Allah memberi petunjuk kepada setiap hambaNya apabila
mereka berpegang teguh dengan dasar-dasar keimanan yang diturunkan olehNya,
yang terkandung dalam syari’at untuk dijelmakan kepada setiap manusia bagi
diamalkan dalam bentuk yang praktikal, yang mengandungi pelbagai ramuan dan
juadah rohani untuk santapan masa depan ummah, yang menjadi asas atau akar
tunjang dalam pembinaan setiap individu muslim dan ianya juga merupakan aturan
utama dalam setiap perjalanan dakwah membawa manusia ke pangkuan Allah. Petunjuk
yang dipancarkan kepada seseorang hamba merupakan kurniaan Allah, merupakan
anugerah dari Allah dan ianya juga merupakan pilihan Allah di antara
hamba-hamba yang ada di atas dunia ini. Sudah tentu, mereka yang tidak beriman
kepada ketuhanan Allah atau tidak percaya kepada kekuasaan dan keagungan Allah
adalah mereka yang tidak memperolehi petunjuk. Sekalipun cahaya tersebut
terang-benderang dan terpancar di mana-mana sahaja, tetapi persoalannya
sekarang adalah ‘petunjuk’ yang merupakan hak cipta atau ‘copyright’ dari Allah
dan Allah tidak mengurniakan cahaya petunjuk itu dengan sewenang-wenangnya
kepada manusia, sekalipun diberhak berbuat demikian. Sebab, adakalanya
seseorang hamba yang telah mendapat cahaya petunjuk, tetapi di penghujung
kehidupannya dia kembali ke pangkuan kufur, adakalanya pula seseorang hamba itu
bergelombang dalam maksiat dan kekufuran, tetapi di akhir kehidupannya dia
sempat bertaubat dan kembali ke pangkuan Allah. Bererti, hamba yang mendapat
cahaya petunjuk Allah itu adalah hamba yang terpilih dalam kalangan hamba-hamba
yang ada di atas dunia ini. Cahaya yang terang-benderang dan jelas kelihatan
itu memancar terus ke dalam hati sanubari dan jiwa nurani, cahaya yang
memisahkan antara iman dan kufur, antara Islam dan jahiliyah, cahaya yang
menggariskan sempadan di antara hamba yang beriman kepada Allah dengan hamba
yang tidak beriman kepada Allah.
Sesungguhnya
Allah itu adalah Tuhan Yang Satu, Tuhan Yang Maha Esa dan Tuhan Yang Maha
Bijaksana, hanya Dia sahaja Tuhan yang layak memimpin manusia yang buta
teraba-raba dan memberi petunjuk kepada setiap hamba ke jalan yang benar. Hanya
Allah sahaja yang layak mengubah struktur kehidupan manusia daripada bergelombang
dalam kejahilan hidup yang hitam pekat kepada petunjukNya yang terang-benderang dan
hanya petunjuk Allah sahaja yang mampu menerangi kegelapan hidup seseorang hamba
dengan mengurniakan cahaya tersebut ke dalam dirinya agar perjalanan hidupnya
tidak lagi sesat dan buta teraba-raba.
Adapun cahaya-cahaya
lain selain dari cahaya yang Allah kurniakan itu, ianya bukan cahaya petunjuk,
tetapi cahaya sesat dan menyesatkan.
Firman Allah Ta'ala:
اتَّبِعُوا مَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ مِنْ رَبِّكُمْ وَلاَ
تَتَّبِعُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ قَلِيلاً مَا تَذَكَّرُونَ
Maksudnya: “ Ikutlah
apa yang diturunkan oleh Tuhan mu kepada kamu dan janganlah kamu sekali-kali
mengikut selain daripadaNya sebagai pemimpin, hanya sedikit sahaja yang kamu
mengerti “ (Al A'raf: 3).
Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menurunkan
rasul-rasulNya untuk membawa manusia ke jalan yang benar, jalan yang memimpin manusia
untuk mengenali ketuhanan Allah yang mencipta segala makhluk dan alam semesta,
jalan yang dapat memberi kebahagiaan kepada manusia di dunia dan di akhirat,
jalan yang mudah dilalui dan senang diterokai, kerana ianya hanya mempunyai
satu matlamat, satu tujuan dan satu arah sahaja, iaitu untuk mencari keredhaan
Allah. Demikian juga, di sana Allah membangkitkan setiap umat seorang rasul
untuk membawa keluar umatnya dari kejahilan hidup, dari kegelapan hidup, dari
kesesatan hidup, dari kealpaan hidup yang songsang dan ‘senget aqidah’ serta
kepercayaannya, yang bercampur-baur antara maksiat dan titik-titik noda serta
dosa, dari penyembahan patung berhala secara kuno atau penyembahan patung
berhala secara moden dengan mengemukakan pdiangan dan pendapat serta
teori-teori tentang ketuhanan yang agak menyeleweng dan palsu, tidak masuk akal
dan tidak berpijak di alam yang nyata.
Maka
tugas para rasul yang diutuskan oleh Allah itu adalah untuk membawa keluar
masyarakat yang sedang bergelombang dengan arus jahiliyah yang hitam pekat itu,
mengajak mereka meninggalkan kepercayaan tolol jahiliyah yang tidak mempunyai
apa-apa corak dan warna kehidupan, yang tidak dapat memberi kesegaran dan
keunikan kepada kehidupan itu sendiri dan tidak mampu membawa apa-apa bentuk
keistimewaan untuk mendidik jiwa manusia, bahkan sistem hidup jahiliyah itu
tadi yang membawa igauan ngeri terhadap kesengsaraan hidup, betapa peritnya
jiwa raga berada di bawah penguasaan jahiliyah yang menyesatkan laluan hidup
mereka.
Tugas
dan tanggungjawab para rasul itu juga memimpin umatnya dari penguasaan jahiliyah,
mereka bertanggungjawab mengikis pemikiran dan aqidah pegangan hidup mereka
yang jijik dan kotor, kemudian menabur dan menanam benih-benih iman yang bersih
dan luhur terhadap ketuhanan Allah, memandukan mereka ke jalan yang benar dan
menyakinkan mereka bahawa kehidupan yang memegang prinsip ketuhanan Allah,
iaitu prinsip Tuhan Yang Maha Esa yang tiada tuhan lain selain dari Allah dan tiada
kekuasaan lain selain dari kekuasaan Allah, maka itulah kehidupan yang sebenar.
Itulah
jalan hidup yang sebenar dan itulah petunjuk Allah dan itulah juga cahayanya…!
Jalan
yang dipenuhi dengan warna-warna keimanan dan ketundukan diri kepada keesaan
Allah, jalan yang memandukan masyarakat ke arah petunjukNya. Sebab itu,
orang-orang yang mendapat petunjuk dari Allah akan melaksanakan segala tugas
dan tanggungjawabNya sebagai seorang hamba muslim, dia tidak durhaka kepada
Allah dan dia tidak sekali-kali mendustai ayat-ayat Allah, dia meletakkan
ketuhanan Allah itu sebagai akar tunjang dalam hati sanubari dan jiwa nurani
yang tidak mungkin terpisah dan tidak mungkin dapat dipisahkan, kerana hubungan
ketuhanan itu telah menjadi sebati dengan darah dagingnya.
Firman Allah Ta’ala:
اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُمْ مِنَ
الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ
Maksudnya: “
Allah-lah yang menjadi pemimpin kepada orang-orang yang beriman, Dialah Allah
yang mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya petunjuk (Al Baqarah: 257).
Jelaslah di sini, bahawa cahaya yang
dikurniakan oleh Allah adalah bertujuan untuk mengeluarkan manusia dari
kesesatan kepada petunjuk, dari kejahilanan kepada keislaman dan dari kekufuran
kepada keimanan. Cahaya petunjuk itu bukan hanya semata-mata untuk menerangi
jalan hidup sahaja dan bukan hanya memandukan manusia ke jalan yang benar,
bahkan ianya juga menerangi segala ruangan hidup sehingga hati sanubari dan
jiwa nurani menjadi bercahaya dan bersinar, cahaya petunjuk itu akan memberi
nafas baru dan kekuatan kepada rohani untuk bertaut erat dengan ketuhanan Allah
dan keagunganNya, cahaya petunjuk itu akan memancarkan nurnya agar kehidupan
itu tetap istiqamah di atas ubun-ubunnya dan tidak berbelah bagi lagi, kerana
kehidupan yang bertuhankan Allah adalah kehidupan yang penyudah dan kehidupan
yang kekal abadi.
Firman Allah Ta’ala:
الركِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ
مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَىٰ صِرَاطِ الْعَزِيزِ
الْحَمِيدِ
Maksudnya: “ Alif,
Lam, Ra. Inilah kitab yang diturunkannya kepada Engkau (wahai Muhammad)
bertujuan untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya petunjuk
dengan izin Tuhan mereka ke arah jalan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji “ (Surah
Ibrahim: 1).
Sekian,
wassalam
Al Faqir Ila ‘Afwi
Rabb,
Lutpi Mustafa
El-Batnani
No comments:
Post a Comment