Monday, 16 January 2012
RAMUAN HIDUP MUSLIM
Seseorang
muslim yang telah membuat pengakuan ketuhanan dalam dirinya mesti mempunyai
panduan hidup agar kehidupan yang hendak dibawa itu tidak melencong dari landasan yang sebenar dan tidak terbabas ke arah laluan yang lain. Sesungguhnya
setiap hamba muslim yang mahu kembali ke pangkuan Allah mesti membersihkan diri
dari sebarang rupa bentuk noda dan dosa, dia mesti mempunyai pertalian yang
erat dengan Allah dan dia mesti mempunyai ramuan hidupnya sendiri yang boleh
membawa dirinya menjadi manusia yang dikasihi Allah.
Suasana kehidupan hari ini amat jauh berbeza dengan
kehidupan di zaman Rasulullah s.a.w. Justeru, seseorang hamba Allah yang soleh
pastinya ingin menghabiskan sisa-sisa kehidupannya untuk mengabdikan diri
kepada Allah dalam setiap waktu. Kehidupan hari ini memerlukan pertalian yang
erat dengan Allah, sebabnya kerana pengaruh persekitaran boleh menyebabkan hati
seorang muslim boleh berubah dari landasan hidup yang sebenar. Maka, di sinilah
perlunya ramuan hidup yang berkesan untuk dijadikan sebagai batu asas atau akar
tunjang yang kuat dalam kehidupan itu. Sudah pasti, apabila ramuan tersebut
menjadi sebati dengan darah daging, nescaya kehidupan yang berkonsepkan sebuah
pengabdian itu tidak akan dapat dipisahkan sama sekali, kehidupan itu pasti
subur dengan warna keimanan dan ketakwaan diri kepada Allah.
Di dalam ramuan tersebut, seseorang muslim mestilah
meletakkan ketuhanan Allah sebagai asas utama ke arah membentuk keimanan yang
mantap. Kemudian, dia hendaklah meletakkan Al Quran sebagai ramuan yang kedua
untuk dijadikan kitab panduan dan kitab perlembagaan hidup. Dia juga perlu
menjadikan RasulNya s.a.w. sebagai ramuan yang ketiga sebagai jalan petunjuk
untuk laluan hidup di masa hadapan. Dia juga hendaklah menjadikan para sahabat
r.a. sebagai ramuan yang keempat dalam hidupnya, di mana para sahabat r.a.
merupakan generasi manusia yang boleh dibuat contoh teladan kepada generasi
muda hari ini. Di samping itu pula, dia perlu menjadikan ulama sebagai ramuan
hidupnya yang kelima kerana para ulama ini merupakan pewaris para nabi-nabi dan
manakala ramuan yang terakhir ialah dia hendaklah menjadikan syaitan yang
dilaknat Allah itu sebagai musuh dan seterunya buat selama-lamanya sehingga ke
akhir hayat.
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila 'Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment