Setiap muslim tidak
boleh lari dari menjalankan tugas dakwah, kerana tugas ini merupakan tugas
asasi para anbiya yang sentiasa dilakukan sehingga ke akhir hayat kehidupan
mereka. Tugas dakwah ini bertujuan mengajar, mendidik dan membentuk manusia,
kemudian membawa mereka ke pangkuan Allah. Kejayaan dan kegagalan dalam medan
dakwah ini biasanya bergantung kepada kebijaksanaan para du’at ketika
berhadapan dengan mad’u dan juga bergantung kepada uslub penyampaian yang
menepati cara-cara atau kaedah-kaedah tertentu mengikut kesesuaian tempat dan
keadaan. Sebelum melangkah keluar ke medan dakwah, setiap du’at mesti membuat
beberapa persiapan dan persediaan yang perlu supaya dakwah yang hendak
disampaikan itu membuahkan hasil dan natijah yang baik serta menarik minat para
pendengar. Di antara persiapan dan persediaan yang perlu dilakukan ialah dari
aspek ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, mempunyai kemampuan dalam bidang
agama dan pengetahuan semasa, bijak bercakap ketika mengeluarkan bicara kata
dan lunak pula di dengar oleh para pendengar untuk membuka selera mereka. Setelah
ilmu-ilmu itu dikuasai, di sana pula mereka hendaklah memahami ilmu
kemasyarakatan yang berkaitan dengan soal kehidupan sesuatu masyarakat, budaya
setempat dan adat kebiasaan yang diamalkan oleh masyarakat tersebut, kerana
kejayaan di dalam sesuatu gerakan dakwah adakalanya bergantung kepada uslub
penyampaian yang memerlukan cara-cara
yang baik untuk menarik minat masyarakat kepada Islam. Mereka perlu memberi
keyakinan kepada masyarakat dengan memberi penekanan kepada prinsip-prinsip
asas Islam secara menyeluruh, bahawa Islam sahaja satu-satunya agama yang boleh
mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya petunjuk yang terang
benderang.
Maka sudah tentu, para ulama perlu memainkan peranan
penting ke arah membentuk sebuah organisasi dakwah yang tersusun dan teratur,
supaya dakwah yang disampaikan itu mampu membawa perubahan yang berkesan kepada
masyarakat. Para ulama menjadi perancang utama untuk menentukan kaedah-kaedah
yang berkesan dan sesuai mengikut sesebuah masyarakat ke arah menyebarkan risalah
dakwah itu. Maka, para ulama akan melatih setiap du’at untuk membiasakan diri
berhadapan dengan masyarakat supaya mereka tidak kelihatan gugup, takut dan
gementar. Mereka akan dibekalkan dengan idea dan buah fikiran yang baik supaya
tidak bercakap kosong dan terapung di awang-awangan semasa menyampaikan dakwah
atau uslub penyampaian itu tidaklah terlalu tinggi atau terlalu rendah sehingga
masyarakat tidak dapat menerima dan terpinga-pinga untuk memahami apa yang
disampaikan itu.
Firman Allah Ta'ala:
يَرْفَعِ
اللهُ الَّذِيْنَ آمَنُوْا مِنْكُمْ وَالَّذِيْنَ أُوْتُوْا اْلعِلْمَ دَرَجَاتِ
Maksudnya: "
Allah mengangkat orang-orang yang beriman di kalangan kamu dan orang-orang yang
diberi ilmu dengan beberapa darjat "(Al Mujadalah: 11).
Dan sabda Rasulullah
s.a.w.
أَفْضَلُ
النَّاسِ اَلْمُؤْمِنُ اْلعَالِمُ الَّذِىْ اَنِ احْتِيَجَ اِلَيْهِ نَفْعَ
Maksudnya: "
Sebaik-baik manusia itu ialah mukmin yang alim, mereka memberi manfaat kepada
orang-orang yang berhajat kepadanya "(Riwayat Al Baihaqi).
Kerja-kerja
dakwah yang menyeru manusia ke pangkal jalan merupakan suatu amanah yang perlu
disempurnakan oleh setiap umat Islam.
Perkara ini adalah suatu
tanggungjawab yang perlu disempurnakan oleh setiap ulama ketika menjalankan
kerja-kerja dakwah di jalan Allah, bahawa kerja-kerja ini merupakan suatu
amanah yang perlu diselesaikan dan disempurnakan. Maka sudah tentu, di sinilah
perlunya kejujuran dan keikhlasan yang perlu ditonjolkan oleh setiap ulama yang
menjadi teraju utama dalam melatih para du’at. Sesungguhnya dakwah yang hendak
disampaikan kepada masyarakat mengandungi prinsip dan asas-asas pemikiran yang
sesuai dengan naluri kemanusiaan semasa, dan apa yang disampaikan itu adalah
logik dan boleh diterima-pakai oleh akal.
Firman Allah Ta'ala:
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ
الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُمْ
بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۖ
وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Serulah
ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat
pengajaran yang baik, berbahaslah dengan mereka (yang engkau dakwah itu) dengan
cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui
akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui
orang-orang yang mendapat petunjuk" (An Nahl: 125).
Para ulama perlu
menyediakan suatu sistem yang unggul kepada setiap du’at yang ke luar berdakwah
di jalan Allah ke arah pembinaan individu muslim, peradaban hidup muslim,
akhlak muslim dan corak perangai serta amalan hidup yang melambangkan budaya
hidup seorng muslim. Maka, para du’at hendaklah memulakan langkah dalam misi
dakwah itu dengan cara hikmat, penuh kemesraan dan keharmonian. Rasulullah
s.a.w. juga telah menerapkan ke dalam lubuk hati masyarakat ketika itu dengan
suatu bentuk pengetahuan yang baru dan amat berlainan dengan pengetahuan
sebelum ini, iaitu dengan menaburkan benih-benih kepercayaan yang mutlak kepada
Allah sebagai Tuhan Yang Maha Esa. Baginda s.a.w. memulakan program dakwah
menyeru manusia beriman kepada Allah kepada keluarganya terlebih dahulu, iaitu
kepada isterinya Khatijah, kemudian kepada kaum kerabatnya seperti Ali bin Abu
Talib dan seterusnya kepada sahabat handai seperti Abu Bakar As Siddiq r.a. dan
akhirnya kepada masyarakat seluruhnya.
Firman Allah Ta'ala:
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولاً أَنِ اعْبُدُوا اللهَ
وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ
الضَّلاَلَةُ ۚ
Maksudnya: " Dan
sesungguhnya Kami utuskan kepada sesuatu umat seorang rasul untuk menyeru
mereka mengabdikan diri kepada Allah dan menjauhkan diri dari thaghut, maka di
antara mereka ada yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula yang berhak
ditimpa kesesatan" (Al Nahl:36).
Ini merupakan tugas dan
tanggungjawab seorang rasul yang diutuskan oleh Allah kepada umat manusia,
peranan menyeru manusia untuk beriman kepada Allah, untuk mendekatkan perasaan
hati dan jiwa raga manusia ke pangkuan Allah, untuk menghayati segala prinsip
dan ajaran-ajaran yang diturunkan oleh Allah, di samping itu juga menjauhkan diri
manusia daripada penyembahan yang lain selain dari Allah. Sudah tentu, tugas
dan tanggunjawab yang besar itu diambil-alih oleh para ulama supaya umat
manusia tetap istiqomah beriman kepada Allah dan beramal dengan amalan yang
soleh.
Firman Allah Ta'ala:
وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ
إِلاَّ نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لاَ إِلَٰهَ إِلاَّ أَنَا فَاعْبُدُونِ
Maksudnya: " Dan
tidaklah Kami utuskan sebelum kamu seorang rasul melainkan Kami wahyukan
kepadanya (suatu pengakuan) bahawa: Tiada Tuhan melainkan Aku, maka abdikanlah
diri kepada Ku "(Al Anbiya: 25).
Perlu dijelaskan di
sana, bahawa dakwah yang disampaikan kepada masyarakat adalah untuk menjelaskan
sikap Islam terhadap kehidupan, bahawa di sana setiap anggota masyarakat
memerlukan suatu pegangan yang kukuh dalam kehidupan. Tujuannya adalah untuk
meletakkan kedudukan mereka sebagai makhluk yang mulia jika dibandingkan dengan
binatang atau haiwan atau makhluk-makhluk lain di atas dunia ini. Islam
mengajak manusia kembali ke pangkuan Allah dengan menolak segala rupa bentuk
kepercayaan dan penyembahan selain dari Allah, menolak segala ideologi yang
direka-cipta oleh manusia yang tidak bertanggungjawab atau isme-isme
kemanusiaan yang lapuk dan usang atau teori-teori yang bertentangan dengan prinsip
kebenaran sejagat yang dipegang dan diamalkan oleh setengah manusia yang
terencat akal fikiran mereka. Oleh itu, dakwah yang disampaikan adalah untuk
memisahkan watak kehidupan manusia di antara hak dan batil, di antara Islam dan
jahiliyah, iman dan kufur. Kerja-kerja dakwah seperti menyatu-padukan umat
manusia di bawah satu pegangan dan satu keyakinan memerlukan kegigihan dan
usaha yang berterusan, memerlukan
kesungguhan dan sebuah pengorbanan semata-mata untuk menyelamatkan jiwa
manusia dan mengeluarkan mereka dari arus kesesatan kepada petunjuk Allah.
Kerja-kerja dakwah memerlukan kekuatan dari semua sudut, sama ada spiritual
atau fikizal, memerlukan persiapan yang rapi dan bekalan yang cukup supaya
matlamat yang diimpikan tercapai. Kerja-kerja dakwah memerlukan kesabaran dan
ketabahan tanpa menghiraukan tohmohan dan dakyah membabi buta, kerana dakwah
untuk membentuk ‘aqidah manusia, membentuk jiwa manusia dan membentuk akhlak
manusia bukanlah suatu kerja yang mudah dan senang, ianya memakan masa yang lama
untuk mencapai impian tersebut.
Sekian, wassalam
Al-Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani
No comments:
Post a Comment