Sesungguhnya kehidupan itu memerlukan kompas untuk dijadikan pedoman
atau penunjuk arah untuk sampai ke destinasi yang hendak dituju, kehidupan itu
juga memerlukan cahaya yang terang untuk menyuluh perjalanan hidup, supaya mereka
yang berjalan itu tidak sesat dan tidak pula tergelincir dari ldiasan yang
dilalui, kehidupan itu juga memerlukan ‘payung’ sebagai tempat berteduh dari
panas yang terik dan juga dari hujan yang mencurah turun.
Manusia yang tidak punya
apa-apa pedoman dalam laluan hidup, tidak punya fakta panduan, tidak punya
bekalan cahaya, tidak punya ciri-ciri keselamatan dan lain-lain bantuan dalam
perjalanan mungkin akan mengalami
kesukaran untuk melangkah dan untuk sampai ke destinasi yang dituju. Mungkin
mereka lambat sampai ke destinasi yang hendak dituju, tetapi apa yang pastinya
mereka akan menghadapi pelbagai masalah untuk sampai ke sana. Pedoman dan
panduan yang paling baik untuk dibawa dalam perjalanan hidup ialah Al Quran,
iaitu sebuah kitab yang boleh dijadikan rujukan untuk menyelesaikan kemusykilan
yang dihadapi semasa perjalanan, kitab yang boleh dijadikan penyuluh ketika
manusia berada dalam kegelapan semasa meneruskan perjalanan, kitab yang boleh
memberi kekuatan dan aspirasi semasa mereka berada dalam keadaan ketakutan, kitab yang boleh mengeluarkan manusia dari
kesesatan lalu-lintas apabila jalan yang dilalui itu terlalu gelap atau terdapat
gangguan cuaca yang kurang baik atau keadaan jalan yang bengkang-bengkok dan
bersimpang-siur yang menyebabkan mereka tersasar dan melencong sedikit dari
jalan asal, kitab yang boleh membetulkan semula arah dan hala tuju yang sebenar
agar gerombongan yang berjalan itu benar-benar sampai ke tempat yang dituju dan
tepat pada masanya. Al Quran merupakan kitab kesinambungan daripada kitab-kitab
yang diturunkan oleh Allah sejak dahulu lagi seperti kitab Zabur yang
diturunkan kepada Nabi Daud, kitab Taurat kepada Nabi Musa dan kitab Injil
kepada Nabi Isa a.s. Manakala Al Quran yang diturunkan dalam Bahasa Arab kepada
Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk melengkapkan kitab-kitab terdahulu yang
membatalkan segala syari’at, peraturan dan undang-undang serta hukum-hakam yang telah
diturunkan kepada umat-umat yang terdahulu. Al Quran tidak diturunkan sekaligus
sebagaimana kitab-kitab yang terdahulu, tetapi ianya diturunkan mengikut
keperluan dan kehendak semasa mengikut sebab-sebab tertentu.
Al Quran juga
diturunkan bertujuan untuk menjelaskan peristiwa-peristiwa yang berlaku ketika
itu dan menghuraikan kekusutan yang dihadapi oleh masyarakat serta
menyelesaikan permasalahan hidup yang berlaku. Ayat-ayat yang diturunkan di
Mekah lazimnya memperkatakan tentang ‘aqidah keimanan dan
ketauhidan kepada Allah, Tuhan Yang Satu, manakala ayat-ayat yang diturunkan di
Madinah pula biasanya memperkatakan tentang hukum-hakam dan peraturan hidup
manusia. Pokok persoalan yang
dibahaskan di dalam Al Quran mengandungi pelbagai aspek dan lapangan hidup
manusia, mencakupi semua sekali perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan
kemanusiaan, sama ada di dunia dan di akhirat. Al Quran ada juga menceritakan
kisah-kisah purbakala dan kisah-kisah umat yang terdahulu yang menjadi
pengajaran untuk generasi yang akan datang. Oleh itu, tiada siapa yang dapat
menandingi kehebatan Al Quran, baik dari segi fakta-faktanya yang tepat atau
dari sudut balaghahnya yang hebat atau uslub serta gaya bahasanya yang sangat
menarik, ditambah pula peraturan-peraturan dan undang-undang di dalamnya yang
merupakan hukum-hakam yang wajib dipatuhi oleh setiap manusia. Di dalamnya juga
terdapat pengajaran dan contoh teladan yang baik untuk dihayati oleh manusia
dan mengambilnya sebagai petunjuk ke jalan yang lurus. Tiada sebab mengapa
manusia harus mempertikaikan Al Quran, melainkan kerana perasaan keras hati
atau atau kerana kejahilan yang menguasai jantung hati.
Allah berfirman:
وَإِنْ كُنْتُمْ فِي
رَيْبٍ مِمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِنْ مِثْلِهِ
وَادْعُوا شُهَدَاءَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ
Maksudnya: “ Dan sekiranya kamu ragu-ragu tentang apa yang Kami
turunkan kepada hamba Kami, maka hendaklah kamu bawa satu surah yang serupa
dengannya dan panggillah saksi-saksi kamu selain dari Allah, sekiranya kamu orang-orang
yang benar”(Al Baqarah: 23).
Allah Ta’ala sendiri mencabar mereka yang meragui kesucian Al Quran supaya
mereka menulis hanya satu surah sahaja yang setanding dengan Al Quran atau yang
lebih baik dari Al Quran. Tetapi, mereka sebenarnya tidak sekali-kali dapat
melakukannya dan tidak akan dapat melakukannya, biarpun pelbagai tuduhan yang
dilemparkan kepada Al Quran, namun ianya tetap menjadi kitab perlembagaan hidup untuk setiap individu
muslim. Sekalipun Al Quran itu dikoyak-rabak
oleh musuh-musuh yang bencikan Islam atau naskah Al Quran itu dibakar hangus
sehingga menjadi debu atau dicetak dan dibuat salinan semula dengan diubah-ubah
huruf dan gaya bahasanya atau pelbagai cara untuk memusnahkan Al Quran yang
bertujuan menghalang dan menjauhi manusia dari Al Quran, namun Al Quran itu
tetap unggul dan tetap terpelihara sama sahaja seperti yang asal, sebagaimana
yang diturunkan sejak zaman Nabi s.a.w.
Firman Allah Ta’ala:
فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا
وَلَنْ تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ
وَالْحِجَارَةُ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ
Maksudnya: “ Kamu tidak dapat melakukannya dan tidak akan
sekali-kali dapat melakukannya, takutlah api neraka yang menjadi unggunnya
terdiri dari manusia dan batu-batu, disediakan untuk orang-orang kafir” (Al
Baqarah: 24).
Setiap
individu muslim yang ingin mencari kebenaran dan ingin mencari ketenangan dalam
hidup mesti menjadikan Al Quran itu sebagai petunjuk atau sebagai cahaya
kebenaran atau sebagai penawar dalam kesusahan dan kesakitan ataupun
menjadikannya sebagai perlembagaan hidup. Di antara ramuan hidup yang perlu
dihayati oleh setiap individu muslim ialah meletakkan Al Quran dalam hati
sanubari dan jiwa nuraninya sebagai kompas
pedoman di dalam laluan hidupnya.
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani
Boleh minta email penulis blog ni? Email sya adamkenndy@live.com
ReplyDelete