Rukun bai’ah yang keempat ialah melarang para wanita membunuh
anak, sama ada anak dalam kandungnya sendiri atau anak selepas dilahirkan
ketika masih bayi, kerana sebab-sebab tertentu. Membunuh anak menjadi amalan
kebiasaan di zaman jahiliyah, iaitu membunuh anak perempuan. Sebenarnya, apa
jua bentuk pembunuhan yang dilakukan ke atas jiwa adalah haram di sisi Islam
dan Islam melarang dengan sekeras-kerasnya ke atas ummatnya agar tidak
melakukan pembunuhan dengan sewenang-wenang terhadap sesiapa saja, sama ada
mereka itu terdiri dalam kalangan orang-orang Islam atau orang-orang bukan
Islam, kecuali pembunuhan yang dilakukan ketika menjatuhkan hukuman bagi mereka
yang sabit melakukan kesalahan yang boleh dikenakan hukuman bunuh dan
pembunuhan dalam medan peperangan. Membunuh anak adalah suatu perbuatan dosa
yang besar dan dikutuk oleh Allah. Di zaman jahiliyah dahulu, terdapat dua
kebiasaan yang dilakukan oleh masyarakat arab terhadap anak mereka, iaitu
membunuh anak perempuan atau menguburkan mereka dan membunuh anak kepada takut
lapar atau jatuh miskin. Dua kebiasaan ini telah dinyatakan dengan teliti oleh
Allah di dalam kitabNya sebagai pengajaran untuk semua ummat manusia.
Firman Allah Ta’ala:
وَإِذَا
الْمَوْءُودَةُ سُئِلَتْ بِأَيِّ ذَنْبٍ
قُتِلَتْ
Maksudnya: “ Dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikuburkan
hidup-hidup dan ditanya, kerana apakah mereka dibunuh “ (At Taqwir: 8-9).
Membunuh anak perempuan ini merupakan suatu
tabiat dan adat kebiasan bagi masyarakat arab jahiliyah kerana mereka
menganggap anak perempuan tidak membawa tuah
dan apa-apa bentuk kebaikan kepada diri mereka, melainkan hanya membawa
keaiban dan mala petaka. Ini kerana, golongan wanita di zaman jahiliyah
dijadikan tempat pemuas hawa nafsu dan manakala golongan lelaki pula bebas
memiliki isteri tanpa batas. Kebanyakan wanita di zaman tersebut di tempatkan
di sarang-sarang pelacuran untuk dijadikan sebagai hamba seks. Mari kita
mendengar kisah seorang sahabat, ketika beliau berada di zaman jahiliyah yang
bernama Qais dan beliau adalah seorang pemimpin dari salah satu qabilah arab.
Ketika beliau menceritakan pengalaman hidupnya membunuh anak perempuannya dalam
keadaan hidup-hidup, beliau menitiskan air mata. Apabila isterinya melahirkan
seorang anak perempuan, lalu isterinya memberikan anak itu kepada keluarganya
untuk dipelihara, kerana dia bimbang seandainya suaminya tahu pasti akan
dibunuhnya. Dia memberitahu kepada suaminya bahawa kandungannya itu telah
melahirkan seorang anak lelaki yang tidak bernyawa dan Qais percaya dengan apa
yang diceritakan oleh isterinya. Setelah beberapa tahun, anak perempuannya mula
membesar dan pandai berkata-kata serta petah pula bercakap walaupn masih kecil.
Dia datang untuk menziarahi ibunya yang dikasihi. Sedang ibunya bersuka ria
dengannya sambil menyikat rambut anak itu, lalu datang Qais bertanyakan perihal
anak itu, lalu isterinya menjawab: “ Inilah anak kita…!”
Qais berkata dalam hatinya dalam keadaan geram dan marah: “ Ketika
itu sabarlah aku menunggu saat dan ketika, aku akan bawa anak ini ke suatu
tempat untuk dikuburkan hidup-hidup, setelah kubur digali, aku mencampakkan
anak itu ke dalam lubung…”
Aku masih ingat ketika anak kecil itu
merintih dan berkata-kata: “ Bapa..! Apakah yang hendak bapa lakukan pada
saya.. ?”
Qais tidak menghiraukan rintihan kata-kata
anak kecilnya itu yang masih tidak mengerti apa-apa. Anaknya berkata lagi: “
Bapa..! Adakah bapa hendak menguburkan saya hidup-hidup, kasihanilah saya ?”
Qais tidak langsung memperdulikan rintihan anak kecilnya itu sehingga tiada
lagi kedengaran suara rintihan. Di saat itulah, timbulnya perasaan belas
kasihan di dalam hatinya
Sebab itulah, kedatangan Islam ke dalam
masyarakat arab jahiliyah itu di antaranya ialah untuk mengubah dan merombak
serta menguburkan tabiat buruk termasuk adat kebiasan yang jijik itu dengan
memperkenalkan peraturan Islam yang syumul kepada mereka. Sesungguhnya
kedatangan Islam telah membawa seribu rahmat kepada mereka semua, terutamanya dalam
kalangan kaum wanita. Manakala kebiasaan yang satu lagi ialah membunuh anak
kerana takutkan kemiskinan yang akan melanda.
Allah berfirman:
وَلاَ تَقْتُلُوا أَوْلاَدَكُمْ خَشْيَةَ
إِمْلاَقٍ ۖ نَحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ ۚ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا
Maksudnya: “ Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana
takutkan miskin, Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan juga kepada kamu
“(Al Isra: 31).
Keadaan ini
berlaku di zaman jahiliyah sejak dahulu lagi, tetapi ianya menular ke zaman
moden ini. Dalam kalangan mereka ada yang membunuh anak kerana takut ditimpa
kemiskinan, kerana apabila mereka mempunyai ramai anak maka kos pengeluaran dan
sara hidup akan menjadi bertambah tinggi dan perkara ini merupakan suatu
bebanan yang besar, apatah lagi mereka hidup di kota raya yang memerlukan
banyak kos yang perlu dibelanjakan. Kejadian membunuh anak pada hari ini dapat
kita baca dalam ruangan akhbar dan media massa.
1.
Takrif Membunuh
Membunuh ertinya melakukan suatu perbuatan yang boleh menyebabkan
kematian, sama ada menggunakan senjata atau sebaliknya. Setiap kesalahan yang
dilakukan mesti menerima hukuman yang setimpal dengannya dan kesalahan dalam
perbuatan membunuh boleh dijatuhkan hukuman qisas, iaitu bunuh balas jika sabit
kesalahan.
Firman Allah Ta’ala:
وَلاَ تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي
حَرَّمَ اللَّهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ
Maksudnya: “ Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan
oleh Allah melainkan dengan hak “ (Al Isra: 33).
Di dalam ayat ini terdapat ‘ististhna’ atau
pengecualian terhadap perbuatan membunuh, sebagaimana yang dinyatakan iaitu: “...melainkan
dengan hak”. Bahawa di sana ada satu ruang yang membolehkan seseorang itu
melakukan perbuatan membunuh, iaitu pembunuhan ketika menjatuhkan hukuman
terhadap orang yang bersalah, sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah.
Firman Allah Ta’ala:
وَكَتَبْنَا
عَلَيْهِمْ فِيهَا أَنَّ النَّفْسَ بِالنَّفْسِ
Maksudnya: “ Kami telah tetapkan ke atas mereka, bahawa jiwa hendaklah
di balas dengan jiwa “ (Al Maidah: 45 ).
Iaitu mereka yang
melakukan jenayah bunuh hendaklah dijatuhkan hukuman bunuh balas kepada mereka
yang melakukan perbuatan tersebut, jika sabit dengan kesalahan yang dilakukan
itu beserta dengan kesaksiannya sekali. Manakala pembunuhan yang kedua yang
diharuskan oleh Allah ialah ketika berada di dalam medan peperangan.
Orang-orang yang berjuang di medan perjuangan boleh membunuh sesiapa sahaja
musuh-musuh yang datang menjelma, sekiranya mereka tidak berbuat demikian
nescaya musuh-musuh tersebut akan membunuh mereka.
Allah menjelaskan:
وَاقْتُلُوهُمْ
حَيْثُ ثَقِفْتُمُوهُمْ وَأَخْرِجُوهُمْ مِنْ حَيْثُ أَخْرَجُوكُمْ ۚ
Maksudnya: “ Dan bunuhlah mereka di mana sahaja mereka berada
dan usirlah mereka di mana kamu telah diusirkan oleh mereka “(Al Baqarah: 191).
2. Faktor Ibu Membunuh Anak
Sesungguhnya perbuatan membunuh ini merupakan suatu jenayah
kemanusiaan dan ianya merupakan dosa yang amat besar di sisi Allah. Orang-orang
yang melakukan perbuatan ini merupakan mereka yang tidak mempunyai belas
kasihan dan tidak berperikemanusiaan. Mereka tidak dapat berfikir dengan
fikiran yang waras ketika melakukan perbuatan tersebut, sedang mereka tahu
bahawa perbuatan tersebut amat dimurkai Allah dan mereka pasti akan dikenakan
tindakan undang-undang. Biasanya, mereka yang melakukan aksi pembunuhan ini
telah dikuasai oleh perasaan hawa nafsu kerana terlalu marah atau terlalu
berdendam sehingga menyebabkan hilang pertimbangan. Mereka tahu bahawa
perbuatan membunuh itu adalah suatu kesalahan dan dimurkai Allah, tetapi akal
fikiran mereka telah ditakluki oleh hawa nafsu yang meresap ke dalam tubuh
badan mereka dan mereka tidak dapat berfikir secara lebih rasional.
Maka benarlah kata-kata pujangga: “ Orang
yang membunuh itu pasti dibunuh…”
Iaitu orang yang melakukan kesalahan membunuh
pasti akan dikenakan tindakan, jika sabit kesalahan dia akan dijatuhkan hukuman bunuh. Hukuman bunuh yang
dikenakan ke atas pembunuh merupakan suatu keadilan dalam jenayah kemanusiaan
dan Islam telah mengenakan hukuman ini bagi menjamin jiwa manusia diperlakukan
tanpa belas kasihan. Dengan pelaksanaan undang-undang bunuh ke atas pembunuh
ini, maka dalam kalangan manusia akan merasa takut dan gerum untuk melakukan pembunuhan dengan
sewenang-wenangnya ke atas sesiapa sahaja tanpa sebab yang munasabah. Sebab
itu, Islam mengemukakan undang-undangnya sendiri adalah untuk keadilan sejagat.
Namun, di sana terdapat beberapa faktor yang menyebabkan mengapa seseorang ibu
sanggup membunuh anak kandungnya sendiri, apakah dosa dan kesalahannya,
tidakkah perbuatan itu satu jenayah dan kemusnahan jiwa..? Di sini, dinyatakan
beberapa faktor sahaja mengapa seseorang ibu sanggup membunuh anaknya:
2.1.
Takut Ditimpa Kemiskinan
Sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam Al
Quran, bahawa di antara faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya pembunuhan ke
atas anak ialah kerana takut ditimpa kemiskinan atau kefakiran hidup.
Allah berfirman:
وَلاَ تَقْتُلُوا أَوْلاَدَكُمْ خَشْيَةَ
إِمْلاَقٍ ۖ نَحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ ۚ
Maksudnya: “ Dan janganlah kamu membunuh
anak-anak kamu kerana takutkan miskin, Kamilah yang memberi rezeki kepada
mereka dan juga kepada kamu “ (Al Isra: 31).
Sebabnya, kerana pergantungan hidup mereka
tidak kepada Allah, tetapi mereka bergantung kepada perasaan hawa nafsu dan
ikhtiar hidup mereka sendiri. Kehidupan mereka tidak mempunyai pertalian yang
erat dengan Allah dan mereka tidak meletakkan bahawa Allah itu adalah Tuhan
yang menurunkan rezeki kepada manusia. Bagi ibubapa yang tidak
bertanggungjawab, mereka merasakan anak boleh memberi suatu beban masalah
kepada diri mereka, kepada kehidupan
mereka, kepada kerjaya hidup mereka dan kepada peluang-peluang kehidupan yang
ada. Mereka terpaksa menanggung segala kos kehidupan, lebih-lebih lagi
kehidupan di kota raya yang memerlukan banyak perbelanjaan dan masa. Kerana
mengejar kekayaan dan kerjaya hidup, ditambah pula takut ditimpa masalah
sehingga boleh menyebabkan jatuh muflis, maka mereka sanggup mengambil langkah
yang bertentangan dengan naluri kemanusiaan, iaitu membunuh anak mereka. Dalam
kalangan wanita yang mengejar kerjaya hidupnya sanggup membunuh anak dalam
kandungannya, kerana dia menganggap
bahawa kerjayanya itu adalah lebih penting dari segala-galanya yang dapat
menjamin masa depan hidupnya.
2.2.
Keterlanjuran
Dunia moden hari ini telah menyaksikan
pembunuhan anak secara beramai-ramai oleh kaum remaja yang terdiri dalam
kalangan wanita. Pembunuhan itu diakukan kerana kesalahan yang ada pada diri
mereka sendiri dan kebanyakan mereka telah terlanjur di dalam melakukan
hubungan sulit secara tidak sah dengan pasangan hidup mereka masing-masing
kerana kononnya berpegang kepada prinsip cinta sejati untuk sehidup dan semati. Tetapi, bicara itu semua adalah
palsu dan dongeng belaka…!
Sedangkan perbuatan tersebut adalah
perbuatan yang dikutuk dan dilaknat oleh Allah. Akibatnya, penderitaan hidup
yang tidak berkesudahan ditanggung oleh kaum wanita sendiri yang sememangnya
dianggap sebagai kaum yang lemah dan mudah terpedaya. Kesetiaan yang dicari,
tetapi kepalsuan diberi, kerana percayakan cinta palsu dan bisikan suara asmara
yang mendayu, maka segala perasaan dan isi hatinya dicurahkan. Akhirnya, dia
sanggup menyerahkan maruahnya dirobek-robekkan secara percuma oleh jantan sial,
kononnya dia adalah lelaki sejati yang dicari-cari selama ini. Dia sanggup
menjual maruah hidupnya demi cinta monyet yang tidak kemana, maruah hidupnya
tergadai dan tersadai dengan begitu sahaja tanpa apa-apa imbuhan yang dapat
dihasilkan, dia sanggup maruah hidupnya tergadai kerana keseronokkan yang
sedikit dan keenakan yang sementara waktu. Oleh kerana masing-masing tidak mahu
bertanggungjawab dan masih belum bersedia untuk menjadi ibubapa, maka di sana
berlakulah pembunuhan janin atau bayi ketika masih di dalam kandungan lagi,
berlaku pula pembuangan bayi-bayi yang tidak berdosa di merata-rata tempat
hasil daripada pergaulan bebas di antara teruna dara dan perlakuan hidup yang
tidak bermoral. Walaupun cara
pembunuhan terhadap anak-anak di zaman jahiliyah berbeza dengan cara pembunuhan
yang dilakukan pada zaman moden ini, tetapi hakikatnya adalah sama sahaja,
kerana sifat pembunuhan yang dilakukan itu adalah untuk menutup keaiban yang
telah dilakukan, justeru tidak sanggup menanggung penderitaan dan tidak sanggup
pula menanggung perasaan malu serta cercaan dari kaum keluarga sendiri dan
masyarakat setempat. Pembunuhan anak di
zaman moden ini lebih dahsyat lagi jika hendak dibandingkan dengan pembunuhan
di zaman jahiliyah dahulu, kerana pembunuhan anak zaman moden ini dilakukan
oleh mereka yang mempunyai pendidikan, tetapi pembunuhan anak yang dilakukan di
zaman jahiliyah adalah kerana sifat jahiliyah itu sendiri yang wujud di dalam
masyarakat mereka.
2.3.
Perkosaan
Dunia moden hari ini tidak berjaya menyekat
kemaraan arus jahiliyah yang datang menjelma. Jahiliyah itu datang semula
kerana sikap manusia yang tidak mahu berpegang teguh dengan prinsip dan ajaran
agama, dengan peraturan dan arahan-arahan agama, dengan segala ketetapan dan
diwajibkan yang telah ditentukan kepada manusia. Dalam kalangan manusia hari
ini sanggup memilih cara hidup barat sekalipun dia mengaku beriman kepada
Allah. Budaya hidup dan etika hidupnya diceduk dari barat kerana menganggap
barat dapat membina tamaddun kehidupan moden yang lebih selesa. Dia terpengaruh
dengan pembangunan kebendaan yang dinikmati di barat, tetapi dia tidak menilai
hakikat sebenar terhadap nilai-nilai masyarakat barat yang hancur musnah. Kita
dapat saksikan sendiri, kehidupan cara barat tidak memerlukan moral dan akhlak,
kehidupan itu juga tidak memerlukan nilai-nilai peradaban dan pekerti hidup
yang mulia. Kehidupan mereka telah diterjemahkan mengikut kehendak dan kemahuan
hawa nafsu, bukan lagi mengikut aturan hidup kemanusiaan yang diasaskan oleh
pegangan hidup. Akibatnya, dunia moden hari ini menjadi semakin parah dengan
akhlak dan tingkah laku manusia yang tidak melambangkan sifat-sifat dan
ciri-ciri kemanusiaan yang sebenar, bahkan corak kehidupan mereka lebih dahsyat
dari corak kehidupan haiwan dan binatang.
Di sana terdapat suatu teori yang menafsirkan bahawa segala perbuatan
manusia disalurkan menerusi jalan naluri dan hubungan seks, iaitu Teori Freud.
Teori ini menafsirkan bahawa kemahuan manusia adalah tanpa batas sempadan,
sekalipun dengan anak sendiri atau saudara kandung atau dengan isteri orang
lain atau sesiapa sahaja termasuk sesama sejenis atau dengan binatang. Mereka yang terpengaruh dengan teori ini sanggup memperkosa wanita
semata-mata memenuhi perasaan naluri dan hawa nafsu. Kita dapati dalam
masyarakat kita hari ini, dalam kalangan lelaki sanggup membenarkan kekasihnya
diperkosa secara bergilir-gilir oleh rakan-rakannya, suami pula sanggup
membiarkan isterinya diperkosa oleh lelaki lain, seorang bapa sanggup
memperkosa anak kandungnya sendiri, seorang abang sanggup memperkosa adik
kandungnya sendiri dan lain-lain lagi. Akhirnya, berlaku pembuangan anak dalam
kandungan secara tidak sah di sisi undang-undang, kerana dianggap mengaibkan. Tidak kurang juga
berlaku pembunuhan anak ketika masih bayi lagi, kerana tidak sanggup menerima
kenyataan dan realiti hidup.
2.4.
Memberi Sial
Kadang-kadang anak yang dilahirkan itu tidak
menepati gambaran yang dikehendaki. Setelah menjaga dan memelihara anak itu
beberapa lama, lalu berlaku perkara-perkara luar biasa seperti binatang berbisa
masuk ke dalam rumah, mimpi yang mengerikan, berlaku pula kemalangan kepada
anggota keluarga, berlaku bencana seperti kebakaran dan lain-lain lagi, di mana
kebetulan perkara ini berlaku selepas anak tersebut dilahirkan. Kepercayaan kuno telah merosakkan
kebijaksanaan dan kepintaran manusia, apabila anak itu dibawa kepada seseorang
dukun, lalu dukun itu menyatakan si anak ini akan membawa sial kepada keluarga
apabila dia menjadi dewasa nanti. Dukun tersebut memberi pelbagai alasan yang
boleh dianggap munasabah dan logik dengan apa yang berlaku terhadap keluarga
itu. Dengan alasan-alasan tersebut,
maka anak itu dibunuh melalui cara dan kaedah-kaedah yang tertentu bagi
mengelakkan diri daripada diambil tindakan undang-undang.
2.5.
Kecacatan
Kadang-kadang kecacatan juga boleh membawa
keaiban keluarga dan tidak hairanlah terdapat dalam kalangan ibu yang tidak
sanggup mengaku anak kandungnya sendiri dengan sebab kecacatan yang ada pada si
anak itu. Dengan sebab kecacatan itu, ada dalam
kalangan ibu yang tergamak meninggalkan anak kandungnya sendiri yang baru
dilahirkan di tepi-tepi jalan atau tempat-tempat tertentu agar diambil oleh
orang lain. Dengan sebab kecacatan ini juga, terdapat dalam
kalangan ibu yang tidak sanggup menanggung risiko dan penderitaan hidup. Dia
akan mengasingkan anaknya yang cacat itu daripada anak-anaknya yang lain dan
mengurung di tempat tersembunyi. Di samping itu juga, dia tidak akan memberi
makanan yang secukupnya dengan harapan anak itu akan mati dengan cepat. Sepatutnya kita hendaklah yakin dan percaya bahawa segala apa jua
rezeki dan nikmat adalah datang dari Allah dan Dialah sebaik-baik tempat
pergantungan. Maka, setiap manusia yang mengaku beriman kepada Allah hendaklah
menyerahkan segala takdir dan ketentuan kepada Allah, Tuhan Yang Maha Agung
itu. Di samping itu dia hendaklah berusaha dan berikhtiar untuk mencapai
kemenangan di dunia dan di akhirat.
3. HUKUMAN KE ATAS IBU MEMBUNUH ANAK
Sesiapa yang melakukan perbuatan membunuh dengan sengaja dan jika
sabit kesalahannya boleh dijatuhkan hukuman qisas, iaitu hukuman bunuh balas.
Firman Allah Ta’ala:
كتب عليكم القصاص فى القتلى
Maksudnya: “ Diwajibkan qisas ke atas pembunuhan ” (Al Baqarah:
178).
Manakala bagi kesalahan pembunuhan yang dilakukan tidak sengaja
pula dan jika sabit kesalahannya, maka hukumannya hendaklah membebaskan seorang
hamba yang beriman dan dikenakan bayaran diyat, iaitu sejumlah wang pampasan
yang wajib dibayar kepada keluarga mangsa.
Firman Allah Ta’ala:
ومن قتل مؤمنًا خطأً فتحرير رقبة مؤمنة ودية
مسلمة الى أهله
Maksudnya: “ Sesiapa yang membunuh seorang mukmin kerana
tersilap (tidak sengaja), maka hukumannya hendaklah membebaskan seorang hamba
yang beriman dan bayaran diyat yang
diserahkan kepada keluarganya ”(An Nisa: 92).
Akan tetapi, seandainya seseorang ibu membunuh anak kandungnya
sendiri dan jika sabit kesalahan dia melakukan perbuatan tersebut, maka si ibu
tersebut tidak dikenakan hukuman qisas, kerana sabit nas dalam hadith:
لا يقتــل والد بولده
Maksudnya: “ Seseorang ibubapa tidak dijatuhkan hukuman bunuh
dengan sebab membunuh anaknya ”.
Sekian, wassalam.
Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnnai
No comments:
Post a Comment