Rukun bai’ah yang ketujuh ialah tidak meratapi kematian,
lebih-lebih lagi kematian orang yang amat dikasihi, sehingga meraung-raung dan
mencakar muka bagaikan orang yang terkena pukau, tidak sedarkan diri dan tidak
keruan. Biasanya perbuatan meratap ini dilakukan oleh golongan wanita yang
tidak dapat menahan sebak di dada menyaksikan kematian datang menjelma yang
menimpa kaum keluarganya, seolah-olah dia tidak dapat menerima hakikat kematian
yang datang menimpa seseorang. Rukun bai’ah yang ketujuh dan kelapan tidak
terdapat di dalam firman Allah pada Surah Al Mumtahanah, ayat: 12, tetapi
terdapat di dalam sepotong hadith, sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah
s.a.w.:
أُبَايعكِ على أن لا تشركى بالله شيئًا ولا تسرقى ولا تزنى ولا تقتلى
ولدك ولا تأتى ببهتان تفترينه بين يديك ورجليك ولا تنوحى ولا تتبرجي تبرج الجاهلية
الأولى
Maksudnya: “Aku berbai’ah
dengan mu jangan sekali-kali kamu menyekutukan Allah dengan sesuatupun, jangan
mencuri, jangan melakukan perbuatan zina, jangan membunuh anak, jangan
melakukan perkara bohong yang diada-adakan di antara tangan dan kaki mereka dan
tidak mendurhakai kamu dalam perkara yang baik, jangan meratapi kematian dan
jangan kamu berdandan seperti solekan jahiliyah pertama ”.
1. Takrif Meratap
Meratap ertinya menangis sambil mengeluarkan kata-kata yang
mengungkit kembali amalan atau perbuatan si mati. Meratap juga merupakan
keluhan sambil menjerit-jerit kerana terlalu hiba terhadap kematian yang
menimpa orang yang amat disayangi. Perbuatan meratap ini juga boleh dianggap
sebagai rintihan kesangsian kerana tidak sanggup menahan perasaan duka lara dan
sebak di dada. Perbuatan sebegini tidak melambangkan pekerti hidup seorang
wanita yang dikasihi oleh Allah, seolah-olah tidak mahu menerima hakikat
ketetapan dan takdir dariNya. Setiap orang-orang yang beriman mestilah akur
terhadap tabiat hidup semulajadi manusia, bahawa setiap jiwa yang bernyawa
pasti akan mati, setiap jiwa yang bernyawa pasti akan menerima pukulan maut,
dia pasti akan menemui ajal dan ketika itu berakhirlah riwayat hidupnya di
dunia. Tidak kira mereka itu siapa, sama ada orang beriman atau orang yang
tidak beriman, orang kaya atau orang miskin, orang senang atau orang susah,
orang yang datang dari keturunan mulia atau orang yang datang dari keturunan
hina, orang yang berada di dalam mahligai yang indah atau orang yang berada di
dalam pondok yang usang, semua mereka akan menghadapi pukulan maut yang akan
datang menjelma bila-bila masa sahaja. Maut akan mencengkam kehidupan manusia
tanpa mengira waktu dan ketika, tanpa mengira tempat di mana manusia berada…!
Allah berfirman:
كُلُّ نَفْسٍ
ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ
وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً ۖ وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Maksudnya: “ Setiap jiwa pasti akan merasai mati dan Kami
mencuba kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian, kepada Kamilah nanti
kamu dikembalikan “(Al Anbiya: 35).
Ini merupakan suatu hakikat, bahawa kehidupan
itu pasti akan tewas dicengkam kematian, kehidupan pasti akan tersungkur rebah
menyembah bumi dan tidak punya upaya untuk bangkit. Dia langsung tidak
bertenaga untuk mengumpul kudrat dan membina kekuatan menentang kematian. Namun
apabila ajal semakin dekat menghimpit jiwa seseorang, kehidupan tidak lagi
bermaya untuk menentang arus kematian yang datang menjelma, dia akan kecundang
dan bersemadi bersama jasadnya. Rohnya pasti melayang terbang entah kemana..!
Pujangga arab ada berkata:
وَمَنْ
هَابَ اسْبَابَ الْمَنَايَا يَنَلْنَهُ
وَإِنْ يَرْقَ أَسْبَابَ السَّمَاءِ بِسُلَّمِ
Maksudnya: “ Sesiapa yang takutkan mati, kematian pasti akan
datang menjelma jua, sekalipun dia memanjat tangga naik ke langit untuk lari
dari kematian “.
2. Meratap Adalah Amalan Jahiliyah
Ratapan sebuah kematian merupakan suatu perkara yang dilarang di
sisi ajaran agama. Perkara ini bukanlah bererti kita ditegah sama sekali untuk
mengukirkan kesedihan di sudut hati apabila kematian itu menimpa kaum keluarga
dan sahabat handai kita, tetapi apa yang dilarang dan ditegah di sini ialah
berlebih-lebihan dalam meratapi kesedihan sehingga meracau tidak sedarkan diri.
Di dalam sepotong hadith, yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud r.a.
bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
لَيْسَ
مِنَّا مَنْ ضَرَبَ اْلحُدُوْدَ وَشَقَّ اْلجُيُوْبَ وَدَعَا بِدَعْوَى
اْلجَاهِلِيَّةِ
Maksudnya: “Bukan dalam kalangan ummat ku sesiapa yang memukul
mukanya, merobek-robek bajunya dan menjerit-jerit bagaikan jeritan jahiliyah “(Riwayat
Bukhari dan Muslim).
Perbuatan tersebut tidak mencerminkan
keperibadian seseorang muslim yang unggul, seolah-olah dia tidak mengerti
langsung hakikat agama dalam memperkatakan maksud atau tujuan hidup.
Nilai-nilai akhlak dan moralnya terlalu rendah untuk dibicarakan kerana sanggup
meratap insan yang telah pergi, sedangkan dia tahu seandainya dia menangis
mengeluarkan air mata darah sekalipun, si mati itu tidak akan hidup semula ke
bumi ini walaupun sedetik. Tetapi, mengapa dia juga meratap sehingga
meracau-racau bagaikan manusia yang tidak keruan..?
Sesungguhnya, apabila jahiliyah itu berjaya
menguasai diri seseorang, dia akan menjadi lupa daratan dan lupa ingatan. Jahiliyah
itu akan memainkan peranan di dalam dirinya untuk menguasai tingkah laku dan
gerak-gerinya, di waktu itu dia tidak dapat lagi berfikir dengan fikiran waras.
3. Mengapa Wanita Suka Meratap
Sesungguhnya program
kehidupan seseorang muslim dibina di atas konsep keimanan dan ketundukan diri
terhadap Allah, konsep yang membentuk nilai-nilai kehidupan yang lebih
universal dan komprehensif untuk bertindak memelihara kemuliaan diri seseorang
muslim. Di sana akan terbentuk suatu kekuatan apabila digabungkan kekuatan
spiritual dengan dengan kekuatan fizikal untuk menjadi satu tenaga ‘super
power’ yang kuat agar dapat menepis segala rupa bentuk jahiliyah yang datang menjelma. Islam menilai
seseorang manusia itu dari sudut keimanan dan ketaqwaannya, juga dari sudut
pelaksanaan amal ibadatnya yang membuktikan bahawa dia adalah seorang hamba
yang taat setia kepada perintah Tuhannya dan sentiasa beristiqomah dengan
perintahNya. Islam tidak sekali-kali menilai seseorang manusia itu dari sudut
jantinanya atau dari sudut kekayaannya atau dari sudut taraf kemuliaannya di
sisi masyarakat atau dari sudut keturunannya, Islam tidak memandang perkara itu
semuanya, kerana penilaian realiti kehidupan itu mesti berkait rapat dengan
persoalan spiritual atau persoalan fizikal. Islam tidak sekali-kali memandang
kekayaan seseorang itu untuk menilai status kemuliaannya atau kemiskinan
seseorang itu untuk menilai kehinaannya. Islam tidak menetapkan mulia hina
seseorang dengan sebab kekayaannya atau kemiskinannya. Islam juga tidak
mengukur kedudukan tinggi rendah seseorang itu dari sudut darah keturunannya
atau rupa bangsanya yang dianggap baik di sisi masyarakat, tetapi Islam menilai
seseorang itu dari sudut imannya dan ketaqwaannya terhadap Allah. Kekurangan
yang pada diri seseorang adalah disebabkan oleh dirinya sendiri ataupun sikap
hidupnya yang tidak mahu berubah atau tabiat semulajadi hidupnya yang tidak
mahu dirombak, seolah-olah dia lebih selesa dengan apa yang adapada dirinya.
Sepatutnya, dia perlu mengeluarkan dirinya dari terus berada dalam arus
kejahilan agar dia menjadi seorang manusia yang berfikiran waras tanpa dikuasai
oleh oleh hawa nafsu yang menjijikkan.
3.1.
Tabiat Semulajadi
Kadang-kadang, seseorang wanita itu
terikut-ikut dengan rentak tabiat semulajadi hidupnya yang tidak mahu menerima
sesuatu hakikat dan realiti yang berlaku. Jiwanya tidak mahu menerima langsung
ketetapan atau takdir yang menentukan, sedangkan dia tahu bahawa perkara itu
semua menyanggah peradaban hidup ajaran agama. Menjadi lumrah dalam kehidupan,
apabila berlaku kematian yang menimpa ke atas orang yang amat dikasihi, maka
kesedihan pasti terasa ke dalam jiwa,lebih-lebih lagi apabila mengenangkan
kisah suka duka bersama-samanya. Perkara tersebut adalah perkara biasa dalam
kehidupan, bahkan kesedihan ini juga
turut dirasai oleh binatang dan haiwan. Tetapi, mengapa ratapan itu menjadi
pilihan bagi setengah wanita apabila menyaksikan kematian datang menjelma ke
atas orang yang dikasihinya, mengapa dia tidak bersabar sahaja dan terus
mengambil sikap bertindak di luar dugaan, mengapa dia tidak mahu akur dengan
apa yang berlaku, mengapa berlaku demikian..?
Dia seolah-olah mahu
mencari alternatif lain agar ratapan itu dapat didengar oleh si mati dan dengan
ratapan itu juga agar roh si mati bersemadi dalam keadaan tenang. Bahkan, kalau
boleh dia mahu mencari suatu kuasa lain yang dianggap sakti untuk menghidupkan
kembali orang yang telah mati itu. Sesungguhnya anggapan ini telah dirasuk oleh
perasaan hawa nafsu yang menyebabkan pendirian hidupnya tidak menentu, dia
menjadi seorang manusia yang jumud dan beku, dia tidak lagi dapat berfikir dengan
fikiran yang waras. Sebabnya kerana tabiat hidupnya telah menguasai dirinya dan
dia tidak dapat mengawalnya lagi dan akhirnya dia kecundang di bawah lubuk hawa
nafsu.
3.2.
Sentuhan Jiwa
Kebanyakan jiwa wanita
mudah tersentuh apabila melihat fenomena yang berlaku, lebih-lebih lagi melihat
kemalangan yang dahsyat dan melibatkan kematian. Tetapi, bagi kebanyakan
lelaki, kadang-kadang peristiwa yang berlaku itu merupakan perkara biasa yang
tidak menyentuh perasaan jiwa raganya. Namun, realitinya tetap sama apabila
sesuatu kejadian itu datang menimpa anak isteri atau keluarga atau orang yang
dikasihi sehingga melibatkan kematian, perasaan sedih dan gundah pasti akan
terasa, kerana persoalan ini melibatkan perasaan yang dikaitkan dengan hubungan
kekeluargaan dan pertalian darah. Bagi seseorang wanita, perasaan jiwa raganya
yang mudah tersentuh ialah perasaan yang tidak dapat menahan kesabaran dan
sebak di dada, perasaan yang selalu mengusik jiwanya kerana terlalu berduka
sehingga menghiriskan perasaan itu sendiri, perasaan yang tidak dapat menerima
khabar berita yang tidak mengembirakan sehingga dia menjadi meracau dan lupa
segalanya, perasaan tersebut akan meronta-ronta untuk meraung kesedihan. Perasaan
itu akan meratap hiba dengan aksi yang tidak keruan sehingga mencakar mukanya,
mencarik-carik dan merobek-robek pakaiannya, berguling-guling di atas tanah
perkuburan, memukul-mukul anggota tubuh badannya sendiri dan sehingga ada yang
sanggup mencederakan tubuh badannya dengan senjata tajam. Mungkin, dengan
ratapan tersebut akan memberi suatu kepuasan kepada perasaan jiwa raganya…!
Namun, Islam tetap
dengan hakikatnya bahawa perbuatan tersebut adalah dilarang kerana melanggar
etika kemanusiaan itu sendiri. Islam tidak membenarkan upacara sebegitu rupa
yang boleh mendatangkan kesan yang buruk kepada perasaan dan jiwa seseorang. Mari
kita mendengar sepotong ayat suci Al Quran, semoga ianya memberi aspirasi dan
pengajaran yang baik kepada kita semua.
Firman Allah Ta’ala:
يآ
أيها النفس المطمئنة ارجعى الى ربك راضيةً مرضيةً فادخلى فى عبادي وادخلى فى جنة
Maksudnya: “ Wahai jiwa yang tenang!
Kembalilah kepada Tuhan mu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka
masuklah ke dalam jama’ah hamba Ku dan masuklah ke dalam syurga ”(Al Fajr:
27-30).
Oleh
sebab itu, setiap wanita hendaklah melapangkan dadanya agar tidak terpedaya
dengan perasaan, kerana kadang kala perasaan itu dikuasai oleh bisikan hawa
nafsu yang jahat. Jiwa yang tenang pasti akan terubat melihat realiti yang
berlaku supaya degup jantungnya tidak kelihatan gundah, dia hendaklah
menyerahkan segala ketentuan dan takdir hidupnya kepada Allah.
3.3.
Tidak Mahu Menerima Hakikat
Sesungguhnya kematian itu adalah ketentuan
dari Ilahi dan tiada sesiapapun yang boleh menghalangnya. Setiap jiwa pasti
akan menerima pukulan maut dan maut datang kepada sesiapa sahaja tanpa mengira
umur dan usia, waktu dan ketika. Maut bagaikan seekor singa lapar yang meragut
nyawa manusia tanpa mengira keadaan dan tempat. Apabila masa ajal telah tiba,
maka dia pasti kecundang.
Firman Allah Ta’ala:
وما كان لنفس أ ن تموت
الاَّ بإن الله كتاباً مؤجلاً
Maksudnya: “ Setiap yang bernyawa tidak
akanmati melainkan dengan izin Allah,sebagai ketetapan yang telah ditentukan
waktunya ”(Ali ‘Imran: 145).
Sebenarnya, kejahilan
hidup telah merombak nilai kehidupan manusia, kerana jiwanya tidak mahu
menerima hakikat bahawa kehidupan manusia di atas dunia akan berakhir dengan
sebuah kematian. Sebab itu, timbulnya ratapan dalam sesuatu kematian kerana
jiwa manusia tidak mahu menerima hakikat tersebut, dia menyalahkan kepada
ketentuan takdir, seolah-olah kematian itu tidak berlalu jika berlaku begini
begini…!
Apa yang berlaku itu
disebabkan oleh kejahilan diri dan dia tidak mengerti tentang persoalan
kehidupan dan kematian serta hubung-kaitnya dengan takdir Ilahi. Dia tidak
mengerti bahawa ajaran agama mencegah perbuatan tersebut dan bertentangan
nilai-nilainya. Sesungguhnya, perbuatan seperti ini boleh menyebabkan seseorang
itu menjadi kufur dan terkeluar dari ajaran Islam yang suci, kerana tidak mahu
menerima takdir dari Allah.
3.4.
Terlalu Kasih
Kerana terlalu kasih,
seseorang itu sanggup melakukan apa sahaja demi kebahagiaan hidupnya. Dia
sanggup menghabiskan harta benda dan wang ringgit semata-mata kasihnya kepada
seseorang, dia sanggup menghabiskan waktu dan ketika semata-mata ingin
bersama-sama melepaskann perasaan, dia menjadi manusia yang ekstrem dan lupa
apa yang berlaku di luar sana, kerana tumpuan hidupnya sekarang ialah hanya
kepada orang yang amat dikasihinya itu. Oleh kerana terlalu kasih yang teramat
sangat, dia lupa bahawa di sana pasti akan berlaku pemisahan di antara mereka
berdua, iaitu kematian. Dia lupa untuk meletakkan dalam memori ingatannya
bahawa kematian itu pasti akan menjelma jua apabila tiba masanya nanti.
Keindahan hidup itu menyebabkan dia terperangkap dalam krisis kehidupan yang
tidak menjanjikan apa-apa keistimewaan dalam pembangunan dirinya. Apabila
kematian memisahkan ikatan pertalian hidupnya, dia tidak dapat menerima realiti
tersebut, dia akan meratap sepuas-puasnya sehingga dia sendiri tidak
menghiraukan keadaan dirinya. Kehidupannya menjadi terumbang-ambing dan tidak
menentu, seolah-olah dia sekarang tidak mempunyai arah dan tujuan hidup. Dia
tidak berkuasa lagi untuk mengawal perasaan dirinya akibat kehilangan orang
yang tersayang itu. Akhirnya, dia mengambil sikap di luar dugaan dengan
membunuh diri sendiri, dia menyangka dengan sebab dia membunuh diri itu dia
akan bersama-sama dengan orang yang tersayang itu di alam lain. Sesungguhnya
perbuatan seperti itu adalah bercanggah dengan ajaran agama. Islam tidak
sekali-kali menerima perbuatan seperti ini, kerana ianya adalah perbuatan
orang-orang yang tidak mempunyai pertalian hidup dengan ketuhanan Allah.
Sabda
Rasulullah s.a.w.
حبك شيء يعم ويصم
Maksudnya:
“ Kasih mu pada sesuatu itu buta dan tuli ”.
4. Kematian Di Sisi Allah
Sesungguhya orang-orang yang berjuang dan berjihad di jalan Allah
ialah orang-orang yang paling mulia di sisiNya. Mereka adalah bentang
pertahanan Islam dan nadi kekuatan untuk memelihara kesucian agama daripada
dicemari. Mereka adalah pahlawan Islam yang sanggup gugur syahid di medan
pertempuran semata-mata mempertahankan maruah agama dan maruah ummat Islam
sejagat. Perjuangan mereka ialah untuk menegakkan Kalimah Allah di atas muka
bumi ini dan memastikan agar panji-panjiNya sentiasa berkibar megah. Namun,
jangan sekali-kali menyangka bahawa orang-orang yang telah mati berjuang
menegakkan kalimah LAA ILAHA ILLALLAH itu mati, sebenarnya mereka itu hidup di
sisi Allah dan Allah-lah yang memberi rezeki kepada mereka.
Firman Allah Ta’ala:
وَلاَ
تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ
عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ
Maksudnya: “ Janganlah kamu menyangka orang-orang yang mati di
jalan Allah itu mati, bahkan mereka hidup di sisi Tuhan yang memberi rezeki
kepada mereka “(Ali ‘Imran: 169).
Demikianlah,
kematian yang diwarnai dengan aksi perjuangan untuk menegakkan peraturan dan
undang-undang Allah adalah suatu jihad dan pengorbanan, kematian tersebut
adalah kematian kemenangan, kematian yang mencetuskan nilai-nilai keagungan
iman dan Islam yang luhur di sisi Allah. Kematian kerana taatkan perintah Allah
adalah lebih mulia daripada kematian yang melakukan maksiat kepada Allah.
Sekia, wassalam
Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment