1. MUQAQQIMAH
Sebuah
penghayatan yang suci mestilah pula dihadirkan bersama dengan sebuah keimanan
yang suci tanpa ada apa-apa keraguan yang berlipat di celah-celah hati
sanubari. Keimanan itu merupakan sebuah pengabdian yang luhur terhadap ILAHI
dan di sana mereka akan bertemu dengan nilai-nilai keimanan yang mereka cari,
iaitu kemanisan dalam penghayatan ibadat mereka. Tetapi, sikap orang-orang
munafiq amat jauh berbeza dengan orang-orang yang mendapat hidayat dari ILAHI,
mereka lebih bersikap hipokrit sama ada dalam ibadat mereka atau dalam urusan
muamalat mereka sesama manusia. Mereka boleh melakonkan budaya hidup mereka
untuk memperolehi secebis kepentingan duniawi tanpa memikirkan kepentingan
ukhrawi.
2.
SIAPAKAH MUNAFIQ
Mereka
adalah manusia biasa seperti juga manusia-manusia lain yang hidup di atas dunia
dan mereka tidak mempunyai apa-apa bentuk perbezaan atau kelainan sifat ataupun
tanda-tanda yang jelas kelihatan untuk disifatkan kepada mereka bahawa mereka
adalah manusia ganjil dan luar biasa. Tetapi, perbezaan mereka dengan
manusia-manusia lain ialah cara mereka mencorak-warnakan panorama kehidupan
yang mereka lalui dengan corak kehidupan yang tidak sihat dan tidak bernormal,
bahkan corak kehidupan yang mereka aksikan itu langsung tidak bertamaddun sama
sekali, tidak ada nilai-nilai yang artistik terhadap tutur-kata mereka dan juga
terhadap perbuatan mereka untuk dijadikan cermin perbandingan. Mereka
melakonkan corak lakonan hidup mereka itu di hadapan kaca mata manusia dengan
menghulurkan sifat-sifat yang majesty dan menghulurkan ucapan lidah yang
tidak bertulang dengan bicara yang sungguh menarik serta menakjubkan para
pendengar, begitu juga dengan corak perangai yang mereka lakukan itu adalah
semata-mata untuk menarik perhatian manusia supaya menyertai golongan mereka.
Namun demikian, terdapat di kalangan manusia yang tertarik dan ingin pula
berkompromi dengan golongan munafiq ini, nescaya ianya akan diberi suntikan
jarum yang mengandungi virus nifaq ke dalam tubuh badannya menyebabkan ia lebih
munafiq daripada golongan munafiqin. Maka, keimanannya itu akan menjadi hangus
dan terbakar akibat daripada perkongsian hidupnya dengan golongan munafiqin
tadi, segala-galanya akan turut musnah. Virus yang mengalir ke dalam darah
dagingnya itu sudah cukup kuat untuk memberi rangsangan yang berunsur jahiliyah
kepada perasaan jantung hati dan nalurinya. Kemusnahan yang lebih dasyat
daripada itu ialah kelesuan 'aqidah, iaitu konsep kepercayaan terhadap falsafah
ketuhanan menjadi hambar untuk dihayatinya ke dalam diri. Keyakinan dan
keimanan terhadap ILAHI mulai dilukai dan kemudiannya dinodai oleh suntikan
virus tadi, secara beransur-ansur ianya menganggap bahawa persoalan iman dan
keyakinan itu tidak lagi penting dalam kehidupannya. Ia mengganggap bahawa
persoalan iman dan keyakinan itu adalah perkara lapuk yang sewajarnya dilupakan
oleh setiap manusia. Ini semua adalah disebabkan oleh kejahilan yang ada pada
dirinya sendiri dan keraguan yang datang menjelma ke dalam tubuh badannya.
Sebenarnya, manusia munafiq merupakan manusia
yang menyembunyikan kekufuran
di dalam hati sebagai suatu keyakinan hidup atau sebagai suatu cara hidup
ataupun sebagai etika dalam kehidupan mereka dan kemudiannya menonjolkan
perwatakan hidup secara muslim di hadapan lalu-lintas manusia. Ianya juga
merupakan sebuah ideologi yang menjadi dasar pegangan hidup mereka dengan
hasrat supaya orang ramai berminat dengan aksi lakonan hidup mereka.
3.
FAKTOR KEWUJUDAN MUNAFIQ
Semasa
orang-orang Islam berada di Kota Mekah mereka adalah golongan minoriti yang
terlalu kecil jumlahnya dan mereka sentiasa ditekan dan ditindas oleh
orang-orang musyrikin ketika itu. Di kalangan mereka ada yang telah disiksa
sebelum dibunuh semata-mata untuk mencungkil 'aqidah keimanan yang melekat di
dada mereka supaya kembali semula kepada ajaran datuk nenek moyang mereka,
iaitu penyembahan kepada berhala. Mereka tidak mempunyai apa-apa kekuatan untuk
menangkis kezaliman yang datang menjelma yang dilakukan oleh golongan-golongan
jahiliyah itu, melainkan hanya menadah tangan ke langit berdoa ke hadharat
ILAHI. Mereka tidak mempunyai apa-apa kekuatan dari semua bentuk seperti
senjata, kelengkapan peralatan tentera, askar, dan lain-lain, bahkan mereka pula
tidak mempunyai apa-apa hak jaminan terhadap perlindungan diri daripada pihak
berkuasa ketika itu. Mereka yang memeluk Islam mestilah sanggup menanggung
risiko terhadap tribulasi yang akan menimpa diri mereka atau kaum keluarga
mereka atau jiran tetangga mereka ataupun teman seiring. Oleh sebab itu, mereka
yang memeluk Islam terdiri di kalangan orang-orang yang benar-benar tulus
ikhlas untuk berpegang teguh kepada manhaj ILAHI.
3.1.
Inferiority Complex
Di
kalangan penduduk Madinah terdapat di kalangan mereka yang tidak suka kepada
kemurnian Islam. Mereka tidak mahu menerima Islam sebagai suatu cara hidup
untuk diletakkan ke dalam opera perjuangan mereka dan tidak sekali-kali mahu
ajaran Islam itu tersebar lebih meluas lagi di kalangan penduduk Madinah. Dengan
kehadiran Islam ke Kota Madinah itu seolah-olah ianya menyekat kebebasan hidup
mereka dan menghalang lalu-lintas kerja-kerja yang telah mereka lakukan selama
ini, justeru ianya juga membawa suatu bebanan masalah yang besar kepada mereka.
Di kalangan mereka yang beranggapan demikian terdiri dari orang-orang Yahudi
yang tidak mempunyai pengaruh di dalam masyarakat Kota Madinah dan mereka pula
tidak mempunyai ideologi yang berkesan untuk mempengaruhi orang ramai, tidak
pula mempunyai program hidup yang baik serta tidak langsung mempunyai
peraturan-peraturan akhlak untuk dijadikan contah tauladan kepada semua umat
manusia ketika itu. Sebaliknya, tingkah-laku mereka terlalu kotor dan
menjijikkan akibat terlalu lama bergelombang di dalam lautan jahiliyah, sehingga
apabila Islam datang membawa perubahan dan pembaharuan ke dalam kehidupan
mereka, iaitu mengubah semua sekali struktur budaya hidup jahiliyah dari akar
umbinya sekali, mereka tidak dapat menerima hakikat kehadiran Islam untuk
dijelmakan ke dalam hidup mereka.
Sebaliknya, timbul perasaan hasad dengki di kalangan orang-orang Yahudi,
perasaan rendah diri ataupun inferiority
complex, perasaan ingin mencetuskan adengan permusuhan di antara
orang-orang Islam. Tetapi, untuk menghadapi orang-orang Islam secara terbuka
sama ada dengan menggunakan senjata ataupun seumpamanya, nescaya mereka tidak
mampu, kerana mereka adalah golongan minoriti, sebaliknya orang-orang Islam
adalah golongan yang majoriti. Oleh sebab itu, mereka telah mencetuskan
suatu idea baru bagi menghadapi orang-orang Islam, iaitu mewujudkan kumpulan
munafiq di tengah-tengah laluan umat Islam dengan melakonkan diri mereka
sebagai seorang muslim yang bertujuan untuk mengintip rahsia-rahsia tertentu,
mencari kelemahan orang-orang Islam dan kemudian bertindak pula ke atas mereka
untuk merungkaikan ikatan tali 'aqidah serta memecah-belahkan perpaduan yang
diikat sesama mereka di atas kelemahan-kelemahan yang diperolehi itu.
Idea munafiq yang dicetuskan oleh orang-orang Yahudi sejak di
zaman Rasulullah s.a.w. di Kota Madinah telah diwarisi secara
turun-temurun oleh musuh-musuh Islam sehingga ke hari ini dengan tujuan yang
sama, iaitu memusnahkan ajaran Islam dan umat Islam dengan mewujudkan pelbagai
fahaman yang bertentangan dengan prinsip ajaran Islam, mewujudkan teori-teori
atau isme-isme yang dicampur-aduk dengan ajaran Islam, melenyapkan kepercayaan
beragama dalam diri umat Islam, memusnahkan 'aqidah mereka, memusnahkan akhlak
mereka, akhirnya umat Islam tidak lagi mahu patuh kepada ajarannya. Oleh sebab
itu, Yahudi merupakan pengasas kepada idea munafiq dan bertanggungjawab
melahirkan manusia untuk melakonkan aksi tersebut. Di antara orang-orang
penting dalam kumpulan munafiq yang terdiri dari Bani Qainuqa' ialah Sa'ad bin
Hanif, Zaid bin Lisait, Noman bin Ufi bin Amr, Rafei bin Huraikila, Rifaa bin
Zaid bin Tabut, Silsila bin Burhan dan Kinana bin Surya. Pemimpin agung
kumpulan tersebut ialah Abdullah bin Ubay bin Salul. Suatu ketika, Rasulullah
s.a.w. pernah berkata apabila Rafei bin Huraikila hampir menemui ajalnya:
" Hari ini seorang
ketua penjahat telah mati..."
3.1.
Perasaan Takut Dan Bimbang
Menurut
pendapat dan pandangan Jumhur ulama, bahawa faktor yang menyebabkan wujudnya
golongan munafiq adalah disebabkan oleh perasaan takut dan bimbang yang
menyelubungi perasaan hati dan jiwa raga mereka. Sebagai langkah yang terbaik
dan cara untuk mengatasi perasaan seumpama itu, mereka menzahirkan diri mereka
sebagai seorang muslim dan mengisytiharkan keimanan yang palsu itu kepada orang
ramai. Melalui cara ini, segala harta benda dan jiwa raga mereka akan
terselamat daripada diperangi oleh orang-orang Islam. Di sana terdapat banyak
dalil-dalil atau nas-nas yang menunjukkan bahawa orang-orang munafiq sebenarnya
telah diselubungi oleh perasaan takut dan bimbang yang sering menghantui akal
fikiran mereka. Mereka merasa takut, dengan kekuatan orang-orang Islam yang ada
ketika itu, nescaya mereka akan dikuburkan nanti dengan sebuah kematian.
Hak-hak mereka termasuk segala harta benda mereka akan dirampas dan
diagih-agihkan kepada orang-orang yang memerlukannya. Mereka juga takut
kedudukan mereka akan tergugat dan digugatkan oleh anasir-anasir tadi. Di dalam
Al Quran, Allah berfirman:
وَاقْتُلُوهُمْ حَيْثُ
ثَقِفْتُمُوهُمْ وَأَخْرِجُوهُمْ مِنْ حَيْثُ أَخْرَجُوكُمْ ۚ وَالْفِتْنَةُ
أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ
Maksudnya:
" Dan bunuhlah
mereka (orang-orang kafir) di mana sahaja mereka berada dan usirlah mereka dari
tempat mereka mengusir kamu (iaitu di Kota Mekah), kerana fitnah(1) itu lebih
besar bahayanya daripada membunuh " (Al Baqarah: 191).
Apabila wujudnya sikap seumpama ini, nescaya berlakulah ikhtilaf di antara para anggota yang boleh
membawa kepada bibit-bibit perpecahan, pertelingkahan, pertelagahan, perbalahan
dan akhirnya akan menyalalah api permusuhan yang tidak dapat dibendung lagi. Di
dalam sepotong hadith, yang diriwayatkan oleh Imam Muslim r.a. bahawa
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
أمرت أن أقاتل الناس حتى
يشهدوا أن لا إله إلا الله ويؤمنوا بى وبما جئت به، فإذا فعلوا ذلك عصموا منى
دمائهم وأموالهم إلا بحقها وحسابهم على الله
Maksudnya:
" Aku disuruh
supaya memerangi manusia sehingga mereka berkata: LAA ILAHA ILLALLAH dan mereka
beriman dengan aku, apabila mereka melakukan semua itu, maka selamatlah segala
darah dan harta benda mereka kecuali hak dan perhitungan mereka terhadap Allah
" (Riwayat Muslim).
Perasaan takut dan bimbang yang mengganggu perasaan
hati mereka menyebabkan mereka terpaksa menjual harga diri mereka dan
nilai-nilai kehidupan mereka dengan harga yang murah, iaitu berpura-pura
memeluk Islam. Mereka memilih jalan tersebut semata-mata untuk memelihara
hak-hak mereka daripada diperangi oleh orang-orang Islam. Mereka adalah manusia
dayus yang takut kepada bayang-bayang sendiri kerana tidak mahu menerima
hakikat Islam dan realiti hidup yang sebenar.
3.2.
Memancing Kebencian Mukmin
Di
antaranya pula, terdapat di kalangan orang-orang munafiq yang berpura-pura
memeluk Islam adalah untuk memancing orang-orang Islam supaya membenci ajaran
Islam itu sendiri dan juga membenci peribadi Rasulullah s.a.w. dengan
mengada-adakan dan mewujudkan isu-isu yang remeh-temeh, memperbesar-besarkan
perkara-perkara yang kecil-kecil, menyebarkan berita palsu atau berita bohong
yang direka-cipta, justeru mewujudkan perkara-perkara yang sensitif semata-mata
memancing kebencian para mukmin. Sebenarnya, ajaran Islam itu telah banyak
menghalang diri mereka daripada melakukan tabiat-tabiat buruk yang telah mereka
amalkan selama ini, iaitu tabiat yang menjadi kegemaran mereka seolah-olah
perbuatan tersebut tidak lagi menjadi suatu kesalahan bagi diri mereka yang dipetiknya
dari budaya hidup jahiliyah yang sudah menjadi sebati dalam darah daging
mereka. Mereka tidak sanggup untuk meninggalkan budaya hidup jahiliyah itu....!
Maka, dengan sebab ajaran Islam itulah yang telah
banyak menghalang lalu-lintas hidup mereka dan perjalanan hidup yang telah
mereka harungi selama ini, lalu mereka cuba mencari orang-orang Islam yang
lemah tali keimanannya untuk diajak berkompromi dalam persyarikatan hidup
mereka, dengan itu hasrat dan cita-cita mereka akan tercapai untuk menanam
benih-benih kebencian di dalam hati orang-orang Islam.
Firman
Allah Ta'ala:
الْمُنَافِقُونَ
وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُمْ مِنْ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ
بِالْمُنْكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ وَيَقْبِضُونَ أَيْدِيَهُمْ
Maksudnya: " Orang-orang munafiq lelaki
dan perempuan sebahagian di antara mereka dengan sebahagian yang lain adalah
sama sahaja, (tugas) mereka adalah menyeru kepada kemungkaran dan mencegah
perkara makruf ..." ( At Taubah: 67).
Sebagai contoh tauladan dan cermin perbandingan
untuk dijadikan pengajaran dalam kehidupan, peristiwa yang berlaku menimpa ke
atas isteri kesayangan Rasulullah s.a.w. iaitu Aisyah r.a. yang telah difitnah
oleh orang-orang munafiq melakukan perbuatan jijik dengan salah seorang sahabat baginda
yang bernama Safwan bin Al Muthal. Peristiwa tersebut menyebabkan diri
Rasulullah s.a.w. menjadi tertekan, apatah lagi ianya pula telah membangkitkan
suatu perasaan benci di kalangan orang-orang Islam sendiri, seolah-olah
peristiwa tersebut adalah benar-benar berlaku. Isu tersebut telah
diperbesar-besarkan untuk memancing kebencian para mukmin terhadap peribadi
Rasulullah s.a.w.
3.3. Perasaan Iri Hati:
Di
kalangan masyarakat Madinah, terdapat di kalangan mereka yang tidak senang
apabila melihat hubungan erat yang terjalin di antara orang-orang Islam - di
antara orang-orang Muhajirin dan Ansar. Mereka merasa benci dan timbul pula
perasaan iri hati terhadap kesatuan yang ditonjolkan oleh orang-orang Islam
itu, lebih-lebih lagi ikatan persaudaraan iman yang dibina erat itu serentak
untuk membela peribadi Rasulullah s.a.w. sebagai pemimpin yang membawa cahaya
keimanan, keamanan, kemajuan dan kemerdekaan daripada diikat oleh belenggu
jahiliyah. Hubungan yang sebegitu erat tidak pernah berlaku di zaman jahiliyah
dan tidak lagi wujud selepas di zaman itu. Di dalam Al Quran, Allah Ta'ala
telah melukiskan lembaran kisah hubungan di antara orang-orang Muhajirin dan
orang-orang Ansar terhadap jalinan persaudaraan yang diikat di antara mereka
sebagai cermin perbandingan kepada mukmin yang kemudian.
Firman
Allah Ta'ala:
وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا
الدَّارَ وَالإِيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلاَ
يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ
أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ وَمَنْ
يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Maksudnya: " Dan juga bagi orang yang
telah menempati Kota Madinah dan telah beriman (orang-orang Ansar) sebelum
kedatangan mereka (iaitu orang-orang Muhajirin), mereka mencintai orang-orang
berhijrah kepada mereka dan mereka tidak sedikitpun menaruh keinginan dalam
hati mereka terhadap apa-apa yang telah diberikan kepada mereka (orang-orang
Muhajirin), di atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka berada di dalam kesusahan.
Dan sesiapa yang dipelihara dari (bencana disebabkan) kebakhilan, maka mereka
itulah orang-orang yang beruntung, dan juga orang-orang yang datang sesudah
mereka (Muhajirin dan Ansar) mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Berikanlah
keampunan kepada kami dan saudara-saudara kami yang telah terdahulu beriman
dari kami dan janganlah Engkau biarkan kebencian di hati kami terhadap
orang-orang beriman, wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah Maha Penyantun
lagi Maha Penyayang " (Al Hasyr: 9-10).
Hubungan persaudaraan iman yang erat dan utuh itu dibina di
bawah konsep: إنما المؤمنون أخوة iaitu ' persaudaraan Islam yang sejagat di
kalangan orang-orang mukmin '
dan kemudian dihubung-kaitkan melalui ikatan tali 'aqidah dan tali keimanan
yang kuat dan kukuh yang tidak dapat diputuskan oleh sesiapapun. Ikatan
persaudaraan iman yang sebegitu rupa di antara mereka tidak pernah tercatat di
dalam legenda sejarah kemanusiaan sebelum itu dan juga selepas itu bahawa
terdapat di sana generasi lain yang lebih baik dari generasi sahabat yang
dibina oleh Rasulullah s.a.w. Generasi seumpama ini tidak akan wujud lagi
selepas itu melainkan ianya menjadi cermin perbandingan dan contah tauladan
kepada generasi yang mutaakhir.
3.4.
Ingin Menjadi Pemimpin Politik
Di
kalangan penduduk Madinah, terdapat di antara mereka yang menonjolkan diri
dalam arena politik kerana ingin bertanding di dalam pemilihan pucuk pemimpin
di Kota Madinah, seperti Abdullah bin Ubay. Menurut kisah yang disebut dalam
Sirah Ibn Hisyam: Bahawa kedatangan Rasulullah s.a.w. ke Madinah bertepatan di
hari perlantikan Abdullah bin Ubay sebagai pemimpin masyarakat Madinah. Sebelum
itu, tidak pernahpun suku Aus dan Khazraj bersatu hati di dalam memilih pucuk
pemimpin di antara mereka. Apabila Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda
tiba ke bumi Madinah, kebanyakan di kalangan penduduk Madinah menjadikan Islam
itu sebagai suatu cara hidup mereka dan mereka tidak mengiktiraf perlantikan
Abdullah bin Ubay sebagai ketua pemimpin Kota Madinah, sebaliknya mengangkat
Rasulullah s.a.w. sebagai ketua pemimpin mereka. Ini adalah kerana mereka
mengetahui bahawa akhlak dan perangai Abdullah bin Ubay tidak boleh
dibandingkan dengan peribadi Rasulullah s.a.w. untuk dijadikan contah tauladan
dan ditonjolkan sebagai seorang pemimpin yang unggul. Mereka bergabung tenaga
dan bersatu hati dengan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda di kalangan
orang-orang Muhajirin sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam ayat tadi
untuk meninggikan syiar Islam. Abdullah bin Ubay menganggap Rasulullah s.a.w.
telah menggagalkan impiannya untuk dilantik menjadi pemimpin di Kota Madinah.
Apabila beliau dan kuncu-kuncunya melihat pengaruh Islam semakin hari semakin
kuat dan mereka tidak lagi dapat menandingi kekuatan orang-orang Islam, maka
dengan perasaan berat hati mereka berpura-pura memeluk Islam demi menjaga
beberapa maslahat dan kepentingan yang ada pada diri mereka dan juga menjaga
hubungan baik dengan orang-orang Yahudi. Mereka berlagak baik dan selalu berada
di majlis-majlis yang diadakan oleh Rasulullah s.a.w., tetapi tujuan mereka
adalah untuk memerangkap orang-orang Islam supaya mengatakan mereka juga adalah
orang-orang Islam dan kemudiannya mengempen secara halus supaya orang-orang
Islam tidak berpegang teguh lagi dengan ajarannya.
3.5.
Menabur Bibit Perpecahan
Orang-orang
yang menghambakan diri mereka untuk tunduk kepada ideologi munafiq terlalu
beriya benar ingin melihat orang-orang Islam berpecah-belah supaya menjadi
berpuak-puak. Mereka sering kali berusaha melalui pelbagai cara untuk menabur
bibit-bibit perpecahan di kalangan orang-orang Islam, seolah-olah kebencian
mereka terhadap kesatuan orang-orang Islam itu tidak dapat dipisahkan. Mereka
telah membentuk suatu pasukan khas untuk menyucuk jarum nifaq kepada orang-orang
Islam demi mencapai hasrat dan perancangan jahat mereka. Apabila mereka berjaya
menabur bibit-bibit perpecahan di kalangan orang-orang Islam, mereka pula
mengambil kesempatan untuk menyebarkan fahaman dan ideologi mereka dengan
memburuk-burukkan peribadi Rasulullah s.a.w. dan juga ajaran Islam. Tetapi,
segala rupa bentuk perancangan-perancangan yang mereka atur untuk menentang
kesatuan orang-orang Islam dan memusnahkan perpaduan di kalangan mereka secara
sulit telah didedahkan oleh Allah di dalam Al Kitab.
Firman
Allah Ta'ala:
أَلَمْ تَرَ إِلَى
الَّذِينَ نُهُوا عَنِ النَّجْوَىٰ ثُمَّ يَعُودُونَ لِمَا نُهُوا عَنْهُ
وَيَتَنَاجَوْنَ بِالإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَمَعْصِيَتِ الرَّسُولِ
Maksudnya:
" Apakah tidak kamu
perhatikan orang-orang yang telah dilarang mengadakan pembicaraan rahsia,
kemudian mereka kembali (mengerjakan) larangan itu dan mereka mengadakan
pembicaraan rahsia untuk berbuat dosa, permusuhan dan durhaka kepada
Rasul..." (Al Mujadalah: 8).
Pertemuan secara sulit yang diadakan sesama
mereka adalah bertujuan untuk mencetuskan babak dan aksi permusuhan di antara
orang-orang Islam, tetapi Allah telah mewahyukan kepada RasulNya s.a.w. supaya
menghalang pertemuan sulit yang diadakan oleh mereka.
4. KLASIFIKASI
MUNAFIQ
Masyarakat
munafiqin amat bangga sekali dan terlalu seronok dengan rentak kehidupan yang
sedang mereka lalui. Mereka menyangka itulah hakikat kehidupan yang sebenar.
Kehidupan yang telah mereka gambarkan itu mencerminkan kekronikan jiwa raga
mereka dan mereka tidak mengerti bagaimana ingin mentadbirkan warkah kehidupan
yang sedang mereka lalui sekarang dengan manhaj hidup mereka, tetapi yang
sebenarnya hawa nafsu itulah yang menjadi manhaj hidup mereka. Di samping itu,
mereka cuba mempengaruhi kehidupan para muslim supaya turut serta dalam manhaj
hidup mereka dan bersama-sama dengan mereka. Aksi munafiq itu bolehlah
diklasifikasikan kepada tiga kotegari:
4.1.
Munafiq Pada 'Aqidah
Mereka
tidak mempunyai konsep keimanan yang sejati dan tidak pula mempunyai keyakinan
di hati, mereka itu adalah sama sahaja jika dibandingkan dengan orang-orang
kafir, tetapi hanya yang bezanya ialah lakonan layar di hadapan mata manusia
terhadap konsep keyakinan hidup bahawa mereka seolah-olah manusia yang beriman
kepada Allah. Hakikatnya mereka adalah manusia kufur kepada Allah, bahkan
kekufuran mereka itu lebih dasyat daripada orang-orang kafir yang sedia ada.
Firman
Allah Ta'ala:
يُخَادِعُونَ اللَّهَ
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إلاَّ أَنْفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ
Maksudnya: " Mereka hendak menipu Allah
dan orang-orang beriman, pada hal mereka hanya menipu diri mereka sendiri
sedangkan mereka tidak sedar " (Al Baqarah: 9).
Watak-watak keimanan yang ditonjolkan itu adalah sebuah lakonan
hidup belaka untuk menipu Allah dan menipu orang-orang yang beriman. Dengan
mereka mengamalkan cara hidup sebagai manusia yang beriman, mereka menyangka
orang ramai akan menyatakan bahawa mereka juga adalah golongan yang beriman,
pada hal apa yang mereka lakukan itu hanyalah sia-sia sahaja. Walaupun mereka
cuba menipu Allah dan orang-orang yang beriman, hakikatnya mereka menipu diri
mereka sendiri dan tertipu pula dengan helah sendiri, tetapi sesungguhnya
mereka tidak mengetahui hakikat tersebut.
4.2.
Munafiq Dalam Ibadah
Ibadah
yang dilakukan oleh orang-orang munafiq tidak sama seperti ibadat yang
dilakukan oleh orang-orang Islam, kerana ibadat mereka lebih berbentuk riya'
yang mengandungi perasaan ingin menunjuk-nunjuk kepada orang ramai dan mereka
bukanlah di kalangan manusia yang selalu mengingati Allah, bukan terdiri di
kalangan ahlu zikr dan bukan pula manusia yang komitmen hatinya terhadap
keesaan Allah.
Firman
Allah Ta'ala:
إِنَّ الْمُنَافِقِينَ
يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوا إِلَى الصَّلاَةِ
قَامُوا كُسَالَىٰ يُرَاءُونَ النَّاسَ ولاَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلاَّ قَلِيلاً
Maksudnya:
" Apabila mereka berdiri untuk menunaikan solat, mereka berdiri dengan
malas, mereka bermaksud riya (dengan solat) di hadapan manusia dan tidaklah
mereka menyebut nama Allah kecuali sedikit sahaja " (An Nisa': 142).
Di dalam ayat yang lain pula, Allah Ta'ala juga telah menjelaskan perkara yang
sama sebagaimana yang disebut di atas tadi untuk mendedahkan keadaan
peri-laku amal ibadat mereka.
Firman
Allah Ta'ala:
وَلاَ يَأْتُونَ
الصَّلاَةَ إِلاَّ وَهُمْ كُسَالَىٰ وَلاَ يُنْفِقُونَ إِلاَّ وَهُمْ كَارِهُونَ
Maksudnya: " Mereka tidak
mengerjakan solat melainkan dengan perasaan malas dan tidak pula menafkahkan
harta mereka melainkan dengan rasa enggan " (At Taubah: 54).
4.3.
Munafiq Pada Sifat Dan Muamalat
Di
sana terdapat sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
آية المنافق ثلاث: إذا
حدث كذب، وإذا وعد أخلف، وإذا ائتمن خان
Maksudnya: " Tanda munafiq ada tiga:
Apabila ia bercakap berdusta, apabila berjanji ia memungkiri janji dan apabila
diberi amanah ia mengkhianati amanah tersebut " (Riwayat Bukhari, Muslim
dan Ahmad).
Manakala di dalam sebuah hadith yang lain pula,
Rasulullah s.a.w. telah menambahkan satu lagi sifat daripada sifat-sifat
munafiq.
Sabda
Rasulullah s.a.w.:
أربع من كن فيه كان
منافقا خالصا: إذا حدث كذب، وإذا وعد أخلف, وإذا عاهد غدر، وإذا خاصم فجر
Maksudnya: " Empat sifat, sesiapa
yang ada pada dirinya empat sifat ini ia adalah seorang munafiq yang tulin:
Iaitu apabila bercakap berdusta, apabila berjanji ia memungkiri janji, apabila
diberi amanah ia mengkhianati amanat tersebut dan apabila berbantah ia melampaui
batas " (Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad).
Sifat-sifat tersebut telah menjadi sistem kehidupan di dalam
konsep mereka bermuamalat sesama manusia dan sifat-sifat yang disebut oleh
Rasulullah s.a.w. di atas tadi tidak hanya terbatas kepada orang-orang munafiq
sahaja, bahkan ianya juga boleh berlaku ke atas orang-orang Islam dan menjelma
ke dalam diri mereka sebagai suatu sifat yang dibentuk oleh perbuatan mereka.
Sifat-sifat tersebut tidak merosakkan simpulan tali 'aqidah seseorang selagi
mana ia tidak menerima ideologi munafiq ke dalam sistem hidup mereka, tetapi
ianya boleh menjejaskan keimanan. Ia hanyalah bersifat seperti sifat
orang-orang munafiq sahaja dan bukannya menjadi seorang munafiq, kerana
sifat-sifat yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. itu biasanya digunakan oleh
orang-orang munafiq bagi mengelakkan diri mereka daripada sesuatu perkara
ataupun ingin melepaskan diri mereka daripada terkena tindakan sesuatu hukuman.
4.4.
Munafiq Dalam Gerakan
Salah
satu faktor yang mendorong kekuatan gerakan Islam ialah peranan yang dimainkan
oleh para anggota gerakan untuk membina kualiti atau kuantiti jama'ah. Ianya
menjadi kuat kerana kesinambungan para anggotanya yang berjuang dengan gigih,
penuh keikhlasan dan kesabaran di dalam merealisasikan manhaj ILAHI ke dalam
kehidupan mereka tanpa dicampur-aduk dengan sebarang unsur-unsur jahiliyyah.
Mereka tidak sekali-kali gentar menghadap musuh dan ancaman maut kerana maut
itu pasti jua datang sekalipun manusia cuba menaiki tangga ke langit kerana
ingin lari dari maut, nescaya maut itu pasti datang menjelma jua. Tetapi,
alangkah indahnya jika kematian itu tersungkur ketika sedang menegakkan
panji-panji ILAHI...!
Akibat dari gejala virus nifaq itu akan wujudlah suatu wabak lain yang boleh
melaga-lagakan anggota jama'ah dan boleh menimbulkan bibit-bibit perbalahan
serta pertelingkahan tanpa dapat dibendung lagi. Api perpecahan itu akan
terus-menerus menyala di sekeliling jama'ah sehingga para anggotanya terpaku
lemas di dalamnya. Di antara peranan yang dimainkan oleh ahli nifaq untuk
memecah-belahkan anggota-anggota jama'ah ialah menyalakan api fitnah di
kalangan mereka dengan tujuan ingin menjatuhkan maruah seseorang dari terus
mendapat perhatian di kalangan anggota jama'ah atau menimbulkan perasaan benci
dan meluat terhadap seseorang pemimpin yang tidak mereka sukai daripada terus
menerajui jentera pentadbiran jama'ah ataupun sifat-sifat semulajadi
orang-orang munafiq yang terlalu suka menimbul isu-isu tertentu sebagai
spekulasi yang dikaitkan dengan individu yang mereka benci. Spekulasi yang
ditimbul-timbulkan itu merupakan suatu pengkhianatan yang amat jahat di dalam
usaha mereka melaga-lagakan para anggota jama'ah supaya berpecah-belah menjadi
berpuak-puak dan bersuku-suku, justeru itu pula meruntuhkan konsep berjama'ah
supaya kekuatan umat Islam akan bertukar tangan menjadi umat yang lemah dan
mereka tidak lagi bermaya untuk menghadapi situasi dan keadaan.
5.
RUPA BENTUK SIFAT MUNAFIQ
Di
sana terdapat banyak sifat-sifat munafiqin yang dapat dikumpulkan dengan
berpandukan kepada kitab suci Al Quran dan Sunnah Nabawi s.a.w. serta beberapa
petikan dari kisah yang berlaku di kalangan para sahabat yang turut sama
menghadapi gelora dan keranah orang-orang munafiq di dalam perjuangan mereka
menegakkan sistem ILAHI. Dengan adanya kajian seumpama ini, sedikit sebanyak
kita dapat mengetahui rupa bentuk sifat-sifat tersebut yang wajib dijauhi oleh
setiap individu muslim, kerana ianya boleh merosakkan pegangan 'aqidah dan
keyakinan diri terhadap ILAHI. Nauzubillah...!
5.1.
Mengaku Golongan Beriman
Orang-orang
munafiq mendakwa bahawa mereka juga beriman kepada Allah dan yakin kepada Rasul
yang dibangkitkan kepada mereka, justeru percaya kepada adanya hari
kebangkitan, iaitu hari kiamat yang menghisab segala amalan hidup umat manusia.
Tetapi Allah Ta'ala mengetahui niat hati manusia yang terpekung di celah
perasaan mereka, lebih-lebih lagi manusia munafiqin dan mereka tidak boleh
menyembunyikan kebenaran dan realiti hidup di hadapan Allah nanti, sekalipun
mereka mendakwa bahawa mereka adalah golongan beriman yang memperjuangkan
hak-hak asasi manusia. Kerana keimanan yang dilapazkan itu adalah keimanan yang
palsu dan bohong yang tidak sedikitpun mengandungi sebuah pengabdian yang
sungguh-sungguh terhadap ILAHI, tiadanya keyakinan dalam diri mereka untuk
menguasai manhaj kehidupan menurut perhitungan syariat, cuma lidah mereka
sahaja yang berani mengungkapkan lapaz keimanan, tetapi hati-hati mereka tetap
engkar tidak mahu menerima konsep keimanan untuk dimasukkan ke dalamnya. Mereka
tidak tahu erti kehidupan yang sebenar dan tidak mengetahui hakikat kehidupan
yang sedang mereka harungi di atas dunia, untuk apa mereka terus hidup di atas
dunia ini secara berpura-pura dan sampai bila mereka harus berada dalam keadaan
demikian..? Kalau soalan itu dapat dijawab oleh mereka nescaya mereka
akan merasa malu di atas perbuatan mereka yang selama ini hanyalah menipu
diri sendiri. Dan secara tidak langsung, jahiliyah dan nifaq itu
akan beransur-ansur pudar dalam kehidupan mereka, tetapi itu semua adalah
kehendak ILAHI...
Firman
Allah Ta'ala:
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ
الآخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: " Di antara manusia ada yang
menyatakan: Kami beriman kepada Allah dan hari kemudian, sedangkan mereka tidak
beriman " (Al Baqarah: 8).
Itulah realiti kehidupan orang-orang munafiq yang tidak
mengerti hakikat kehidupan yang sedang mereka harungi. Kehidupan mereka
sentiasa berada di celah-celah tirai kepalsuan yang menjadi amalan hidup mereka
di dalam melakukan sistem muamalat sesama manusia, lebih-lebih lagi apabila
menjalin hubungan dengan orang-orang Islam dan benarlah...! Bahawa kejahilan
yang menjelma dalam diri mereka itu sebenarnya menguasai konsep kehidupan
mereka. Namun demikian, Allah Ta'ala telah menasihatkan kepada RasulNya supaya
diajar kepada para umatnya jangan merasa sedih atau merasa sangsi terhadap
perbuatan-perbuatan yang dilakukan oleh orang-orang munafiq. Mereka berkata
kepada Rasulullah s.a.w. tentang hasrat dan tujuan mereka menemui baginda:
أتيناك بالأثقال والعيال
ولم نقاتلك كما قاتلك بنو فلان، فأعطنا من الصدقة
Maksudnya: " Kami datang kepada kamu
dengan perasaan berat hati dan kami berhajat kepada sesuatu, kami tidak
memerangi kamu sebagaimana bani fulan memerangi kamu dan berikanlah kepada kami
sedekah ...
Mereka datang berjumpa Rasulullah s.a.w. kerana berhajat kepada
sesuatu dan mereka cuba memperdayakan Rasulullah s.a.w. dengan ucapan lidah
mereka, tetapi Allah Ta'ala mengajar RasulNya di dalam ayat yang lain bagaimana
untuk menghadapi golongan seperti ini.
Firman
Allah Ta'ala:
إِذَا جَاءَكَ
الْمُنَافِقُونَ قَالُوا نَشْهَدُ إِنَّكَ لَرَسُولُ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ
يَعْلَمُ إِنَّكَ لَرَسُولُهُ وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ
لَكَاذِبُونَ
Maksudnya: " Apabila orang-orang munafiq
datang kepada kamu ( wahai Muhammad ), mereka berkata: Kami mengakui kamu adalah
utusan Allah dan Allah mengetahui bahawa kamu adalah utusanNya dan Allah juga
mengakui bahawa orang-orang munafiq itu dusta " (Al Munafiqun: 1).
5.2.
Ucapan Yang Menarik
Orang-orang
munafiq memang menarik ucapan lidah mereka, segala bicara dan ungkapan yang
dikeluarkan daripada cakap-cakap mereka itu boleh menarik minat para pendengar
dan juga boleh menarik perhatian orang ramai untuk bersama-sama dengan mereka
dalam satu barisan. Mereka mempunyai pelbagai idea untuk didedahkan dan
dijadikan suatu isu semata-mata untuk menarik perhatian umum. Orang-orang
munafiq juga mempunyai program atau rancangan hidup mereka tersendiri yang
digariskan menurut hawa nafsu dan tidak pula berpandukan kepada Syariat ILAHI.
Walaupun kebanyakan ungkapan-ungkapan yang dikeluarkan menyatakan hasrat mereka
untuk berkompromi bersama-sama dengan orang-orang Islam dalam satu angkatan,
tetapi bicara itu cuma olok-olok sahaja. Apabila mereka kembali kepada 'syaitan-syaitan'
mereka yang menjadi teman rapat lalu mereka menyatakan hasrat sebenar di hati
mereka bahawa ungkupan-ungkapan yang mereka nyatakan untuk bersama-sama dengan
orang beriman adalah palsu belaka.
Allah Ta'ala menggunakan perkataan syaitan dalam
uslub bicaraNya, ... وإذا خلوا إلى شياطينهم -
iaitu: “ Apabila mereka
kembali kepada syaitan-syaitan mereka...” Dan
ini adalah suatu uslub yang dibicarakan oleh Allah Ta'ala terhadap mereka yang
melakukan kejahatan di atas bumi bertujuan untuk menakut-nakutkan mereka dan di
samping memberi perhinaan terhadap kerja-kerja yang mereka lakukan.
Firman
Allah Ta'ala:
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ
يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي
قَلْبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ وَإِذَا
تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِي الأرْضِ لِيُفْسِدَ فِيهَا وَيُهْلِكَ الْحَرْثَ وَالنَّسْلَ ۗ وَاللَّهُ
لاَ يُحِبُّ الْفَسَادَ
Maksudnya:
" Di antara
manusia ada yang sungguh menarik perkataannya apabila berbicara tentang
kehidupan di dunia, Allah menyaksikan apa yang terkandung di dalam hatinya,
sedangkan mereka adalah musuh yang paling keras. Apabila mereka berjalan di
atas bumi, mereka melakukan kerosakkan dengan membinasakan tanaman dan
ternakan, padahal Allah tidak suka kepada kerosakkan " (Al Baqarah: 204 –
205).
Ayat ini diturunkan kepada Al Akhnas bin Syuraiq As Thaqafi dari keturunan Bani
Zahrah. Beliau datang berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. dan mengiklankan
keislamannya di hadapan baginda. Bicara perkataan yang diucapkannya di hadapan
Rasulullah s.a.w. sungguh menarik dan sungguh menakjubkan baginda s.a.w.
seolah-olah beliau benar-benar inginkan cahaya petunjuk untuk menyinari
kehidupannya dan untuk dijadikan pedoman kepada laluan jalan kehidupannya
seharian. Di antara ucapannya ialah:
إنما جئت أريد الإسلام
والله يعلم إنى لصادق
Maksudnya: " Sesungguhnya aku datang (
kepada mu wahai Muhammad ) kerana mahukan Islam dan Allah mengetahui
sesungguhnya aku adalah benar..."
Tetapi, apabila ia pergi meninggalkan Rasulullah s.a.w. lalu ia masuk ke
kebun-kebun yang dimiliki oleh orang-orang Islam dan merosakkannya serta
membakar tanaman mereka dan kemudian Allah menurunkan firmanNya sebagaimana
yang dinyatakan di atas tadi....
وإذا تولى سعى فى الأرض
ليفسد فيها ويهلك الحرث والنسل والله لا يحب الفساد
Maksudnya: " Apabila mereka berjalan di
atas bumi, mereka merosakkan tanaman dan ternakan, sedangkan Allah tidak
menyukai kerosakkan."
Ayat yang difirmankan oleh Allah Ta'ala itu
terlalu jelas untuk difahami maksud isi kandungannya dan huraian pengertiannya
dan demikianlah bahawa Allah Ta'ala tidak sekali-kali suka kepada kerosakkan
yang berlaku di atas dunia ini akibat dari perbuatan tangan-tangan manusia yang
durjana terhadap harta benda termasuk tanaman dan ternakan, sebagaimana yang
telah dilakukan oleh musuh-musuhNya semata-mata bertujuan untuk memusnahkan
ajaran Islam daripada menjadi anutan manusia dan daripada ianya terus tersebar
ke seluruh pelusuk dunia.
5.3.
Melakukan Tipu Daya
Tipudaya
yang dilakukan oleh golongan munafiqin adalah untuk memusnahkan harapan
orang-orang Islam supaya mereka meninggalkan semua sekali segala rupa bentuk
manhaj ILAHI dan bangun memberontak menentang manhaj yang bercanggah dengan
ideologi ciptaan mereka. Di kalangan orang-orang Islam yang lemah keimanannya
akan mudah terpedaya dan merasa akur terhadap tindakan barisan munafiqin yang
sedemikian rupa, sebaliknya mereka yang mempunyai keimanan yang kukuh dan
'aqidah yang tidak berbelah bagi akan menutup mulut-mulut golongan tersebut
daripada bercakap dan melontarkan sebarang tipudaya serta dakyah yang boleh
memecah-belahkan intergrasi umat Islam sejagat. Memang menjadi sebuah
kenyataan, bahawa golongan munafiqin mengambil teori jahiliyah sebagai panduan
hidup dan sebagai sebuah ideologi anutan setelah dicampur-aduk dengan pelbagai
unsur, termasuk dari perasaan hawa nafsu mereka dan juga unsur-unsur kekafiran.
Justeru itu, mereka yang berkompromi dalam agenda tersebut, sekalipun tidak
menjadi rakan kongsi mereka atau tidak menjadi pengikut setia mereka sepenuh
masa, cuma hanya memberi saham dalam kerja-kerja mereka, 'aqidah mereka tetap
akan menjadi punah-ranah walaupun hanya memberi saham, kerana itu semua adalah
dilarang oleh Allah. Saham yang diberikan itu melayakkan diri mereka untuk
dihumbankan ke ceruk neraka jahannam yang menjadi bahan pembakarnya ialah
golongan munafiqin dan kafirin. Mereka semua adalah golongan yang sesat dan
menyesatkan, justeru tidak mahu menerima petunjuk yang datang dari ILAHI.
Firman
Allah Ta'ala:
يُخَادِعُونَ اللَّهَ
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إلاَّ أَنْفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَهُمُ
اللَّهُ مَرَضًا ۖ وَلَهُمْ
عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ
Maksudnya:
" Mereka hendak
menipu Allah dan orang-orang yang beriman, tetapi mereka menipu diri mereka
sendiri, sedangkan mereka tidak sedar. Di dalam hati mereka ada penyakit, lalu
Allah menambahkan lagi kepada mereka penyakit, bagi mereka 'azab yang pedih di
sebabkan mereka berdusta " (Al Baqarah: 9 – 10).
Keangkuhan manusia yang tidak mahu menterjemahkan
nilai-nilai akhlaknya dan pekerti hidupnya supaya bertepatan dengan nilai-nilai
akhlak dan pekerti hidup Islam atau juga tidak mahu menterjemahkan program kehidupannya
supaya bersesuaian dengan program kehidupan Islam adalah disebabkan oleh
penyakit yang tertanam di dalam lubuk hati mereka dan ianya tidak boleh diubati
oleh mana-mana pakar perubatan moden hari ini. Seolah-olah gejala penyakit yang
merebak ke dalam tubuh badannya tidak lagi boleh dipisahkan atau diasingkan di
antara satu sama lain daripada terus melekat di dalam kehidupannya, tetapi yang
anehnya mereka tidak menyedari langsung gejala penyakit yang merebak ke dalam
tubuh badannya. Dengan wujudnya penyakit itu, ia cuba memainkan peranan menipu
Allah dan juga orang-orang beriman, mereka menyangka bahawa perbuatan itu dapat
meraih hasil kejayaan dan tercapailah hasrat impiannya untuk memusnahkan Islam
dari anutan manusia sejagat, tetapi perbuatan itu hanyalah untuk menipu dirinya
sendiri sedangkan mereka tidak sedar.
5.4.
Mendakwa Melakukan Kebaikan
Kebaikan
yang didakwa itu adalah menurut perhitungan dan kehendak-kehendak hawa-nafsu
mereka, ianya tidak sedikitpun mendatangkan apa-apa kebaikan walaupun pada diri
mereka sendiri apatah lagi kepada orang lain. Kebaikan yang dislogankan itu
adalah kemusnahan rohani atau kerosakkan diri individu ataupun mala-petaka yang
mengancam keluhuran nilai-nilai akhlak, tetapi mereka tidak menyedari hakikat
itu kerana terlalu asyik bergelombang di dalam lautan jahiliyah. Di dalam Al
Quran Allah Ta'ala menyatakan;
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لاَ
تُفْسِدُوا فِي الاَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ أَلاَ إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ
وَلَٰكِنْ لاَ يَشْعُرُونَ
Maksudnya: " Dan apabila dikatakan kepada
mereka: Janganlah kamu melakukan kerosakan di atas muka bumi ini, mereka
menjawab: Sesungguhnya kami hanyalah melakukan kebaikan, sesungguhnya merekalah
melakukan kerosakan tetapi mereka tidak sedar " (Al Baqarah: 11-12).
Uslub dialog yang digunakan oleh Allah Ta'ala ini adalah di
antara suatu cara yang disampaikan dalam siri pengajaranNya kepada Rasulullah
s.a.w. tentang sikap yang sebegitu rupa yang dilakukan oleh musuh-musuh dalam
selimut terhadap Islam dan juga terhadap para penganutnya. Keterangan yang
datang dari Allah Ta'ala itu sudah cukup menerangkan helah dan tipu daya yang
mereka lakukan dan ianya berlaku begitu pantas sekali untuk menyesatkan umat
Islam dari anutan mereka. Walaupun seribu peringatan datang menjelma dan
mencurah-curah turun di hadapan mereka supaya meninggalkan kerja-kerja
jahiliyah atau amalan-amalan yang berunsur jahiliyah, justeru berhenti saja
melakukan kerosakkan di atas permukaan bumi ini, namun demikian perasaan hati
kecil mereka tetap teguh berpegang kepada prinsip-prinsip nifaq dan
falsafahnya, iaitu dengan mengiyakan di bibir mulut tetapi tidak melekat di
dalam hati.
5.5.
Mempersendakan Ajaran Agama
Allah
Ta'ala telah menyatakan dalam firmanNya, sebagaimana yang terkandung di dalam
Kitab Suci Al Quran tentang sifat mempersenda-sendakan ajaran ILAHI adalah
sifat yang dimiliki oleh orang-orang munafiq.
Firman
Allah Ta'ala:
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ
آمِنُوا كَمَا آمَنَ النَّاسُ قَالُوا أَنُؤْمِنُ كَمَا آمَنَ السُّفَهَاءُ ۗ أَلاَ
إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ وَلَٰكِنْ لاَ يَعْلَمُونَ وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آمَنُوا
قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا إِلَىٰ شَيَاطِينِهِمْ قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ
إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ
Maksudnya: " Dan apabila dikatakan
kepada mereka: Berimanlah kamu sebagaimana manusia beriman kepada Allah, lalu
mereka berkata: Adakah patut kami beriman sebagaimana orang-orang bodoh beriman
? Sesungguhnya merekalah orang-orang bodoh tetapi mereka tidak mengetahui dan
apabila mereka bertemu dengan orang-orang mukmin, mereka berkata: Kami beriman!
Tetapi apabila mereka bertemu dengan syaitan-syaitan mereka lantas mereka
berkata: Sesungguhnya kami bersama-sama kamu, kami hanya memperolok-olok mereka
sahaja (orang-orang mukmin ) " (Al Baqarah: 13 – 14).
Allah telah menyifatkan orang-orang munafiq itu
bagaikan syaitan-syaitan yang dilaknat yang berwajah manusia kerana kerja-kerja
yang mereka lakukan itu adalah sama seperti syaitan untuk menyesatkan umat
manusia. Ibn Abbas r.a. telah meriwayatkan: Pada suatu hari Abdullah bin Ubay
dan kuncu-kuncunya berjumpa dengan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. Kemudian
Abdullah bin Ubay berkata kepada kuncu-kuncunya: " Lihatlah! Bagaimana aku lakukan
kepada orang-orang bodoh ini ..!" Lalu ia pergi menjabat tangan
Abu Bakar As Siddiq r.a. dan terus berkata:
مرحبا بالصدق سيد بنى
تميم، وشيخ الإسلام، وثانى رسول الله فى الغار، الباذل نفسه وماله
" Marhaban dengan sebenar-benar wahai
ketua Bani Tamin, syeikul Islam, pengiring bersama Rasulullah di gua dan
pejuang yang gigih dengan jiwa raga dan harta bendanya."
Dan apabila ia bertemu dengan Umar Ibn Khattab r.a.
lalu ia berkata:
مرحبا بسيد بنى غدى بن
كعب، الفاروق القوى فى دين الله، الباذل نفسه وماله لرسول الله
" Marhaban wahai ketua Bani Ghadi bin
Ka'ad, pejuang yang gigih untuk menegakkan agama Allah dan mengorbankan
jiwa raga serta harta benda semata-mata untuk Rasulullah. "
Kemudian, apabila ia bertemu pula dengan Ali bin Abi Talib,
lalu ia menjabat tangannya sambil mengucapkan;
مرحبا يا ابن عم رسول
الله وختنه سيد بنى هاشم ما خلا رسول الله
" Marhaban wahai anak saudara
Rasulullah dan menantunya, ketua Bani Hasyim selepas Rasulullah ...!"
Setelah mereka semua bersurai, Abdullah bin Ubay
memanggil kuncu-kuncunya berkumpul sambil berkata:
كيف رأيتمونى فعلت؟ فإذا
رأيتموهم فافعلوا كما فعلت فأثنوا عليه خيرا
Maksudnya: " Kamu lihat bagaimana telah
aku lakukan? Apabila kamu berjumpa mereka buatlah sebagaimana yang telah aku
lakukan dan pujilah mereka dengan kebaikan ...!"
Berita tersebut telah disampaikan kepada Rasulullah s.a.w.
lalu turunnya ayat yang telah dibaca tadi. Di sana terdapat banyak
ayat-ayat ILAHI yang memperlihatkan tentang kelakuan buruk golongan munafiq
yang mempermain-mainkan agama atau mempersenda-sendakan ajaran agama itu
sendiri, di antara ialah;
Firman
Allah Ta'ala:
وَقَدْ نَزَّلَ
عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا
وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ
غَيْرِهِ ۚ إِنَّكُمْ
إِذًا مِثْلُهُمْ ۗ إِنَّ
اللَّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا
Maksudnya: " Sesungguhnya Allah telah
menurunkan kepada kamu Al Kitab, bahawa apabila kamu mendengar
keterangan-keterangan dari Allah lalu dipersendakan, janganlah kamu duduk
bersama mereka melainkan mereka masuk pada perbicaraan lain. Sekiranya kamu
berbuat begitu, tentulah kamu serupa dengan mereka, sesungguhnya Allah akam
mengumpulkan orang-orang munafiq dan orang-orang kafir seluruhnya ke
dalam neraka jahannam " (An Nisa': 140).
Di sini kami hanya menyatakan lima sifat munafiq sahaja dan dalam buku kami
sebanyak tiga puluh sifat munafiq yang telah kami nyatakan – sila rujuk buku
kami Virus Nifaq.
6. MENGAPA ORANG MUNAFIQ TIDAK DIBUNUH
Setelah
dinyatakan sifat-sifat munafiq, di sana terdapat suatu persoalan: Mengapa Islam
tidak bertindak membunuh sahaja golongan munafiq ataupun orang-orang yang
mempunyai ideologi munafiq serta mereka yang mempunyai fahaman munafiq di dalam
hati mereka? Sedangkan merekalah yang bertanggungjawab membantu orang-orang
kafir memerangi orang-orang Islam? Dan mengapa pula mereka tidak dibunuh
daripada dibiarkan hidup merosakkan pegangan hidup orang lain...? Persoalan
seumpama ini telah timbul sejak dahulu lagi apabila Al Imam Al Qurthubi r.a.
ketika ditanya kepada beliau mengapa Rasulullah s.a.w. tidak membunuh sahaja
orang-orang munafiq, sedangkan baginda mengetahui keadaan dan tingkah-laku
hidup mereka yang dipenuhi dengan bayangan kepuraan dan mereka bukanlah seorang
muslim yang benar-benar beriman kepada Allah ? Maka jawaban tersebut ialah
sebagaimana yang terdapat di dalam sebuah hadith yang sahih di mana baginda
Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Umar Al Khattab r.a.:
أكره أن يتحدث العرب أن
محمدا يقتل أصحابه
Maksudnya: " Aku tidak suka orang-orang
menyiarkan bahawa Muhammad membunuh sahabat-sahabatnya..." (Riwayat
Bukhari dan Muslim).
Seolah-olah perbuatan tersebut memberi suatu gambaran yang
buruk atau suatu bentuk ukiran yang kurang sihat bahawa Rasulullah s.a.w. suka
membunuh sahabat-sahabatnya sendiri, sedangkan sebenarnya mereka adalah
golongan yang jahat dan dan golongan tidak bertamaddun.
Manakala Imam Malik r.a. pula menyatakan, mengapa baginda Rasulullah
s.a.w. tidak membunuh sahaja orang-orang munafiq yang telah banyak melakukan
pengkhianatan terhadap Islam dan umat Islam itu...? Beliau menegaskan;
إنما كف رسول الله صلى
الله عليه وسلم عن المنافقين ليبين لأمته أن الحاكم لايحكم بعلمه
Maksudnya: " Rasulullah s.a.w. tidak
membunuh orang-orang munafiq adalah untuk menjelaskan kepada umatnya bahawa
seseorang hakim itu tidak boleh menghukum menurut pengetahuannya sendiri ".
Ini adalah suatu hakikat, bahawa seseorang hakim itu walau
bagaimana bijak sekalipun tidak boleh menghukum seseorang melalui
pengetahuannya sendiri dan ianya mestilah dibawa saksi untuk menentukan benar
atau salah.
Manakala Imam As Syafei' r.a. pula berpendapat
mengapa orang-orang munafiq itu tidak dibunuh sahaja daripada mereka dibiarkan
hidup, beliau menyatakan:
إنما منع رسول الله صلى
الله عليه وسلم من قتل المنافقين ما كانوا يظهرونه من الإسلام مع العلم بنفاقهم
لأن ما يظهروا يحب ما قبله، ويؤيد هذا قوله عليه الصلاة والسلام فى الحديث المجمع
على صحته فى الصحيحين وغير هما:
Maksudnya:"
Yang menahan Nabi s.a.w. tidak membunuh orang munafiq pada hal baginda
mengetahui keadaan mereka sebenar adalah kerana mereka telah menunjukkan apa
yang menahan (memelihara darah dan harta benda) mereka sebagaimana yang
tersebut dalam sepotong hadith yang sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari
dan Muslim:
مرت
أن أقاتل الناس حتى يقولوا لاإله إلا الله فإذا قالواها عصموا منى دماءهم وأموالهم
إلا بحقها وحسابهم على الله عزوجل
Maksudnya: " Aku diperintahkan memerangi
manusia sehingga mereka mengucap LAA ILAHA ILLALLAH, maka apabila mereka telah
berbuat demikian terpeliharalah daripadaku darah dan harta benda mereka kecuali
hak dan perhitungan mereka dengan Allah Azza Wajalla".
Sekian,
wassalam.
Al
Faqir Ila 'Afwi Rabb
Lutpi
Mustafa El-Batnani