PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Saturday 28 January 2012

AL QURAN SEBAGAI PENAWAR


Al Quran bukan sahaja kitab yang memberi cahaya petunjuk kepada umat manusia, tetapi di sana terdapat suatu perkara yang tidak diketahui secara umum oleh kebanyakan manusia, iaitu Al Quran juga bertindak sebagai penawar kepada pelbagai penyakit yang meldia diri manusia, sama ada penyakit spiritual atau penyakit fizikal. Dengan beberapa potong ayat yang tertentu dibaca dan dihembus kepada pesakit, maka pesakit itu akan menjadi pulih dan merasai kesegaran hidupnya. Dengan itu, Al Quran menjadi ubat pelindung yang amat berkesan dan penyembuh kepada apa jua jenis penyakit, sekalipun penyakit tersebut agak kronik.

Semuanya berjalan mengikut kehendak Allah, oleh itu benarlah firman Allah Ta'ala:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “ Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya telah datang kepadamu pengajaran dari Tuhan mu, penawar kepada perasaan hati mu, petunjuk dan rahmat untuk para mukminin “ (Yunus: 57).

Al Quran hanya menjadi penawar kepada orang-orang yang beriman dan yakin terhadap isi kandungannya sahaja. Adapun orang-orang yang tidak beriman dan tidak pula yakin terhadap isi kandungan yang terdapat di dalam lembarannya, mereka tidak sekali-kali memperolehi apa-apa penawar dari Al Quran walaupun sekelumit, bahkan Al Quran itu pula bertindak menjadi laknat kepada mereka. Namun, bagaimanakah pula Al Quran itu dapat memancarkan cahaya petunjuknya kepada mereka yang tidak percaya dengannya...?

Maka, Allah Ta'ala berfirman:

قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ آمَنُوا هُدًى وَشِفَاءٌ وَالَّذِينَ لاَ يُؤْمِنُونَ فِي آذَانِهِمْ وَقْرٌ وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمًى ۚ أُولَٰئِكَ يُنَادَوْنَ مِنْ مَكَانٍ بَعِيدٍ

Maksudnya: “ Katakanlah  (wahai Muhamad)! Al Quran itu adalah petunjuk dan penawar kepada orang-orang yang beriman, manakala orang-orang yang tidak beriman pula telinga mereka menjadi tuli dan mata mereka menjadi buta, mereka bagaikan orang-orang yang dipanggil dari tempat yang jauh “ (Fusshilat: 44).

Al Quran muncul dengan membawa pelbagai jenis penawar untuk memberi rawatan kepada mereka yang dildia penyakit, sama ada penyakit fizikal atau penyakit spiritual, sama penyakit biasa atau penyakit yang kronik. Al Quran akan memulihkan penyakit manusia sehingga menjadi sihat, memulihkan jiwa raga manusia yang selalu dildia perasaan keluh kesah sehingga menjadi tenang tenteram dan memulihkan ingatan manusia dari pelbagai gangguan dan igauan sehingga menjadi jernih, tetapi perkara itu terjadi adalah dengan izin Allah. Kerana, ayat-ayat suci Al Quran itu merupakan Kalamullah, Kalimah Allah, Perkataan Allah, Ungkapan Allah dan Percakapan Allah yang diturunkan untuk manusia, untuk manusia baca, untuk manusia membuat analisa dan kajian, untuk manusia hayati isi kandungan, untuk manusia mengambil pengajaran, untuk manusia jadikannya sebagai penawar dan lain-lain lagi. Ertinya, apabila Al Quran itu datang dari Allah, maka di sana ayat-ayatnya itu sudah tentu mengandungi kekuatan tersendiri yang dapat diserapkan ke dalam diri manusia sebagai ‘rawatan pemulihan’ yang berkesan atau sebagai pendinding dari kejahatan atau penghalang dari persihiran dan perbuatan-perbuatan khianat dari makhluk halus, jin dan manusia yang durjana. Di sana terdapat beberapa peristiwa dalam lipatan sejarah Islam tentang ayat-ayat Al Quran yang diguna-pakai sebagai penawar atau benteng dari kejahatan:

PERTAMA: Ketika rumah Nabi s.a.w. dikepung oleh orang-orang kafir Quraisy semasa baginda s.a.w. mahu berhijrah, lalu baginda s.a.w. mengambil segenggam pasir dan membaca sepotong ayat:

وَجَعَلْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ سَدًّا وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّا فَأَغْشَيْنَاهُمْ فَهُمْ لاَ يُبْصِرُونَ

Maksudnya: “Dan Kami jadikan sekatan di hadapan mereka dan sekatan di belakang mereka, lalu Kami tutup pdiangan mereka; maka dengan itu mereka tidak dapat melihat” (Yasin: 9).

          Lalu baginda s.a.w. menghamburkan pasir yang digenggam itu kepada orang-orang kafir Quraisy menyebabkan penglihatan mereka menjadi tertutup dan baginda s.a.w. dapat keluar dari rumahnya itu tanpa dilihat oleh sesiapapun.

KEDUA: Kisah yang berlaku pada diri Umar Al Khattab r.a. sebelum keislamannya, beliau adalah salah seorang yang keras hatinya dan amat bengis, beliau sangat bencikan Islam dan salah seorang penentang Islam yang amat gigih. Apabila beliau mendengar beberapa potong ayat suci Al Quran yang dibaca oleh saudara perempuannya Fatimah dari awal Surah Thaha, hati Umar mula merasa sejuk dan tenang:

طه مَا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لِتَشْقَىٰ إلاَّ تَذْكِرَةً لِمَنْ يَخْشَىٰ تَنْزِيلاً مِمَّنْ خَلَقَ الأَرْضَ وَالسَّمَاوَاتِ الْعُلَى الرَّحْمَٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا وَمَا تَحْتَ الثَّرَىٰ وَإِنْ تَجْهَرْ بِالْقَوْلِ فَإِنَّهُ يَعْلَمُ السِّرَّ وَأَخْفَى اللَّهُ لاَ إِلَٰهَ إلاَّ هُوَ  لَهُ الأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ وَهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ مُوسَىٰ إِذْ رَأَىٰ نَارًا فَقَالَ لأَهْلِهِ امْكُثُوا إِنِّي آنَسْتُ نَارًا لَعَلِّي آتِيكُمْ مِنْهَا بِقَبَسٍ أَوْ أَجِدُ عَلَى النَّارِ هُدًى فَلَمَّا أَتَاهَا نُودِيَ يَا مُوسَىٰ إِنِّي أَنَا رَبُّكَ فَاخْلَعْ نَعْلَيْكَ  إِنَّكَ بِالْوَادِ الْمُقَدَّسِ طُوًى وَأَنَا اخْتَرْتُكَ فَاسْتَمِعْ لِمَا يُوحَىٰ إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لاَ إِلَٰهَ إلاَّ أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلاَةَ لِذِكْرِي

Maksudnya: Taa Haa, Kami tidak menurunkan Al Quran kepada mu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan, melainkan menjadi tazkirah bagi orang-orang yang takut kepada Allah, (Al Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu (Allah) Ar Rahman, yang bersemayam di atas Arasy. Dialah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi. Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonan mu, maka yang demikian tidak perlu, kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi. Allah Tiada Tuhan yang lain melainkan Dia, bagiNya segala nama yang baik. Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa? Ketika dia melihat api, lalu dia berkata kepada isterinya: Berhentilah! Sesungguhnya aku ada melihat api semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan darinya atau aku dapat di tempat api itu penunjuk jalan. Maka apabila dia sampai ke tempat api itu (kedengaran) dia diseru: Wahai Musa! Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi Tuwa yang suci. Dan Aku telah memilih mu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepada mu. Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku, maka abdikan diri kepada Aku dan dirikan solat untuk mengingati Aku” (Thaha: 1-14).

Hati Umar yang sebelum ini keras seperti batu dan kering-kontang tiba-tiba menjadi sejuk, beliau tidak pernah mendengar perkataan yang begitu indah dan menarik, nada dan irama perkataannya pula tidak seperti syair-syair jahiliyah sebelum ini. Dengan hanya mendengar beberapa potong ayat dari awal Surah Thaha tadi, Umar r.a. akhirnya menjadi seorang Islam yang beriman kepada Allah. Oleh sebab itu, rupa-rupanya perasaan hati yang sangat keras dan degil dapat diubati dengan hanya mendengar beberapa ayat dari Kalamullah.

KETIGA: Diriwayatkan dari Abu Said al-Khudri r.a. bahawa suatu ketika, apabila seorang penghulu di suatu daerah telah digigit binatang berbisa, lalu dipanggil beberapa orang sahabat Nabi s.a.w. yang kebetulan ada di daerah tersebut untuk memberi rawatan kepada pesakit itu. Lalu sahabat tadi membaca Surah Al Fatihah dan dihembus pada anggota badan yang terkena gigitan binatang berbisa. Dengan izin Allah, sakit tersebut menjadi sembuh dan penghulu itu kelihatan sihat, lalu diberi hadiah kepada sahabat itu berupa tiga puluh ekor kambing dan susu. Apabila diberitahu kepada Rasulullah s.a.w. tentang perkara tersebut, maka bainda s.a.w. bersabda: “Bahagikanlah kambing-kambing tersebut dan berilah kepada aku sebahagian”.

KEEMPAT: Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa suatu hari Rasulullah s.a.w. telah menugaskan beliau menjaga harta zakat pada bulan Ramadan, tiba-tiba datang seorang lelaki yang tidak dikenali mengambil harta tersebut yang berupa makanan selama tiga hari berturut-turut kononnya mahu memberi makanan ini kepada keluarganya. Abu Hurairah sangat marah, kerana lelaki itu mengambil makanan tanpa kebenaran Rasulullah s.a.w. lalu dia memegang lelaki itu agar tidak datang lagi ke sini. Lelaki itu memberitahu kepada Abu Hurairah agar membaca ayat Kursi dan dia tidak akan datang ke sini lagi. Abu Hurairah r.a. memberitahu perkara ini kepada Rasulullah s.a.w. dan baginda berkata: ”Apa yang disampaikan oleh lelaki itu memang benar, tetapi dia sudah berhasil menipu kamu dengan mengambil harta zakat, tahukah kamu siapa lelaki itu..?  Abu Hurairah menjawab: “Tidak wahai Rasulullah”, lalu baginda s.a.w. bersabda:“Ketahuilah! Lelaki itu adalah syaitan”.

KELIMA: Di dalam kitab Hayat As Sahabah, Ubai Ibn Kaab r.a. telah meriwayatkan: Sewaktu bersama Rasulullah s.a.w. seorang badwi telah datang kepada baginda dan berkata: “Wahai  Rasulullah! Aku mempunyai seorang saudara yang ditimpa penyakit”. Baginda s.a.w. bertanya kepada lelaki itu: “Penyakit apa..?” Beliau menjawab: “Sejenis penyakit gila”. Kemudian Rasulullah s.a.w. menyuruh lelaki itu membawa saudaranya, setelah lelaki yang sakit itu datang, lalu baginda s.a.w. membaca ayat-ayat ini kepada lelaki tersebut: Surah Al Fatihah, Surah Al Baqarah, ayat: 1 hingga 5, ayat:163, 255-257 dan 284-286, Surah Ali Imran, ayat: 18, Surah Al Mukminun, ayat: 115-118, Surah Al Jin, ayat: 3, Surah As Syaffat, ayat: 1-10, Surah Al Hasyr, ayat: 22-24, Surah Al Ikhlas, Surah Al Falaq dan Surah An Nas. Dengan izin Allah, lelaki tersebut sembuh dari penyakitnya.

            Demikianlah, di sebalik ayat-ayat suci Al Quran yang membicarakan tentang masalah hukum-hakam, persoalan halal-haram, memperkatakan tentang hubungan manusia dengan ketuhanan Allah, memberitahu tentang kisah-kisah perjuangan umat dahulu, perjuangan para nabi-nabi dan rasul-rasul dan lain-lain lagi, di sana terselit sebahagian ayat-ayat suci itu boleh dijadikan penawar untuk merawat mereka yang mengidapi pelbagai jenis penyakit. Bererti, ayat-ayat Al Quran itu mengandungi kekuatannya tersendiri di samping ianya adalah mukjizat dari Allah yang dapat mengalahkan pakar-pakar bahasa dan mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang bahasa untuk menandingi keunggulan Al Quran. Di sini perlu diingatkan, bukanlah ayat-ayat yang berkaitan digunakan dalam rawatan itu mempunyai kuasa sakti atau kuasa yang luar biasa untuk mengubati penyakit, akan tetapi ayat-ayat tersebut adalah wasilah sahaja untuk berinteraksi dengan ketuhanan Allah, yang menyembuhkan penyakit itu adalah Allah, bukan ayat-ayat tersebut. Ayat-ayat yang hendak dibaca sebagai rawatan kepada pesakit itu adalah ayat-ayat yang berkaitan sahaja, kerana bukan semua ayat-ayat Al Quran itu boleh dijadikan penawar, walaupun ayat-ayat tersebut mempunyai kekuatan itu sendiri, sebagaimana yang diajar oleh baginda s.a.w. dan para sahabat r.a. serta para ulama r.a.
Firman Allah Ta’ala:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَلا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إلا خَسَارًا

Maksudnya: “ Dan Kami turunkan dari Al Quran untuk menjadi penawar dan rahmat kepada orang-orang yang beriman, adapun orang-orang yang zalim, ianya tidaklah menambahkan apa-apa melainkan kerugian “ (Al Isra: 82).



Sekian, wassalam


Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment