Islam datang menjelma dalam kehidupan manusia
dengan membawa pegangan hidup dan rupa bentuk akidah yang membawa manusia
mengabdikan diri kepada Allah semata-mata. Islam hanya membawa satu jalan
penyelesaian untuk menjadi penawar dalam permasalahan yang dihadapi oleh
manusia, iaitu hanya kembali ke pangkuan Allah. Secara tidak langsung, dia akan
melaksanakan konsep ‘ubudiyyah ke dalam dirinya dan nilai-nilai pengabdian itu
akan melaksanakan rububiyyah dan uluhiyyah yang merupakan undang-undang
universal untuk membentuk individu muslim yang unik. Maka, di sini letaknya
peranan yang perlu dimainkan oleh ulama. Para ulama perlu mengekalkan tabiat
ketuhanan dalam diri manusia, iaitu tabiat yakin dan percaya untuk diserapkan
ke dalam hati sanubari dan jiwa nurani, tabiat yang membawa nilai-nilai dan
harga diri manusia kembali ke pangkuan Allah. Ini kerana, generasi manusia yang
lahir nanti adalah generasi yang mempunyai tabiat ketuhanan dengan nilai-nilai
yang luhur dan generasi yang akan kembali ke pangkuan Tuhan apabila mereka
dihinggapi permasalahan dalam kehidupan. Mereka perlu diseru untuk
menerima-pakai tabiat yang mulia ini dan melempar jauh sebarang unsur yang
bertentangan dengan tabiat ini, kerana hakikat kehidupan yang sebenar itu mesti
berpijak di alam realiti bahawa semua manusia nanti akan kembali membawa amalan
mereka masing-masing untuk dipersembahkan kepada Tuhan Yang Maha Esa di suatu
hari nanti.
Jalan penyelesaikan dalam permasalahan hidup ialah membawa manusia
kembali ke pangkuan Tuhan dan perkara inilah yang perlu difahami oleh setiap
anggota masyarakat. Maka, penjelasan tentang kefahaman itu perlu dihuraikan
oleh para ulama, kerana mereka adalah sebaik-baik manusia yang boleh berbuat
demikian. Apabila masyarakat faham tentang hakikat yang sebenar, bahawa dengan
kembali ke pangkuan Tuhan itu merupakan sebaik-baik jalan penyelesaian dalam
problam hidup, bererti mereka nanti berhak mendapat cahaya petunjuk dari Allah
yang akan merungkaikan semua sekali ikatan tali permasalahan. Dengan sebab itu,
nilai-nilai kehidupan amat berkait rapat dengan nilai-nilai ‘ubudiyyah, tinggi
rendah darjat seseorang di sisi Allah bukan diukur dengan pancaindera yang lima
atau bukan dengan sebab mereka dari keturunan mulia yang lazimnya mendapat
tempat dan kedudukan di sisi masyarakat, bukan juga kerana mereka mendapat
bintang kebesaran dan kemudian dianugerahkan gelaran yang tertinggi yang
dikurniakan oleh pihak pemerintah, tetapi kemuliaan di sisi Allah adalah diukur
dengan nilai-nilai ‘ubudiyyah itu tadi dan ketakwaan yang diikat dalam hati
serta hubungan mereka dengan Allah. Darjat kemuliaan mereka akan menjadi
semakin tinggi dan semakin meningkat apabila bertambahnya nilai-nilai itu tadi
dalam diri.
Demikian pula bahawa
permasalahan hidup dalam masyarakat datang menjelma adalah berpunca dari faktor
sikap anggota dalam masyarakat itu sendiri sehingga menyebabkan pegangan hidup
mereka menjadi semakin jauh dari Allah. Apabila umat Islam menyimpang jauh dari
pegangan agama, maka berlaku di sana pelbagai gejala yang kurang sihat yang
boleh mencemarkan maruah agama dan maruah umat Islam, yang boleh mencemarkan
kesucian agama dan kesucian umat Islam itu sendiri.
Bermula dari pergaulan
bebas di antara teruna dara sehingga menyebabkan keruntuhan moral dan akhlak,
akhirnya timbul gejala kelahiran anak luar nikah, gejala najis dadah, pil-pil
khayal, ketagihan arak dan lain-lain sehingga membawa kepada rosak iman
seseorang itu, akhirnya akidah dan pegangan hidup menjadi musnah. Dengan
permasalahan ini, umat Islam menjadi umat yang jauh menyimpang dari ajaran
agamanya dan mereka tidak lagi menjadi umat yang mempunyai pertalian dengan
Allah. Adakalanya permasalahan hidup dalam masyarakat bermula dari rumah kerana
sikap kedua ibubapa yang tidak mengambl cakna terhadap pendidikan anak-anak
mereka dan terlupa untuk menanam benih keimanan dan pegangan tali akidah ke
dalam hati anak-anak mereka. Justeru, mereka mengabaikan pendidikan agama yang
merupakan akar tunjang dalam pembentukan rohani anak-anak. Apabila tugas dan
tanggungjawab menanam benih-benih agama diabaikan dan dibiarkan kerana alasan
tidak begitu penting jika hendak dibandingkan dengan kerjaya hidup dan masa
depan anak-anak mereka, maka akan lahirlah di sana generasi yang pincang dalam
masyarakat, generasi yang tidak punya pertalian dengan Allah, generasi yang
tidak punya apa-apa pegangan hidup yang lebih menumpukan perhatian kepada
nilai-nilai kebendaan dan material, generasi yang tidak punya maruah dan tidak
pula berakhlak mulia, generasi yang boleh diperdagangkan di pasaran dunia dan
boleh dijual beli sekalipun dengan harga yang murah. Generasi seperti inilah
yang akan meruntuhkan masyarakat Islam dan generasi inilah yang akan
mencetuskan fenomena buruk kepada imej ajaran Islam yang akhirnya menjahanamkan
umat Islam seluruhnya. Namun demikian, tanggungjawab membina dan membentuk
masyarakat kembali ke pangkuan Allah bukan hanya terletak di atas bahu para
ulama sahaja, bahkan tanggungjawab ini adalah tangggungjawab bersama supaya
jalan penyelesaian hidup adalah laluan yang sama.
Peranan
ulama sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan dan perkembangan semasa, namun
tanggungjawab sebagai seorang pendidik tidak boleh dipertikaikan lagi. Di dalam
situasi tertentu dalam masyarakat, para ulama dianggap sebagai pakar rujuk
kepada sesuatu masalah yang timbul dan bertanggungjawab mencari jalan
penyelesaian dalam persoalan tersebut.
Sabda Rasulullah s.a.w.
اِنَّ
اللهَ لاَ يَقْبِضَ اْلعِلْمَ انْتِزَاعًا مِنَ النَّاسِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ
اْلعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حتَّى إِذَا لَمْ يَتْرُكْ عَالِمًا اتَّخَذَ
النَّاسُ رُؤُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوْا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلًّوْا
وَأَضَلُّوا
Maksudnya: “ Sesungguhnya Allah tidak
menghapuskan ilmu secara mencabut dari dada manusia, tetapi Dia mencabut ilmu
dengan mematikan ulama sehingga tiada lagi orang yang alim, lalu manusia
mengangkat pemimpin mereka terdiri dalam kalangan orang-orang yang jahil, apabila
diajukan pertanyaan, lalu mereka memberi fatwa tanpa berpandukan kepada ilmu
pengetahuan, mereka itu menjadi sesat dan menyesatkan “ (Riwayat Tirmizi).
Demikianlah betapa
pentingnya peranan ulama di dalam mengembangkan ajaran Allah ke dalam masyarakat,
peranan untuk membangunkan tamadun keilmuan dan memusnahkan kejahilan, peranan
untuk meletakkan syari'at Allah itu sebagai syi'ar keagungan Islam demi
membangun kesejahteraan ummah sejagat dengan penerapan nilai-nilai yang suci.
Dengan kebolehan dan ilmu pengetahuan yang dimiliki itu secara tidak langsung
para ulama ini telah diktiraf sebagai ‘pakar’ dalam penyelesaikan sesuatu
masalah. Seseorang ulama itu berhak mengeluarkan fatwa di dalam sesuatu urusan
yang belum diputuskan dalam ajaran agama demi maslahat umum, kerana menjaga
nama bail agama dan umat sejagat. Di samping itu, tugasan para ulama seharian
ialah sebagai penasihat kepada umat Islam dengan mengajar mereka, mendidik,
mentarbiyah dan menyeru mereka ke jalan yang benar, jalan yang diredhai oleh
Allah Ta’ala.
Cuba kita renung bersama-sama dan
mengambil pengajaran yang baik terhadap kata-kata yang diungkapkan oleh
Sayyidina Umar Al Khattab r.a. :
مَوْتُ
أًلْفِ عَابِدٍ قَائِمِ اللَّيْلِ صَائِمِ النَّهَارِ أَهْوَنٌ مِنْ مَوْتِ
عَالِمٍ بَصِيْرٍ بِحَلاَلِ اللهِ وَحَرَامِهِ
Maksudnya: “ Kematian seribu ahli ibadat
yang sentiasa sembahyang malam dan puasa di siang hari terlebih baik kematian
seorang alim yang sentiasa menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah dan
mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah “.
Oleh sebab itu, setiap
generasi muslim hari ini mestilah berusaha sedaya upaya agar dia menjadi
seorang ulama atau sentiasa mendampingi ulama atau sentiasa mendengar kata-kata
ulama.
Sekian, wassalam
Al-Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa el-Batnani