Nilai-nilai kehidupan seseorang muslim yang
normal mesti bergantung erat dengan ketuhanan Allah, dia mesti mempunyai
pertalian secara langsung dengan Allah agar dia dapat menghayati kehidupan yang
bersih dan suci, dia mesti berpegang teguh dengan apa yang diturunkan oleh
Allah supaya keyakinan hidupnya itu hanya semata-mata untuk dipersembahkan
kepada Allah dan dia juga mesti mengeluarkan dirinya dari belenggu kejahilan
dan segala kepercayaan yang boleh merenggangkan hubungan dengan Allah. Segala
unsur-unsur yang tidak berguna yang bercampur-baur dengan noda dan dosa dalam
dirinya mesti dikikis dan dibuang, kemudian menggilap semula dengan zikrullah
agar pergantungan hidupnya hanya mutlak kepada Allah semata-mata. Kehidupannya
pasti kelihatan tenang apabila dijelmakan ke dalam dirinya cahaya keyakinan
yang meletakkan ketuhanan Allah adalah segala-galanya, bahawa Allah itu adalah
Tuhan Yang Satu, Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan Yang Maha Berkuasa, Tuhan Yang Maha
Perkasa, Tuhan Yang Maha Mencipta, bahkan Allah itu Tuhan Semesta Raya. Maka,
seluruh hakikat kehidupan setiap hamba yang muslim yang benar-benar beriman
kepada Allah mesti mempersembahkannya ke pangkuan Allah, Zat Yang Kekal Abadi…!
Segala niat yang melekat pada dinding hati, segala
perasaan yang hendak digambarkan dan yang hendak diguriskan, segala pemikiran
yang hendak dilakarkan, segala tindakan yang hendak dilakukan, segala amal
perbuatan yang hendak dikerjakan, segala tingkah laku dan segala apa jua
perlakuan hidup mestilah dikaitkan dengan ketuhanan Allah dan kekuasaanNya.
Dengan sebab itu, Allah
menurunkan manhajNya sendiri untuk diikat dan diatur-galur dalam kehidupan
manusia sebagai pedoman bagi meneruskan perjalanan di hari esok dan hari-hari
seterusnya. Setiap individu muslim yang ingin menguasai kehidupannya dari gelora
dan godaan hawa nafsu yang jijik dan dari syaitan laknat mesti kembali ke
pangkuan Allah. Di sana dia akan menyaksikan kebesaran dan keagungan Allah dari
aspek kudrat dan kekuasaanNya. Maka, tercetus di sana suatu kesedaran yang
mengalir di dalam dirinya bahawa tiada sesiapapun yang berkuasa di alam ini
melainkan Allah, Tuhan Yang Satu.
Itulah Dia Tuhan Yang
Sebenar-benar Tuhan, iaitu Allah..!
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment