Setiap gerak-geri dan
perjalanan hidup seseorang ulama menjadi contoh teladan yang baik kepada
masyarakat bahawa mereka adalah terdiri dalam kalangan hamba Allah yang
dihormati. Bermula dari apa yang diucapkan oleh lidah, apa yang dilakukan dan
diamalkan, apa yang dipakai dan fesyen diperagakan, sehingga kepada akhlak dan
corak pergaulan serta peradaban hidup mereka menjadi perhatian setiap anggota
masyarakat, kerana masyarakat menganggap bahawa para ulama adalah hamba yang
diberkati Allah dan sentiasa mendapat perlindungan dariNya. Oleh itu, para
ulama mestilah memelihara setiap langkah perjalanan hidup dan setiap pergaulan
dalam masyarakat agar tidak mencemarkan nama baik mereka, kerana setitik
kesilapan yang dilakukan oleh ulama akan menjadi buah mulut masyarakat yang
boleh menyebabkan nilai-nilai kepercayaan kepada mereka akan menjadi pudar.
Usaha yang mereka lakukan tidak lagi menjadi pujian dan sanjungan, bahkan
menjadi kritikan dan kutukan yang sangat pedih.
Apa yang sebenarnya, setiap manusia dan termasuk juga
para ulama tidak akan terlepas dari melakukan kesalahan dan kesilapan. Kalau
kesalahan dan kesilapan itu berkait dengan Allah, maka dengan memohon keampunan
dan istighfar akan terhapus segala dosa dan noda yang dilakukan. Akan tetapi,
andaikata kesalahan dan kesilapan itu berkaitan dengan manusia, maka perkara
yang paling baik ialah berterus terang memohon kemaafan di atas apa yang
berlaku dan menyatakan kekesalan. Perkara ini perlu dilakukan oleh sesiapa saja
termasuk para ulama, sekiranya melakukan kesalahan dan kesilapan mereka perlu
mengakui apa yang telah mereka lakukan itu, dan jangan sekali-kali
menyembunyikannya dan jangan sekali-kali berdolak-dalih, kerana keadaan itu
akan mengundang bahaya yang lebih besar dan boleh merosakkan imej mereka di
mata masyarakat. Yang penting, mereka perlu memberus peradaban hidup mereka
daripada unsur-unsur yang menjijikkan dan kemudian menggilap pula dengan amal
ibadat yang diredhai oleh Allah.
Di sini dinyatakan beberapa peradaban hidup yang perlu
dilaksanakan oleh para ulama dalam pergaulan mereka bersama anggota masyarakat:
Pertama: Para ulama yang ingin mencari keredhaan
Allah dan menyeru masyarakat kembali ke pangkuan Allah mesti membersihkan diri
dan menyucikan diri dari apa-apa bentuk perasaan yang jijik dan kotor yang
berada dalam hati sanubari dan jiwa nurani, kerana perkara tersebut akan
merugikan diri sendiri dan akan mendapat kehinaan di sisi Allah.
Firman Allah Ta'ala:
قَدْ
أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا
Maksudnya: "
Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan jiwa dan amat rugilah orang
yang mengotorkannya " (Asy Syams: 9-10).
Firman Allah Ta'ala:
هُوَ الَّذِي
بَعَثَ فِي الأُمِّيِّينَ رَسُولاً مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ
آَيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ
كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ
Maksudnya
: Dialah (Allah) yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang yang
ummi itu seorang rasul dari kalangan mereka sendiri yang membacakan ke atas
mereka ayat-ayatNya, membersihkan mereka dan mengajarkan kepada mereka tentang
al-kitab (al-Quran) dan hikmah, sekalipun sebelum itu mereka berada dalam
kesesatan yang nyata” (Jumu’ah: 2).
Kadang-kadang, sikap setengah anggota masyarakat
meletakkan di atas bahu para ulama ini pelbagai beban masalah, sama ada masalah
keluarga, masalah kepincangan anak-anak, masalah perbalahan dan perkelahian,
masalah kewangan, masalah hutang-piutang dan segala-galanya, sehingga tercetus
di dalam hati ulama itu perasaan yang buruk sangka terhadap mereka yang berbua
demikian. Walau apa sekalipun, setiap ulama hendaklah bersabar dan jangan
sekali-kali bersikap buruk sangka terhadap mereka dan mereka adalah anggota
masyarakat yang tidak mengerti yang memerlukan bimbingan dari masa ke semasa.
Sebab itu, ulama mesti membersihkan diri dan menyucikan diri dari berperasaan
sedemikian, kerana perkara tersebut boleh menjarakkan hubungan dengan ketuhanan
Allah. Segala apa jua sikap yang boleh menyinggung perasaan dan corak perangai
yang tidak disukai oleh masyarakat hendaklah dijauhkan.
Kedua: Setiap ulama yang berjalan di atas jalan
Allah, berjuang dan berjihad di atas nama Allah, keluar mencari rezeki dan
keperluan hidup di atas keredhaan Allah, maka jangan sekali-kali mendustakan
ayat-ayat Allah dan sombong takabur apabila mereka diseru kembali ke pangkuan
Allah, kerana akibat buruk pasti akan datang menimpa. Perkara ini bukan suatu
peradaban, tetapi kebiadaban yang tidak sepatutnya dilakukan oleh para ulama
yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, perkara ini juga boleh menjatuhkan
maruah para ulama yang dianggap manusia yang berpengaruh dalam institusi
keagamaan dan akan mencetuskan kekeruhan dalam masyarakat sehingga masyarakat menjadi
sesat buta teraba-raba.
Firman Allah Ta'ala:
إِنَّ
الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَاسْتَكْبَرُوا عَنْهَا لاَ تُفَتَّحُ لَهُمْ
أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَلاَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّىٰ يَلِجَ الْجَمَلُ فِي
سَمِّ الْخِيَاطِ ۚ
وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُجْرِمِينَ
Maksudnya: "
Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombong diri
kepadanya, tidak akan dibuka kepada mereka pintu langit dan mereka tidak akan
masuk syurga sehingga unta masuk ke dalam lubang jarum, begitulah ketetapan
Kami terhadap orang-orang yang berdosa" (Al A'raf: 40).
Firman Allah Ta’ala:
وَالَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَلِقَاءِ
الْآخِرَةِ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ ۚ هَلْ يُجْزَوْنَ إِلاَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Dan
orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan pertemuan hari akhirat,
gugurlah amal-amal baik dan mereka tidak diberikan balasan pada hari akhirat
melainkan apa yang mereka telah kerjakan (dari perbuatan kufur dan maksiat)”
(Al A’raf: 147).
Sabda Rasulullah s.a.w.
إِنَّ
اْلمُؤْمِـنَ إِذَا أَذْنَبَ ذَنْبًا كَانَ نُكْتَةً سَوْدَاءً فِى قَلْبِهِ
فَإِنْ تَابَ وَنَزَعَ وَاسْتَعْتَبَ صَقْلَ قَلْبِهِ وَإِنْ زَادَ زَادَتْ حَتَّى
تَغْلَقَ قَلْبُهُ
Maksudnya: "
Sesungguhnya seseorang mukmin apabila melakukan suatu dosa akan melekatlah
titik hitam di dalam hatinya, sekiranya ia bertaubat dan kembali ke pangkal
jalan nescaya tergilaplah hatinya semula, tetapi sekiranya ia tidak melakukan
demikian, nescaya tertutuplah hatinya" (Riwayat An Nasa ei dan At
Tirmizi).
Ketiga: Seseorang ulama jangan sekali-kali terlatah
ketika memberi fatwa, kerana sesuatu yang difatwakan itu akan menjadi ikutan di
kalangan lapisan masyarakat. Para ulama juga jangan sekali-kali berfatwa
mengikut selera yang ada atau mengikut telunjuk hawa nafsu yang jijik, kerana
kesalahan dan kesilapan dalam berfatwa akan mengundang perbalahan dalam
masyarakat dan boleh menyesatkan mereka. Mereka juga dikehendaki memberi fatwa
dengan jelas, terang dan tepat supaya masyarakat mengerti dan faham terhadap
fatwa yang dikeluarkan. Akan tetapi, jangan pula memberi fatwa yang ‘separuh
masak’ mengenai sesuatu perkara dengan
tidak menjelaskan hukum-hakam secara cermat dan telus sehingga meninggalkan
tanda tanya kepada masyarakat. Para ulama jangan sekali-kali menjatuhkan hukum
terhadap sesuatu perkara itu dengan mudah dan senang tanpa mengambil kira
sebarang kesan baik-buruk dan akibat yang datang menimpa terhadap hukuman yang
dijatuhkan itu. Seseorang ulama juga jangan membuat sebarang tuduhan yang
membabi-buta, tuduhan rambang dan sesuka hati, tanpa mengambil kira maruah dan
keaiban masyarakat, jangan pula meletakkan hukuman yang berat sebelah kerana
sesuatu kepentingan, sama ada kepentingan peribadi atau kepentingan dalam
perniagaan atau kepentingan dalam sesuatu organisasi atau sebagainya, kerana
perkara ini akan membawa padah dan menjerat leher ulama sendiri.
Firman Allah Ta’ala:
وَأَنِ
احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ
Maksudnya: “Dan
hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah
diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka”
( Al Maidah: 49).
Sebagai hamba Allah yang mempunyai peradaban hidup yang
suci, setiap ulama hendaklah mengetahui status diri mereka di sisi Allah,
kerana mereka adalah dalam kalangan hamba yang sangat dekat dan akrab dengan
Allah, maka dengan sebab itu mereka
mesti mengeluarkan fatwa dan berhukum dengan hukuman yang diturunkan oleh
Allah, dan jangan sekali-kali mengikut perasaan dan hawa nafsu yang jijik.
Keempat: Peradaban hidup seseorang ulama mesti
berpijak di alam realiti, alam yang nyata, iaitu alam yang mengaitkan hubungan
yang erat dengan ketuhanan Allah, alam yang menambahkan lagi kelazatan iman
yang menaikkan darjat dan martabat hidup mereka di sisi Allah, bukan alam yang
kosong yang tidak mempunyai apa-apa isi kandungan. Sebagai seorang hamba Allah
yang dikasihi, sudah tentu para ulama adalah di antara hamba yang sangat
menghormati masa dan sibuk menggunakan masa siang dan malam untuk mengendalikan
urusan ad deen. Kehidupan mereka adalah kehidupan yang sentiasa berkejaran
dengan masa semata-mata untuk kepentingan agama dan menghabiskan masa itu di
tempat-tempat yang berfaedah. Seluruh ruang kehidupan dihabiskan untuk upacara
keagamaan, bermula dari fajar menyinsing sehingga terbenam matahari di ufuk
langit, kemudian dihabiskan pula masa sebelah malam dengan kuliah-kuliah
keagamaan, dengan usrah, dengan halaqah dan bangun pula pada akhir malam untuk
qiamullail. Begitulah kehidupan para ulama, sentiasa tidak cukup masa kerana
sibuk dengan program-program agama dan pengabdian diri kepada Allah.
Justeru, tidak harus
bagi seseorang ulama menghabiskan masa berbual kosong di tepi-tepi jalan dan di
tempat-tempat yang dianggap tidak sesuai bagi seorang ulama, seperti di
kelab-kelab malam, di padang permainan, di tengah pasaraya dan lain-lain lagi.
Juga, tidak harus bersembang mengenai perkara-perkara yang tidak berfaedah,
perkara-perkara lucah, perkara-perkara yang berkaitan tentang urusan duniawi
dan lain-lain lagi yang dianggap tidak manis dikeluarkan oleh seseorang yang
berstatus ulama. Perkara-perkara tersebut hanya membuang masa dan tidak
mendatangkan apa-apa manfaat untuk pembangunan agama.
Firman Allah Ta'ala:
وَالْعَصْرِ إِنَّ
الإنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ إِلاَّ
الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا
بِالصَّبْرِ
Maksudnya: "
Demi masa, sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian, melainkan orang-orang
yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan
kesabaran "(Al 'Ashr: 1-3).
Kelima: Kehidupan para ulama adalah kehidupan yang
dipenuhi dengan rupa bentuk ibadah dan pertalian hidup dengan ketuhanan Allah,
kehidupan yang sentiasa terikat erat dan terpaku kukuh dengan nilai-nilai
pengabdian hidup yang tinggi sehingga seluruh kehidupan itu dipersembahkan
kepada Allah, kehidupan mereka itu dipenuhi dengan warna peradaban yang tinggi
nilainya. Maka, setiap ulama yang mahu meletakkan diri mereka ke darjat yang
tinggi di sisi Allah mesti mematuhi setiap perintah dan setiap arahanNya yang
diwajibkan, semoga mereka tidak tergolong di kalangan manusia yang enggan.
Firman Allah Ta'ala:
وَالَّذِينَ
آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لاَ نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلاَ وُسْعَهَا
أُولَٰئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Maksudnya: " Dan
orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Kami tidak membebankan ke atas diri
seseorang melainkan sekadar kesanggupannya sahaja, mereka itulah penghuni
syurga dan kekal buat selama-lamanya" (Al A'raf: 42).
Firman Allah Ta’ala:
وَاتَّبِعُوا أَحْسَنَ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ
مِنْ رَبِّكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ بَغْتَةً وَأَنْتُمْ لاَ
تَشْعُرُونَ
Maksudnya: “ Dan
ikutlah (perintah) dengan sebaik-baiknya terhadap apa yang diturunkan kepada
kamu dari Tuhan mu sebelum datang azab menimpa kamu dengan tiba-tiba, ketika
itu kamu tidak mengetahui“(Az Zumar: 55).
Sabda Rasulullah s.a.w.
كُلُّكُمْ يَدْخُلُ اْلجَنَّةَ إِلاَّ مَنْ أَبَى، قَالُوْا وَمَنْ
يَأْبَى يَآ رَسُوْلَ اللهِ قَالَ مَنْ أَطَاعَنِىْ دَخَلَ اْلجَنَّةَ وَمَنْ
عَصَانِىْ فَقَدْ أَبَى
Maksudnya: "
Setiap kamu akan masuk ke dalam syurga kecuali orang yang enggan, sahabat
bertanya: Siapa yang enggan wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Sesiapa yang
taat kepada ku dia masuk syurga dan sesiapa yang durhaka kepada ku, maka dia
dikatakan enggan” (Riwayat Muslim).
Para ulama yang mengharapkan
restu dari Allah dalam segenap penjuru kehidupan dan perjalanan hidup mereka
mesti mempunyai adab-adab kesopanan dan tatasusila yang baik apabila mereka
berada di atas jalan Allah dan berbicara dengan anggota masyarakat serta
menjalin huhungan dengan mereka, kerana yang memberi petunjuk kepada mereka
ialah Allah, para ulama hanya menjalankan amanah Allah sahaja. Adab-adab
sebegini sentiasa dihiaskan di dalam hati sanubari dan jiwa nurani supaya
setiap anggota masyarakat yang melihat corak peradaban ini yang ditonjolkan itu
akan tertarik untuk bersama-sama berada dalam satu halaqah.
Keenam: Ketika menyampaikan tugas mendidik,
mengajar, mendakwah dan menyeru manusia kembali ke pangkuan Allah, para ulama
hendaklah menggunakan peradaban yang baik ketika berhadapan dengan anggota
masyarakat supaya mereka yang diseru itu tidak terkejut atau melenting ke
belakang, kerana masyarakat mempunyai pelbagai rupa bangsa, pelbagai lapisan
dan pelbagai tahap pendidikan. Dengan sebab itu, penerimaan mereka terhadap sesuatu
yang disampaikan itu adalah berbeza dan berlainan mengikut tahap kemampuan
mereka. Maka, para ulama mesti mengetahui terlebih dahulu latar belakang setiap
anggota masyarakat yang diseru dan menggunakan uslub atau pendekatan yang
sesuai di antara mereka.
Firman Allah Ta'ala:
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ
وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ
Maksudnya: “Serulah
ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat
pengajaran yang baik, berbahaslah dengan mereka (yang engkau dakwah itu) dengan
cara yang lebih baik " (An Nahl: 125).
Penggunaan uslub dan
gaya bahasa yang menarik, pendekatan yang baik dan penuh dengan hikmah adalah
perlu untuk mengawal emosi masyarakat supaya mereka dapat menerima penyampaian
yang diberi. Di samping itu, para ulama tidak usah takut dan gentar ketika
berhadapan dengan masyarakat, kerana Allah tetap memberi rahmat kepada mereka
dan orang-orang yang berada di jalanNya. Sebagaimana dakwah yang disampaikan
oleh Nabi Musa dan saudaranya Harun kepada Fir’aun, apabila mereka berdua
menerima arahan dari Allah supaya berjumpa dengan Fir’aun, maka timbul perasaan
takut dan gementar dalam diri mereka berdua, tetapi Allah menenteramkann
perasaan hati mereka yang gundah itu, bahawa Dia akan tetap bersama-sama dengan
mereka berdua, Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat segala-galanya.
Firman Allah Ta’ala:
اذْهَبَا
إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَىٰ فَقُولا
لَهُ قَوْلاً لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ قَالاَ
رَبَّنَا إِنَّنَا نَخَافُ أَنْ يَفْرُطَ عَلَيْنَا أَوْ أَنْ يَطْغَىٰ قَالَ لاَ تَخَافَا ۖ
إِنَّنِي مَعَكُمَا أَسْمَعُ وَأَرَىٰ
Maksudnya: “Pergilah
kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam
kekufurannya, kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang
lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut, mereka berdua berkata: Wahai
Tuhan kami! Sesungguhnya kami takut bahawa dia akan segera menyeksa kami atau
dia akan melampau batas, Allah berfirman: Janganlah kamu takut, sesungguhnya
Aku ada bersama-sama kamu; Aku mendengar dan melihat segala-galanya” (Thaha:
43-46).
Ketujuh: Tugas
dan tanggungjawab para ulama ialah memelihara hak dan adab-adab kesopanan
ketika bersama-sama dengan saudara seagamanya tanpa mengambil kira latar
belakang kehidupan, warna kulit, darjat keturunan dan seumpamanya. Mereka perlu
menjaga dan memelihara hubungan persaudaraan iman, hubungan ukhuwah Islamiyah
dan memperteguhkan ikatan tersebut supaya sentiasa berterusan dan kekal dalam
satu pegangan hidup. Sebagai ulama yang mempunyai kelebihan ilmu pengetahuan,
mereka hendaklah sentiasa nasihat-menasihati di antara satu sama lain, supaya
mereka saling beringat-ingat kepada Allah, kerana perbuatan ini amat disuruh
oleh baginda Rasulullah s.a.w.
Sabda Rasulullah s.a.w.
اَلدِّيْنُ النَّصِيْحَةِ وَسُئِلَ: لِمَنْ؟،
فَقَالَ: ِللهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُوْلِهِ وَأَئِمَّةِ اْلمُسْلِمِيْنَ
وَعَامَّتِهِمْ
Maksudnya: "Agama
itu adalah nasihat, sahabat bertanya: Bagi siapa wahai Rasulullah? Jawab
baginda: Bagi Allah, kitabNya, RasulNya dan bagi seluruh ummat Islam semua
sekal " (Riwayat Muslim).
Sabda Rasulullah s.a.w.
إِذَا اسْتَنْصَحَ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ
فَلْيَنْصِحْ لَّهُ
Maksudnya: "
Apabila seseorang kamu diminta memberi nasihat oleh saudaranya, maka hendaklah
menasihatinya "(Riwayat Bukhari).
Kelapan: Para ulama hendaklah mengasihi saudara
seislam yang berjuang dalam satu saf barisan, sebagaimana mereka kasih kepada
diri sendiri. Mereka tidak boleh meninggalkan saudara seagama jauh di belakang
dan mereka juga tidak boleh meletakkan saudara seagama bahagian bawah, mereka
jangan sekali-kali membiarkan saudara seagama berada dalam keadaan
terumbang-ambing di celah-celah kemelut kesesatan, berada dalam keadaan
kebuluran, dalam keadaan kecemasan, dalam keadaan dalam kesakitan dan dalam
keadaan kesempitan hidup. Mereka mesti bersama seiring sejalan, bergerak dalam
satu barisan, melangkah dalam satu perjalanan, berada dalam satu pasukan,
senada irama, seia sekata, sehati sejiwa, maka inilah warna dan gambaran
nilai-nilai peradaban hidup sebagai hamba Allah, nilai-nilai yang perlu
dicetuskan oleh setiap hamba yang berjalan di atas jalan Allah, kerana ikatan
tali persaudaraan iman itu melampaui ikatan tali keturunan dan perkahwinan.
Benarlah sabda Rasulullah s.a.w.
لاَ
يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ ِلأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
Maksudnya: "
Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia kasih saudaranya sebagaimana dia
kasih akan dirinya” (Sepakat riwayat).
Contoh perbandingan hubungan kasih sayang dan ikatan yang
erat di antara saudara seagama dan sesama mukmin telah digambarkan oleh
Rasulullah s.a.w. di dalam sepotong hadithnya:
Sabda Rasulullah s.a.w.
مَثَلُ
اْلمُؤْمِنِيْنَ فِىْ تَوَادِهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ كَمَثَلِ
اْلجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرِ اْلجَسَدِ بِالسَّهْرِ
وَاْلحُمْى
Maksudnya: "
Bandingan orang-orang mukmin terhadap hubungan kasih-sayang sesama mereka
bagaikan anggota badan, apabila satu anggota mengadu sakit, maka semua anggota
yang lain turut berjaga dan mengadu sakit” (Sepakat riwayat).
Kesembilan: Di samping itu, setiap ulama jangan hanya
menumpukan perhatian kepada kitab semata-mata dan tidak mengambil cakna tentang
urusan masyarakat sekeliling. Perkara ini perlu diberi perhatian, kerana dalam
kalangan ulama terdapat mereka yang tidak sempat bergaul dengan anggota
masyarakat kerana terlalu sibuk mengkaji kitab-kitab dan ada juga dalam
kalangan mereka yang tidak suka bergaul kerana sikap mereka yang tidak dapat
menyesuaikan diri dengan anggota masyarakat dan di sana juga ada dalam kalangan
mereka yang tidak pandai bergaul kerana kurang pengalaman dalam pergaulan
dengan anggota masyarakat. Maka di sini, para ulama perlu berusaha sedaya upaya
untuk menyesuaikan diri bergaul mesra dan hidup bersama-sama dalam satu
kelompok masyarakat, sebab itu ulama tidak boleh terpisah dari masyarakat,
kerana mereka saling memerlukan di antara satu sama lain. Ini merupakan suatu
peradaban hidup agar para ulama tidak kelihatan jumud dan lesu yang hanya
menghabiskan masa kehidupan semata-mata mentalaah kitab. Kehidupan
bermasyarakat lazimnya saling tolong-menolong dan bantu-membantu di antara
saudara seagama, sama ada membantu mereka dari kejahilan hidup atau membantu
mereka dari kemiskinan hidup atau lain-lain lagi dan jangan sekali-kali mengkhianati
dan menghina mereka kerana perkara ini dilarang dalam ajaran agama.
Firman Allah Ta'ala:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ
وَلاَ تَعَاوَنُوا عَلَى الإثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ
Maksudnya: "
Tolong-menolonglah kamu dalam kebaikan dan ketaqwaan, jangan kamu
tolong-menolong dalam melakukan dosa dan perlanggaran” (Al Maidah: 2).
Firman Allah Ta'ala:
مَنْ يَشْفَعْ شَفَاعَةً حَسَنَةً يَكُنْ لَهُ
نَصِيبٌ مِنْهَا ۖ
وَمَنْ يَشْفَعْ شَفَاعَةً سَيِّئَةً يَكُنْ لَهُ كِفْلٌ مِنْهَا ۗ
Maksudnya: "
Sesiapa yang memberi pertolongan dalam perkara kebaikan, nescaya ia akan
mendapat ganjaran darinya dan sesiapa yang memberi pertolongan dalam perkara
kejahatan, nescaya ia akan memikul bebannya” (An Nisa: 85).
Sabda Rasulullah s.a.w.
اَلْمُسْلِمُ
أَخُوْ اْلمُسْلِمِ، لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يَخْذُلُهُ وَلاَ يَحْقَرُهُ
Maksudnya: "
Setiap muslim menjadi saudara kepada muslim yang lain, janganlah kamu
menzaliminya, jangan pula kamu
membiarkannya dan jangan sekali-kali kamu menghinanya ".
Kesepuluh: Sebagai seorang ulama yang mempunyai ilmu
pengetahuan yang tinggi membimbing masyarakat kembali ke pangkuan Allah, sifat
tawadduk ketika berurusan dalam masyarakat perlu disemai dalam diri supaya
mereka tetap dipandang mulia oleh anggota masyarakat. Mereka mesti saling
hormat-menghormati, bekerjasama di antara satu sama lain, bantu-membantu ketika
dalam kesusahan, kunjung-mengunjung ke rumah jiran, memahami masalah dan
menanggani masalah tersebut dengan baik, maka sifat-sifat seumpama ini
merupakan suatu peradaban yang mulia di sisi agama dan meninggikan darjat
seseorang hamba di sisi Allah.
Firman Allah Ta'ala:
ولاَ تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ ولاَ تَمْشِ
فِي الأرْضِ مَرَحًا ۖ
إِنَّ اللَّهَ لاَ يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
Maksudnya: "
Janganlah kamu memalingkan muka dari manusia kerana sombong dan janganlah
berjalan di bumi ini dalam keadaan sombong, sesungguhnya Allah tidak menyukai
setiap manusia yang sombong dan bangga diri” (Luqman: 18).
Sabda Rasulullah s.a.w.
إِنَّ
اللهَ تَعَالَى أَوْحَى اِلَىَّ أَنْ تَوَاضَعُوْا حَتَّى لاَ يَفْخَرُ أَحَدٌ
عَلَى أَحَدٍ
Maksudnya: "
Sesungguhnya Allah Ta'ala mewahyukan kepada ku supaya kamu semua bersifat
tawadduk sehingga tiada lagi sifat bangga diri terhadap seseorang” (Riwayat Abu
Dawud dan Ibn Majah).
Sekian, wassalam
Al-Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani
No comments:
Post a Comment