PENGUASAAN ISTIQOMAH DALAM KEHIDUPAN

Friday 20 April 2012

RUKUN BAI’AH KELAPAN: TIDAK BERTABARRUJ


Rukun bai’ah yang kelapan ialah tidak bertabarruj, iaitu tidak berdandan atau berhias atau besolek sepertimana yang dilakukan oleh wanita jahiliyah dahulu kala.

Firman Allah Ta’ala:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ ولاَ تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأولَىٰ

Maksudnya: “ Tetaplah kamu di rumah mu dan janganlah kamu bertabarruj sebagaimana tabarruj jahiliyah yang pertama dulu “(Al Ahzab: 33).

      Sesungguhnya tabarruj yang dilakukan oleh wanita jahiliyah dahulu kala ialah mengenakan dandanan atau solekan pada wajah mereka dengan bahan-bahan kosmetik dan disertakan pula dengan pelbagai perhiasan pada anggota tubuh badan mereka, di samping berpakaian yang menjolok mata dan menghairahkan, kemudian mempamirkan pula kecantikan diri yang mengiurkan di hadapan kaum lelaki sehingga membangkitkan nafsu syahwat dan kejantanan mereka. Ini adalah di antara cara-cara tabarruj yang dilakukan oleh wanita jahiliyah purba kala dan cara tersebut telah mengalir ke dalam masyarakat kita sekarang. Ini bererti, jahiliyah itu berada di mana-mana sahaja, bukan sahaja di zaman purba kala, bahkan di zaman moden yang serba canggih, jahiliyah telah datang menjelma ke dalam masyarakat kita dengan bentuk dan aksi baru. Golongan wanita hari ini yang terdiri dalam kalangan kaum remaja tidak segan silu mendedahkan aurat mereka dengan berpakaian yang tidak melambangkan ciri-ciri sebagai seorang wanita Islam. Mereka juga mengenakan solekan yang tiada kena-mengena dengan kehidupan, untuk apa dan untuk siapa solekan pada wajah dan anggota tubuh badan mereka dipamirkan, sambil memakai pakain yang menjolok mata..!

Tidak lain dan tidak bukan, ianya dipamirkan untuk diperlihatkan kepada kaum lelaki dan perkara inilah yang diharamkan kepada kaum wanita bagi mengelakkan diri mereka daripada perkara-perkara yang tidak diingini. Segala rupa bentuk alat perhiasan yang terdiri dari emas, perak dan pelbagai batu permata serta ratna mutu manikan hanya dibenarkan ketika berada di dalam rumah. Kecantikan wajah dan tubuh badan setiap wanita adalah untuk tatapan mata suaminya sahaja. Segala solekan yang dikenakan dan pakaian yang mendedahkan hanya untuk ramuan mata si suaminya yang tercinta, bukan untuk orang lain….!

1. Takrif Tabarruj
Sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam ayat di atas tadi, bahawa ayat tersebut telah memberi garis panduan kepada setiap wanita untuk menghiaskan diri, lebih-lebih lagi mereka yang ingin menempatkan diri ke dalam gerakan Islam atau jama’ah Islam.

Benarlah firman Allah Ta’ala:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ ولاَ تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأولَىٰ

Maksudnya: “ Tetaplah kamu di rumah mu dan janganlah kamu bertabarruj sebagaimana tabarruj jahiliyah yang pertama dulu “(Al Ahzab: 33).

Tabarruj ertinya berdandan atau bersolek menghiaskan diri pada tubuh badan supaya kelihatan cantik.  Di dalam ayat ini, Allah Ta’ala melarang wanita Islam supaya jangan berdandan ataupun bersolek sebagaimana yang dilakukan oleh kaum wanita jahiliyah yang pertama dahulu. Mengapa Allah Ta’ala menyebut: ‘ Jahiliyah pertama dahulu..?’ Seolah-olah adanya jahiliyah kedua atau ketiga atau seterusnya…!

Fahamilah betul-betul maksud firman Allah itu, kerana jahiliyah akan datang menjelma setiap kali manusia engkar arahan TuhanNya atau meninggalkan ajaranNya atau manusia membelakangkan ajaran dari Tuhannya atau manusia tidak lagi beramal dengan ajaran yang diturunkan oleh Tuhannya. Maka jahiliyah itu sudah pasti akan menjadi pengganti untuk meresap masuk ke dalam degup jantung hatinya. Jahiliyah itu akan muncul buat kali kedua selepas jahiliyah yang bertama dahulu, tetapi kemunculannya lebih bersifat moderen dan tersusun dengan aksi dan lagak serta budaya yang diiktiraf oleh masyarakat, bahkan ianya menjadi perhatian untuk tarikan masyarakat dunia moden. Adakalanya, wanita moden hari ini disolek dan dihias bertujuan untuk melariskan jualan alat kosmetik di samping untuk menarik perhatian kaum lelaki supaya berada di sampingnya. Akhirnya mereka menjadi wanita murahan yang tidak lagi mempunyai maruah dan harga diri, kerana dibawa oleh setiap lelaki yang ingin mendampingi dirinya, walaupun dibayar dengan wang ringgit yang tinggi, tetapi hakikatnya mereka telah meruntuhkan nilai dan martabat kewanitaan yang ada pada dirinya. Islam awal-awal lagi menentang sekeras-kerasnya cara yang dilakukan ke atas wanita sebegini rupa, kerana wanita telah dijadikan alat dan bahan tarikan untuk sesuatu tujuan. Ini adalah suatu penghinaan yang sungguh kejam dan sungguh tidak bermoral. Wanita telah digoda maruah hidupnya dan diperdagangkan dengan sebegitu rupa untuk beberapa kepentingan duniawi yang bersifat sementara.

1.1.     Perbahasan Ulama Tentang Tabarruj
Tabarruj dapatlah dirumuskan sebagai: Wanita yang memperlihatkan perhiasan dan kecantikan dirinya kepada lelaki. Para mufassirin telah mentakrifkan makna dan pengertian tabarruj sebagai berkata:

Pertama: Berkata Mujahid, salah seorang ulama tafsir yang terkenal tentang makna tabarruj, iaitu: Wanita yang keluar rumah dan berjalan di hadapan lelaki.

Kedua: Berkata pula Qatadah: Tabarruj ialah wanita yang berjalan dalam keadaan mendedahkan aurat, sambil memperlihatkan jelingan manja dan mengenyit mata.

Ketiga: Berkata Maqatil bin Hayyan: Tabarruj ialah setiap wanita yang membuka kain tudungnya sehingga menampakkan kepala dan memperlihatkan rantai perhiasannya, anting-antingnya sehingga menampakkan tengkoknya dan lain-lain anggota.

Keempat: Berkata Abu ‘Ubaidah: Tabarruj ialah wanita yang keluar dengan aksi kecantikannya dan memikat syahwat lelaki apabila melihatnya.

Daripada apa yang dinyatakan oleh para ulama itu dapatlah kita simpulkan bahawa pengertian tabarruj ini amat luas, iaitu wanita yang keluar dengan memperlihatkan kecantikan dirinya kepada kaum lelaki dan mengenakan perhiasan pada tubuh badannya serta pakaian yang mendedahkan aurat, di samping lagak atau gayanya cuba mengoda dan memikat keinginan lelaki terhadap dirinya. Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sepotong hadith tentang sifat dan tabiat wanita yang suka menghiaskan diri tanpa mengikut syari’at yang telah ditetapkan.

Sabda Rasulullah s.a.w.

صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا: قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ اْلبَقَرِ يَضْرِبُوْنَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَآءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيْلاَتٌ مَائِلاَتٌ رُئُوْسَهُنَّ كَأَسْنِمَةِ اْلبُحْتِ اْلمَائِلَةِ لاَ يَدْخُلْنَ اْلجَنَّةَ وَلاَ يَجِدْنَ رِيْحَهَا وَإِنَّ رِيْحَهَا لَيُوْجَدُ مِنْ مَسِيْرَةِ كَذَا وَكَذَا

Maksudnya: “ Dua golongan ahli neraka yang aku belum pernah melihatnya iaitu: Kaum yang membawa cemeti seperti ekor lembu yang dipukul kepada manusia dan wanita yang berpakaian telanjang berjalan berlenggang-lenggok, sanggulnya seperti bonggol unta yang gila, mereka tidak akan masuk syurga, bahkan tidak akan mencium baunya, padahal bau syurga akan tercium dari jarak perjalanan sejauh sekian-sekian. Di dalam satu riwayat yang lain, bau syurga itu tercium sejauh lima ratus tahun perjalanan”(Riwayat Muslim).

1.2.  Hukum Tabarruj:
Tabarruj ala jahiliyah termasuk salah satu dosa besar yang dilarang dan dikutuk oleh Allah. Sebab itulah, manusia yang paling ramai menjadi penghuni neraka terdiri dalam kalangan kaum wanita, sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kita di dalam sepotong hadith:

اطْلعْتُ عَلَى النَّارِ فَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا النِّسَاءِ

Maksudnya: “ Aku diangkat ke neraka dan aku melihat kebanyakkan penghuni neraka ialah kaum wanita “.

Di dalam sepotong hadith yang lain, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

مَا تَرَكَتْ بَعْدِىْ فِتْنَةً هِىَ أَضَرُّ عَلَىْ الرِّجَالِ مِنَ النِسَاءِ

Maksudnya: “ Tiadalah fitnah yang paling mudharat selepas ku terhadap lelaki selain daripada wanita “.


Oleh sebab itu, setiap wanita yang mengaku dirinya beriman kepada Allah mestilah memelihara dirinya dan tidak melampau batas-batas ketika mengenakan perhiasan.

2. Perhiasan Wanita
Setiap manusia memerlukan perhiasan untuk kelihatan kemas dan bergaya. Perhiasan biasanya diguna-pakai untuk menghadiri majlis-majlis tertentu dan perhiasan tersebut mesti sesuai dengan tempat dan keadaan agar tidak kelihatan canggung. Islam tidak menghalang seseorang wanita itu memakai perhiasan, tetapi janganlah berlebih-lebihan dan melampaui batas agama sehingga menimbulkan fitnah.

Firman Allah Ta’ala:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ الله الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ

Maksudnya: “ Katakanlah! Siapakah yang mengharamkan perhiasan Allah untuk keluar menunaikan ibadat kepadaNya“(Al A’raf: 32).

Apa yang hendak dimaksudnya dengan perhiasan di sini ialah pakaian dan tiap-tiap apa mencantikkan dengannya. Ianya juga dapat dimaksudkan segala rupa bentuk alat-alat yang diguna-pakai untuk mengindahkan diri dan semua perhiasan diharuskan oleh Islam kecuali terdapat dalil yang mengharamkannya.

2.1.  Hukum Perhiasan Bagi Wanita
Islam mengharuskan perhiasan bagi manusia, lebih-lebih lagi bagi seseorang wanita yang menggunakan pelbagai peralatan untuk berhias yang sesuai dengannya dan syarak tidak pernah menegah atau mencegah tentang perkara ini melainkan di sana terdapat dalil-dalil yang menunjukkan haram penggunakan peralatan tersebut.

2.1.1. Perhiasan Sutera, Emas Dan Perak
Islam mengharuskan bagi seseorang wanita menggunakan perhiasan yang terdiri dari pakaian sutera, perhiasan yang diperbuat dari emas dan juga perak.

Sabda Rasulullah s.a.w.

حُرِّمَ لِبَاسُ الْحَرِيْرِ وَالذَّهَبِ عَلَى ذُكُوْرِ أُمَّتِىْ وَأُحِلَّ لإِنَاثِهِمْ

Maksudnya: “ Diharamkan pakaian sutera dan emas bagi lelaki dalam kalangan ummat ku, tetapi dihalalkan bagi wanita mereka “(Riwayat At Tirmizi).

   Begitu juga dengan perhiasan-perhiasan yang lain seperti batu-batu permata, di antaranya ialah seperti batu nilam, yaqub, zamrud, akib dan juga mutiara serta lain-lain.  Semua ini adalah perhiasan yang diharuskan oleh Islam kepada wanita.

2.1.2. Celak Mata
Islam mengharuskan memakai celak bagi kedua-dua bibir mata, kerana ianya boleh menyembuh penyakit mata dan menerangkan penglihatan, kecuali ketika memakai ihram hukumnya adalah makruh.

Sabda Rasulullah s.a.w.

خير أكحالكم الإثمد يجلو البصر وينبت الشعر

Maksudnya: “ Sebaik-baik celak kamu ialah dari jenis al ithmad (celak batu) ianya dapat memulihkan mata dan menyuburkan rambut “(Riwayat At Tirmizi).

Sabda Rasulullah s.a.w.

من اكتحل فليوتر من فعل فقد أحسن ومن لا فلا حرج

Maksudnya: “ Sesiapa yang mengenakan celak mata hendaklah digunakan secara witir, sesiapa yang melakukannya, maka itulah sebaik-baiknya dan sesiapa yang tidak melakukannya, tidak mengapa “(Riwayat Ibn Majah).

2.1.3. Mewarna Rambut Dan Tangan
Berhubung dengan mewarnakan rambut dengan warna hitam atau dengan inai, diharuskan bagi wanita yang telah berkahwin, sama ada mengubah warna rambutnya atau ubannya dengan pewarna yang sesuai dengan tabiat rambut, kerana perbuatan tersebut sebagai suatu ‘rukhsah’ untuk mencantikkan pandangan kepada suaminya. Tetapi, mewarnakan rambut ini tidak diharuskan kepada wanita yang belum kahwin kerana dikhuatiri fitnah. Di samping itu juga, Islam mengharuskan bagi seseorang wanita menginai tangannya atau kakinya untuk tujuan kecantikan.  Perkara ini di jelaskan di dalam sepotong hadith, bahawa Aisyah r.a. telah meriwayatkan:

وكان رسول الله صلى الله عليه وسلم يكره أن يرى المرأة ليس فى يدها أثر حناء أو أثرخضاب

Maksudnya: “ Adalah Rasulullah s.a.w. melarang wanita yang tiada pada tangannya kesan inai atau warna “ (Riwayat Baihaqi).

      Ini kerana perbuatan tersebut boleh mencantikkan lagi seseorang wanita, lebih-lebih untuk suaminya yang dikasihi.

2.1.4. Pemakaian Rambut Palsu
Islam mengharamkan bagi seseorang wanita memakai rambut palsu, lebih-lebih lagi mereka yang ingin menghampirkan diri kepada Allah. Lagipun, penggunaan rambut palsu ini tidak mendatang apa-apa manfaat kepada kecantikkan diri, melainkan ianya adalah palsu semata-mata. Di sana terdapat sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. menerangkan, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

لَعَنَ اللهُ الْوَاصِلَةَ وَالْمُسْتَوْصِلَةَ وَالْوَاشِمَةَ وَالْمُسْتَوْشِمَةَ

Maksudnya: “ Allah melaknat orang yang memakai rambut palsu dan pembuatnya, juga melaknat orang yang membuat tatu pada badannya dan pembuatnya “.

      Islam mengharamkan pemakaian rambut palsu kerana perbuatan tersebut tidak melambangkan ciri-ciri wanita yang solehah. Lagipun, pemakaian rambut tersebut boleh mengundang bahaya kepada kesihatan rambut asal.

2.1.5.     Mencabut Kening
Islam mengharamkan bagi seseorang wanita yang belum berkahwin mencabut kening, kerana sabit di dalam sepotong hadith yang diriwayatkan dari Ibn Mas’ud r.a. berkata:

لَعَنَ اللهُ الْوَاشِماتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالْنَامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ

Maksudnya: “ Allah melaknat orang yang membuat tatu pada badannya dan pembuatnya, juga melaknat orang yang mencukur kening dan pencukurnya “(Riwayat Muslim).

          Akan tetapi, Islam mengharuskan bagi wanita yang telah berkahwin menghiaskan diri dengan mencabut keningnya atau mengukir keningnya agar kelihatan cantik semata-mata untuk suaminya tercinta.

2.1.6.     Wangi-Wangian
Diharamkan sama sekali bagi wanita memakai bau-bauan atau wangi-wangian atau apa sahaja haruman ketika keluar rumah, kerana perbuatan tersebut boleh merangsangkan setiap lelaki yang mencium baunya.

Sabda Rasulullah s.a.w.

إِنَّ اْلمَرْأَةَ إِذَا اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى اْلقَوْمِ لَيَجِدُوْا رِيْحَهَا فَهِىَ زَانِيَةٌ

Maksudnya: “ Sesungguhnya seseorang wanita apabila memakai bau-bauan, kemudian melalui di hadapan kaum lelaki supaya mereka mencium baunya, maka ia adalah zina “(Riwayat At Tirmizi).

Sabda Rasulullah s.a.w.

لا تقبل الصلاة لإمرأة تطيب لهذا المسجد حتى ترجع فتغتسل غسلها من الجنابة

Maksudnya: “ Tidak diterima solat bagi seseorang wanita yang memakai wangi-wangian ke masjid sehingga dia pulang ke rumah dan mandi seperti mandi janabah “ (Riwayat Abu Dawud).

     Memakai wangi-wangian itu boleh mendatangkan  fitnah bagi kaum wanita dan juga menimbulkan suatu perasaan inginkan sesuatu yang lebih dari itu terhadap  diri seseorang lelaki yang menyebabkan berlakunya zina pada mata.

3. Pakaian Dan Fesyen
Setiap pakaian atau fesyen yang hendak diperagakan oleh seseorang mestilah memenuhi garis panduan yang telah disyari’atkan oleh Allah, bukan mengikut rentak atau perubahan semasa. Sebenarnya, pakaian yang diguna-pakai bagi seseorang wanita adalah untuk menutup auratnya, manakala fesyen pula ialah gaya atau reka bentuk sesuatu pakaian yang dipakai. Bagi seseorang wanita, fesyen tersebut mestilah sesuatu dipakai pada susuk tubuhnya yang menampakkan ciri-ciri atau sifat-sifat sebagai seorang wanita dan fesyen itu pula mestilah sesuai pada tempatnya. Oleh sebab itu, alangkah bagusnya seandainya seseorang wanita itu mengenakan pakaian pada susuk tubuhnya yang bercirikan perwatakan wanita solehah dan tidak mendedahkan aurat, manakala fesyen pakaian tersebut menampakkan ciri-ciri keimanan sejati. Setiap wanita perlu mengetahui cara berpakaian menurut Islam dan secara tidak langsung ianya akan menghapuskan pakaian atau fesyen yang dibawa oleh pihak barat yang sememangnya mahu meruntuhkan akhlak dan moral wanita Islam. Dengan cara berpakaian atau berfesyen menurut Islam, maka sudah tentu amalan seperti ini akan menggambarkan ciri-ciri peradaban bagi seseorang wanita dan menampakkan budaya sihat dalam masyarakat. Islam amat menjaga cara berpakaian bagi kaum wanita, kerana sifat kewanitaaan bagi seseorang wanita boleh mendatangkan fitnah dan boleh menjatuhkan maruahnya sendiri sekiranya berlaku sesuatu  perkara yang tidak diingini, apatah lagi jika berpakaian mendedahkan aurat. Maka, sudah tentu fesyen dan pakaian ini perlu  dipakai mengikut adat dan budaya masyarakat setempat sekiranya tidak bercanggah dengan kehendak-kehendak syari’at dan tidak pula melibatkan pakaian dalam upacara agama lain. Seandainya seseorang wanita memakai pakaian tanpa fesyen yang sesuai dan tidak mengikut keadaan setempat, nanti akan menimbulkan fitnah dan dipandang hina oleh orang-orang ramai. Selain daripada kain, sama ada diperbuat daripada benang atau bulu, di sana terdapat pelbagai jenis pakaian yang diharuskan bagi kegunaan wanita. Marilah kita perhatikan satu persatu fesyen dan pakaian yang diharuskan oleh syarak:

3.1. Pakaian Dari Kulit
Diharuskan bagi setiap wanita memakai pakaian yang diperbuat dari kulit haiwan yang dimakan dagingnya. Adapun binatang yang tidak dimakan dagingnya hendaklah disamak kulitnya terlebih dahulu, kerana Rasulullah s.a.w. pernah menyatakan:

أَيُمَا إِهَابٌ دُبِغَ فَقَدْ طَهُرَ

Maksudnya: “ Mana-mana kulit yang telah disamak, maka hukumnya adalah bersih “(Riwayat At Tirmizi).
 
   Kecuali kulit anjing dan kulit babi, sekalipun dicuci dan disamak, kedua-duanya tetap najis kerana hukum asalnya adalah najis. Adapun kulit binatang buas seperti kulit harimau adalah dilarang sama sekali, kerana sabit di dalam hadith:

 أَنَّ النَبى صلى الله عليه وسلَّم نَهَى عَنْ جُلُوْدِ السِّبَاعِ

Maksudnya: “ Sesungguhnya Nabi s.a.w. melarang ummatnya menggunakan pakaian dari kulit binatang buas “(Riwayat At Tirmizi dan Abu Dawud).

       Sepotong hadith lain, yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

لاَ تَصْحَبُ الْمَلاَئِكَةُ رُفْقَةً فِيْهَا جِلْدُ نَمِر

Maksudnya: “ Malaikat tidak akan menjadikan teman sesiapa yang memakai kulit harimau “ (Riwayat Abu Dawud).

3.2. Pakaian Sutera
Islam mengharuskan kepada seseorang wanita memakai pakaian yang diperbuat dari sutera, tetapi tidak kepada kaum lelaki. Setiap lelaki haram memakai pakaian dari kain sutera, kerana pakaian tersebut hanya dikhususkan hanya untuk wanita sahaja.

Sabda Rasulullah s.a.w.

حُرِّمَ لِبَاسُ الْحَرِيْرِ وَالذَّهَبُ عَلَىْ ذُكُوْرِ أُمَّتِى وَاُحِلَّ لإِنَاثِهِمْ

Maksudnya: “ Diharamkan pemakaian kain sutera dan emas bagi lelaki ummat ku dan dihalalkan bagi wanita mereka “ (Riwayat At Tirmizi).

3.3. Pakaian Emas
Diharuskan bagi seseorang wanita memakai pakaian yang diperbuat dari emas atau perak atau pakaian yang dicampur di antara sutera dan emas. Perkara ini telah dijelaskan oleh Sayyidina Ali bin Abu Talib, Karramallahu Wajha dengan katanya:

أَهَدَيْتُ لِرَسُوْلِ الله صلَّى الله علَيه وسلَّم حِلَّةً سَيْرَاءِ فَبَعَثَ بِهَا إِلِىَّ

Maksudnya: “ Aku telah memberi hadiah kepada baginda Rasulullah s.a.w. perhiasan saira yang dikirim kepada ku “ (Riwayat Muslim).

     Namun demikian, tidak diharuskan sama sekali menggunakan peralatan emas dan perak selain dari pakaian seperti bekas celak mata atau pinggan mangkuk, gelas atau seumpamanya.

3.4. Pakaian Berwarna
Sesungguhnya asal sesuatu pakaian itu adalah harus bagi setiap manusia, melainkan di sana terdapat nas-nas yang melarang memakainya. Maka, memakai pakaian yang berwarna adalah diharuskan oleh syari’at dan termasuk di dalam erti kata pakaian berwarna ini ialah pakaian yang bercorak atau berbatik dengan pelbagai rupa bentuk warna. Di sini dinyatakan beberapa potong hadith yang menyatakan tentang warna-warna pakaian yang telah dipakai oleh Rasulullah s.a.w. Ibn. Abbas r.a. telah meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

أَلْبَسُوْا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ فَإِنَّهَا مِنْ خَيْرِ ثِيَابِكُمْ وِكَفِّنُوْا فِيْهَا مَوْتَاكُمْ

Maksudnya: “ Pakailah pakaian berwarna putih, kerana ianya adalah sebaik-baik pakaian yang digunakan untuk mengapan ketika kamu mati “. (Riwayat At Tirmizi dan Abu Dawud).

       Al Barra bin ’Azib r.a. pernah berkata, bahawa dia pernah melihat Rasulullah s.a.w. berpakaian dengan warna merah:

وَلَقَدْ رَأَيْتُهُ فِىْ حُلَّةٍ حَمْرَاءِ مَا رَأَيْتُ شَيْئًا قَطُّ أَحْسَنَ مِنْهُ

Maksudnya: “ Sesungguhnya aku melihat Nabi berpakaian merah dan aku belum pernah melihat baginda sebagus itu“ (Sepakat riwayat).

       Manakala Abu Rimthah Rifaah At Taimiyyi r.a. pula pernah berkata:

رَأَيْتُ رَسُوْلَ الله صلَّى الله علَيه وسلَّم وَعَلَيْهِ ثَوْبَانِ أَخْضَرَانِ

Maksudnya: “ Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. memakai dua pakaian hijau “ (Riwayat At Tirmizi dan Abu Dawud).

   Jabir r.a. pernah menceritakan, ketika bersama Rasulullah s.a.w. dalam peristiwa Fath Makkah, katanya:

أَنَّ رَسُوْلَ الله صلَّى الله علَيه وسلَّم دَخَلَ يَوْمَ فَتْحِ مَكَّةَ وَعَلَيْهِ عِمَامَةٌ سَوْدَاءُ

Maksudnya: “ Ketika Rasulullah s.a.w. masuk ke Mekah di hari Fath Makkah (pembukaan Kota Mekah) memakai serban hitam“ (Riwayat Muslim).

    Aisyah r.a. salah seorang isteri Rasulullah s.a.w. yang amat dikasihinya pula telah meriwayatkan:

خَرَجَ رَسُوْلَ الله صلَّى الله علَيه وسلَّم ذَاتَ غَدَاةٍ وَعَلَيْهِ مِرْطٌ مُرَحَّلٌ مِنْ شَعْرٍ أَسْوَدَ

Maksudnya: “ Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. telah keluar dengan memakai kemul (iaitu kain yang diletakkan pada bahunya) yang bergambar kenderaan dari bulu hitam “ (Riwayat Muslim).

  Daripada beberapa potong hadith di atas, jelaslah kepada kita bahawa diharuskan memakai pakaian yang berwarna atau bercorak atau berbatik atau seumpamanya yang memperlihatkan warna-warni, sama ada ke atas lelaki atau wanita kerana ittiba’(iaitu mengikut perbuatan Rasulullah s.a.w.).

3.5. Memakai Seluar
Islam telah mengharuskan bagi seseorang wanita memakai seluar, sebagaimana yang dinyatakan di dalam sepotong hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda:
رَحِمَ اللهُ الْمُتَسَرْوَلاَتِ مِنَ النِّسِاءِ

Maksudnya: “ Allah memberi rahmat kepada mana-mana wanita yang memakai seluar “(Riwayat Al Hakim dan Al Baihaqi).

   Di dalam sepotong hadith yang lain, Ali Karramallahu Wajha telah meriwayatkan, pada suatu hari beliau dan para sahabat lain bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. di perkuburan Baqi’, tiba-tiba lalu seorang wanita yang menunggang keldai memakai seluar. Para sahabat yang melihat wanita itu bertanya tentang pakaian yang dipakai oleh wanita tersebut dan kemudian baginda bersabda:

اللهم اغْفِرْ لِلْمُتَسَرْوَلاَتِ مِنْ أُمَّتِى يَآ أَيُّهَا النَّاسُ اِتَّخِذُوْا السَرَاوِيْلاَتِ فَإِنَّهَا مِنْ أَسْتَرِ ثِيِابِكُمْ وَحَصِّنُوْا بِهَا نِسَائِكُمْ إِذَا خَرَجْنَ

Maksudnya: “ Wahai Tuhan! Ampunkanlah bagi wanita yang memakai seluar dalam kalangan ummat ku, wahai sekelian manusia! Ambillah seluar (sebagai pakaian kamu), kerana ianya adalah sebahagian dari pakaian yang menutup aurat dan ianya juga dapat memelihara kehormatan wanita kamu apabila mereka keluar dari rumah “ (Riwayat Al Baihaqi).

          Dua potong hadith di atas telah menjelaskan kepada kita, bahawa memakai seluar itu adalah harus dan dibenarkan oleh syarak terhadap wanita. Perkara ini menunjukkan bahawa pemakaian seluar amat digalakkan oleh Islam sehingga Rasulullah s.a.w. mendoakan kepada sesiapa dalam kalangan ummatnya yang memakai seluar termasuk dalam kalangan wanita. Namun demikian, cara pemakaian seluar yang dilakukan oleh golongan wanita hari ini telah jauh menyimpang dari landasan Islam yang sebenar, kerana fesyen seluar yang dikenakan oleh mereka sekarang telah dipengaruhi budaya dan unsur-unsur dari barat. Ianya tidak melambangkan ciri-ciri wanita Islam sejagat.  Fesyen yang dikenakan dan cara pemakaian seluar yang dilakukan oleh wanita hari ini terlalu ketat sehingga menampakkan kedua belah peha mereka yang boleh diistilahkan sebagai ‘menampakkan susuk badan’. Oleh sebab itu, memakai seluar mestilah dengan disertai dengan pakaian yang labuh, supaya tidak menampakkan kedua ulas peha yang boleh menarik perhatian kaum lelaki yang melihatnya atau memakai seluar tidak terlalu ketat yang tidak menampakkan susuk tubuh badan.

4. Syarat Fesyen Dan Pakaian
Ajaran Islam mewajibkan setiap penganutnya menutup aurat bagi mengelakkan berlaku fitnah dan perkara-perkara yang tidak diingini. Ini adalah kerana tabiat semulajadi manusia dan kehendak-kehendak naluri mereka berbeza di antara satu dengan lain. Oleh itu, Islam yang diturunkan kepada sekalian ummat manusia amat memahani tabiat dan perilaku manusia dan dengan sebab itulah ajaran Islam menetapkan kepada setiap penganutnya supaya mengikut lunas-lunas dan peraturan hidup yang termaktub di dalam syari’atnya. Islam telah meletakkan kedudukan wanita ke darjat yang paling mulia setelah berlalunya kisaran roda jahiliyah dan suku-sakatnya. Islam telah menggariskan panduan hidup untuk wanita secara khusus dan berbeza dengan kaum lelaki dari beberapa sudut. Islam telah menetapkan garis sempadan aurat wanita yang jauh berbeza dengan kaum lelaki, kerana rupa bentuk tubuh badan wanita amat mengiurkan dan mestilah dipelihara dan dijaga dengan sebaik-baiknya. Maka benarlah, sebutir mutiara tidak mempunyai apa-apa nilai seandainya dibiarkan di dasar laut tanpa diambil untuk dijadikan barang perhiasan seperti cincin, rantai dan sebagainya. Begitu juga dengan wanita, kalaulah wanita dibiarkan begitu sahaja dan bergerak bebas tanpa ikatan peraturan dan undang-undang, nescaya mereka tidak mempunyai harga dan nilai di sisi masyarakat.  Oleh sebab itu, Islam mengenakan beberapa syarat  yang mewajibkan ke atas wanita menutup aurat yang bertujuan untuk memelihara nilai dan kesopanan hidup wanita itu sendiri dan ianya merupakan lambang keunggulan peribadi dan perwatakan hidup mereka.

Firman Allah Ta’ala:
  
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لأزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جلاَبِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَنْ يُعْرَفْنَ فلاَ يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Maksudnya: “ Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isteri mu, anak-anak perempuan mu dan isteri-isteri orang-orang mu’min supaya melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka, yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali sehingga mereka tidak diganggu dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang “ (Al Ahzab: 59).

            Di sana terdapat beberapa syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh setiap wanita Islam yang mengenakan fesyen atau pakaian ketika keluar dari rumah atau ketika berurusan dalam masyarakat, di antaranya ialah:

4.1. Melabuhkan Fesyen Dan Pakaian
Hendaklah melabuhkan fesyen yang dikenakan atau pakaian yang diperagakan ke seluruh anggota badan, sebagaimana yang dijelaskan di dalam Al Quran.

Firman Allah Ta’ala:
يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جلاَبِيبِهِنَّ

Maksudnya: “ Mereka hendaklah (wanita-wanita itu) melabuhkan jibab (pakaian) mereka “(Al Ahzab: 59).

        Mengapa demikian..! Sebabnya ialah semata-mata untuk memelihara fitnah dari kaum lelaki, lebih-lebih lagi wanita yang mempunyai susuk tubuh yang montel dan menarik. Dengan melabuhkan pakaian tersebut, maka peratus keinginan kaum lelaki untuk ‘melihat-lihat’ adalah kurang, justeru ianya merupakan suatu ketaatan kepada arahan dan perintah dari Allah, semoga Allah memelihara wanita yang melabuhkan pakaiannya
       
 4.2. Tidak Terlalu Nipis
Kain yang digunakan untuk membuat fesyen pakaian itu tidak terlalu nipis, kerana tujuan berpakaian dalam Islam ialah dengan maksud menutup aurat. Seandainya kain tersebut tidak berfungsi untuk dimaksudkan atau diistilahkan sebagai menutup kerana terlalu nipis, maka ianya tidak dikatakan menutup aurat. Aisyah r.a. telah meriwayatkan sepotong hadith dari Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:

إِنَّ اَسْمَاءَ بِنْتَ أَبِى بَكْرٍ دَخَلَتْ عَلَى رَسُوْلِ الله صلَّى الله علَيه وسَلَّم وَعَلَيْهَا ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَأَعْرَضَ عَنْهَا رَسُوْلُ الله  صلَّى الله عَلَيه وسـلَّم وَقَالَ لَهَا يَآ أَسْمَاءُ إِنَّ اْلمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ اْلمَحِيْض لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلاَّ هَذَا وَهَذَا وَاَشَارَ اِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ

Maksudnya: “ Sesungguhnya Asma binti Abu Bakar telah masuk ke rumah Rasulullah s.a.w. dalam keadaan pakaian yang nipis, lalu baginda s.a.w. berpaling sambil berkata: Wahai Asma! Sesungguhnya wanita apabila telah baligh tidak boleh sama sekali diperlihatkan melainkan ini dan ini, sambil diisyaratkan kepada muka dan tangan tangannya “ (Riwayat Abu Dawud).

4.3. Tidak Terlalu Ketat
Fesyen atau pakaian yang dipakai oleh seseorang wanita itu tidaklah terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk dan susuk tubuh badannya. Lagipun, fesyen dan pakaian seumpama itu tidak sesuai dipakai, bahkan boleh memudharatkan tubuh badan

Sabda Rasulullah s.a.w.

صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا: قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ اْلبَقَرِ يَضْرِبُوْنَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَآءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيْلاَتٌ مَائِلاَتٌ رُئُوْسَهُنَّ كَأَسْنِمَةِ اْلبُحْتِ اْلمَائِلَةِ لاَ يَدْخُلْنَ اْلجَنَّةَ وَلاَ يَجِدْنَ رِيْحَهَا وَإِنَّ رِيْحَهَا لَيُوْجَدُ مِنْ مَسِيْرَةِ كَذَا وَكَذَا

Maksudnya: “ Dua golongan ahli neraka yang aku belum pernah melihatnya iaitu: Kaum yang membawa cemeti seperti ekor lembu yang dipukulkan kepada manusia dan wanita yang berpakaian telanjang berjalan berlenggang-lenggok, sanggulnya seperti bonggol unta yang gila, mereka tidak akan masuk syurga, bahkan tidak akan mencium baunya, padahal bau syurga akan tercium dari jarak perjalanan sejauh sekian-sekian! Di dalam satu riwayat yang lain, bau syurga itu tercium sejauh lima ratus tahun perjalanan “ (Riwayat Muslim).

     Islam telah menjaga cara berpakaian bagi kaum wanita adalah untuk memelihara maruah hidup mereka dari perkara yang tidak diingini berlaku. Sebab itu, Islam tidak mengiktiraf fesyen pakaian yang terlalu ketat, kerana ianya menampakkan setiap ulas bentuk tubuh badan, sekalipun telah menutup aurat.

4.4. Tidak Diletakkan Bauan
Pakaian yang dipakai oleh seseorang wanita tidak  diharuskan sama sekali diletakkan bau-bauan atau apa  saja bentuk haruman yang boleh merangsangkan perasaan  dan keinginan berahi kaum lelaki.

Sabda Rasulullah s.a.w.

إِنَّ اْلمَرْأَةَ إِذَا اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى اْلقَوْمِ لَيَجِدُوْا رِيْحَهَا فَهِىَ زَانِيَةٌ

Maksudnya: “ Sesungguhnya wanita apabila memakai bau-bauan, kemudian melalui di hadapan kaum lelaki supaya mereka mencium baunya, maka ia adalah zina “ (Riwayat At Tirmizi).

Pemakaian minyak wangi juga boleh mendatangkan fitnah kepada kaum wanita kerana ianya merupakan daya tarikan kepada kaum lelaki. Dengan mencium bau yang harum itu, seolah-olah ianya memberi suatu rangsangan dan langkah permulakan yang bertapak di dalam hati seseorang lelaki untuk melakukan sesuatu perkara mungkar. Namun, apa yang pastinya dengan mencium bau haruman atau wangian pada seseorang wanita, sekurang-kurangnya telah meletakkan satu titik persoalan bagi diri seseorang lelaki.

4.5.  Tidak Menyerupai Lelaki
Pakaian yang dipakai oleh wanita itu tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian yang biasa dipakai oleh kaum lelaki. Perkara ini adalah untuk memelihara kaum wanita  dan sifat-sifat kewanitaan dari sudut pakaian. Seandainya wanita memakai pakaian lelaki, nescaya di sana tidak menunjukkan pada sifat wanita itu ciri-ciri sebagai seorang wanita Islam. Sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. sebagai berkata:

لَعَنَ النَّبِىُّ صلَّى الله علَيه وسلَّم الرَجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ اْلمَرْأَةِ وَاْلمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ

Maksudnya: “ Nabi s.a.w. telah melaknat lelaki yang berpakaian seperti pakaian wanita dan wanita berpakaian seperti pakaian lelaki “ (Riwayat Abu Dawud dan An Nasaei).

   Di dalam sepotong hadith yang lain, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
لَعَنَ اللهُ اْلمُتَخَنِّثِيْنَ مِنَ الرِّجَالِ وَاْلمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِسَاءِ

Maksudnya: “ Allah melaknat lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki “.

        Peraturan dan undang-undang Islam dari sudut pakaian adalah jelas dan Islam sangat mengambil berat ummatnya dari sudut berpakaian adalah untuk melambangkan syiar agama, di samping membezakan pakaian lelaki dan pakaian wanita. Justeru, cara berpakaian itu juga adalah untuk membezakan pakaian yang biasa dipakai oleh orang-orang Islam dengan pakaian yang biasa dipakai oleh orang-orang bukan Islam.

4.6.  Tidak Menyerupai Kaum Kafir
Fesyen dan pakaian yang menutup tubuh itu tidak menyerupai fesyen dan pakaian yang biasa digunakan oleh orang-orang kafir, seperti pakaian dalam sesuatu upacara keagamaan atau pemujaan atau seumpamanya. Sepotong hadith telah menjelaskan, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr bin Al Ash r.a. telah berkata:

رَأَى رَسُوْلُ اللهِ صلَّى اللهُ عليْه وسلَّم عَلِىَّ ثَوْبَيْنِ مَعْصفرين فَقَالَ: إِنَّ هَذَهِ مِنْ ثِيَابِ الْكُفَّارِ فَلاَ تَلْبَسْهَا

Maksudnya: “ Rasulullah s.a.w. telah melihat Ali memakai dua helai pakaian ma'sifarain, lalu baginda menegur: Sesungguhnya ini adalah pakaian orang kafir, jangan kamu memakainya " (Riwayat Muslim).

Di dalam sepotong hadith yang lain, Sayyidina Ali pernah meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

إِيَّاكُمْ وَلُبُوْسَ الرَّهْبَانِ فَإِنَّهُ مَنْ تَزِيَّا بِهِمْ أَوْ تَشَبَّهَ فَلَيْسَ مِنِّى

Maksudnya: " Berhati-hatilah kamu daripada memakai pakaian rahib, sesiapa yang memakai atau menyerupainya, mereka bukan dalam kalangan ummat ku " (Riwayat Ahmad).

     Manakala Ibn. Umar r.a. pernah meriwayatkan sepotong hadith, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: " Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah sebahagian dari mereka " (Riwayat Abu Dawud dan Ahmad).

Daripada hadith-hadith yang dinyatakan di atas tadi jelaslah, bahawa setiap muslim tidak dibenarkan sama sekali memakai pakaian yang menyerupai kaum kafir, kerana ianya boleh membawa kepada kemusnahan iman.

4.7. Tidak Mengandungi Ukiran Agama Lain
Fesyen atau pakaian yang dipakai untuk menutup tubuh badan itu tidak mengandungi ukiran atau lakaran atau gambar yang menunjukkan syiar agama lain, seperti lambang salib atau lambang patung atau seumpamanya, kerana pakaian seperti ini ditegah dalam agama. Sepotong hadith yang diriwayatkan dari Diqrah Ummu Abdul Rahman bin Uzainah r.a. telah berkata:

كُنَّا نُطَوِّفُ بِالْبَيْتِ مَعَ أُمُّ اْلمُؤْمِنِيْنَ فَرَأَتْ عَلَى امْرَأَةٍ بُرْدًا فِيْهِ تَصْلِيْب فَقَالَتْ أُمُّ اْلمُؤْمِنِيْنَ: اطْرُحِيْهِ اطْرُحِيْهِ فَإِنَّ رَسُوْلَ اللهِ صلَّى الله علَيه وسلَّم كَانَ إِذَا رَأَى نَحْوَ هَذَا قَضَبَهُ

Maksudnya: " Kami melakukan tawaf bersama Ummu Mu'minin (Aisyah r.a.) dan dia melihat wanita yang memakai kain selimut yang mengandungi gambar salib, lalu Aisyah r.a. menegurnya: Buangkan! Buangkan! Sekiranya Rasulullah s.a.w. melihat, nescaya dia akan memotongnya " (Riwayat Ahmad).

        Sebabnya, pemakaian pakaian yang mengandungi syiar agama lain secara tidak langsung mengiktiraf ajaran agama tersebut, seolah-olah mengagung-agungkannya. Oleh itu, Aisyah r.a. pernah berkata:

إِنّأ لاَ نَلْبَسُ الثِّيَابَ الَّتِى فِيْهَا تَصْلِيْبُ

Maksudnya: " Sesungguhnya kami tidak sekali-kali memakai pakaian yang mengandungi salib ".

4.8. Bukan Membanggakan Diri
Fesyen dan pakaian yang dipakai itu bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang ramai atau kerana perasaan bangga diri, kerana tujuan cara berpakaian sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam adalah untuk menutup aurat, bukan untuk dibanggakan.

Sabda Rasulullah s.a.w.

مَنْ لَبِسَ ثَوْبَ شُهْرَةِ فِى الدُّنْيَا أَلْبِسَهُ اللهُ ثَوْبَ مُذِلَّةِ يَوْمَ اْلقِيَامَةِ ثُمَّ أُلْهَبَ فِيْهِ نَارًا

Maksudnya: " Sesiapa yang memakai pakaian yang membanggakan diri di dunia ini, nescaya Allah akan memakai padanya pakaian yang sangat hina di hari akhirat nanti, kemudian Allah akan membakarnya di dalam api neraka  " (Riwayat Ibn Majah dan An Nasaei).

Walaupun dengan pakaian, tetapi oleh kerana sifat bangga diri di dalam hati dan perasaan ingin menunjuk-nunjuk menyebabkan seseorang itu akan mendapat laknat dari Allah, sekalipun dia telah menutup aurat. Sebabnya, kerana sifat bangga diri itu adalah salah satu sifat dari sifat-sifat syaitan yang dilaknat oleh Allah.

4.9. Tidak Kelihatan Ghairah
Fesyen atau pakaian yang dipakai oleh seseorang wanita itu tidak dihias dengan perhiasan yang boleh menyemarakkan perasaan dan keinginan syahwat lelaki apabila melihatnya, kerana Allah melarang perbuatan tersebut.

Fiman Allah Ta'ala:
وَلاَ يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ

Maksudnya: “ Jangan kamu memperlihatkan perhiasan mereka “(An Nur: 31).

         Ayat ini diturunkan secara umum yang mengandungi pelbagai jenis perhiasan zahir yang diperlihatkan kepada kaum lelaki.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

مثل الرافلة فى الزينة فى غير أهلها كمثل ظلمة يوم القيامة لا نور لها

Maksudnya: “ Perumpamaan wanita yang memakai perhiasan selain dari suaminya, bagaikan kegelapan di hari kiamat yang tiada cahaya baginya“ (Riwayat At Tirmizi).

        Adakalanya fesyen dan pakaian yang dihiasi dengan pelbagai perhiasan boleh menimbulkan keinginan dan menaikkan nafsu syahwat kepada kaum lelaki yang melihatnya. Oleh sebab itu, penampilan fesyen atau gaya yang diperagakan itu tidaklah terlalu gahirah dan menjolak mata, sekalipun telah menutup aurat. Ini kerana, seluruh bahagian anggota dan tubuh badan wanita boleh mendatangkan fitnah, termasuk warna kulitnya dan juga bau peluhnya.
  
4.10. Tanpa Solekan Memberahikan
Fesyen dan pakaian yang dipakai oleh seseorang wanita itu tidak sekali-kali disertakan dengan solekan pada wajah yang boleh menimbulkan keberahian kepada pandangan mata setiap lelaki.

Firman Allah Ta'ala:
ولاَ تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأولَى

Maksudnya: “ Janganlah kamu bersolek seperti solekan jahiliyah yang pertama“ (Al Ahzab: 33).
         
Solekan terlalu menghairahkan sehingga menimbulkan perasaan berahi kepada kaum lelaki adalah dilarang sama sekali. Perbuatan ini adalah menjadi amalan golongan jahiliyah purbakala, sebagaimana yang dijelaskan pada bahagian yang lepas. Namun amalan bersolek bagi kaum wanita telah menjadi satu kelaziman atau budaya semasa bagi wanita di zaman moden ini tanpa menghiraukan kesan sampingan, di antaranya:

Pertama: Kesan pada wajah, kerana penggunaan alat kosmetik yang terlalu tebal akan memberi kesan buruk kepada wajah.

Kedua: Kesan pada diri sendiri, kerana solekan yang terlalu ghairah dan menarik akan menimbulkan perasaan berahi pada lelaki sehingga menyebabkan berlaku pencabulan seks dan seumpamanya.

 5. Perbahasan Tentang Aurat
Perbincangan mengenai tabarruj melibatkan perbahasan mengenai aurat wanita. Sesungguhnya Islam telah mengenakan batas sempadan tentang cara berpakaian terhadap wanita adalah untuk menampakkan ciri-ciri wanita Islam bahawa mereka semua terdiri dalam kalangan hamba Allah yang taat kepada perintahNya. Islam menyuruh wanita menutup aurat agar tidak kelihatan terdedah, tujuannya ialah memelihara kehormatan diri sebagai lambang wanita Islam dan juga menjaga kesihatan, kerana menutup aurat bererti menutup sebahagian besar anggota tubuh badan dari bakteria dan debu-debu yang kotor. Apa yang hendak dimaksudkan dengan aurat di sini ialah had sempadan anggota tubuh badan yang perlu dibuka dan  yang perlu ditutup bagi seseorang yang telah akil baligh, sama ada lelaki dengan lelaki atau lelaki dengan perempuan atau perempuan dengan perempuan. Mari kita perhatikan apa kata ulama berhubung dengan pandangan mereka mengenai aurat, di antaranya ialah:

5.1.  Aurat Wanita Dengan Wanita
Aurat wanita sesama wanita ialah di antara lutut sehingga ke pusat, selain dari itu boleh dilihat kecuali bagi wanita zimmah atau orang-orang kafir.

5.2.  Aurat Wanita Dengan Lelaki
Di sana terdapat beberapa perbahasan dan pandangan ulama mengenai batas sempadan aurat di antara wanita dengan lelaki:

5.2.1. Mazhab Syafi’ei dan Hambali
Mereka berpendapat, seluruh tubuh badan wanita adalah aurat dan Imam Ahmad Ibn hambal menambah: Seluruh tubuh badan wanita adalah aurat hatta kepada kukunya. Di antara dalil-dalil atau hujjah-hujjah pendapat golongan ini ialah:

Firman Allah Ta'ala:
وَلاَ يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: “ Dan janganlah mereka (kaum wanita) memperlihatkan perhiasan mereka, kecuali apa yang zahir padanya “(An Nur: 31).

         Di dalam ayat ini, memperlihatkan perhiasan adalah dilarang, sedangkan maksud zinah (perhiasan) di sini ada dua perkara: pertama: Zinah Khalqiyyah (semulajadi) dan kedua: Zinah Muktasabah (dicipta). Menurut pendapat di dalam mazhab ini, bahawa muka dan tapak tangan itu adalah perhiasan khalqiyyah (semulajadi). Maka hukumnya adalah haram mendedahkan kedua-dua anggota tersebut. Mereka juga mentakwilkan ayat (ماظهر منها) iaitu: “apa yang zahir padanya… bermaksud: Apa yang terlihat dengan cara yang tidak sengaja kerana terbuka ditiup angin atau seumpamanya. Mereka juga berdalilkan dengan sepotong ayat yang lain yang dipetik dari surah Al Ahzab, ayat: 53.

Firman Allah Ta’ala:

وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ

Maksudnya: “Dan apabila kamu meminta sesuatu kepada mereka (isteri-isteri nabi), maka mintalah melalui belakang hijab “(Al Ahzab: 53).

        Ayat ini jelas menunjukkan bahawa, muka itu adalah aurat bagi setiap wanita ajnabiyyah. Seandainya muka itu bukan aurat, mengapa Allah Ta’ala menyuruh para sahabat Nabi s.a.w. yang mahukan sesuatu perkara atau sesuatu hajat kepada isteri-isteri baginda supaya mereka semua meminta melalui tabir atau hijab.    Jarir bin Abdillah r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai pandangan terhadap kaum wanita:

سَأَلْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلَّى الله عَلَيه وسلَّم عَنْ نَظَرِ اْلفَجْأَةِ فَقَالَ: اصْرِفْ نَظَرَكَ

Maksudnya: “ Aku pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang pandangan yang tiba-tiba, lalu baginda menjawab: Alihkan pandangan mu “(Riwayat Muslim dan Ahmad).

      Di dalam sepotong hadith yang lain, Rasulullah s.a.w. pernah menasihatkan kepada menantunya Ali Karramallahu Wajha dengan katanya:

يآ عَلِىُّ لاَ تُتْبِعِ النَّظَرَةَ النَظْرَةَ فَإِنَّمَا لَكَ اْلأُوْلَى وَلَيْسَتْ لَكَ اْلثَّانِيَةُ

Maksudnya: “ Wahai Ali! Janganlah kamu ikuti pandangan pertama dengan pandangan kedua, kerana pandangan pertama itu hak kamu, tetapi tidak pada pandangan kedua “(Riwayat Abu Dawud dan Ahmad).

      Di dalam satu riwayat, Ibn Abbas r.a. pernah menceritakan suatu peristiwa mengenai kisah Nabi s.a.w. yang membonceng Al Fadhl bin Al Abbas:

أَنَّ النبىَ صلَّى الله علَيه وسلَّم أَرْدَفَ اْلفَضْلَ بْنُ اْلعَبَّاسِ يَوْمَ النَّحْرِ خَلْفَهُ وَكَـانَ رَجُلاً حَسَنَ الشَّعر اَبْيَضَ وَسِيْمًا فَجَأَتِ امْرَأَّةٌ مِنْ خَثْعَمَ تَسْتَفْتِيْهِ فَجَعَلَ اْلفَضْلُ يَنْظُرُ اِلَيْهَا وَتَنْظُرُ اِلَيْهِ فَجَعَلَ رَسُوْلُ الله صلَّى الله عَليَهْ وسلَّم يُصَرِّفُ وَجْهَ اْلفَضْلِ اِلَى الشِّقِِ اْلآخَرِ

Maksudnya: “ Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah membonceng Al Fadhl bin Al Abbas pada hari raya qurban dan beliau adalah lelaki yang berambut bagus, berkulit putih dan berwajah tampan, lalu datang seorang wanita dari Khats’am meminta fatwa dari Nabi s.a.w. tetapi Al Fadhl dan wanita itu saling berpandang-pandangan, lalu Rasulullah s.a.w. memalingkan wajah Al Fadhl ke arah yang lain “(Riwayat Bukhari dan Muslim).

     Daripada hadith-hadith di atas telah memperkuatkan lagi bahawa muka dan tapak tangan itu adalah aurat, di mana nas-nas tersebut telah menunjukkan bahawa haram bagi seseorang wanita ajnabiyyah yang telah akil baligh memperlihatkan auratnya termasuk muka dan tapak tangan.
  
5.2.2. Mazhab Maliki dan Hanafi:
Golongan mereka berpendapat, bahawa aurat wanita ialah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Bererti, bagi seseorang wanita diharuskan ke atasnya membuka muka dan kedua tapak tangannya.

Firman Allah Ta'ala:

وَلاَ يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: “ Dan janganlah mereka (kaum wanita) memperlihatkan perhiasan mereka, kecuali apa yang zahir padanya “(An Nur: 31).

         Mereka pula mentakwilkan maksud ayat: ‘Apa yang zahir padanya’ ialah muka dan tapak tangan, kerana kedua-dua anggota itu adalah biasa kelihatan dari anggota badan yang didorong oleh keperluan semasa untuk membukanya. Pendapat ini diambil dari sahabat Nabi s.a.w. dan juga dari Tabi'en, iaitu Said bin Jubair, Ad Dhahaq dan Al Auza'ei. Namun dalam kalangan para ulama dalam Mazhab Hanafi ada yang menyatakan kaki itu juga bukan aurat, mereka juga berhujah dengan dalam Surah An Nur: ayat 31. Mereka menafsirkan ayat tersebut sebagai berkata: Iaitu apa yang dimaksudkan dengan perkataan ‘yang zahir padanya’ ialah termasuk anggota kaki yang biasa terbuka dan terdedah, hatta pada gelang yang dipakai pada kaki harus tidak menutupnya kerana istithna (pengecualian) itu pada yang zahir sahaja. Pendapat golongan itu telah diperkuatkan dengan sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a.

إِنَّ اَسْمَاءَ بِنْتَ أَبِى بَكْرٍ دَخَلَتْ عَلَى رَسُوْلِ الله صلَّى الله علَيه وسَلَّم وَعَلَيْهَا ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَأَعْرَضَ عَنْهَا رَسُوْلُ الله  صلَّى الله عَلَيه وسـلَّم وَقَالَ لَهَا: يَآ أَسْمَاءُ إِنَّ اْلمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ اْلمَحِيْض لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلاَّ هَذَا وَهَذَا وَاَشَارَ اِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ

Maksudnya: “ Sesungguhnya Asma binti Abu Bakar telah masuk ke rumah Nabi s.a.w. dalam keadaan pakaian yang nipis, lalu baginda s.a.w. berpaling sambil berkata: Wahai Asma! Sesungguhnya wanita apabila telah baligh tidak boleh diperlihatkan melainkan ini dan ini, sambil diisyaratkan kepada muka dan tangan tangannya ”(Riwayat Abu Dawud).


      Hadith itu terang dan jelas menunjukkan bahawa diharuskan bagi wanita ajnabiyah dan yang akil baligh membuka muka dan tapak tangan dan kedua-dua anggota badan ini bukan dinamakan aurat. Golongan ini juga berhujah: Sekiranya muka dan tapak tangan itu aurat, mengapa ketika mendirikan ibadat solat diwajibkan membuka kedua-dua anggota ini dan begitu juga ketika mengerjakan ibadat haji..? Dan sekiranya kedua-dua anggota ini ditutup juga, ibadat tersebut tidak sah, maka perkara ini menunjukkan bahawa muka dan tapak tangan itu bukannya aurat. Namun, percanggahan pendapat dan pandangan ulama ini bukan menjadi sebab bagi seseorang wanita untuk tidak menutup aurat, tetapi ianya adalah untuk memberi ruang pilihan kepada para wanita bagi memilih mana-mana pendapat yang sesuai untuk dirinya, asalkan tidak menimbulkan fitnah. Seseorang wanita bebas hendak memilih mana-mana pendapat dan pandangan ulama yang dianggap sesuai untuk dirinya dan keperluan hidupnya dalam mengendalikan urusan seharian. Dengan pakaian yang dipakai dan fesyen yang dikenakan itu menampakkan dia adalah seorang wanita yang bercirikan keimanan, kerana cara penampilan seseorang wanita itu merupakan lambang kesucian dirinya.

      Ketahuilah..! Cuma hanya dua pendapat ini sahaja yang membicarakan tentang aurat wanita dan batas-batas yang harus dibuka atau ditutup. Adapun pendapat dan pandangan lain yang membolehkan membuka aurat wanita seperti menampakkan dada dan rambut dan seumpamanya, pendapat itu adalah pendapat yang terkeluar dari syari'at Islam.



Sekian, wassalam




Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani

No comments:

Post a Comment