Di sana
terdapat satu persoalan yang mungkin bermain-main dalam fikiran manusia:
Mengapa Al Quran itu diturunkan kepada sekalian umat manusia dan mengapa pula
manusia perlu mematuhi arahan dan isi kandungannya..?
Al
Quran tidak seperti kitab-kitab yang diturunkan sebelum ini, seperti Kitab
Taurat, Kitab Zabur dan Kitab Injil, kerana kitab-kitab tersebut hanya
diturunkan secara khusus kepada umat-umat tertentu sahaja. Adapun Al Quran ini
diturunkan kepada seluruh umat manusia, sejak Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan
menjadi rasul sehingga ke akhir zaman, mengapa sedemikian rupa..? Sebagaimana
yang telah dijelaskan, bahawa Al Quran itu adalah Kalamullah, perkataan dan
percakapan Allah kepada manusia yang dikumpul dalam satu mashaf, bermula Surah
Al Fatihah dan diakhiri dengan surah An Nas. Di dalam Al Quran mengandungi
pelbagai hukum-hakam, peraturan dan undang-undang, seperti undang-undang munakahat,
muamalat, jinayah dan perkara-perkara yang berkaitan dengan sistem
kekeluargaan, mengandungi hubungan toleransi, mengandungi cerita dan kisah
teladan, akhlak dan peradaban, kisah-kisah perjuangan para nabi-nabi dan
rasul-rasul serta umat terdahulu dan lain-lain. Segala apa jua perkara yang
berkaitan dengan sistem kehidupan manusia, sama ada mengenai urusan duniawi
ataupun urusan ukhrawi semuanya ada dimuatkan dalam Al Quran.
Tetapi,
kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah sebelum ini walaupun ianya Kalamullah,
namun kitab-kitab tersebut tidak dipelihara oleh Allah tentang mutu dan
keasliannya. Semua kitab-kitab tersebut telah diubah-suai, dipinda susunan ayatnya,
nahu dan tata bahasanya, hukum-hakam dan lain-lain lagi dan kemudian dibuat
salinan semula sehingga mutu keasliannya tidak dapat dijaga dan dipelihara,
sehingga ada di antara ayat-ayat tersebut saling bertentangan di antara satu
sama lain. Lagipun, perbahasan dalam kitab-kitab tersebut tidak merangkumi
pelbagai aspek kehidupan manusia, tidak mengandungi hukum-hakam yang lengkap, kerana
ianya lebih banyak menjurus kepada hubungan manusia dengan ketuhanan Allah dan
ketaatan kepada titah dan perintahNya.
Al
Quran adalah kitab semulajadi yang diturunkan oleh Allah dan tidak berubah-ubah
sejak diturunkan hingga sekarang, baik pada bacaannya, sebutan hurufnya,
hukum-hakamnya dan lain-lain, walaupun terdapat usaha-usaha di sana yang dilakukan
oleh para orientalis barat dan musuh-musuh yang bencikan Islam untuk pengubah-suai
terhadap isi kandungan Al Quran, seperti mencampur-aduk isi kandungan ayat-ayat
Al Quran, mencetak semula dengan diubah-ubah dan ditambah huruf-huruf yang
tidak berkaitan, menambah surah-surah dalam Al Quran dan lain-lain lagi, namun
mutu dan keasliannya tetap dipelihara dan dijaga oleh Allah. Di dalam Al Quran
dimuatkan pelbagai manhaj kehidupan manusia, sama ada berkaitan dengan ekonomi,
politik, sosial, tarbiyah, akhlak, peradaban dan lain-lain lagi, di mana
perkara ini tidak disentuh langsung dalam kitab-kitab yang diturunkan sebelum
ini. Sesungguhnya Al Quran itu adalah kitab perlembagaan hidup buat seluruh
umat manusia dan kitab yang menyelesaikan segala rupa bentuk permasalahan yang
dihadapi oleh manusia.
Firman Allah Ta'ala:
وَمَا
اخْتَلَفْتُمْ فِيهِ مِنْ شَيْءٍ فَحُكْمُهُ إِلَى اللَّهِ ذَٰلِكُمُ اللَّهُ
رَبِّي عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ
Maksudnya: “ Dan apabila kamu berselisih dalam sesuatu perkara,
maka keputusannya kepada Allah dan itulah Allah Tuhan Ku, hanya kepadaNya aku
serahkan dan kepadanya aku kembali “ (Asy Syura: 10).
Firman Allah Ta'ala:
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ
وَأُولِي الأمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ
تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ
تُؤْمِنُونَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً
Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu
kepada Allah dan Rasul serta ulil amri di kalangan kamu, apabila kamu
bertelingkah di dalam sesuatu perkara, hendaklah kamu kembali kepada Allah dan
Rasul (iaitu kepada Al Quran dan As Sunnah) sekiranya kamu beriman kepada Allah
dan hari akhirat, itulah yang lebih baik dan lebih bagus kesudahannya “ (An
Nisa': 59).
Sebab itu, cara Al Quran menyelesaikan
permasalahan hidup yang dihadapi oleh manusia amat mudah sahaja, iaitu hanya
kembali kepada Allah sebagai ‘kata pemutus’ atau jalan pengesahan terhadap
sesuatu hukuman dan itulah sebaik-baik jalan penyelesaian. Sudah tentu, setiap
hamba yang benar-benar menyerah diri kepada Allah mesti menjadikan Al Quran
sebagai perlembagaan hidup atau mengambilnya sebagai suatu dasar dalam hidup atau
dijadikan sebagai batu asas dalam proses mengharungi liku-liku kehidupan. Perkara
yang paling pokok atau teras dalam persoalan hidup, sama ada dalam permasalahan
hidup, dalam pertikaian lidah, perselisihan faham, perbalahan atau dalam apa
jua perkara yang melibatkan ‘hubungan dingin’ di antara dua pihak ialah kembali
kepada Al Quran dan As Sunnah, iaitu kepada Allah dan RasulNya s.a.w. Kerana,
seluruh hakikat kehidupan ini tertegak di atas kedua-dua sumber ini yang
merupakan jalan penyelesaian yang terbaik.
Hanya kitab Al Quran sahaja yang layak
dijadikan perlembagaan hidup dan akar tunjang untuk setiap pergerakan dan perjalanan
ke segenap penjuru kehidupan, kerana di dalamnya terdapat berbagai-bagai juadah
keilmuan yang perlu diterokai untuk membina sebuah tamadun kehidupan yang suci
dan bebas dari sebarang unsur jahiliyah dan suku-sakatnya. Segala manhaj hidup
yang diperkenalkan oleh Al Quran kepada manusia amat mudah dan sesuai untuk
realiti kehidupan manusia dari semua peringkat umur dan golongan. Mereka boleh
menerima-pakai manhaj Al Quran sebagai perlembagaan hidup untuk diletakkan
dalam hati sanubari dan jiwa nurani,
kerana ianya adalah ‘kitab kemanusiaan’ yang membicarakan hubungan
kemanusiaan dan ketuhanan Allah dan unsur-unsur yang merentasi sempadan
kemanusiaan manusia sesama mereka, penghayatan hidup, amalan-amalan yang
praktikal dan unsur-unsur yang melibatkan nilai dan harga diri manusia. Oleh
itu, tiada sebab mengapa seseorang manusia harus menolak Al Quran sebagai
perlembagaan hidupnya dan tiada alasan baginya untuk menolak Al Quran dari
kehidupannya..!
Kewajiban setiap individu muslim di sana
ialah meletakkan Al Quran sebagai perlembagaan hidup ke dalam hati sanubari dan
jiwa nurani sebelum Al Quran itu menjadi perlembagaan yang tertinggi di dalam
sesebuah negara. Perlembagaan diperlukan dalam setiap diri individu muslim
adalah untuk menyelaraskan program hidupnya dan amalan-amalan yang hendak
dilakukan. Sediainya tiada bentuk penyelarasan di dalam kehidupan para muslim,
nescaya kehidupannya itu akan menjadi kehidupan yang ‘separuh matang’ yang saling
bertentangan di antara satu sama lain dan akan wujud di sana pertelingkahan
yang berpanjangan. Seorang tokoh gerakan Islam yang bernama Abdul Qader ‘Audah
pernah berkata:
أَقِيْمُوْا دَوْلَةَ الإِسْلامِ فِىْ قُلُوْبِكُمْ قَبْلَ
تَقُوْمُوا فِىْ أرْضِكُمْ
Maksudnya: “ Binalah negara Islam di dalam diri kamu sebelum
kamu mendirikan negara Islam di tanah air mu “.
Maka, Islam telah menetapkan hanya Al Quran
sahaja yang sesuai untuk dijadikan perlembagaan hidup dan tidak harus mengambil
sumber-sumber yang lain atau fahaman-fahaman yang lain, sama ada berbentuk
teori atau ideologi untuk dijadikan perlembagaan dalam kehidupan manusia.
Begitu juga mencampur-adukkan unsur-unsur lain yang datang dari luar gelanggang
Islam untuk dimasukkan ke dalam Al Quran menjadi suatu perlembagaan adalah
tidak diharuskan sama sekali dan Islam menolak dengan sekeras-kerasnya. Setelah
Al Quran itu dijadikan perlembagaan dalam kehidupan, kewajiban yang lain pula
yang perlu dilaksanakan di sana ialah mewujudkan sistem hidup Islam yang bebas
dari unsur-unsur khurafat dan suku-sakatnya di dalam sesebuah negara dengan
meletakkan Al Quran itu sebagai perlembagaan yang tertinggi dan sebagai sumber
hukum yang paling utama, manakala As Sunnah Nabi s.a.w. sebagai sumber hukum
yang kedua.
Firman Allah Ta'ala:
وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ
تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ
Maksudnya: “ Apabila kamu menghukum antara manusia, hendaklah
kamu menghukum dengan adil, sesungguhnya Allah memberi pelajaran yang
sebaik-baiknya kepada kamu, sesungguhnya Allah itu adalah Maha Mendengar lagi
Maha Melihat “ (An Nisa: 58).
Keadilan itu hanya dapat dinilai dan diukur
menurut perspektif Islam sejagat, bukan menurut kemahuan hawa nafsu atau pemikiran
akal yang singkat atau teori-teori yang bersifat taksub atau pdiangan-pdiangan
yang fanatik. Maka di sini perlu difahami, bahawa setiap muslim yang ingin
mencari kepuasan hidup dan keredhaan Allah mesti meletakkan Al Quran itu di
hadapannya sebagai pedoman hidup dan mesti juga mendahului Al Quran dari
pendapat dan padangan manusia lain, kerana Al Quran adalah kitab petunjuk dan
kitab hidayat yang memberi cahaya kepada manusia ketika berada di dalam
kegelapan, yang memberi kesenangan kepada manusia ketika berada di dalam
kesusahan. Sediainya terdapat di kalangan manusia yang ingin mencari keredhaan
Allah, tetapi mengambil sumber-sumber lain selain dari Al Quran, seperti
mengambil pdiangan manusia yang dikatakan sebagai seorang yang keramat dan
memperolehi kuasa sakti dan kuasa luar biasa, memuja-muja para wali-wali
menurut anggapan mereka dengan meletakkan kitab suci Al Quran di belakang, maka
perbuatan seperti ini boleh menyesatkan dirinya sendiri. Seolah-olah dia lebih
cenderung kepada pdiangan dan pemikiran manusia dari mengambil isi pengajaran Al
Quran. Hakikat seperti ini akan mengundang mala petaka ke atas dirinya sendiri dan
boleh membawa kekufuran. Ini adalah suatu pendekatan yang sesat dan merupakan
suatu kesalahan yang besar di sisi syari’at dan jalan yang mereka cari untuk
mencari keredhaan Allah tidak sekali-kali akan tercapai buat selama-lamanya.!
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment