Bai'ah ialah mengadakan ikatan janji taat
setia terhadap perintah yang diturunkan oleh
Allah dan perintah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Seseorang wanita yang
mengaku beriman kepada Allah mestilah mentaati dan menjunjung tinggi segala
titah dan perintah Allah, dia mestilah melaksanakan segala suruhan Allah yang
meliputi kewajiban dan kefardhuanNya, justeru dia juga mesti meninggalkan
segala laranganNya yang meliputi perkara-perkara haram atau makruh, bahkan
perkara-perkara yang boleh mendatangkan syubhah atau syak dalam ajaran
agama. Dia juga mesti bertanggungjawab menunaikan amanah Allah dalam apa jua
perkara, termasuk memelihara dan menjaga maruah agama daripada tercemar, kerana
ikatan ini merupakan akur janji untuk taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap
Allah dan terhadap apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Bai’ah ini meliputi
persoalan ‘aqidah sebagai batu asas atau akar tunjang dalam kehidupan manusia
seperti tidak melakukan menyekutuan terhadap Allah dengan sesuatupun dan juga
melibatkan persoalan sosial seperti tidak mencuri, tidak berzina, tidak
sekali-kali membunuh anak, tidak melakukan pembohongan dan pendustaan, tidak
mendurhakai perintah Allah dan RasulNya, tidak meratapi kematian dan tidak
mengenakan perhiasan yang melampaui batas, sebagaimana yang dilakukan oleh kaum
wanita jahiliyah dahulu kala.
Firman Allah Ta'ala:
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا جَاءَكَ
الْمُؤْمِنَاتُ يُبَايِعْنَكَ عَلَىٰ أَنْ لاَ يُشْرِكْنَ بِاللَّهِ شَيْئًا وَلاَ
يَسْرِقْنَ وَلاَ يَزْنِينَ وَلاَ يَقْتُلْنَ أَوْلاَدَهُنَّ وَلاَ يَأْتِينَ
بِبُهْتَانٍ يَفْتَرِينَهُ بَيْنَ أَيْدِيهِنَّ وَأَرْجُلِهِنَّ وَلاَ يَعْصِينَكَ
فِي مَعْرُوفٍ ۙ
فَبَايِعْهُنَّ وَاسْتَغْفِرْ لَهُنَّ اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya: " Wahai Nabi! Apabila
datang kepada kamu wanita yang beriman untuk berbai’ah dengan kamu, bahawa
mereka tidak akan mensyirikkan Allah dengan apa jua sekalipun, tidak mencuri,
tidak berzina, tidak membunuh anak-anak, tidak melakukan perkara bohong yang
diada-adakan di antara tangan dan kaki mereka dan tidak mendurhakai kamu dalam
perkara yang baik, maka hendaklah kamu menerima bai’ah mereka dan pohonkanlah keampunan
kepada Allah untuk mereka, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang
“ (Al Mumtahanah:12).
Wanita yang datang
berjumpa dengan Nabi s.a.w. merupakan wanita yang telah mendapat cahaya
petunjuk dari Allah dan mempunyai kesedaran untuk membuat perjanjian akur janji
terhadap Allah. Oleh kerana mereka semua telah menyaksikan betapa jijiknya
kehidupan yang berlaku pada zaman jahiliyah, maka ada baiknya bagi mereka berbai’ah
dengan Nabi s.a.w. agar mereka benar-benar menjadi manusia yang mempunyai
pertalian yang erat dengan Allah dan
tidak akan kembali lagi ke alam jahiliyah
yang menjijikan itu. Al Quran telah menggariskan enam rukun bagi wanita untuk
berbai’ah, sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas. Keenam-enam rukun
ini merupakan perkara pokok yang wajib dijauhi dalam kehidupan seseorang wanita
yang mengaku beriman kepada Allah dan RasulNya s.a.w. Ini kerana, kehidupan
yang suci itu adalah kehidupan yang mempunyai hubungan yang erat dengan Allah
dan bebas dari sebarang unsur jahiliyah dan suku-sakatnya. Di antara
keenam-enam rukun tersebut ialah tidak melakukan syirik atau penyekutuan
terhadap Allah dengan apa jua sekalipun, tidak melakukan perbuatan mencuri,
tidak berzina dan menjaga maruah diri, tidak membunuh anak-anak kerana
dikhuatiri menjadi fakir atau sebagainya, tidak melakukan perkara-perkara
bohong yang sengaja diada-adakan dan tidak mendurhakai Allah dan RasulNya
s.a.w. dalam perkara kebaikan.
Di dalam sepotong hadith yang lain, di sana
terdapat dua lagi rukun yang ditambah oleh baginda s.a.w. dalam bai’ah, iaitu
sebagaimana sepotong hadith yang diriwayatkan dalam satu peristiwa apabila
Umaimah binti Ruqiyah telah datang berjumpa Rasululluh s.a.w. untuk berbai’ah
dengan baginda, lalu baginda menyatakan:
أُبَايعكِ
على أن لا تشركى بالله شيئًا ولا تسرقى ولا تزنى ولا تقتلى ولدك ولا تأتى ببهتان
تفترينه بين يديك ورجليك ولا تنوحى ولا تتبرجي تبرج الجاهلية الأولى
Maksudnya: “ Aku berbai’ah dengan mu
jangan sekali-kali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatupun, jangan mencuri,
jangan melakukan perbuatan zina, jangan membunuh anak, jangan melakukan perkara
bohong yang diada-adakan di antara tangan dan kaki mereka dan tidak mendurhakai
kamu dalam perkara yang baik, jangan meratapi kematian dan jangan kamu bersolek
seperti solekan jahiliyah pertama “(Riwayat Ahmad).
Dua
lagi rukun bai’ah di sini ialah jangan meratapi kematian dan jangan kamu
bersolek sebagaimanai solekan orang-orang jahiliyah, maka, rukun bai’ah semua
sekali ialah lapan (Insya Allah akan dihuraikan).
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb,
Lutpi Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment