PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Friday 2 March 2012

WANITA DI ANTARA AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB


Untuk memperolehi petunjuk tersebut, seseorang wanita perlu sekali menunaikan amanah Allah dan amanah Allah ini merupakan suatu manhaj hidup yang digariskan di dalam ajaran Islam untuk diprogramkan kepada para penganutnya yang mengaku beriman kepadaNya, di antaranya ialah mendirikan ibadat solat, kerana solat itu dapat menghindarkan manusia daripada mengerjakan perbuatan keji dan mungkar.

Firman Allah Ta’ala:

وأقِمِ الصلاةَ إنَّ الصلاةَ تَنْهَى عَنِ الْفحْشَاء والمُنْكر

Maksudnya: “ Dirikanlah solat, kerana solat itu dapat mencegah kamu dari perbuatan keji dan mungkar “ (Al Ankabut: 45).

Ajaran Islam juga mengajar wanita dan menetapkan kepada para penganutnya supaya mengeluarkan zakat setiap tahun, sama ada berupa wang ringgit atau hasil tanaman atau binatang ternakan, di mana ianya hendaklah dikeluarkan sebahagian kecil sahaja daripada harta benda tersebut untuk diagihkan kepada fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan. Di samping itu, zakat juga bertujuan untuk membersihkan diri manusia dari sifat kebakhilan diri dan juga bertindak untuk menyucikan harta benda mereka dari kekotoran.

Firman Allah Ta’ala:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا

Maksudnya: “ Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, kerana zakat itu dapat membersihkan diri mereka dan menyucikan jiwa mereka ” (At Taubah: 103).

Ajaran Islam juga telah menetapkan kepada setiap wanita dan sekelian ummatnya supaya mengerjakan ibadat puasa yang diwajibkan hanya satu bulan sahaja dalam setahun, iaitu di bulan Ramadhan Al Mubarak.

Firman Allah Ta’ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman! Di fardhukan ke atas kamu berpuasa (di bulan Ramadhan) sebagaimana yang difardhukan kepada orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa “(Al Baqarah: 183).

Kerana ibadat puasa dapat membentuk sifat-sifat kesabaran diri, di samping dapat memecahkan kebuntuan hawa nafsu yang sering kali datang menggoda perasaan hati manusia. Ajaran Islam telah mewajibkan kepada setiap wanita dan juga para penganutnya supaya mengerjakan ibadat haji ke Baitullah di Mekah bagi mereka yang berkuasa dan mampu pergi ke sana.

Firman Allah Ta’ala:

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَعْلُومَاتٌ ۚ فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللَّهُ

Maksudnya: “ Haji itu dikerjakan di dalam bulan-bulan yang ditentukan, oleh sebab itu sesiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan tersebut untuk mengerjakan haji, tidak boleh bercakap kotor, berlaku jahat dan bermusuhan dalam masa mengerjakan haji, kerana segala perbuatan baik yang kamu kerjakan diketahui oleh Allah “(Al Baqarah: 197).


Segala apa yang telah ditetapkan oleh Allah itu bertujuan untuk memberi kemudahan kepada setiap wanita dan juga setiap muslim tentang cara-cara untuk mendekatkan diri kepadaNya dan mencari keredhaanNya. Ajaran Islam bukan ajaran yang membebankan golongan wanita dan para penganutnya, tetapi ianya adalah ajaran yang mudah dan simple dan dapat menjamin kesejahteraan kepada  setiap wanita dan setiap penganutnya yang lain, sama ada di dunia dan di akhirat. Ajaran Islam tidak sekali-kali memberi kesusahan dan kesukaran kepada mereka semua.

Firman Allah Ta'ala:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ ولا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: " Allah mahu memberi kemudahan kepada kamu dan Dia tidak sekali-kali mahu memberi kesusahan kepada kamu "(Al Baqarah: 185).


Ajaran Islam juga merupakan ajaran persahabatan yang menganjurkan kepada setiap wanita dan seluruh ummatnya supaya menjalin hubungan persaudaraan iman di kalangan mereka, hubungan yang dapat mengeratkan lagi simpulan tali ukhuwwah Islamiyyah sebagai lambang kekuatan ummat sejagat.

Firman Allah Ta'ala:

ِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: " Sesungguhnya orang-orang mu'min itu adalah bersaudara, maka perbaikilah hubungan di antara saudara-saudara kamu dan bertaqwalah kamu kepada Allah, mudah-mudahan kamu mendapat rahmat "(Al Hujurat:10).


Sabda Rasulullah s.a.w.

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ ِلأَخِيْهِ مَا يَحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: " Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia kasih kepada saudaranya, sebagaimana dia kasih pada dirinya sendiri "(Riwayat Muslim).

                       
 Ajaran Islam menggesa kepada setiap wanita dan setiap ummatnya supaya saling tolong-menolong dan bantu-membantu di antara satu sama lain yang bertujuan untuk memenuhi keperluan masing-masing. Setiap kekurangan dan kepincangan yang ada mestilah ditampung dan dibaiki supaya kebahagiaan hidup dapat dikecapi secara bersama.

Firman Allah Ta'ala:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلاَ تَعَاوَنُوا عَلَى الإثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: " Tolong-menolonglah kamu di dalam mengerjakan kebaikan dan ketaqwaan, jangan sekali-kali kamu tolong-menolong di dalam mengerjakan dosa dan perlanggaran "(Al Maidah: 2).


Ajaran Islam telah mengemukakan manhaj hidup yang sesuai untuk semua kehidupan lapisan masyarakat manusia, tidak mengira lelaki atau wanita, dengan menyuruh mereka supaya beramal dengan amalan yang soleh.

Firman Allah Ta'ala:

وَمَنْ يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلاَ يُظْلَمُونَ نَقِيرًا

Maksudnya: “ Sesiapa yang beramal dengan amalan yang soleh, sama ada lelaki atau wanita sedangkan dia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga dan mereka tidak dizalimi sedikitpun “(An Nisa’: 124).


Sabda Rasulullah s.a.w.

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرِنَا فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “ Sesiapa yang beramal dengan amalan yang bukan dari urusan kami, maka ianya ditolak “(Riwayat Muslim).


Ajaran Islam menganjurkan kepada setiap wanita yang mengaku beriman kepada Allah supaya membentuk nilai-nilai keikhlasan di lubuk hati, supaya setiap amalan-amalan yang dikerjakan itu diniatkan kerana mencari keredhaan Allah, bukan kerana yang lain. Keikhlasan itu akan membasmikan kepalsuan hidup buat selama-lamanya.

Firman Allah Ta’ala:

قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّهَ مُخْلِصًا لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: “ Katakanlah (wahai Muhammad)! Aku diperintahkan mengabdikan diri kepada Allah dengan tulus ikhlas beragama keranaNya semata-mata “(Az Zumar: 11).


Umar Al Khattab r.a. pernah berdoa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ عَمَلِىْ كُلّهُ صَالِحًا وَاجْعَلْهُ كُلّهُ لِوَجْهِكَ خَالِصًا وَلاَ تَجْعَلْ لِغَيْرِكَ فِيْهِ شَيْئًا

Maksudnya: “ Wahai Tuhan ku! Jadikanlah amalan ku ini semuanya ikhlas, jadikanlah setiap amalan ini kerana mencari keredhaan Mu dengan tulus ikhlas, jangan Engkau jadikan amalan ku ini kerana yang lain selain dari Engkau “.

Ajaran Islam sentiasa menyeru agar kaum wanita supaya mengerjakan kebaikan dan kebaikan itu mestilah mengikut penafsiran syari’at yang diturunkan, bukan mengikut akal fikiran atau perasaan. Di samping itu pula, mereka mestilah bertindak membasmikan segala rupa bentuk kemungkaran yang ada di dalam hati mereka dan kemudian membasmikan kemungkaran yang ada di dalam masyarakat mereka.

Firman Allah Ta’ala:
إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ

Maksudnya: “ Sesungguhnya kebaikan itu akan menghilangkan keburukan “(Hud: 114).

Ajaran Islam melarang setiap wanita berpecah-belah di antara satu sama lain, kerana perpecahan itu amat menyakitkan dan boleh menyebabkan menyalanya api perbalahan yang tidak dapat dibendung lagi. Perpecahan itu akan menyebabkan mereka menjadi lemah dan mundur ke belakang. Perpecahan itu juga akan mengundang kepincangan hidup dalam masyarakat sehingga masyarakat akan menjadi perok-peranda. Maka kesempatan inilah yang akan digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk menghancurkan-leburkan ummat Islam dan melenyapkan ajaran Islam itu dari dada para menganutnya. Seandainya mereka leka dan alpa, tidak membendung dengan segera gejala ini, nescaya mereka akan menjadi manusia yang pincang dan tidak mempunyai tamaddun nilai.

Firman Allah Ta’ala:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا واذْكُرُوا نِعْمَتَ الله عَلَيْكم

Maksudnya: “ Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, jangan kamu berpecah-belah dan ingatkan kamu akan nikmat Allah yang dikurniakan kepada kamu” (Ali ‘Imran: 103).

 Ajaran Islam juga melarang setiap wanita bersikap  hipokrit atau opportunist ataupun bersikap munafiq, kerana sikap seumpama itu tidak mempunyai apa-apa nilai untuk dibawa ke dalam kehidupan, bahkan ianya boleh membentuk jiwa manusia yang berpura-pura dengan hakikat yang ada dan sentiasa mempermain-mainkan dalam tuntutan amal ibadat serta banyak mempersenda-sendakan suruhan Allah.

Firman Allah Ta’ala:

إنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوا إِلَى الصَّلاَةِ قَامُوا كُسَالَىٰ يُرَاءُونَ النَّاسَ ولاَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلاَّ قَلِيلاً مُذَبْذَبِينَ بَيْنَ ذَٰلِكَ لاَ إِلَىٰ هَٰؤُلاَءِ وَلاَ إِلَىٰ هَٰؤُلاَءِ ۚ وَمَنْ يُضْلِلِ اللَّهُ فَلَنْ تَجِدَ لَهُ سَبِيلاً

Maksudnya: “ Sesungguhnya orang-orang munafiq cuba menipu Allah, sedangkan mereka menipu diri mereka sendiri, mereka mendirikan solat dalam keadaan malas dan menunjuk-nunjuk kepada manusia, mereka tidak mengingati Allah melainkan sedikit sahaja. Mereka masih ragu-ragu di antara ini dan itu, tidak ke sini dan tidak pula ke sana, sesiapa yang dibiarkan sesat oleh Allah, maka kamu tidak mendapat jalan untuk memimpinnya “(An Nisa: 142-143).


Mereka cuba menipu Allah dengan aksi hidup dan dengan budaya hidup yang tidak melambangkan indentiti seorang manusia yang matang dalam pemikiran. Mereka tidak menaruh keyakinan terhadap apa yang diturunkan oleh Allah, tetapi mereka menukarkan keyakinan itu dengan kepuraan. Maka dengan sebab itu, setiap wanita yang beriman kepada Allah dilarang sama sekali bersifat seperti ini.

Firman Allah Ta’ala:

بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا

Maksudnya: “ Khabarkan berita gembira buat orang-orang munafiq tentang azab yang pedih menimpa mereka “ (An Nisa: 138).

Manhaj hidup seseorang wanita mestilah dibina di atas dasar keimanan dan ketundukan diri terhadap Allah, dasar yang mencetuskan nilai-nilai kehidupan yang lebih universal dan komprehensif. Dasar itu juga akan bertindak memelihara kekuatan dalaman mereka, iaitu kekuatan spiritual setelah dikombinasikan dengan kekuatan fizikal untuk menjadi satu tenaga yang kuat agar dapat menumpaskan segala rupa bentuk jahiliyah yang datang menjelma. Ajaran Islam menilai seseorang itu bukan dari sudut alat kelamin yang menentukan status seseorang manusia itu lelaki atau wanita, ajaran Islam tidak sekali-kali melihat kekayaan seseorang barulah dianggap mulia atau kemiskinan seseorang itu dianggap hina, ajaran Islam tidak menetapkan tinggi rendah seseorang itu dari sudut batas keturunan atau rupa bangsa, tetapi Islam menilai ummatnya dari sudut keimanan dan ketaqwaan diri terhadap Allah.

Maka dengan sebab keimanan dan ketaqwaan yang ada dalam diri, barulah seseorang itu dianggap mulia di sisi Allah.



Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani



No comments:

Post a Comment