Rukun bai’ah yang keenam ialah tidak mendurhaka. Apa yang
dimaksudkan dengan mendurhaka di sini ialah tidak mendurhaka kepada perintah
Allah dan perintah Rasul s.a.w. Kedua-dua perintah itu merupakan sumber
keimanan yang akan membawa manusia kebahagiaan sama ada di dunia dan di
akhirat. Sesungguhnya tiadalah sebaik-baik perintah melainkan perintah Allah
dan perintah RasulNya s.a.w.
Firman Allah Ta’ala:
قُلْ أَطِيعُوا
الله وَالرَّسُولَ ۖ
فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لاَ يُحِبُّ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “ Katakanlah! Taatlah kamu kepada perintah Allah dan
perintah RasulNya, sekiranya mereka berpaling, sesungguhnya Allah tidak
mencintai orang-orang yang tidak beriman “ (Ali ‘Imran: 32).
Perintah Allah dan perintah RasulNya s.a.w. merupakan dua
arahan yang wajib dipatuhi secara bersama atau secara serentak oleh setiap
mereka yang mengaku beriman. Tidak diharuskan sama sekali seseorang yang
mengaku beriman kepada Allah dan Rasul, tetapi dia meninggalkan perintah Allah
dan perintah Rasul atau meninggalkan salah satu dari perintah tersebut. Ini
kerana, syarat sah iman seseorang itu mestilah mentaati perintah yang
diturunkan oleh Allah, Tuhan Yang Maha Esa dan perintah yang dibawa oleh
RasulNya s.a.w. Kalaulah ada dalam kalangan manusia yang mengaku beriman, tetapi
hanya mahu mentaati perintah Allah sahaja dan tidak mahu mentaati perintah
RasulNya, maka hukumnya mereka masih lagi belum Islam dan belum beriman. Kalau
kita perhatikan konsep syahadah yang wajib diungkapkan oleh setiap individu
yang mahu mengembalikan hakikat kehidupannya yang sebenar kepada Allah, dia
perlu berkata: LAA ILAHA ILLALLAH dan MUHAMMADUR RASULULLAH.
Maksudnya, Tiada
Tuhan yang sebenar-benar melainkan ketuhanan Allah, tiada kekuasaan yang
sebenar-benar melainkan kekuasaan Allah, tiada peraturan dan undang-undang yang
sebenar-benar melainkan peraturan dan undang-undang Allah dan di sana tiada
perintah yang sebenar-benar melainkan perintah Allah dan perintah Rasul s.a.w. Ajaran
Islam yang diturunkan oleh Allah adalah untuk diamalkan secara praktikal
mengikut lunas-lunas yang telah ditetapkan, ajaran Islam tidak boleh
diubah-suai dan tidak boleh ditokoh-tambah dengan mana-mana ajaran, kerana
ianya telah sempurna dan boleh dilaksanakan oleh sesiapa sahaja dalam kalangan
manusia walau apa bangsa sekalipun dan tidak hanya tertakluk kepada bangsa arab
sahaja. Seandainya seseorang yang telah melapazkan kalimah syahadah itu tidak
mahu beramal dengan amalan-amalan yang telah turunkan kepadanya, tidak mahu
pula melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diwajibkan kepada dirinya, juga
tidak mahu mempraktikkan segala arahan-arahan dalam urusan ad deen dan tidak
memperdulikan hal ehwal dalam ajaran agama, bererti dia masih lagi tidak
mentaati perintah Allah dan perintah Rasulnya s.a.w. yang diwajibkan ke atas
dirinya, dia masih lagi belum beriman dalam erti kata iman yang sebenar-benar
iman.
1. Takrif Tidak Mendurhaka
Tidak mendurhaka ertinya tidak melakukan maksiat atau tidak
melanggar perintah diditetapkan. Apabila dikaitkan dengan persoalan ad deen,
maka seseorang hamba itu tidak diharuskan mendurhakai perintah Allah dan
perintah RasulNya s.a.w. Dia dilarang melakukan maksiat kepada Allah dan
melanggar segala arahan yang dibawa orang Rasulullah s.a.w. Marilah kita
melihat gambaran orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan RasulNya
a.a.w. dan juga merenung amaran yang dikemukakan oleh Allah terhadap mereka
yang mendurhaka perintah dan arahanNya.
Firman Allah Ta’ala:
إِنَّمَا
كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ
بَيْنَهُمْ أَنْ يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ
وَرَسُولَهُ وَيَخْشَ اللَّهَ وَيَتَّقْهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ
Maksudnya: “ Perkataan orang-orang yang beriman apabila mereka diseru
kepada Allah dan RasulNya supaya berhukum di antara mereka ialah: Kami dengar
dan kami taat, mereka itulah mendapat keuntungan. Sesiapa yang taat kepada
Allah dan RasulNya, takut serta bertaqwa kepadaNya, itulah orang-orang yang
memperolehi kemenangan “(An Nur: 51-52).
Ini merupakan suatu ketetapan dari Allah,
ketetapan untuk memberi kesegaran rohani dan jasmani kepada orang-orang yang
beriman, ketetapan untuk menguji kekuatan iman dan kepalsuan iman yang ada di
dalam hati sanubari dan jiwa nurani seseorang, ketetapan ini adalah untuk
mengasingkan manusia yang benar-benar taat kepada seruan Allah dan seruan
RasulNya s.a.w. Kepada mereka yang excellent keimanannya, sudah tentu
tiada apa-apa masalah untuk mentaati perintah Allah dan perintah RasulNya
s.a.w. Akan tetapi, kepada mereka yang mengalami masalah dan kemerosotan iman,
nanti mereka akan tertanya-tanya kepada diri mereka sendiri:
“Untuk apa perintah Allah dan perintah
RasulNya itu ditetapkan kepada manusia, dan untuk apa manusia harus tunduk dan
taat kepada perintah tersebut, sedangkan orang-orang yang tidak mengikut
perintah tersebut tidak terkena apa-apa mala-petaka dan tidak ada cacat-cela…?”
Ingatlah..!
Bahawa cahaya petunjuk itu datang dari Allah dan Dia berhak memberi
petunjuk kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Orang-orang yang mendapat
petunjuk pasti akan mendapat kesegaran iman dan hidupnya pasti mendapat
keberkatan. Namun, di sana Allah telah memberi amaran dengan sekeras-kerasnya,
bahawa sesiapa yang mendurhakai perintahNya dan perintah RasulNya s.a.w. sesungguhnya
dia adalah seorang yang sesat dan lagi menyesatkan.
Firman Allah Ta’ala:
وَمَا
كَانَ لِمُؤْمِنٍ ولاَ مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ
يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ
فَقَدْ ضَلَّ ضَلالاً مُبِينًا
Maksudnya: “ Bagi lelaki yang beriman dan wanita yang beriman,
apabila Allah dan RasulNya menetapkan suatu perkara, mereka tidak boleh memilih
kemahuannya sendiri dalam urusan mereka dan sesiapa yang durhaka kepada Allah
dan Rasulnya, sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata “ (Al
Ahzab: 36)
Demikianlah jawapan dari mereka yang tidak
faham dan tidak mengerti tentang hakikat ajaran agama, tetapi lain pula mereka
yang faham dan mengerti tentang hakikat ajaran agama apabila mereka diseru
mentaati perintah Allah dan perintah RasulNya, lantas mereka mengikutnya tanpa
menimbulkan kemusykilan.
2. Nilai Ketaatan
Sesungguhnya nilai-nilai ketaatan itu diukur dari sudut praktikal
dan pelaksanaan sesuatu amalan mengikut garis panduan sebagaimana yang telah
diturunkan oleh Allah. Apabila seseorang hamba itu mempraktikkan atau
melaksanakan segala kewajiban yang telah ditetapkan, bererti dia telah mentaati
perintah Allah, dia telah tunduk dan patuh kepada perintah Allah, dia telah
meletakkan hakikat kehidupannya itu untuk dikembalikan kepada Allah. Dia telah
meletakkan dirinya sebagai seorang hamba yang bernilai di sisi Allah, kerana kekuatan
Islam dan ajarannya diukur dari sudut pelaksanaan program dalam manhaj hidupnya
oleh para pengikutnya. Islam yang diturunkan oleh Allah akan menjadi agama yang
kuat dengan sebab para pengikutnya yang melaksanakan program hidupnya. Dengan
sebab pelaksanaan yang praktikal terhadap program hidup Islam ini, maka secara
tidak langsung mereka menjadi hamba yang taat kepada perintahNya, hamba
yang tunduk dan patuh kepada setiap
arahanNya.
2.1. Melaksanakan Segala Suruhan
Islam hanya menggariskan dua arahan sahaja
untuk diaturkan-galurkan kepada ummatnya, iaitu ‘arahan menyuruh’ dan arahan
‘melarang’. Setiap suruhan Allah itu wajib dilaksanakan seperti ibadat solat,
mengeluarkan zakat, mengerjakan puasa di Bulan Ramadhan, mengerjakan haji ke
Mekah dan lain-lain lagi. Manakala setiap larangan Allah wajib ditinggalkan
seperti berjudi, mencuri, membunuh, meminum arak dan lain-lain.
Firman Allah Ta’ala:
كُنْتُمْ
خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ
عَنِ الْمُنْكَرِ
Maksudnya: “
Kamu adalah sebaik-baik ummat yang dikeluarkan bagi manusia, maka di
antara tugas dan tanggungjawab kamu ialah menyeru manusia ke arah kebaikkan dan
kamu mencegah kemungkaran ”(Ali ‘Imran: 110).
Sesungguhnya hamba
yang benar-benar beriman itu ialah hamba yang sentiasa taat kepada perintah
Allah, hamba yang sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah, hamba yang
meletakkan arahan Rasulullah s.a.w. sebagai contoh tauladan dan suri iktan yang
baik. Dia sentiasa memperkuatkan amalan hidup terhadap Allah dengan mengerjakan
segala suruhanNya. Dia mempunyai perancangan
hidup dan program hidupnya sendiri yang tidak dicampur-aduk dengan
mana-mana program atau mana-mana fahaman ataupun mana-mana kepercayaan,
sebagaimana yang dikehendaki oleh syari’at. Sebabnya, kerana supaya dia menjadi
seorang manusia yang dikasihi Allah di samping mengeluarkan diri daripada
berkelombang dalam kemelut kejahilan dan kebodohan. Seseorang hamba yang
beriman mestilah sentiasa mengabdikan diri kepada Allah, dia hendaklah membawa
dirinya kembali ke pangkuan Allah untuk dipersembahkan kepadaNya dan menyerahkan
setiap apa jua urusan kepadaNya. Setiap langkah dan perjalanan hidupnya adalah
semata-mata kerana Allah, bahkan segala lukisan hidup, ukiran hidup, lakaran
hidup dan paparan serta gambaran dalam kehidupan itu adalah kerana Allah. Sesungguhnya
program hidup Islam terlalu mudah dan tidak menyukarkan, tidak melampaui
realiti kehidupan dan tidak terkeluar dari nilai-nilai kemanusiaan serta
peradabannya. Islam telah menetapkan program hidupnya sendiri adalah untuk
menghubungkan manusia dengan ketuhanan Allah dan membentuk perasaan hati
sanubari dan jiwa nurani agar sentiasa terikat dengan segala arahan-arahan yang
telah ditetapkan. Sebenarnya, Islam
telah membentuk program kehidupan di atas ubun-ubunnya sendiri secara praktikal
tanpa bercampur-baur dengan mana-mana unsur yang menyimpang dari landasan
kebenaran, sama ada ianya berbentuk percaya sebagaimana dalam persoalan
ketuhanan atau berbentuk amali sebagaimana dalam persoalan ibadat. Sebab itu,
program hidup Islam adalah untuk diamalkan atau dilaksanakan oleh setiap para
pengikutnya. Maka, kewajiban ke atas setiap ummat Islam ialah menjadi pelaksana
kepada segala perintah Allah dan kepada arahan-arahan Allah. Dengan itu, dia
akan menjadi ummat yang sentiasa mempunyai pertalian hidup dengan Allah.
2.2. Meninggalkan Segala Larangan
Sesungguhnya nilai-nilai
perhambaan itu merupakan kisah hidup orang-orang yang beriman, kerana
orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang memperhambakan diri kepada
Allah, dia selalu taat dan patut kepada perintah Allah. Di waktu yang sama dia
meninggalkan segala apa jua larangan Allah. Setiap hamba Allah yang beriman
memerlukan daya ketahanan jiwa untuk menghalang sebarang rupa bentuk maksiat
dan pengaruh jahiliyah ke dalam dirinya, dia memerlukan kekuatan mental untuk
membina semangat dan kekuatan hidup bagi melaksanakan perintah Allah, dia juga
memerlukan kekuatan rohani untuk menjadi hamba Allah yang sentiasa mempunyai
pertalian hidup denganNya, supaya perasaan cinta dan kasih sayang sentiasa
kekal abadi. Dia juga memerlukan
kekuatan jasmani untuk menghalang maksiat dan apa jua bentuk kemungkaran yang
berlaku di dalam masyarakatnya. Dia mesti menjadi seorang hamba yang tidak mahu
durhaka kepada perintah Allah dan tidak mahu terlibat dalam kancah maksiat dan
juga kemungkaran, kerana hamba Allah yang benar-benar dikasihiNya ialah hamba
yang sentiasa bersih dan bebas dari godaan hawa nafsu. Sebagaimana yang telah
dijelaskan, Islam membina program kehidupannya sendiri di antara lainnya ialah
untuk membentuk pekerti hidup para penganutnya agar tidak bergelombang dalam
arus kemungkaran yang menyesatkan. Justeru, agar mereka sentiasa bersiap sedia
menghadapi suasana dan realiti kehidupan semasa dalam masyarakat supaya tidak
terpengaruh dengan budaya hidup yang kurang sihat, kerana kehidupan yang sihat
itu ialah kehidupan yang memerlukan persiapan dan bekalan yang cukup untuk
menghadapi tribulasi yang akan menjelma. Seandainya mereka tersilap mengorak
langkah atau tersilap memilih laluan ketika menguruskan jalan hidup, nanti
mereka akan terjebak dalam gelombang maksiat dan menjadi manusia yang terpedaya
kerana terikut-ikut dengan bisikan hawa nafsu. Kehidupan mereka akan menjadi
punah-ranah dan terumbang-ambing, kerana hawa nafsu tidak pernah menjanjikan
tujuan dan matlamat hidup yang sebenar, hawa nafsu tidak pernah menjanjikan
kebahagiaan hidup yang kekal abadi dan tidak pernah memandukan manusia arah dan
tujuan jalan yang sepatutnya dilalui. Sudah tentu, apabila seseorang itu berada
dalam arus kemungkaran pasti akan menjadi sesat dan menyesatkan, dia akan menjadi buta teraba-raba kerana
jalan hidupnya menjadi gelap-gelita, kehidupannya pasti akan menjadi pincang
dan teraniaya, tidak terurus dan tidak tersusun, tidak pula ada peradaban dan
nilaian, bahkan kehidupan yang bergelut dalam arus kemungkaran itu ialah sebuah
kehidupan yang punah-ranah, baik pada jiwa raganya, pemikirannya, akhlak dan pekerti hidupnya,
corak perangainya, bahkan pegangan dan kepercayaan hidupnya pasti tersasar dari
landasan yang sebenar. Lain pula halnya dengan mereka yang berada di luar
gelombong tersebut, mereka hanya memerhati sahaja lagak hidup manusia telah
rosak dan punah ranah.
Allah Ta’ala berfirman:
وَمَنْ يَعْمَلْ
مِنَ الصَّالِحَاتِ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ
يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلاَ يُظْلَمُونَ نَقِيرًا
Maksudnya: “ Sesiapa
yang beramal dengan amalan yang soleh, sama ada lelaki atau wanita sedangkan
dia beriman, maka mereka akan masuk syurga dan mereka tidak dizalimi
sedikitpun”(An Nisa’: 124).
Ini adalah janji Allah
terhadap orang-orang yang beriman yang mengerjakan kebaikan dan meninggalkan
kemungkaran. Sebab itu, program hidup Islam adalah bertujuan untuk membasmi
kemungkaran dari pelbagai sudut. Budaya dan peradaban hidup yang melanggar
etika kemanusiaan dan nilai-nilainya serta tidak menepati kehendak syari’at
tidak harus diamalkan, bahkan wajib ditinggalkan. Kemelut kehidupan manusia
yang bergelombang dalam arus kemungkaran pasti akan dapat dirungkaikan dari
akar umbi lagi sekiranya dia sentiasa mempunyai pertalian yang erat dengan
ketuhanan Allah. Seandainya dia melakukan kesalahan atau kesalahan, dia
hendaklah cepat-cepat bertaubat dan kembali kepada Allah dengan segera, kerana
orang yang bertaubat dari dosanya bagaikan dia tidak berdosa lagi.
2.3. Istiqomah
Apabila hubungan ketuhanan itu mula terjalin erat dalam hati sanubari
dan jiwa nurani seseorang muslim, maka di sana hubungannya itu tidak mungkin
lagi dapat diputuskan dan dirungkaikan dengan apa jua sekalipun. Bererti dia
telah mendapat suatu kepuasan di dalam pelaksanaan program kehidupannya, kerana
dia telah mempraktikkan segala tugas dan tanggungjawab yang Allah wajibkan ke
atas dirinya. Dia telah menemui satu formula untuk mencapai kepuasan dalam
mencari impian hidup untuk terus beristiqomah dengan Islam dan terus berada
dalam perjuangan Islam sehingga ke akhir hayat. Dengan itu, dia adalah dalam
kalangan hamba Allah yang akan membina tamaddun kehidupan di atas ubun-ubun
Islam dengan menyemai benih-benih keimanan dan ketaqwaan di dalamnya.
Firman Allah Ta’ala:
فاستقم
كما أمرتومن تاب معكولا تطغوا انه بما تعملون بصير
Maksudnya: “ Beristiqomahlah kamu sebagaimana kamu
diperintahkan dan juga orang-orang yang bertaubat bersama kamu dan janganlah
kamu melampaui batas, sesungguhnya dia Allah Mengetahui apa yang kamu lakukan ”(Hud:
112).
Pengakuan yang mesti dijelmakan dalam
dirinya ialah percaya, iaitu percaya kepada ketuhanan Allah dan kemudian dia
yakin dengan sepenuh jiwa raga terhadap keesaanNya dan kekuasaanNya serta
keagunganNya. Demikianlah, ucapan Dua Kalimah Syahadah dalam pengakuan hidupnya
itu, iaitu: Tiada Tuhan yang sebenar-benar melainkan Allah dan Muhammad s.a.w.
itu adalah Rasul dan PesuruhNya yang terakhir merupakan pengakuan ikatan
pertalian untuk meletakkan seseorang itu menjadi muslim. Maka di sana dia mesti
melaksanakan dan mempraktikkan segala tuntutan hidup ketika berada di bawah
naunganNya dan pengawasanNya, iaitu mengerjakan apa yang disuruh oleh Allah dan
meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah. Selepas itu, dia hendaklah beristiqomah
terhadap apa yang dilapazkan, iaitu dia hendaklah percaya dengan sepenuh hati
terhadap ungkapan tersebut. Nilai-nilai percaya itu hendaklah disusuli dengan
sebuah keyakinan yang amat mendalam untuk melayakkan dirinya menjadi seorang
muslim yang benar-benar beriman. Di dalam persoalan amal ibadat pula, ungkapan
itu juga mesti diikuti dengan program amali dan gerak-kerja yang berlandaskan
syari’at Allah. Dia mesti beramal mengikut garis panduan yang telah diwajibkan
dalam syari’at untuk mencapai impian hidup supaya perjalanan hidupnya itu tidak
melencong ke arah lain. Segala amalan yang hendak dipraktikkan itu adalah untuk
mencari keredhaan Allah dengan penuh keikhlasan dan ketulusan, kerana amalan
ini merupakan suatu pengabdian yang tinggi nilainya ke arah membentuk keyakinan
diri terhadap Allah. Tugas dan
tanggungjawab menjadi seorang hamba Allah yang benar-benar beriman ialah
bersegera ke arah melakukan ketaatan kepadaNya dan urusan ini adalah
semata-mata untuk mencari keredhaanNya, mendapat restu dan hidayat dariNya
supaya dia sentiasa berada di bawah pengawasan Allah.
Al Quran menjelaskan:
إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا
دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَنْ يَقُولُوا سَمِعْنَا
وَأَطَعْنَا ۚ
وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Sesunggunya perkataan
orang-orang yang beriman apabila diseru kepada Allah dan RasulNya untuk
berhukum di antara mereka lantas berkata: Kami dengar dan kami taat..! Dan
mereka itulah orang-orang yang berjaya ”(An Nur: 51).
Maka ketahui..! Bahawa nilai-nilai istiqomah
itu akan menyempurnakan iman seseorang dan ketaqwaan dirinya kepada Allah,
nilai-nilai itu juga merupakan syarat penting untuk mengeluarkan diri dari
lembah kejahilan dan kemungkaran. Nilai-nilai tersebut akan membentuk kekuatan
iman dan ketaqwaan diri yang tidak berbelah bagi kepada Allah dan merangsang
‘perasaan ingin bermesra’ terhadapNya.
3.
Kewajiban Mentaati Perintah
Sesungguhnya perintah yang wajib ditaati ialah perintah Allah dan
perintah Rasulullah s.a.w. Kedua-dua perintah ini dapat disaksikan di dalam Al
Quran yang diturunkan oleh Allah dan juga di dalam As Sunnah yang merupakan
kisah perjalanan hidup Nabi s.a.w. serta huraian lengkap secara praktikal
terhadap isi kandungan Al Quran. Kedua-dua perintah tersebut wajib dilaksanakan
secara mutlak tanpa ada bantahan atau pilihan untuk melakukan atau sebaliknya,
sama ada ianya berbentuk suruhan ataupun berbentuk larangan. Pengakuan hidup
seseorang muslim mestilah mentaati perintah Allah dan perintah RasulNya s.a.w.
dan mengikut apa yang dibawa oleh baginda dengan penuh keyakinan dan keimanan.
Dia mestilah menerima apa jua khazanah yang ditinggalkan oleh baginda s.a.w.
sama ada perkataannya atau perbuatannya atau pengakuannya tanpa ada perasaan
ragu-ragu dan syak wasangka.
Firman Allah Ta'ala:
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ
Maksudnya: "
Wahai orang-orang yang beriman: Taatlah kamu kepada perintah Allah dan taatlah
kamu kepada perintah RasulNya "(Al Anfal: 20).
Ketaatan kepada Allah dan perintah RasulNya s.a.w. tidak
boleh dipisahkan sama sekali dan tidak boleh diasingkan di antara satu sama
lain, kerana persoalan ketaatan ini melibatkan pegangan ‘aqidah yang terkandung
dalam rabubiyyahNya dan uluhiyyahNya. Dalam kalangan manusia hari ini terdapat dalam
kalangan mereka yang hanya ingin mentaati perintah Allah sahaja, tetapi tidak
mahu mentaati perintah Rasul. Jika demikian, mereka masih lagi bukan dalam
kalangan orang-orang Islam dan bukan dalam kalangan orang-orang yang beriman
kepada Allah. Keimanan itu mestilah melengkapkan erti pengakuan ketaatan,
kerana pengakuan: LAA ILAHA ILLALLAH dan MUHAMMADUR RASULULLAH itu diungkapkan
secara bersama. Maka, ketaatan dan ketundukkan diri itu mestilah dilakukan
secara bersama, bukan hanya ketaatan kepada perintah Allah sahaja dan
meninggalkan ketaatan kepada perintah RasulNya s.a.w. Bahkan tidak beriman
seseorang itu jika dia hanya mentaati perintah Allah, tetapi dalam waktu yang
sama dia meninggalkan perintah Rasulullah s.a.w. Ini kerana, Rasul adalah
seorang hamba Allah yang diutuskan untuk menyampaikan risalah ketuhanan kepada
seluruh masyarakat dan menyebarkannya ke seluruh ummat manusia. Segala apa jua
bentuk ungkapannya, ucapannya, percakapannya, perbualannya, perbuatannya,
amalannya dan juga pengakuan serta takrirnya merupakan ulasan atau huraian lengkap terhadap seruan Allah. Sesungguhnya
Allah-lah yang membangkitkan Rasul dan bersamanya diturunkan Al Quran sebagai kitab
perlembagaan hidup untuk manusia, di
mana Rasul s.a.w. adalah sebagai
penterjemah kepada maksud yang hendak disampaikan dalam Al Quran itu. Baginda
s.a.w. akan menghuraikan dan menjelaskan
kalimah-kalimah di dalam Al Quran serta maksud-maksud nya sekali, sama
ada yang tersurat atau tersirat di dalam setiap ayat-ayat Al Quran yang
diturunkan itu. Mari kita mendengar sepotong hadith,
sebagaimana yang diucapkan oleh
Rasulullah s.a.w. di dalam sabdanya:
مَنْ أَطَاعَنِى فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ عَصَانِى فَقَدْ
عَصَى اللَّهَ
Maksudnya: "
Sesiapa yang taat kepada ku nescaya ia taat kepada Allah dan sesiapa yang
durhaka kepada ku nescaya ia durhaka kepada Allah "(Riwayat Bukhari dan
Muslim)
Setiap hamba yang benar-benar beriman kepada Allah
mestilah merangkulkan pengertian ketaatannya itu kepada Allah dan RasulNya
secara bersama, tanpa ada jurang pemisahan di antara satu sama lain. Kemusnahan
iman seseorang itu pasti menjadi hancur-berkecai dan pecah-berderai akibat
pemisahan ketaatan yang berterusan di antara Allah dengan RasulNya s.a.w.
Firman Allah Ta’ala:
اطيعوا الله واطيعوا الرسول واولى الأمرمنكم
Maksudnya: “ Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada
Rasul serta ulil ‘amri (iaitu pemimpin) dalam kalangan kamu ”(An Nisa’:59).
Sesungguhnya nilai-nilai seseorang hamba di
sisi Allah diukur dari sudut ketaatannya kepada perintah Allah dan perintah
RasulNya s.a.w. Kedudukan tinggi rendah
dan taraf hidup seseorang hamba serta martabat hidupnya di sisi Allah adalah
bergantung kepada sejauh mana nilai-nilai ketaatan itu kepada Allah dan RasulNya s.a.w. Namun, ketaatan kepada Ulil ‘Amri atau
pemerintah atau pemimpin atau sesiapa sahaja adalah ketaatan yang berkait.
Sekiranya seseorang itu mengajak melakukan kebaikan, maka diharuskan
mentaatinya dan jika sebaliknya, maka tidak diharuskan mentaatinya.
Sabda Rasulullah s.a.w.
على المرء سمعوا والطاعة ما لم يؤمر بمعصية فإن
أمر بمعصية فلا سمع ولا طاعة
Maksudnya: “ Ke atas seseorang itu kamu boleh dengar dan boleh
taat, sekiranya tidak disuruh melakukan maksiat, sekiranya disuruh melakukan
maksiat,maka tidak diharuskan dengar dan taat ”(Riwayat Bukhari).
Sesungguhnya seseorang hamba yang ingin mencari keredhaan Allah
mestilah memusatkan ketaatan kepada perintahNya, dia mesti mencari cahaya yang
terang untuk menerangi jalan hidupnya. Maka sudah tentu, cahaya yang paling baik untuk menerangi jalannya ketika
mencari keredhaan Allah ialah cahaya yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Cahaya
tersebut adalah cahaya petunjuk yang akan menyebabkan manusia tidak akan sesat
buat selama-lamanya. Di dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Imam
Muslim, bahawa baginda s.a.w. telah bersabda:
اِسْمَعُوْا وَأَطِيْعُوْا فَإِنَّمَا عَلَيْهِمْ مَا حُمِّلُوا
وَعَلَيْكُمْ مَا حُمِّلْتُمْ
Maksudnya: "
Dengar dan taatlah! Kerana ke atas seseorang itu mempunyai kewajipan yang dipikulnya
dan ke atas kamu juga ada kewajipan yang perlu kamu pikul "(Riwayat Muslim).
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment