oleh sebab itulah, setiap anggota tubuh badan mestilah sibuk untuk menjalankan tugas dan tanggungjawabnya terhadap Allah dan Rasulnya, justeru meninggalkan segala rupa bentuk tegahan dan laranganNya.

     Apabila berlalunya roda kisaran zaman, perkataan tarikat ini telah diguna-pakai untuk dimaksudkan kepada sesuatu kumpulan ahli sufi yang dinisbahkan kepada seorang guru yang mursyid, yang benar-benar tunduk dan patuh kepada segala peraturan untuk mencapai jalan ke arah pembinaan roh dan mengemukakan kehidupan secara jama'ah dalam bentuk halaqah ilmu dan zikir kepada Allah. Di antara tarikat yang muncul pada kurun ketiga dan keempat hijrah ialah Tarikat Al Malatiyyah atau Al Qasariyyah, Tarikat Al Thaifuriyyah, Tarikat Al Kharaziyyah, Tarikat Al Halajiyyah, Tarikat An Nawawiyyah dan Tarikat Al Jundiyyah, manakala tarikat yang muncul pada kurun keenam dan ketujuh hijrah ialah Tarikat Al Qadariyyah, Tarikat Al Akbariyyah, Tarikat Ar Rifa'iyyah, Tarikat As Syazaliyyah, Tarikat As Sahruradiyyah, Tarikat Al Ahmadiyyah, Tarikat Al Burhaniyyah dan Tarikat Al Arabiyyah atau Al Badawiyyah.






Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment