Dunia
hari ini telah menyaksikan pandangan yang serong terhadap kaum wanita. Keadilan
telah dicampakkan ke tepi-tepi jalan bagaikan sampah sarat yang terbuang dan
tidak mempunyai apa-apa nilai. Pengertian perkataan adil itu tidak dapat lagi
diterjemahkan dengan betul dan sempurna.
Keadilan itu tidak lagi menyatakan erti dan maksud yang sebenar. Wanita
hari ini semakin hari semakin ditindas dan tertindas, semakin dihina dan
semakin rendah mutu dan nilainya. Maruah wanita hari ini tidak lagi dijaga
dengan sempurna dan tidak lagi mempunyai harga yang tinggi di pasaran. Indeks
pencemarannya, baik dari segi akhlak atau perangai atau pergaulan atau
seumpamanya telah tercemar dengan sebab mengalirnya pengaruh dari barat. Pengaruh
barat yang amat menjijikkan itu telah menyumbangkan pengaruh jahiliyah moden
yang disebarkan melalui media massa dan sebaran am, termasuk melalui internet.
Pengaruh tersebut telah memusnahkan akhlak dan moral sebahagian besar wanita,
kerana mempamirkan raut muka dan tubuh badan wanita sebagai bahan iklan untuk
melariskan sesuatu bahan jualan. Maka di sana, di sinilah bermula titik tolak
pandangan serong terhadap wanita, bahkan ada yang berpendapat wanita hanya perlu
duduk di dapur untuk menguruskan hal ehwal makan minum suaminya. Namun, Islam
tetap meletakkan kaum wanita di tempat yang paling mulia dan sama tarafnya
dengan kaum lelaki. Seandainya mereka beriman dan bertaqwa, maka tiada sebab
mereka disisihkan dari mendapat rahmat Allah. Di antara salah faham yang biasa
kedengaran berlaku dalam kalangan
masyarakat ummat Islam ialah:
GOLONGAN YANG LEMAH
Dalam
kalangan manusia ada yang menganggap kaum wanita adalah golongan yang lemah
dari semua bentuk dan tidak boleh diberi amanah dan tanggungjawab kepada
mereka. Mereka yang berpendapat seperti ini telah berhujah dengan sepotong ayat
yang dikemukakan oleh Allah dalam Al Kitab.
Firman
Allah Ta’ala:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا
فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ
Maksudnya:
“ Lelaki itu pemimpin ke atas wanita, kerana Allah telah melebihkan
sebahagian dari mereka ke atas sebahagain yang lain, kerana kaum lelaki itu
telah membelanjakan sebahagian dari hartanya “ (An Nisa: 34).
Firman
Allah Ta’ala:
وللرجالِ عَلَيْهنَّ درجةٌ
Maksudnya:
“ Dan bagi lelaki itu mempunyai beberapa darjat ke atas kaum wanita “ (Al
Baqarah: 228).
Gambaran yang dipaparkan di dalam ayat ini
menunjukkan kaum lelaki mempunyai kekuatan jika hendak dibandingkan dengan kaum
wanita dan kaum lelaki juga mempunyai beberapa kelebihan jika hendak
dibandingkan dengan kaum wanita. Gambaran sepintas lalu ini tidak cukup untuk
membuat keputusan dan natijah bahawa: Adakah kaum lelaki ini benar-benar
mempunyai kelebihan yang dikurniakan oleh Allah dalam semua aspek, jika hendak
dibandingkan dengan kaum wanita..? Marilah kita memahami dengan penuh teliti
terhadap apa yang hendak disampaikan oleh Allah di dalam firmanNya itu tadi.
Apa yang dimaksudkan dengan perkataan ‘qawwamu’ di sini ialah: peranan
dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh kaum lelaki, seperti menjadi ketua
negara, menjadi hakim, memimpin masyarakat, memberi nafkah kepada keluarga,
menguruskan hal ehwal rumahtangga dan lain-lain lagi. Kalaulah kita melihat di
dalam sejarah Islam, tiada seorang nabi atau rasul yang diutuskan oleh Allah
terdiri dalam kalangan wanita. Justeru, ini memperkuatkan lagi bahawa kaum
lelaki memang mempunyai kelebihan jika hendak dibandingkan dengan kaum wanita.
Ini adalah gambaran secara umum yang
dikhususkan kepada kaum lelaki dan gambaran ini bukanlah bererti kaum wanita
lemah segala-gala, tidak mempunyai apa-apa peranan yang harus dimainkan. Tugas
dan tanggungjawab kaum lelaki di dalam masyarakat tidak akan sempurna sekiranya
tidak disertai oleh peranan kaum wanita dan tidak mendapat kerjasama dengan
mereka. Umpamanya, tugas menyusukan bayi, memelihara bayi dan membesarkannya,
kaum wanita lebih berperanan jika hendak dibandingkan dengan kaum lelaki dan
kaum wanita lebih berpotensi di dalam pendidikan anak-anak. Maka, di sinilah
letaknya kelebihan kaum wanita dan kenyataan ini telah diperkuatkan dengan
sepotong hadith, sebagaimana yang diriwayatkan dari Jabir, bahawa Rasulullah
s.a.w. telah bersabda:
اِتَّقُوْا اللهَ فِىْ النِّسَاءِ فَإِنَّهُنَ
عِنْدَكُمْ عَوَانٌ
Maksudnya:
“ Bertaqwalah kepada Allah mengenai hubungan dengan kaum wanita, kerana
mereka adalah penolong sejati bagi kamu “(Riwayat Muslim).
Hadith
di atas ini telah menolak kenyataan mereka yang menganggap bahawa wanita adalah
golongan yang lemah dan mereka tidak mempunyai apa-apa peranan di dalam
masyarakat.
AKAL YANG SEMPIT
Di
antara mereka ada yang menganggap bahawa kaum wanita ini mempunyai akal fikiran
yang sempit, tidak mempunyai kecerdasan otak, tidak mempunyai idea-idea yang
baik untuk disampaikan, tidak mempunyai ketokohan dalam memimpin, sentiasa
bersikap bodoh dan dungu. Mereka juga menganggap bahawa golongan wanita hanya
layak tinggal di dalam rumah sahaja, di samping menguruskan hal ehwal makan dan
minum untuk suaminya. Mereka tidak layak keluar rumah bekerja mencari nafkah
dan memberi pendidikan kepada anak-anak. Ini adalah suatu kesilapan yang perlu
diperbetulkan, kesilapan ini mungkin disebabkan oleh salah tafsiran terhadap
sepotong hadith yang diperkatakan oleh Rasulullah s.a.w. tentang perihal
wanita.
Sabda
Rasulullah s.a.w.
أَلَيْسَ
شَهَادَةُ اْلمَرْأَةِ نِصْفُ شَهَادَةِ الرِّجَالِ؟ قُلْنَ: بَلَى! قَالَ:
فَذَلِكَ مِنْ نِقْصَـانِ عَقْلِهَا، أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ وَلَمْ
تَصُّم؟ قُلْنَ: بَلَى! قَالَ: فَذَلِكَ مِنْ نِقْصَانِ دِيْنِهَا
Maksudnya:
“ Tidakkah penyaksian wanita separuh dari penyaksian lelaki, sahabat
menjawab: Bahkan! Sabda Nabi: Demikianlah kekurangan akalnya dan
tidakkah apabila wanita dalam haid tidak boleh mendirikan solat dan puasa?
Sahabat menjawab: Bahkan! Demikanlah kekurangan wanita di dalam agamanya
“ (Riwayat Bukhari).
Boleh jadi mereka yang membaca hadith ini
secara tidak langsung membuat tuduhan yang melulu terhadap wanita bahawa wanita
adalah golongan yang benar-benar lemah dari semua bentuk. Gambaran yang
dinyatakan di dalam hadith di atas ialah gambaran secara umum yang dikhususkan
kepada wanita. Di dalam hadith di atas, apa yang hendak dimaksudkan dengan
perkataan ‘ kekurangan’ di sini ialah kekurangan dari sudut ‘bilangan’
dan bukannya dari sudut ‘bagaimana’ kekurangan itu berlaku.
Sebagai contoh: Wanita yang berada dalam
keadaan haid tidak dibenarkan mendirikan solat, mengerja puasa dan amalan
ibadah lain yang berkaitan. Oleh sebab itu, bilangan solat atau puasa atau
ibadat yang lain bagi seseorang wanita berkurangan jika hendak dibandingkan
dengan kaum lelaki. Ini menunjukkan kekurangan wanita itu dinilai dari sudut
‘bilangan’, bukan dari sudut ‘bagaimana’ kekurangan itu. Ini adalah kerana dalam
kalangan wanita terdapat di antara mereka yang lebih baik amal ibadatnya, ada
di antara mereka yang menghafaz Al Quran, yang bertaqwa kepada Allah lebih dari
kaum lelaki, beriltizam dengan agama Allah, justeru dalam kalangan wanita
terdapat mereka yang lebih baik akhlaknya dari kaum lelaki.
Firman
Allah Ta’ala:
مَنْ عَمِلَ
صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً
طَيِّبَةً ۖ
وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maksudnya:
“ Sesiapa yang beramal soleh, sama ada lelaki dan wanita sedangkan mereka
beriman, maka sesungguhnya Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami
berikan ganjaran pahala yang baik kepada mereka dari apa yang mereka kerjakan “
(An Nahl: 97).
Marilah kita melihat roda kisaran sejarah
Islam, bahawa manusia yang pertama mati syahid ialah terdiri dalam kalangan
kaum wanita, iaitu Sumaiyyah seorang muslimat yang syahid di awal Islam dan
beliau adalah isteri kepada Yaser. Beliau sanggup mengorbankan dirinya
semata-mata kasihkan ‘aqidah dan keimanan, lalu tubuhnya dirobek-robekkan oleh
Abu Jahal yang bencikan Islam itu. Kemudian, di sana kita melihat bagaimana dalam
kalangan wanita hari ini keluar bermujahadah ke jalan Allah, mereka menjadi
juru dakwah untuk menarik minat masyarakat kepada Islam, mereka memainkan
peranan untuk memperbetulkan kesalahan dan kesilapan yang terdapat di dalam
masyarakat dan di saat itu juga kaum lelaki kelihatan terpaku di tepi-tepi
menghabiskan masa, waktu dan ketika untuk bersendiwara dan bersembang-sembang
dengan rakan-rakan kehidupan mereka….!
TIDAK BOLEH DIBERI KEUTAMAAN
Dalam
kalangan manusia hari ini juga ada yang berpendapat bahawa tidak diharuskan
sama sekali diberi keutamaan kepada kaum wanita dari kaum lelaki, lebih-lebih
lagi di dalam memberi pelajaran atau pendidikan kepada mereka. Kalaulah mereka
di beri pelajaran atau pendidikan, mereka juga tidak ke mana. Golongan ini
telah mengemukakan hujah mereka dengan sepotong hadith:
لاَ تَسْكِنُوْهُنَّ اْلغُرَفَ وَلاَ تُعَلِّمُوْهُنَّ
اْلكِتَابَةَ وَعَلِّمُوْهُنَّ اْلمِغْزَلَ وَسُوْرَةَ النُّوْرِ
Maksudnya:
“ Jangan kamu menempatkan wanita di bilik yang atas dan jangan mengajar
mereka menulis, akan tetapi ajarkanlah mereka memintal tali dan Surah Nur “.
Mereka yang berhujah dengan membawa hadith
ini untuk ditujukan kepada kaum wanita. Namun, tidak diketahui kedudukan
sebenar hadith ini. Hadith ini adalah hadith maudhu’, iaitu hadith palsu yang
direka-cipta semata-mata dan ianya bukan dari Rasulullah s.a.w. Hadith ini
dikeluarkan oleh Al Khatib berdasarkan sumber dari Muhammad bin Ibrahim
Abdullah Asy Syami. Menurut keterangan Darul Qutni, dia adalah seorang pendusta
dan dicuri pula hadith ini oleh seorang pendusta yang lain bernama Abdul Wahab
bin Ad Dahak. Kemudian hadith ini juga diambil oleh Al Hakim untuk dimuatkan
dalam kitabnya Al Mustadrak. Menurut pendapat Adz Dzahabi di kitabnya ‘At
Talkhis’ bahawa hadith ini adalah rekaan semata-mata dan dirosakkan oleh
seorang periwayat yang bernama Abdul Wahab dan begitu juga apa yang dinyatakan
oleh Abu Hatim bahawa beliau juga adalah seorang pendusta. Demikian apa yang
dinyatakan oleh Al Al Bani di dalam kitabnya yang bernama Al Mu’jam.
Sekian,
wassalam
Al
Faqir Ila ‘Afwi Rabb,
Lutpi Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment