Sesungguhnya pembentukan
generasi muslim yang menepati nilai-nilai agama bermula dari dalam diri setiap
individu itu sendiri, mereka akan berusaha membentuk acuan diri untuk menjadi
seorang hamba Allah yang mampu berdiri dengan sendiri dan berkebolehan dalam
apa jua perkara serta lapangan hidup, mereka akan berusaha sedaya upaya membina
impian hidup untuk menjadi hamba Allah yang boleh bergerak bebas di atas
prinsip hidup mereka sendiri, tanpa menerima-pakai unsur-unsur yang berada di
luar dari prinsip agama. Kerana, dari situlah bermulanya titik tolak operation
dalam kehidupan untuk memimpin keluarga dan kaum kerabat mereka, memimpin
sahabat handai dan teman seiring mereka, membina masyarakat dan tamadun
kehidupan mereka dan akhirnya membina sebuah negara di atas prinsip agama yang
bebas dari suku-sakat jahiliyah. Untuk membentuk kekuatan diri, di sana mereka
memerlukan suatu kekuatan lain yang menjadi batu asas dan akar tunjang yang
kuat untuk membimbing mereka ke arah haluan yang dituju, supaya mereka tidak
tersesat di tengah-tengah perjalanan hidup yang penuh dengan simpang-siur,
supaya haluan hidup mereka itu tidak tersasar atau tidak tergelincir dari
landasan yang digariskan.
Maka,
di sinilah letaknya peranan ulama..!
Sesungguhnya
para ulama akan memainkan peranan penting untuk membentuk generasi masa depan
ummah dengan mengemukakan konsep yang mudah dan simple yang menjadi
sumber kekuatan kepada generasi sahabat ketika dahulu dan generasi para pejuang
selepas itu. Kekuatan yang dimaksudkan itu ialah kekuatan LAA ILAHA ILLAH dan
kekuatan MUHAMMADUR RASULULLAH. Kekuatan ini tidak ada dalam diri generasi
bukan Islam dan kekuatan ini juga tidak akan datang menjelma dalam diri mereka
yang bencikan Islam. Kedua-dua kekuatan ini merupakan benteng pertahanan yang
cukup kuat dan kukuh untuk menghalang sebarang rupa bentuk ancaman yang datang
menjelma, sama ada ancaman dari musuh-musuh di medan jihad atau ancaman dari
musuh-musuh dalam diri yang berupa hantu jembalang dan syaitan laknat. Maka,
dengan sendirinya mereka akan menjadi hamba Allah yang kuat dan gagah perkasa,
kerana kedua-dua kekuatan tersebut akan meresap dalam tubuh badan menjadi
sebati dengan darah daging, tulang-belulang dan urat saraf, kedua-dua kekuatan
ini akan menolak apa jua bentuk kekuatan dan kekuasaan lain selain dari
kekuatan dan kekuasaan Allah. Kekuatan tersebut akan menambahkan lagi aspiration
generasi yang hendak dibentuk oleh para ulama, kerana mereka adalah orang pakar
dalam bidang tarbiyah dan mampu membimbing umat manusia kembali ke pangkuan
Allah. Maka sudah tentu di sana, mereka telah mempunyai satu agenda yang hendak
diserapkan ke dalam program kehidupan, mereka telah mempunyai satu ramuan dan
cita rasa tersendiri untuk membentuk masyarakat supaya kembali ke pangkuan
Allah. Apa yang penting bagi mereka ialah mengeluarkan masyarakat dari kemelut
kejahilan dengan memberi kefahaman yang mendalam tentang realiti kehidupan,
bahawa setiap manusia tidak boleh dipisahkan dengan kepercayaan dan pegangan
hidup, kerana manusia memerlukan pertolongan sebagai tempat pergantungan dalam
kehidupan mereka. Manusia tidak boleh hidup dalam kejahilan, kerana kejahilan
itu akan meruntuhkan institusi kemanusiaan.
Seorang
tokoh gerakan Islam yang bernama Syeikh Abdul Qader ‘Audah yang menulis sebuah
buku di bawah tajuk “Islam Di Antara Kejahilan Ummah Dan Kelesuan Ulama”, di
antara lain beliau ada menyatakan tentang kesedihan yang dialami oleh umat
Islam kini apabila mereka melihat saudara seagama mereka berada dalam keadaan
lemah, mereka berjalan dalam keadaan lemah tidak bermaya, tetapi sebenarnya
perjalanan tersebut adalah menuju ke lembah lemahan, mereka menyangka bahawa
mereka dapat keluar dari kemelut kejahilan, tetapi sebenarnya mereka sedang
berjalan menuju ke arah yang sama, mereka tidak mengerti langsung tentang
hakikat kehidupan yang mereka lalui sekarang bahawa yang sebenarnya mereka itu
jahil tentang syari’at Islam dan mengabaikan pelaksanaannya, mereka tidak
mengetahui bahawa pergantungan mereka kepada undang-undang ciptaan manusia boleh
merosakkan diri mereka dan memusnahkan jiwa raga mereka serta boleh mewarisi
kelemahan dan kehinaan1.
Allah berfirman:
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ
وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ
Maksudnya: “Adakah hukum jahiliyah itu yang mereka mahu, dan
siapakah lagi yang terlebih baik hukuman selain dari Allah kepada orang-orang
yakin?” (Al Maidah: 50).
Pembentukan
generasi masa depan akan terbantut dan tidak mungkin akan berlaku dengan sebab
kejahilan yang datang melanda, kejahilan itu akan merosakkan pemikiran mereka
yang menyebabkan kehidupan mereka akan terpinggir jauh dengan arus kemajuan,
kejahilan itu akan mesosakkan amalan hidup, budaya hidup dan peradaban hidup
yang menjarakkan hubungan mereka dengan ketuhanan Allah, kejahilan itu akan
melemahkan mereka untuk bangkit membina ‘nilai upaya’ menyebabkan mereka masih
berada di tahap yang sama dalam kepompong kejumudan.Tugas dan tanggungjawab
untuk mengeluarkan generasi ini dari kemelut kejahilan terletak di atas bahu
para ulama, kerana mereka adalah orang yang lebih tahu untuk membimbing
generasi yang bermasalah itu ke jalan yang benar, mereka adalah orang yang
layak membawa perubahan kepada generasi yang malang itu supaya bangkit dari
kesedaran untuk membina tamadun kehidupan sendiri, mereka adalah hamba Allah
yang mampu mencipta ramuan sendiri untuk dijadikan penawar bagi mengeluarkan
generasi yang pincang ini dari kemelut kejahilan. Apabila tugas dan
tanggunjawab melenyapkan kejahilan ini berjaya disempurnakan, sama ada dalam
pemikiran mereka atau dalam amalan hidup mereka atau dalam penghayatan hidup
mereka, justeru generasi yang hendak dibentuk itu kembali semula dengan ‘nafas
yang baru’, maka satu organisasi yang tersusun dan teratur perlu dibentuk yang
bertujuan untuk membina kekuatan agar meraka tidak mudah dikalahkan oleh
musuh-musuh yang datang menjelma.
Benarlah firman Allah
Ta’ala:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ
فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang
berperang untuk membela agamaNya, dalam satu barisan yang teratur rapi,
seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh” (Saf: 4).
Sekian, wassalam
Al-Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani
1 Al A’malul
Kamilah, di bawah tajuk: Islam Di Antara Kejahilan Ummat Dan Kelesuan Ulama
oleh: Abdul Qader ‘Audah, hal: 7
No comments:
Post a Comment