Ukhti muslimat! Sesungguh perjalanan itu
masih lagi jauh dan perjalanan itu memerlukan bekalan yang cukup untuk sampai
ke seberang sana. Perjalanan hidup memerlukan masa yang panjang dan ruang waktu
yang agak lama, ianya juga memerlukan usaha dan sebuah pergorbanan, kerana
semasa perjalanan di sana mungkin terdapat beberapa musibah yang datang menimpa
dan beberapa halangan yang datang menjelma.Perjalanan hidup itu memerlukan
suatu perancangan yang rapi dan memerlukan sedikit perbelanjaan untuk menampung
kos saraan yang bertujuan menghadapi apa-apa kemungkinan yang akan berlaku.
Demikianlah wahai ukhti
muslimat..! Bahawa kehidupan itu merupakan suatu perjalanan yang memerlukan
pergantungan yang erat untuk mencapaikan matlamat yang diharapkan. Kita
memerlukan suatu tempat untuk bergantung dan berteduh sementara meneruskan
perjalanan agar impian yang kita harapkan itu pasti tercapai. Sesungguhnya manusia
yang hanya mempunyai pergantungan hidup dengan ketuhanan Allah sahaja yang
layak mendapat petunjuk dan hidayat
dariNya, dia telah mengikat erat hubungannya dengan Allah, Tuhan Yang Maha Esa san Tuhan Yang Maha Berkuasa, dua
telah menjadi manusia yang sentiasa mempunyai pertalian yang erat dan tidak
mungkin dapat dirungkaikan, kerana hubungan yang begitu erat dan kuat. Namun,
seandainya wanita hari ini tidak lagi memperlihatkan nilai-nilai kehidupan yang
sebenar kerana lebih suka mengenakan cara hidup barat dari cara hidup Islam,
sama ada cara mereka berpakaian dan cara mereka mengenakan pakaian, cara mereka
bergaul di antara lelaki dan juga sesama mereka, cara pemikiran mereka yang
merasakan tidak mengapa tidak menutup aurat, kerana mereka sudah biasa dengan
keadaan tidak menutup aurat dan ianya juga telah menjadi adat kebiasaan dan
pelbagai perkara lagi, jika demikian bagaimana mereka dapat hidup di bawah
pengawasan Allah dan bagaimana mereka mahu bergantung kepada Allah dan
bagaimana pula Allah mahu memancarkan cahaya petunjuk ke dalam diri mereka
sedangkan apa yang disuruh oleh Allah tidak dipatuhinya..?
Firman Allah Ta’ala:
يَا
أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا جَاءَكَ الْمُؤْمِنَاتُ يُبَايِعْنَكَ عَلَىٰ أَنْ لاَ
يُشْرِكْنَ بِاللَّهِ شَيْئًا وَلاَ يَسْرِقْنَ وَلاَ يَزْنِينَ وَلاَ يَقْتُلْنَ
أَوْلاَدَهُنَّ وَلاَ يَأْتِينَ بِبُهْتَانٍ يَفْتَرِينَهُ بَيْنَ أَيْدِيهِنَّ
وَأَرْجُلِهِنَّ وَلاَ يَعْصِينَكَ فِي مَعْرُوفٍ ۙ فَبَايِعْهُنَّ وَاسْتَغْفِرْ لَهُنَّ
اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ
رَحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Nabi! Apabila
orang-orang perempuan yang beriman datang kepadamu untuk memberi pengakuan taat
setia, bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah dengan sesuatu
pun dan mereka tidak akan mencuri dan mereka tidak akan berzina dan mereka
tidak akan membunuh anak-anaknya dan mereka tidak akan melakukan sesuatu
perkara dusta yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati mereka, dan mereka
tidak akan menderhaka kepadamu dalam sesuatu perkara yang baik, maka terimalah
pengakuan taat setia mereka dan pohonkanlah kepada Allah mengampuni dosa
mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Mumtahana:
12)
Ukhti
muslimat..! Sesungguhnya nilai-nilai wanita mestilah menepati peradaban hidup
Islam yang terkandung di dalam acuan syari’atnya dan setiap individu muslim
yang mempunyai pertalian hidup dengan Allah mesti meletakkan syari’at Islam ini
dalam manhaj hidupnya untuk diprogramkan dan dilaksanakan.
Amat benar sekali, kekuatan Islam dan ajarannya itu
adalah terletak ke atas bahu para penganutnya termasuk wanita yang ada pada
hari ini, kerana Islam dan ajarannya tidak berupaya untuk bangkit dengan
sendiri dan tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk bergerak dan menyebarkan
ajarannya. Sebab itu, tugas dan tanggungjawab menyebarkan Islam dan ajarannya
adalah terletak ke atas para pengikutnya, mereka hendaklah berganding bahu di
antara satu sama lain lelaki dan wanita keluar membawa risalah dakwah ke dalam
masyarakat supaya mereka semua kembali ke pangkuan Allah, Tuhan Yang Maha
Perkasa. Islam
tidak akan hidup dalamsesebuah masyarakat dan tidak mampu berbuat apa-apa
seandainya para pengikutnya tidak berupaya membawa bingkisannya itu untuk
diletakkan ke dalam masyarakat. Maka, mereka mesti memprogramkan kehidupan
Islam itu sebagai suatu cara hidup dalam diri mereka dan apabila jiwa Islam
menjadi sebati dengan darah daging mereka dan di sana mereka berhak mendapat
cahaya petunjuk dari Allah untuk diserapkan ke dalam hati sanubari dan jiwa
nurani mereka.
Sekian, wassalam.
Al Faqir Ila 'Afwi Rabb,
Lutpi Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment