Rukun bai’ah pertama untuk menerima akur janji taat setia ialah
tidak mensyirikan Allah dengan sesuatu juapun dan dia hendaklah menyatakan: Bahawa Allah itu
Tuhan Yang Satu dan Tuhan Yang Maha Esa, yang tidak dua dan tidak tiga, yang
tidak beranak dan tidak diperanakkan, yang tidak ada persyarikatan pada
kerajaanNya atau pada perbuatanNya atau pada zatNya.
Firman Allah Ta’ala:
قُلْ
هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ اللَّهُ الصَّمَدُ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ
يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ
Maksudnya: “ Katakanlah! Dialah Allah Tuhan yang Maha Esa,
Allah tempat pergantungan, tidak beranak dan tidak diperanakkan, tiada
sesuatupun sama mempunyai persamaan denganNya “(Al Ikhlas: 1-4).
Perbuatan syirik merupakan sebesar-besar dosa
yang tidak boleh diampun dan tidak boleh dimaafkan, kerana perbuatan seperti
ini boleh merosakkan ‘aqidah dan memusnahkan keimanan seseorang. Perbuatan
syirik atau menyekutukan Allah ini juga telah mengiktiraf adanya kuasa lain
selain dari kuasa Allah yang boleh memberi kesan kepada perbuatan manusia dan
juga perubahan alam ini. Orang-orang yang melakukan perbuatan ini disebabkan
kerana kejahilan hidup yang melanda dalam dirinya, dia tidak punya pengetahuan
secara mendalam mengenai hakikat agama, apatah lagi untuk mengetahui persoalan
ketuhanan yang merangkumi sifat-sifatNya, perbuatanNya dan hubung-kait dengan
persoalan hidup. Sebab itu, dia tidak dapat berfikir dengan lebih waras untuk
memahami hakikat ad deen yang merupakan
cara hidup seorang muslim dan mempunyai pertalian dengan Allah. Dia juga tidak
tahu-menahu bahawa di sana manusia perlu mempunyai pertalian dengan Allah. Sesungguhnya
perbuatan syirik ini merupakan suatu perbuatan yang boleh melumpuhkan hubungan
manusia dengan Yang Maha Pencipta dan boleh merosakkan ajaran Islam itu
sendiri. Kepercayaan kepada Allah sebagai Tuhan Yang Maha Kuasa dan keyakinan
hidup terhadapNya mula pudar dan terungkai satu persatu. Kebiasaan syirik itu
akhirnya telah mencetuskan satu fenomena baru dalam kehidupan, bahawa di sana
terdapat kuasa lain yang boleh memberi aspirasi dalam kehidupannya selain dari
kuasa Allah.
1. Takrif Syirik
Syirik ertinya mengabdikan diri selain dari Allah, iaitu menyekutukan Allah dengan makhluk
atau sesuatu perkara, sama ada pada zatNya atau kekuasaanNya atau perbuatanNya
atau sifat-sifatNya ataupun dalam hukum-hakamNya. Apabila seseorang itu
melapazkan pengakuan untuk menerima Islam sebagai suatu cara hidup, bererti
secara tidak langsung dia telah menerima ketuhanan Allah sebagai Penguasa Yang
Maha Agung dan tiada lagi kuasa lain yang lebih agung dari kuasa Allah. Selepas
itu dia mestilah menjadi seorang hamba Allah yang bertanggungjawab untuk menunaikan
segala kewajiban yang yang diturunkan ke atasnya. Dia tidak diharuskan sama
sekali mengambil unsur-unsur lain untuk dibawa masuk ke dalam ajaran Islam,
kerana ajaran Islam itu telah lengkap segala-galanya dan tidak perlu penambahan dari mana-mana ajaran. Begitu juga
kekuasaan, dia tidak harus meminta dan bergantung dari kuasa lain selain dari
kuasa Allah. Mari kita mengkaji beberapa
perbuatan syirik yang boleh merosakkan keimanan seseorang itu terhadap Allah
dan keagunganNya.
2. Syirik Pada Zat Allah
Iaitu menyekutukan bahawa zat Allah itu mempunyai persamaan dengan
lain-lain makhluk dan mempunyai bentuk tertentu, di samping meletakkan Allah
itu mempunyai tempat tinggal. Perbuatan seperti ini jelas merosakkan iman
seseorang kerana meletakkan zat Allah sama seperti makhluk dan ianya juga boleh
menyebabkan seseorang itu menjadi kafir dan keluar dari agama Islam-
na’uzubillah…!
Gambaran seperti ini meletakkan bahawa
ketuhanan Allah menyerupai dengan sesuatu dan secara tidak langsung gambaran ini
akan mengiktiraf wujudnya tuhan-tuhan lain selain dari Allah, sedangkan Al
Quran telah menafikan dengan sekeras-kerasnya gambaran tersebut:
قُلْ
هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ اللَّهُ الصَّمَدُ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ
يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ
Maksudnya: "
Katakanlah! Dialah Allah Tuhan yang Maha Esa, Allah adalah tempat pergantungan,
Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan, tiada sesuatupun yang serupa
denganNya " (Al Ikhlas: 1-4).
Sebab itu, seseorang hamba Allah yang mengaku
beriman kepadaNya tidak diharuskan sama sekali melakukan perbuatan tersebut,
kerana Maha Suci Allah daripada mempunyai persamaan dengan makhluk.
3. Syirik Pada Kekuasaan Allah
Iaitu menyekutukan Allah pada sudut kekuasaan, bahawa di sana
terdapat kuasa lain yang mempunyai persamaan dengan kuasa Allah atau kuasa
tersebut lebih hebat dari kuasa Allah.
Mereka menyangka ada lagi kekuasaan lain yang sama taraf dengan kekuasaan Allah
yang bertujuan menjadi pembantu kepada kekuasaanNya. Sesungguhnya kuasa Allah
adalah kuasa yang mutlak dan kuasa yang Maha Agung. Tiada kuasa lain di atas
dunia ini boleh menandingi kuasa Allah. Sebab itu, seseorang muslim yang
benar-benar beriman mesti menafikan terdapat kekuasaan lain selain dari Allah
seperti wujudnya tuhan-tuhan lain yang berkompromi dan bekerja sama di dalam
mengurus dan mentadbir putaran alam ini.
Firman Allah Ta'ala:
أَمِ
اتَّخَذُوا آلِهَةً مِنَ الأَرْضِ هُمْ يُنْشِرُونَ لَوْ كَانَ فِيهِمَا آلِهَةٌ إِلاَّ الله لَفَسَدَتَا ۚ فَسُبْحَانَ اللهِ رَبِّ الْعَرْشِ
عَمَّا يَصِفُونَ
Maksudnya: "
Adakah mereka mengambil tuhan-tuhan dari bumi untuk menghidupkan (orang yang
telah mati)? Sekiranya di langit dan di bumi terdapat tuhan-tuhan selain dari
Allah, sudah tentu keduanya akan binasa, Maha Suci Tuhan yang mempunyai 'arasy
terhadap apa yang mereka sifatkan "(An Anbiya: 21-22).
Setiap manusia yang mengaku beriman kepada Allah mestilah
menafikan dengan sekeras-kerasnya hakikat ini bahawa tiada sesuatu makhluk di
atas dunia ini bermuafakat dengan kekuasaan Allah. Maha Suci Allah mempunyai penolong atau
pembantu dalam kerajaanNya dan sesungguhnya Allah tidak sekali-kali memerlukan
kuasa lain untuk mentadbir alam ini.
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb,
Lutpi Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment