Al Quran hanya memberi petunjuk kepada orang-orang yang beriman
dan bertakwa kepada Allah sahaja dan ia tidak sekali-kali memberi petunjuk
selain dari orang-orang tersebut. Al Quran hanya memancarkan cahaya petunjuknya
kepada orang-orang yang mempunyai pertalian yang erat dengan ketuhanan Allah
dan orang-orang yang sentiasa beramal dengan arahan yang diturunkan Allah.
Firman Allah Ta'ala:
الم ذَٰلِكَ الْكِتَابُ
لاَ رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ
Maksudnya: “ Alif, Lam, Mim, Kitab Al Quran itu tiada
sedikitpun keraguan padanya, petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa” (Al
Baqarah: 1-2).
Al Quran juga memberi petunjuk kepada orang-orang
yang tulus ikhlas ketika berada dalam perjuangan hidup untuk mengibarkan
panji-panji LAA ILAHA ILLALLAH dan MUHAMMADUR RASULULLAH dalam hati sanubari
dan jiwa nurani mereka dan kemudian membawa pula panji-panji tersebut ke dalam
masyarakat untuk diserapkan, mereka terus-menerus beramal dengan amalan-amalan
yang soleh dan amalan-amalan yang diredhai Allah dalam apa jua keadaan, sama
ada dalam keadaan sihat ataupun sakit, sama ada dalam keadaan senang ataupun
susah, sama ada dalam keadaan lapang ataupun sempit, sama ada dalam keadaan
terbuka ataupun tertutup, sama ada dalam keadaan tenang ataupun dihimpit
keserabutan. Mereka sentiasa mengerjakan kebaikan dan sentiasa mengislahkan
diri mereka, sama ada di waktu siang ataupun malam.
Firman Allah Ta'ala:
إِنَّ
هَٰذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ
الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا
Maksudnya: “ Sesungguhnya Al Quran itu memberi petunjuk ke arah
jalan yang lurus dan menyampaikan berita gembira kepada orang-orang yang
beriman dan juga mereka yang mengerjakan perbuatan yang baik, bahawa mereka
akan memperolehi ganjaran pahala yang besar“ (Al Isra: 9).
Al Quran tidak sekali-kali memandukan manusia
ke jalan yang susah atau ke arah kesesatan, ia tidak pernah mengarahkan manusia
supaya melakukan kejahatan atau engkar arahan Tuhan, ia tidak pernah menipu
manusia dengan gaya uslubnya yang menarik dan tidak pula memperdaya-dayakan
manusia, ia tidak pernah menyembunyikan fakta-fakta tertentu agar tidak
diketahui oleh manusia. Al Quran hanya bertindak sebagai pemberi pedoman untuk
laluan hidup manusia dalam kehidupan melalui gaya bahasa dan uslubnya sendiri
dengan mengemukakan arahan-arahan dan saranan-saranan supaya manusia tidak
menjadi sesat teraba-raba. Arahan dan saranan itu adakalanya merupakan
kawajiban yang mesti dilaksanakan dan adakalanya pula merupakan larangan yang
mesti ditinggalkan. Sediainya seseorang hamba itu hanya mahu mengambil
sebahagian sahaja dari isi kandungan Al Quran yang difikirkan sesuai menurut
kemahuan hawa nafsunya, bererti orang itu masih belum lagi mendapat petunjuk
dari Al Quran, kerana perasaan hatinya masih menaruh kemusykilan dan masih
ragu-ragu tentang sebahagian yang lain dari isi kandungan Al Quran, walaupun
sebahagiannya diterima. Untuk mendapat petunjuk dari Al Quran secara mutlak,
seseorang hamba itu mesti mengambil semua sekali isi kandungannya tanpa memilih
mana yang baik dan mana yang buruk, kerana keseluruhan isi kandungan Al Quran
adalah baik belaka, tiada yang buruk.
Sebagaimana yang telah dijelaskan tadi, Al
Quran merupakan sebuah kitab yang tiada keraguan baginya, sesiapa yang
mengambil untuk disemadikan dalam kehidupannya nescaya dia akan mendapat
petunjuk dan sesiapa yang meninggalkannya di belakang nescaya dia akan sesat
buat selama-lamanya.
Firman Allah Ta'ala:
وَنَزَّلْنَا
عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَىٰ
لِلْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “ Dan Kami turunkan Al Kitab (Al Quran) kepada kamu
sebagai penerangan terhadap sesuatu perkara dan sebagai petunjuk, juga sebagai
rahmat serta membawa berita gembira kepada kaum muslimin “ (An Nahl: 89).
Sekian,
wassalam
Al
Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi
Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment