Sesungguhnya tugas dan tanggungjawab para
ulama tidak hanya berada di kutub-khanah atau hanya menatap kitab-kitab atau
hanya mengajar di masjid-masjid, tetapi para ulama perlu memainkan peranan
penting dalam siasah atau dalam arena politik ke arah membangunkan kestabilan
sesebuah negara. Ulama perlu duduk semeja dengan umara untuk melaksanakan
hukum-hakam, peraturan dan undang-undang syari’at dengan merangka suatu sistem
politik yang bebas dari unsur-unsur luar yang tiada kena-mengena dengan Islam.
Program pelaksanaan sistem politik Islam adalah bertujuan untuk mengurus-tadbir
agenda syariat yang diturunkan oleh Allah dalam suatu sistem yang terurus dan
tersusun serta mudah difahami agar ianya dapat diterima-pakai oleh semua pihak,
sama ada orang Islam atau orang bukan Islam. Umara akan mengurus-tadbir sistem
politik ini di atas landasan Islam dengan membawa halatuju
kerajaan ke arah keredhaan Allah, di samping mewujudkan sistem kehidupan dan
sebuah masyarakat yang mempunyai pertalian dengan ketuhanan Allah. Segala
kesilapan atau kepincangan atau apa-apa bentuk kelemahan yang berlaku dalam
pengurusan sistem politik, sama ada berupa peraturan dan undang-undang atau apa
juga yang berkaitan dengan maslahat ummah akan diperjelaskan oleh para ulama
yang bertindak sebagai badan penasihat kepada pihak kerajaan.
Para ulama akan memastikan segala
perjalanan dalam sistem politik adalah mengikut garis panduan yang telah
ditetapkan dalam syari’at Allah dan mereka bertanggungjawab mengeluarkan
sistem-sistem lain yang bercanggah dengan sistem Islam, kerana sistem-sistem
yang berada di luar gelanggang Islam adalah sistem jahiliyah yang boleh
merosakkan hubungan dan pertalian dengan ketuhanan Allah. Sistem-sistem
tersebut tidak mempunyai apa-apa kekuatan untuk memimpin umat manusia ke jalan
yang lurus dan tidak mempunyai apa-apa bentuk keistimewaan untuk membangun
modal insan, sistem-sistem itu juga adalah sistem yang sudah lapuk dan usang
yang akan membawa kemunduran setiap sudut dan ruang-lingkup kehidupan manusia,
kerana sistem tersebut tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi Allah.
Benarlah firman Allah Ta’ala:
فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ
وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ الْحَقِّ لِكُلٍّ جَعَلْنَا
مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً
وَاحِدَةً وَلَكِنْ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آَتَاكُمْ
Maksudnya: ”Dan hendaklah
kamu menjatuhkan hukuman di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, jangan
sekali-kali kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang
telah datang kepadamu, kerana tiap-tiap
umat di antara kamu Kami berikan syari’at dan manhaj, sekiranya Allah
menghendaki, nescaya dijadikan kamu satu umat saja, tetapi Allah hendak menguji
kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu” (Al Maidah: 48).
Para ulama dan umara disifatkan
sebagai ‘faktor penentu’ untuk membina kemajuan dan tamadun sesebuah masyarakat
ataupun untuk meruntuhkannya, ulama dan umara juga bertanggungjawab membawa
hala-tuju mereka untuk membina impian masa depan yang lebih cemerlang dan lebih
gemilang, para ulama dan umara juga bertanggungjawab melahirkan masyarakat yang
kreatif dan berinovasi serta produktif. Di samping itu, mereka bertanggungjawab
memprogramkan idea dan pemikiran masyarakat serta mencorak-warnakan kehidupan
mereka dengan warna-warna yang lebih baik dan sempurna. Andaikata ulama dan
umara berjalan tidak seiring dan tidak sehaluan, berada dalam keadaan berbalah
dan bertelagah, bercekak pinggang dan bertikam lidah, tidak seia dan tidak
sekata, maka jika demikian masyarakat nanti akan menjadi masyarakat yang
pincang dan punah-ranah, masyarakat nanti akan menjadi perok-peranda dan akan
berpecah kepada tiga golongan; satu golongan akan memihak kepada ulama dan satu
golongan lagi akan memihak kepada umara, manakala golongan yang ketiga akan
‘berdiri di atas pagar’ dan tidak akan memihak kepada sesiapa.
Sabda
Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya: “Ada dua golongan, apabila kedua-dua
golongan itu baik maka manusia akan menjadi baik, tetapi jika keduanya rosak
maka manusia turut menjadi rosak, dua golongan tersebut ialah ulama dan umara[2]”.
Tanggungjawab umara ialah
memerintah dengan adil menurut acuan syari’at yang diturunkan oleh Allah dan
manakala tanggungjawab ulama pula ialah menjadi penasihat kepada umara dan membetulkan
kesilapan atau kesalahan yang berlaku. Akan tetapi, jika umara dan ulama tidak
sebulu dan tidak sefahaman, maka sudah tentu di sana akan berlaku perselisihan
pendapat yang boleh membawa bibit-bibit perpecahan.
Tugas dan tangggungjawab ulama ialah
menjernihkan suasana yang keruh dan membetulkan keadaan iklim politik yang
tidak stabil dalam sesebuah negara, ulama mesti bijak menilai realiti yang
berlaku dalam perjalanan pentadbiran kerajaan dan bertindak sebagai pencetus
minda untuk melicinkan perjalanan pentadbiran, kerana tindakan umara terhadap
rakyat adalah bergantung kepada maslahat.[3] Para
ulama tidak perlu merasa ragu dan sangsi apabila karier mereka dikaitkan dalam
arena politik, kerana politik adalah sebahagian dari ajaran agama[4]. Para
ulama juga perlu berperanan untuk menguruskan masyarakat dengan baik dan
sempurna supaya mereka semua melahirkan taat setia kepada umara, mendidik dan
melatih mereka dengan kefahaman Islam yang syumul agar tidak menimbulkan
huru-hara dan mencetuskan fenomena yang tidak sihat serta melanggar perintah
Allah. Ulama juga berperanan menumpukan perhatian terhadap aspek kejiwaan atau kerohanian,
terutama apabila maksiat berleluasa dalam negara kerana dikhuatiri mempengaruhi
pemikiran dan tabiat hidup mereka..
Dalam
sepotong hadith yang diriwayatkan Anas bin Malik, bahawa Rasulullah s.a.w.
telah bersabda:
اسْمَعوا وأطِيعوا وإِن استُعمِلَ عليكم عبدٌ حَبشيٌّ كأنَّ
رأسَهُ زَبيبَةٌ مَا أقَامَ فيكُم كِتَابَ الله وفي رواية : أنَّ رسولَ الله صلى الله عليه وسلم
قال لأبي ذَرٍّ :اسْمَعْ وأَطِعْ ولو لِحَبَشيٍّ كأنَّ رَأْسَهُ زَبِيبَةٌ[5]
Maksudnya: “Dengar dan taatlah kamu jika dilantik ke atas kamu
pemimpin hamba habsyi yang rambutnya seakan-akan buah anggur selama mana dia
menegakkan Kitab Allah”. Dalam riwayat yang lain: Bahawa Rasulullah s.a.w
bersabda kepada Abu Zar r.a: “Dengar dan taatlah kamu walaupun kepada seorang
Habsyi yang rambutnya seperti anggur”.
Dalam
hadith yang lain, Abdullah bin Umar r.a. telah meriwayatkan, bahawa Rasulullah
s.a.w. telah bersabda:
على المرء المسلم السَّمعُ والطاعَةُ فيما أحَبَّ أو كَرِهَ
إِلا أَنْ يُؤمَرَ بِمَعْصِيَةٍ فَإِن أُمِرَ بِمعصيةٍ فلا سَمْعَ ولا طَاعَةَ[6]
Maksudnya: “Wajib atas setiap muslim dengar dan taat (kepada
pemerintah) dalam urusan yang dia suka atau benci melainkan dia disuruh
melakukan maksiat maka jika dia disuruh melakukan maksiat maka tidak wajib
dengar dan tidak wajib taat”.
Bagi membentuk sebuah negara yang bertamadun dan
diberkati oleh Allah, para ulama dan umara perlu mengambil cakna masyarakat dan
bekerjasama dalam menentukan dasar dan corak pemerintahan serta pentadbiran.
Tugas ulama memerhati corak pemerintahan dan menegur kesilapan atau kesalahan
serta memberi nasihat jika terdapat kepincangan dalam kepimpinan dan
pentadbiran. Namun, para ulama dilarang agar tidak ghairah dalam berpolitik,
kerana perkara ini boleh menjatuhkan maruah seseorang ulama dan menyebabkan
mereka kurang menumpukan perhatian kepada kebajikan dan pendidikan ummah.
Imam al-Ghazali pernah menyatakan bahawa para
ulama dahulu pernah memuhasabah dan menjaga umara untuk menerapkan hukum Allah,
perkara ini memang merupakan tugas dan tanggungjawab mereka dan mereka
mengikhlaskan diri kerana Allah sehingga
nasihat mereka didengar dan meresap ke dalam hati. Akan tetapi, sekarang terdapat
umara yang zalim dan ulama yang diam. Andaikata ulama membuka tirai bicara dan
memberi nasihat, namun umara pula meletakkan nasihat itu di belakang telinga
dan dipijak di bawah telapak kaki. Adakala umara melakukan maksiat dan
perlanggaran, tetapi ulama hanya mendiamkan diri dan membisu seribu bahasa.
Kerosakan masyarakat adalah akibat dari kerosakan umara dan kerosakan umara
adalah disebabkan kerosakan ulama. Manakala kerosakan ulama pula adalah kerana
cintakan harta benda dan pangkat kedudukan. Sesiapapun yang digenggam perasaan
cinta dunia, nescaya dia tidak akan mampu menguasai jiwanya, apalagi untuk
memberi nasihat kepada umara dan para pembesar.[7]
Allah Ta’ala juga mengecam mereka
yang memiliki ilmu pengetahuan, tetapi ucapan dan tindakannya tidak sama atau
tidak seiring dengan tingkat pengetahuannya. Dalam erti kata yang lain, dari
sudut realiti ucapan mereka lebih bercirikan sifat-sifat kemunafikan.
Allah
Ta’ala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ
آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لا تَفْعَلُونَ كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ
اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لاَ تَفْعَلُونَ[8]
Maksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu perkatakan sedangkan kamu
tidak kerjakan? Sangat besar kebencian di sisi Allah apabila kamu perkatakan
padahal kamu tidak kerjakan.”
Sekian, wassalam
Al-Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani
[1] Hadith ini
mempunyai banyak riwayat, dalam riwayat yang lain Imam
Ahmad, Ibn Mu’in, Dar Al Qutni dan Al Bani menyatakan hadith ini adalah maudu’,
lihat Al Silsilah
Al Da’ifah, juz: 1, hal: 70 dan Dhaif Al
Jami’ei Al Saghir, hal: 511. Di antara
riwayat lain ialah: ( صنفان
من أمتي إذا صلحا صلح الناس الأمراء والفقهاء وفي لفظ صنفان من أمتي إذا صلحا صلح
الناس الأمراء والعلماء ) Namun
demikian, walau lapaz hadith ini adalah sahih.
[2] Diriwayatkan
oleh Abu Na’im dalam Kitab Al Hilyah dan Ibn Abdul Al Bar dalam kitab Al
Istizkar
[3] Lihat
Asbah Wa al-Nazair, oleh: Jalaluddin asy-Syuyuti.
[4] Politik adalah sebahagian dari ajaran agama,
dan sesiapa yang menolak politik dalam agama adalah sedekat-dekat jalan kepada
kekufuran, lihat: Mauqif al-Aqli Wa al-‘Ilmi Wa al-Alam, oleh: Syeikh Mustafa
Sabri.
[5] Hadith
riwayat Bukhari, Ibn Majah dan Ahmad.
[6] Hadith
riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud,
al-Tarmizi, al-Nasa’i dan Ahmad.
[7] Imam al-Ghazali, Ihya 'Ulumuddin, juz: 7, hal: 92.
[8] Al-Quran, Surah al-Shaf: 61: 2-3.
Gambling at the Star Casino - Dr. Maryland
ReplyDeleteCasino. Gambling at the Star Casino Gambling at the Star Casino in 나주 출장샵 Atlantic City 제천 출장안마 is a 군포 출장샵 real thing with a lot 김제 출장샵 to choose from. 청주 출장안마