Untuk
memperolehi petunjuk tersebut, seseorang wanita perlu sekali menunaikan amanah
Allah dan amanah Allah ini merupakan suatu manhaj hidup yang digariskan di
dalam ajaran Islam untuk diprogramkan kepada para penganutnya yang mengaku
beriman kepadaNya, di antaranya ialah mendirikan ibadat solat, kerana solat itu
dapat menghindarkan manusia daripada mengerjakan perbuatan keji dan mungkar.
Firman
Allah Ta’ala:
وأقِمِ
الصلاةَ إنَّ الصلاةَ تَنْهَى عَنِ الْفحْشَاء والمُنْكر
Maksudnya:
“ Dirikanlah solat, kerana solat itu dapat mencegah kamu dari perbuatan keji
dan mungkar “ (Al
Ankabut: 45).
Ajaran Islam juga mengajar wanita dan
menetapkan kepada para penganutnya supaya mengeluarkan zakat setiap tahun, sama
ada berupa wang ringgit atau hasil tanaman atau binatang ternakan, di mana
ianya hendaklah dikeluarkan sebahagian kecil sahaja daripada harta benda
tersebut untuk diagihkan kepada fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan.
Di samping itu, zakat juga bertujuan untuk membersihkan diri manusia dari sifat
kebakhilan diri dan juga bertindak untuk menyucikan harta benda mereka dari
kekotoran.
Firman
Allah Ta’ala:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً
تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا
Maksudnya:
“ Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, kerana zakat itu dapat
membersihkan diri mereka dan menyucikan jiwa mereka ” (At
Taubah: 103).
Ajaran Islam juga telah menetapkan kepada
setiap wanita dan sekelian ummatnya supaya mengerjakan ibadat puasa yang
diwajibkan hanya satu bulan sahaja dalam setahun, iaitu di bulan Ramadhan Al
Mubarak.
Firman
Allah Ta’ala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ
الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya:
“ Wahai orang-orang yang beriman! Di fardhukan ke atas kamu berpuasa (di
bulan Ramadhan) sebagaimana yang difardhukan kepada orang-orang sebelum kamu,
mudah-mudahan kamu bertaqwa “(Al Baqarah: 183).
Kerana ibadat puasa dapat membentuk
sifat-sifat kesabaran diri, di samping dapat memecahkan kebuntuan hawa nafsu
yang sering kali datang menggoda perasaan hati manusia. Ajaran Islam telah
mewajibkan kepada setiap wanita dan juga para penganutnya supaya mengerjakan
ibadat haji ke Baitullah di Mekah bagi mereka yang berkuasa dan mampu pergi ke
sana.
Firman
Allah Ta’ala:
الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَعْلُومَاتٌ ۚ فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا
فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللَّهُ
Maksudnya:
“ Haji itu dikerjakan di dalam bulan-bulan yang ditentukan, oleh sebab itu
sesiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan tersebut untuk mengerjakan haji,
tidak boleh bercakap kotor, berlaku jahat dan bermusuhan dalam masa mengerjakan
haji, kerana segala perbuatan baik yang kamu kerjakan diketahui oleh Allah “(Al
Baqarah: 197).
Segala apa yang telah ditetapkan oleh Allah
itu bertujuan untuk memberi kemudahan kepada setiap wanita dan juga setiap
muslim tentang cara-cara untuk mendekatkan diri kepadaNya dan mencari
keredhaanNya. Ajaran Islam bukan ajaran yang membebankan golongan wanita dan
para penganutnya, tetapi ianya adalah ajaran yang mudah dan simple dan
dapat menjamin kesejahteraan kepada
setiap wanita dan setiap penganutnya yang lain, sama ada di dunia dan di
akhirat. Ajaran Islam tidak sekali-kali memberi kesusahan dan kesukaran kepada
mereka semua.
Firman
Allah Ta'ala:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ ولا يُرِيدُ
بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya:
" Allah mahu memberi kemudahan kepada kamu dan Dia tidak sekali-kali
mahu memberi kesusahan kepada kamu "(Al Baqarah: 185).
Ajaran Islam juga merupakan ajaran
persahabatan yang menganjurkan kepada setiap wanita dan seluruh ummatnya supaya
menjalin hubungan persaudaraan iman di kalangan mereka, hubungan yang dapat
mengeratkan lagi simpulan tali ukhuwwah Islamiyyah sebagai lambang kekuatan
ummat sejagat.
Firman
Allah Ta'ala:
ِنَّمَا
الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksudnya:
" Sesungguhnya orang-orang mu'min itu adalah bersaudara, maka
perbaikilah hubungan di antara saudara-saudara kamu dan bertaqwalah kamu kepada
Allah, mudah-mudahan kamu mendapat rahmat "(Al Hujurat:10).
Sabda
Rasulullah s.a.w.
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ
ِلأَخِيْهِ مَا يَحِبُّ لِنَفْسِهِ
Maksudnya:
" Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia kasih kepada saudaranya,
sebagaimana dia kasih pada dirinya sendiri "(Riwayat Muslim).
Ajaran
Islam menggesa kepada setiap wanita dan setiap ummatnya supaya saling
tolong-menolong dan bantu-membantu di antara satu sama lain yang bertujuan
untuk memenuhi keperluan masing-masing. Setiap kekurangan dan kepincangan yang
ada mestilah ditampung dan dibaiki supaya kebahagiaan hidup dapat dikecapi
secara bersama.
Firman
Allah Ta'ala:
وَتَعَاوَنُوا
عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ
وَلاَ تَعَاوَنُوا عَلَى الإثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya:
" Tolong-menolonglah kamu di dalam mengerjakan kebaikan dan ketaqwaan,
jangan sekali-kali kamu tolong-menolong di dalam mengerjakan dosa dan
perlanggaran "(Al Maidah: 2).
Ajaran Islam telah mengemukakan manhaj hidup
yang sesuai untuk semua kehidupan lapisan masyarakat manusia, tidak mengira
lelaki atau wanita, dengan menyuruh mereka supaya beramal dengan amalan yang
soleh.
Firman
Allah Ta'ala:
وَمَنْ يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ
أُنْثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلاَ يُظْلَمُونَ
نَقِيرًا
Maksudnya:
“ Sesiapa yang beramal dengan amalan yang soleh, sama ada lelaki atau wanita
sedangkan dia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga dan mereka tidak
dizalimi sedikitpun “(An Nisa’: 124).
Sabda
Rasulullah s.a.w.
مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرِنَا
فَهُوَ رَدٌّ
Maksudnya:
“ Sesiapa yang beramal dengan amalan yang bukan dari urusan kami, maka ianya
ditolak “(Riwayat Muslim).
Ajaran Islam menganjurkan kepada setiap
wanita yang mengaku beriman kepada Allah supaya membentuk nilai-nilai
keikhlasan di lubuk hati, supaya setiap amalan-amalan yang dikerjakan itu
diniatkan kerana mencari keredhaan Allah, bukan kerana yang lain. Keikhlasan
itu akan membasmikan kepalsuan hidup buat selama-lamanya.
Firman
Allah Ta’ala:
قُلْ
إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّهَ مُخْلِصًا لَهُ الدِّينَ
Maksudnya:
“ Katakanlah (wahai Muhammad)! Aku diperintahkan mengabdikan diri kepada
Allah dengan tulus ikhlas beragama keranaNya semata-mata “(Az Zumar: 11).
Umar
Al Khattab r.a. pernah berdoa:
اَللَّهُمَّ اجْعَلْ عَمَلِىْ كُلّهُ صَالِحًا وَاجْعَلْهُ
كُلّهُ لِوَجْهِكَ خَالِصًا وَلاَ تَجْعَلْ لِغَيْرِكَ فِيْهِ شَيْئًا
Maksudnya:
“ Wahai Tuhan ku! Jadikanlah amalan ku ini semuanya ikhlas, jadikanlah
setiap amalan ini kerana mencari keredhaan Mu dengan tulus ikhlas, jangan
Engkau jadikan amalan ku ini kerana yang lain selain dari Engkau “.
Ajaran Islam sentiasa menyeru agar kaum
wanita supaya mengerjakan kebaikan dan kebaikan itu mestilah mengikut
penafsiran syari’at yang diturunkan, bukan mengikut akal fikiran atau perasaan.
Di samping itu pula, mereka mestilah bertindak membasmikan segala rupa bentuk
kemungkaran yang ada di dalam hati mereka dan kemudian membasmikan kemungkaran
yang ada di dalam masyarakat mereka.
Firman
Allah Ta’ala:
إِنَّ
الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ
Maksudnya:
“ Sesungguhnya kebaikan itu akan menghilangkan keburukan “(Hud: 114).
Ajaran Islam melarang setiap wanita
berpecah-belah di antara satu sama lain, kerana perpecahan itu amat menyakitkan
dan boleh menyebabkan menyalanya api perbalahan yang tidak dapat dibendung
lagi. Perpecahan itu akan menyebabkan mereka menjadi lemah dan mundur ke
belakang. Perpecahan itu juga akan mengundang kepincangan hidup dalam
masyarakat sehingga masyarakat akan menjadi perok-peranda. Maka kesempatan
inilah yang akan digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk menghancurkan-leburkan
ummat Islam dan melenyapkan ajaran Islam itu dari dada para menganutnya.
Seandainya mereka leka dan alpa, tidak membendung dengan segera gejala ini,
nescaya mereka akan menjadi manusia yang pincang dan tidak mempunyai tamaddun
nilai.
Firman
Allah Ta’ala:
وَاعْتَصِمُوا
بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُوا واذْكُرُوا نِعْمَتَ الله عَلَيْكم
Maksudnya:
“ Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, jangan kamu berpecah-belah dan
ingatkan kamu akan nikmat Allah yang dikurniakan kepada kamu” (Ali
‘Imran: 103).
Ajaran
Islam juga melarang setiap wanita bersikap
hipokrit atau opportunist ataupun bersikap munafiq, kerana sikap
seumpama itu tidak mempunyai apa-apa nilai untuk dibawa ke dalam kehidupan,
bahkan ianya boleh membentuk jiwa manusia yang berpura-pura dengan hakikat yang
ada dan sentiasa mempermain-mainkan dalam tuntutan amal ibadat serta banyak
mempersenda-sendakan suruhan Allah.
Firman
Allah Ta’ala:
إنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَهُوَ
خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوا إِلَى الصَّلاَةِ قَامُوا كُسَالَىٰ يُرَاءُونَ
النَّاسَ ولاَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلاَّ قَلِيلاً مُذَبْذَبِينَ بَيْنَ ذَٰلِكَ
لاَ إِلَىٰ هَٰؤُلاَءِ وَلاَ إِلَىٰ هَٰؤُلاَءِ ۚ وَمَنْ يُضْلِلِ اللَّهُ فَلَنْ تَجِدَ لَهُ سَبِيلاً
Maksudnya:
“ Sesungguhnya orang-orang munafiq cuba menipu Allah, sedangkan mereka
menipu diri mereka sendiri, mereka mendirikan solat dalam keadaan malas dan
menunjuk-nunjuk kepada manusia, mereka tidak mengingati Allah melainkan sedikit
sahaja. Mereka masih ragu-ragu di antara ini dan itu, tidak ke sini dan tidak
pula ke sana, sesiapa yang dibiarkan sesat oleh Allah, maka kamu tidak mendapat
jalan untuk memimpinnya “(An Nisa: 142-143).
Mereka cuba menipu Allah dengan aksi hidup
dan dengan budaya hidup yang tidak melambangkan indentiti seorang manusia yang
matang dalam pemikiran. Mereka tidak menaruh keyakinan terhadap apa yang
diturunkan oleh Allah, tetapi mereka menukarkan keyakinan itu dengan kepuraan.
Maka dengan sebab itu, setiap wanita yang beriman kepada Allah dilarang sama
sekali bersifat seperti ini.
Firman
Allah Ta’ala:
بَشِّرِ
الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا
Maksudnya:
“ Khabarkan berita gembira buat orang-orang munafiq tentang azab yang pedih
menimpa mereka “ (An Nisa: 138).
Manhaj hidup seseorang wanita mestilah dibina
di atas dasar keimanan dan ketundukan diri terhadap Allah, dasar yang
mencetuskan nilai-nilai kehidupan yang lebih universal dan komprehensif. Dasar
itu juga akan bertindak memelihara kekuatan dalaman mereka, iaitu kekuatan
spiritual setelah dikombinasikan dengan kekuatan fizikal untuk menjadi satu
tenaga yang kuat agar dapat menumpaskan segala rupa bentuk jahiliyah yang
datang menjelma. Ajaran Islam menilai seseorang itu bukan dari sudut alat
kelamin yang menentukan status seseorang manusia itu lelaki atau wanita, ajaran
Islam tidak sekali-kali melihat kekayaan seseorang barulah dianggap mulia atau
kemiskinan seseorang itu dianggap hina, ajaran Islam tidak menetapkan tinggi
rendah seseorang itu dari sudut batas keturunan atau rupa bangsa, tetapi Islam
menilai ummatnya dari sudut keimanan dan ketaqwaan diri terhadap Allah.
Maka dengan sebab keimanan dan ketaqwaan yang
ada dalam diri, barulah seseorang itu dianggap mulia di sisi Allah.
Sekian, wassalam
Al
Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi
Mustafa El-Batnani