Rukun bai’ah yang kedua ialah tidak mencuri, kerana perbuatan
mencuri itu adalah suatu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman had sekiranya
cukup dengan syarat dan bukti serta kesaksiannya sekali. Apabila seseorang
wanita itu telah mengikat pertalian hidupnya dengan ketuhanan Allah dan
berjanji untuk tunduk dan patuh kepada arahan-arahanNya, maka dia hendaklah
menjauhkan dirinya dari perbuatan mencuri, kerana perbuatan seperti ini akan
mengundang padah dalam hidupnya.
Firman Allah Ta’ala:
وَالسَّارِقُ
وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالاً مِنَ
اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: “ Pencuri lelaki dan pencuri perempuan hendaklah
dipotong tangan keduanya (perkara ini adalah) sebagai balasan terhadap apa yang
mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah, dan Allah Maha Perkasa lagi
Maha Bijaksana “ (Al Maidah: 38).
Perbuatan mencuri ini merupakan suatu
pekerjaan yang diamalkan oleh mereka yang malas bekerja dan berusaha dan
inginkan kekayaan yang cepat. Kadang-kadang perbuatan mencuri juga dianggap
sebagai suatu tabiat semulajadi yang buruk kerana inginkan kekayaan secara
zalim, dengan mengambil harta manusia secara kekerasan tanpa mendapat keizinan
dan kerelaan dari tuannya.
1. Takrif Mencuri
Mencuri ertinya mengambil sesuatu harta atau sesuatu barang yang
terpelihara secara tersembunyi, seperti memasuki sesebuah rumah atau kedai atau
seumpamanya lalu si pencuri itu mengambil barang-barang tersebut yang ada di
dalamnya. Perbuatan tersebut dilakukan oleh seorang yang mukallaf yang sempurna
akan fikirannya. Kadar kecurian yang dikenakan hukuman had ke atas seseorang
pencuri ialah tidak kurang dari sepuluh dirham atau satu per empat dinar. Hukumnya
adalah haram dan orang yang melakukan perbuatan seperti ini telah melakukan
satu dosa yang besar di sisi Allah. Perbuatan mencuri ini boleh membawa bencana
dalam masyarakat dan masyarakat akan menjadi huru-hara sekiranya gejala ini
tidak di atasi dengan segera. Sebab itu, Islam telah mengenakan hukuman yang
tegas ke atas si pencuri dengan memotong tangannya jika sabit kesalahan. Islam
melaknat orang-orang yang melakukan perbuatan mencuri ini, sebagaimana yang
dinyatakan di dalam sepotong hadith, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
لَعَنَ الله ُ السَارِقُ يَسْرِقُ الْبَيْضَةَ
فَتَقْطَعْ يَدَهُ
Maksudnya: “ Allah melaknat pencuri yang mencuri sebiji telur,
maka hendaklahpotong tangannya ”(Sepakat Riwayat).
Perbuatan mencuri
juga boleh merosakkan iman dan kepercayaan seseorang itu terhadap ketuhanan
Allah, sebagaimana yang dijelaskan di dalam sepotong hadith, bahawa di sana
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
لاَ يَسْرِقُ السَارِق ُ حِيْنَ يَسْرِقُ وهُوَ
مُؤْمِنٌ
Maksudnya: “ Tidak akan mencuri seseorang pencuri ketika mana
dia mahu mencuri, sedangkan dia seorang yang beriman ” (Sepakat Riwayat).
2. Bahaya Jenayah Mencuri
Perbuatan mencuri boleh menyebabkan berlaku perpecahan dalam
sesebuah masyarakat. Di sana, masyarakat akan terus terancam dengan gejala ini
dan kehidupan mereka tidak lagi bebas. Mereka hidup dalam keadaan terkongkong
dan ketakutan, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai harta kekayaan dan gedung
perniagaan.
2.1. Berlaku
Perpecahan
Perbuatan
mencuri boleh merosakkan hubungan persaudaraan dalam kalangan ummat Islam,
kerana mereka saling curiga-mencurigai di antara satu sama lain. Oleh kerana
mereka tidak mengetahui secara sahih identiti seseorang pencuri, lalu mereka
menuduh secara rambang tanpa kesaksian dan akhirnya berlaku bibit perbalahan
dan perpecahan dalam kalangan masyarakat. Sebab itu, Islam telah mengenakan
hukuman yang berat ke atas perbuatan mencuri ini jika dia disabitkan kesalahan,
iaitu dipotong tangannya. Sama ada orang yang mencuri ini lelaki atau
perempuan, hukumannya tetap sama dan tetap dipotong tangan.Tujuannya ialah
untuk mendidik generasi lain agar tidak melakukan perbuatan yang dilarang oleh
Allah. Dengan hukuman ini, keadilan pasti tercapai dan kehidupan yang
dikehendaki Islam dapat dilaksanakan secara normal.
2.2. Berlaku Huru-Hara Dalam Masyarakat
Perbuatan mencuri juga boleh menyebabkan
berlakunya huru-hara dalam masyarakat, kerana persoalan sikap dalam kalangan
mereka yang tidak mahu mempercayai di antara satu sama lain. Mereka merasa
curiga dan ragu-ragu terhadap saudara mereka dan walaupun seagama, kerana
masing-masing mempunyai perasaan tersendiri. Fenomena ini akan mewujudkan
sebuah masyarakat yang bersifat ‘keakuan’ dan enggan bermuafakat di antara satu
sama lain. Keadaan ini berlaku disebabkan kesan daripada jenayah kecurian yang
menyebabkan masyarakat mengambil sikap yang berhati-hati untuk menguruskan kehidupan seharian. Seandainya tiada tindakan
yang tegas diambil ke atas pencuri ini dan tiada pula hukuman yang setimpal
untuk dijatuhkan ke atasnya, nescaya kehidupan bermasyarakat di sana pasti akan
berlaku huru-hara dan kelam-kabut, kerana pencuri bebas bermaharajalela untuk
mencuri apa saja yang dia suka.
2.3. Hidup Dalam Ketakutan
Sekiranya gejala kecurian ini tidak dibendung
dengan segera, nescaya masyarakat akan hidup dalam keadaan ketakutan dan
terumbang-ambing di celah kebimbangan kerana mereka khuatir harta benda mereka
akan dicuri. Perasaan bimbang dan takut juga akan menyelubungi setiap anggota
keluarga dalam masyarakat dan mereka tidak lagi bebas untuk bergerak. Sebabnya,
kerana jenayah kecurian ini tidak hanya melibatkan kehilangan harta benda
semata-mata atau kehilangan barangan berharga atau seumpamanya, bahkan di sana
akan melibatkan kekerasan terhadap diri sehingga menumpahkan darah dan juga
kematian, ugutan yang melampau, ancaman bunuh terhadap jiwa raga,
pencabulan moral dan seksual, kemusnahan
dan kerosakan harta benda serta lain-lain lagi. Mereka yang terlibat dalam
perkara ini pasti mengalami tekanan hidup yang berterusan, penderaan mental
yang berpanjangan, perasaan jiwa raga yang tidak menentu dan tidak keruan.
Kehidupan mereka menjadi serba tidak kena dan terumbang-ambing di celah
ketakutan, mereka selalu dirundung ketakutan.
2.4. Menjejaskan Sumber Pendapatan
Apabila meluasnya jenayah kecurian di dalam
sesebuah masyarakat, di sana akan berlaku ketidak-stabilan dalam sistem ekonomi
dan perkara ini akan memberi kesan yang mendalam dalam pasaran semasa. Selagi
jenayah ini tidak dibendung dan selagi orang yang bertanggungjawab melakukan
jenayah itu tidak dibawah ke muka pengadilan,selagi itulah pasaran ekonomi
semasa akan terus menjadi malap. Pasaran ekonomi akan terus menjadi lumpuh
disebabkan tiada pelabur yang ingin memasarkan barangan mereka kerana takut
barang-barang itu dicuri dan perkara ini boleh membawa kerugian kepada mereka. Daripada
menanggung risiko yang lebih besar, para pelabur akan beralih ke tempat lain
yang lebih selamat untuk memasarkan barang-barang mereka. Sesungguhnya Islam
telah mengambil kira semua sekali aspek untuk menjatuhkan hukuman ke atas
pesalah termasuk ke atas pencuri. Hukuman potong tangan ke atas mereka yang
melakukan jenayah tersebut adalah sangat adil dan setimpal dengan realiti
kemanusiaan, sekalipun setengah-setengah pihak menganggap hukuman ini adalah
suatu kezaliman. Namun, hakikat ini tidak dapat disangkal lagi apabila hukuman
Allah itu tidak dapat dijalankan dengan sempurna dalam sesebuah masyarakat,
maka di sana pasti akan berlaku beberapa kepincangan, kerana keberkatan itu
hanya diturunkan kepada orang-orang yang beriman dan bertaqwa.
Benarlah firman Allah Ta’ala:
ولو
أن أهل القرى أمنوا واتقوا لفتحنا عليهم بركات من السماء والأرض
Maksudnya: “ Sekiranya penduduk sesuatu
negeri beriman dan bertaqwa, nescaya Kami bukakan kepada mereka keberkatan yang
turun dari langit dan yang keluar dari bumi ” (Al A’raf: 96).
2.5. Krisis Pengangguran
Apabila berlaku ketidak-stabilan hidup dalam
sesebuah masyarakat yang disebabkan peluang pekerjaan yang terhad dan terbatas,
maka akan berlaku di sana budaya hidup yang kurang sihat termasuk kecurian.
Tekanan hidup semakin terasa apabila tiada sumber pendapatan yang tetap
untuk menyara keluarga atau membeli
barang-barang keperluan seharian atau memiliki peralatan tertentu. Oleh sebab
itu, apabila berlaku krisis pengangguran dalam sesebuah masyarakat, maka tidak
dapat tidak di sana pasti akan berlaku kes-kes jenayah yang melibatkan harta
benda termasuk kes rompakan, kes ragut dan juga kecurian. Di antara faktor yang
menyebabkan perkara ini berlaku adalah kerana desakan hidup dan keperluan hidup yang mengatasi segala-galanya. Kadang-kadang
mereka yang mencuri itu bukan disebabkan oleh kehendak nalurinya sendiri,
tetapi kerana untuk membeli ‘sesuap nasi’ menampung sara hidup. Jika mereka
tidak berbuat demikian, sudah tentu kehidupannya akan menjadi semakin rumit dan bertambah
kronik. Dengan itu, usaha yang bersungguh-sungguh oleh pihak yang berkaitan
amat perlu sekali untuk mengatasi masalah ini. Sepatutnya mereka menyediakan
peluang pekerjaan yang baik agar krisis pengangguran tidak berlaku dan tidak
membawa beban masalah kepada anggota masyarakat.
3. Sabit Kesalahan Mencuri
Seseorang itu tidak didapati bersalah
sehingga dia berjaya dibuktikan bahawa dia adalah seorang yang bersalah, maka
dia disabitkan dengan melakukan kesalahan. Ini merupakan suatu kaedah dalam
perundangan Islam yang diambil dari sepotong hadith:
البَيِّنَةُ عَلَى
الْمُدَّعِى وَالْيَمِيْنُ عَلَى مَنْ أنْكَرَ
Maksudnya: “ Keterangan (sama ada saksi,
bukti atau sebagainya) hendaklah dibawa oleh orang yang menuduh dan sumpah
kepada orang yang engkar ”.
Sesungguhnya
sesuatu kesalahan yang hendak disabitkan ke atas seseorang itu bukan suatu
perkara yang mudah dan sewenang-wenangnya, kerana ianya memerlukan beberapa
keterangan daripada saksi-saksi yang terbabit termasuk bukti-bukti tertentu
atau bahan-bahan kes yang boleh disabitkan
ke atas pesalah. Ketegasan
terhadap hukuman bagi kesalahan mencuri ini dapat digambarkan di dalam sepotong
hadith, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
لَقَدْ أَذْهَبَ اللهُ الَّذِيْنَ كَانُوْا مِنْ قَبْلِكُمْ
أَنَّهُمْ كَانُوْا إِذَا سَرَقَ فِيْهِمْ الشَّرِيْفُ تَرَكُوْهُ وَإِذَا سَرَقَ
الضَّعِيْفُ أَقَامُوْا عَلَيْهِ الْحَدَّ
Maksudnya: “ Sesungguhnya Allah telah memusnahkan orang-orang
sebelum kamu, apabila golongan yang dipandang mulia mencuri lalu dibebaskan
(tanpa dikenakan hukuman), tetapi apabila golongan yang dipandang hina mencuri,
lalu dijatuhkan hukuman ke atasnya “.
Kemudian, baginda Rasulullah s.a.w. telah bersumpah di atas nama
Allah, sesiapa sahaja yang mencuri dalam kalangan ummatnya, sekalipun anak
kesayangannya sendiri melakukan perbuatan ini, nescaya dia tetap akan memotong
tangan….!
وَالَّذِي نَفْسِى
بِيَدِهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا
Maksudnya: “ Demi jiwa ku berada dalam kekuasaan ILAHI!
Sekiranya anak ku Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku potong tangannya
“.
Oleh
itu, bagi kesalahan mencuri, seseorang itu boleh disabitkan dengan dua perkara
iaitu:
3.1. Pengakuan dari pencuri sendiri.
3.2.
Kesaksian dari dua orang lelaki yang adil.
4. Syarat Sabit Kesalahan Ke Atas Pencuri
Seseorang pencuri boleh disabitkan melakukan kesalahan mencuri
dengan syarat-syarat yang tertentu, di antaranya ialah:
4.1. Pencuri mestilah seorang
yang mukallaf dan mempunyai akal fikiran yang waras serta cukup umur.
4.2. Pencuri yang mencuri
sesuatu barang bukan terdiri dalam kalangan ahli keluarga mereka sendiri dan
tidak mempunyai pertalian waris, seperti bapa mencuri barang anaknya atau anak
mencuri barang bapanya atau suami mencuri barang isterinya atau isteri mencuri
barang suaminya, kerana mereka semua mempunyai hak ke atas barang yang dicuri
itu.
4.3. Harta yang dicuri oleh
pencuri itu bukan harta yang syubhah milik atau harta yang mempunyai kesamaran
pada hak milik, seperti mencuri duit
gajinya yang sepatutnya akan dibayar kepadanya.
4.4. Harta yang dicuri itu
adalah harta yang harus di sisi syarak, bukan dari jenis arak atau seumpamanya.
4.5. Harta yang dicuri itu
mestilah bernilai satu per empat dinar, sebagaimana sabda Nabi s.a.w.
لاَ
تَقْطَعُ الْيَدَ اِلاَّ فِىْ رُبُعُ دِيْنَار فصَا عِدًا
Maksudnya: “ Tidak diharuskan potong tangan seseorang
pencuri melainkan barang yang dicuri itu bernilai satu per empat lebih ” (Riwayat
Muslim).
4.6. Harta yang dicuri itu
adalah harta yang terpelihara dan diletakkan di tempat yang selamat, seperti
dalam rumah, dalam almari, dalam peti dan sebagainya. Sekiranya harta tersebut
berada dalam keadaan terbuka dan tiada pula kawalan, maka kesalahan itu tidak
boleh disabitkan.
4.7. Harta yang dicuri itu
bukan dengan cara ragut atau rampasan atau tawanan.
5. Cara Mengatasi
Sesungguhnya Islam telah mendidik para ummatnya agar memiliki
harta dengan cara yang bersih. Islam telah mengemukakan program hidupnya
sendiri tanpa kompromi dari mana-mana sumber untuk diatur-galurkan kepada para ummatnya Tujuannya ialah supaya ummat
Islam menjadi ummat yang bersih dan hidup dalam keadaan aman damai. Kehidupan
yang bersih itu ialah kehidupan yang diasaskan di atas konsep ‘aqidah yang
meletakkan ketuhanan Allah adalah pemberi rezeki dan sebagai tempat
pergantungan segala-galanya. Apabila asas ini menjadi suatu pegangan hidup,
maka dia tidak akan sekali-kali melakukan perbuatan mungkar atau
perkara-perkara yang menyalahi syari’at, sebaliknya dia akan menjadi seorang
hamba Allah yang taat setia dan
benar-benar mematuhi segala suruhanNya. Dia akan berusaha sedaya-upaya untuk
mengeluarkan dirinya dari kemelut kejahilan hidup dan menjadi seorang hamba
Allah yang mempunyai ilmu pengetahuan. Apabila dia berjaya mengeluarkan dirinya
dari kemelut tersebut, maka dengan sendirinya dia menjadi seorang hamba yang
memahami hakikat agama, dia akan menjadi seorang hamba yang mengerti dan faham
nilai-nilai agama serta perkara-perkara yang dikehendaki dalam ajaran agama. Justeru
itu, dia tidak akan sekali-kali melampaui batas-batas agama dan tegahan dalam
ajaran agama. Dia akan menjadi seorang hamba Allah yang taat dan patuh kepada
segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Dengan alasan ini, tiada
sebab bagi seseorang itu yang mengaku beriman kepada Allah melakukan perbuatan
mencuri, kerana pergantungan hidupnya sekarang ialah hanya kepada Allah, iaitu
Tuhan yang memberi rezeki. Keimanan yang terpancak di dalam hati sanubari dan
jiwa nuraninya akan mengatasi dirinya agar tidak melakukan sesuatu perlanggaran
dan membebaskan dirinya dari ikatan hawa nafsu yang keji itu.
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment