Setiap wanita yang
mengaku beriman kepada Allah mestilah berpegang teguh dengan ajaran Allah,
ajaran yang diturunkan untuk memberi kebahagiaan kepada manusia di dunia dan di
akhirat, ajaran yang memisahkan di antara Islam dan jahiliyah, iman dan kufur,
ajaran yang membentuk nilai-nilai kemanusiaan yang unggul dan persamaan hidup
di antara mereka dan sekaligus membezakan hidupan manusia dengan kehidupan
haiwan. Islam adalah agama fitrah dan tabiat, agama yang memerlukan kepada akal
untuk berfikir dan memerlukan kepada mantiq untuk berhujah, agama yang sesuai
untuk setiap perubahan masa dan zaman, keadaan dan tempat. Ajaran Islam telah
meletakkan ‘aqidah sebagai konsep asas dan akar tunjang dalam kehidupan manusia
dengan menetapkan keimanan yang mutlak kepada Allah Yang Maha Esa dan tiada
penyekutuan di dalam kekuasaaNya, kerana….
لَوْكانَ فيْهماَ ءاَلهةٌ إلاَّ الله لَفَسَدَتَا
Maksudnya: “ Sekiranya
di langit dan di bumi terdapat dua tuhan selain dari Allah, nescaya akan rosak
binasalah kedua-duanya “ (Al Anbiya: 22).
Keislaman dan keimanan seseorang itu mestilah didahului dengan
sebuah pengakuan yang tulus ikhlas di dalam hati sanubari dan jiwa nurani,
iaitu pengakuan ketuhanan: Tiada Tuhan yang sebenar-benar melainkan Allah,
kemudian diikuti pula dengan pengakuan yang kedua pula, iaitu pengakuan
kenabian: Bahawa Muhammad s.a.w. itu adalah pesuruh Allah. Di samping itu,
ajaran Islam telah menetapkan kepada setiap wanita dan juga setiap para
penganutnya supaya mengerjakan amal ibadat yang telah difardhukan. Ketetapan
ini bertujuan untuk membuktikan nilai ketaatan manusia terhadap pengakuan dalam
ikrarnya terhadap kalimah tersebut. Hanya manusia yang mempunyai nilai-nilai
murni sahaja akan dapat mengemukakan aksi hidup yang lebih dynamic bagi
melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah difardhukan oleh Tuhan itu. Adapun
manusia yang tidak mempunyai keyakinan hidup dan tidak mempunyai nilai-nilai
dalam kehidupan, sudah pasti mereka meletakkan perintah Allah itu sama dengan
perintah manusia dan menganggap sebagai perkara biasa sahaja.
Benarlah! Sebenarnya kehidupan itu memerlukan petunjuk, petunjuk
untuk memandu manusia ke jalan yang benar, petunjuk untuk menyuluh laluan hidup
manusia supaya tidak tergelincir dan tidak tersesat dari tempat yang hendak
dituju. Hanya Allah sahaja yang dapat memberi petunjuk kepada sesiapa sahaja
yang dikehendakiNya...!
Sekian, wassalam
Al
Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi
Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment