Rukun bai’ah yang ketiga ialah tidak melakukan penzinaan, iaitu
persetubuhan yang diharamkan di antara lelaki dan perempuan tanpa proses
perkahwinan atau seumpamanya menurut pandangan syari’at. Ini adalah kerana
perbuatan tersebut boleh merosakkan keturunan manusia dan boleh mendatangkan
pelbagai jenis penyakit yang kronik, termasuk penyakit sosial dalam masyarakat,
di samping ianya boleh menyebabkan berlakunya perbalahan dalam kalangan anggota
masyarakat.
Firman Allah Ta’ala:
الزَّانِيَةُ
وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ وَلا تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ
فِي دِينِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ۖ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ
مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “ Penzina perempuan dan penzina lelaki hendaklah
disebat keduanya seratus sebatan, jangan kamu merasa belas kasihan terhadap
hukuman yang dikenakan kepada keduanya dalam agama Allah, sekiranya kamu
beriman dengan Allah dan hari akhirat, saksikanlah hukuman yang dikenakan ke
atas keduanya oleh sekumpulan orang-orang yang beriman “ (An Nur: 2).
Penzinaan merupakan amalan hidup jahiliyah
yang diwarisi sejak turun temurun oleh mereka yang ketagih seks. Manusia yang
terjelumus ke lembah ini adalah manusia yang sangat kotor dan sangat
menjijikan, lebih-lebih lagi golongan wanita yang sanggup memperdagangkan
tubuhnya dan sanggup diperlakukan dengan ragus oleh pelbagai jenis lelaki
semata-mata ingin memuaskan nafsu berahi mereka. Wanita jenis ini sanggup
menjatuhkan maruah hidupnya sendiri untuk terjun ke lembah yang paling hina.
Kehidupannya lebih dahsyat daripada binatang dan haiwan, kerana dia sanggup
menjual harga dirinya untuk mendapat habuan duniawi dan kenikmatan hidup yang
sementara. Islam adalah agama yang sentiasa memelihara
dan menjaga para penganutnya dengan mengemukakan peraturan dan undang-undang
yang sesuai dengan garis panduan hidup manusia. Islam telah menetapkan, bahawa
hubungan sesama manusia, sama ada lelaki dengan lelaki atau wanita dengan
wanita atau lelaki dengan wanita mempunyai batas-batas dan had yang harus diberi
perhatian. Islam melarang keras pergaulan bebas di
antara lelaki dengan wanita dan larangan ini bukanlah bererti Islam tidak
membenarkan langsung pergaulan di antara kedua jenis manusia itu, tetapi
larangan tersebut adalah bersifat sementara sahaja yang bertujuan untuk
‘memelihara’ daripada berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini. Islam
mengharuskan hubungan di antara mereka di atas alasan urusan kerja atau
maslahat semasa atau perkara-perkara yang berkaitan dengannya, tetapi mestilah
dengan syarat hubungan tersebut tidak mendatangkan keraguan atau mencurigakan. Sebenarnya Islam bukan sahaja melarang ummatnya melakukan
perbuatan zina yang terkutuk itu, bahkan melarang perbuatan-perbuatan lain yang
boleh menghampiri seseorang itu ke lembah tersebut, sebagaimana dijelaskan di
dalam sepotong ayat.
Firman Allah Ta’ala
Maksudnya: “ Janganlah kamu menghampiri zina, kerana perbuatan
itu adalah perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan”(Al Isra: 32).
Islam juga melarang dengan sekeras-kerasnya dalam
kalangan ummatnya yang mendorong golongan wanita memperdagangkan tubuh badannya
di rumah-rumah urut, atau rumah pelacuran atau di kelab-kelab malam atau di
mana sahaja tempat sebagai suatu cara dan usaha untuk memperolehi pendapatan.
Firman Allah Ta’ala:
وَلاَ
تَكْرِهُواْ فَتَيَاتِكُمْ عَلَى الْبِغَآءِ إِنْ أَرَدْنَ تَحَصُّنًا
Maksudnya: “ Jangan kamu memaksa hamba wanita mu melakukan
pelacuran, sedangkan mereka sendiri menginginkan kesucian “(An Nur: 33).
Di antara perkara-perkara yang dilarang yang
boleh menyebabkan seseorang itu terjelumus ke lembah penzinaan ialah
berdua-duaan di tempat yang sunyi tanpa ada mahram atau teman seiring,
sebagaimana yang dijelaskan di dalam sepotong hadith.
Sabda Rasulullah s.a.w.
مَا
خَلاَ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إلاَّ كَانَ الشَّيْطَانُ ثَالِثَهُمَا
Maksudnya: “ Tiadalah
lelaki dan perempuan berdua-duaan di tempat sunyi melainkan yang ketiga ialah
syaitan “.
Termasuk di dalam mengertian menghampiri zina
ialah mengunjung ke tempat-tempat yang dianggap sarang maksiat, bergaul dengan
golongan yang suka berzina dan melakukan perbuatan mungkar, membaca buku-buku
lucah, menonton filem-filem porno dan gambar-gambar yang menghairahkan atau
memakan ubat-ubat tertentu yang boleh merangsangkan lagi keinginan syahwat dan
nafsu kepada wanita.
1. Takrif Zina
Melakukan persetubuhan melalui jalan hadapan dengan seorang
perempuan tanpa proses perkahwinan atau tanpa memilikinya atau tidak dalam
keadaan syubhah (keraguan). Sekiranya persetubuhan itu dilakukan melalui jalan
belakang (dubur) tidak ditakrifkan sebagai zina, tetapi ditakrifkan sebagai
liwat. Begitu juga persetubuhan itu dilakukan di antara lelaki dengan lelaki
atau persetubuhan yang dilakukan dengan orang yang telah mati atau persetubuhan
yang dilakukan dengan binatang juga tidak dianggap suatu perzinaan, namun
perbuatan tersebut tetap dianggap keji di sisi ayari’at. Islam menghalalkan
hubungan seks di antara lelaki dengan perempuan ialah hanya melalui proses
perkahwinan sahaja atau ‘memilikinya’.
Apa yang hendak dimaksudkan dengan memilikinya di sini ialah hamba perempuan
yang dimiliki oleh tuan punya diharuskan oleh syari’at melakukan persetubuhan
walaupun tanpa proses perkahwinan, dengan syarat hamba perempuan itu seorang muslim
atau ahli kitab. Hubungan seks dengan hamba perempuan yang dimilikinya tidak
dikenakan had zina, sekalipun tanpa proses perkahwinan. Begitu juga dengan
persetubuhan yang dilakukan dalam keadaan syubhah atau dalam keadaan meragukan.
Contohnya: persetubuhan yang dilakukan dalam keadaan suasana yang gelap,
setelah selesai melakukan persetubuhan itu, tiba-tiba si suami mengetahui
bahawa yang disetubuhi itu bukan isterinya, tetapi orang lain. Persetubuhan ini
dinamakan ‘persetubuhan syubhah’ kerana ianya dilakukan dalam keadaan tersilap
atau tersalah dan bukan keranai antara kedua-duanya.
1.
Syarat Disabitkan Kesalahan Zina
Di antara perkara-perkara yang boleh disabitkan dengan kesalahan
zina ini ialah:
1.1. Perbuatan tersebut
dilakukan oleh seorang muslim, sama ada lelaki atau perempuan dan mempunyai
akal fikiran yang waras serta cukup umur kematangannya. Di sana, Rasulullah
s.a.w. telah bersabda:
رفع القلم عن ثلاثة: عن
الصبي حتى يحتلم والنائم حتى يستيقظ والمجنوم حتى يفيق
Maksudnya: “ Diangkat qalam (tidak dicatat
kesalahan) kepada tiga golongan, iaitu: kanak-kanak sehingga dia baligh, orang
yang tidur sehingga dia terjaga dari tidurnya dan orang yang gila sehingga dia
kembali waras ”(Riwayat Bukhari dan Muslim).
2.2.
Kesalahan yang dilakukan itu adalah dengan
sebab pengakuan dirinya sendiri dan bukan kerana paksaan, sebagaimana
kisah seorang wanita dari keturunan Juhainah yang mengandung hasil dari
perbuatan zina dengan seorang lelaki dan wanita itu ingin bertaubat dan kembali
ke pangkuan Allah, lalu dia berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. sambil berkata:
يآ رسول الله! أّصَبْتُ
حَدًّا فَأَقِمْهُ عَلَىَّ، فَدَعَا نَبِىُّ اللهِ صلى الله عليه وسلم وَلِيَّهَا
فَقَالَ: أَحْسِنْ إِلِيْهَا، فَإِذَا وَضَعَتْ فَأْتِنِى بِهَا فَفَعَلَ فَأَمَرَ
بِهَا نَبِىُّ الله صلى الله عليه وسلم فَشُدَّتْ عَلَيْهَا ثِيَابُهَا ثُمَّ
أَمـَرَ بِهَا فَرُجِمَتْ ثُمَّ صَلَّى عَلَيْهَا فَقَالَ لَهُ عُمَرَ: تُصَلِّى
عَلَيْهَا يآ رَسُـوْلَ الله وَقَدْ زَنَتْ؟ فَقَالَ: لَقَدْ تَابَتْ تَوْبَةً
لَوْ قُسِمَتْ بَيْنَ سَبْعِيْنَ مَنْ أَهْلِ الْمَدِيْنَةِ لَوَسِعَتْهُمْ،
وَهَلْ وَجَدْتَ أَفْضَلَ مِنْ أَنْ جَادَتْ بِنَفْسِهَا لِلَّهِ عَزَّوَجَلَّ
Maksudnya: "
Wahai Rasulullah! Aku telah terkena hukuman had, maka laksanakanlah ke atas
diri ku! Rasulullah s.a.w. memanggil wali wanita itu dan bersabda: Peliharakan
ia baik-baik dan bila anak dilahirkan nanti bawalah kemari! Lalu perkara
tersebut dilaksanakan oleh si wali wanita itu dan kemudian setelah melahirkan
anak, wanita itupun direjam, setelah beliau mati mayatnya hendak
disembahyangkan oleh Rasulullah s.a.w. Tetapi Umar menahannya sambil berkata: Wahai
Rasulullah! Kamu sembahyang ke atasnya pada hal dia telah berzina? Jawab
baginda s.a.w.: Dia telah bertaubat dengan suatu taubat (yang penuh ikhlas) dan
sekiranya dibahagi kepada tujuh puluh orang penduduk Madinah, nescaya masih
tidak mencukup, apakah ada orang yang lebih utama dari orang yang telah
menyerahkan dirinya kepada hukum Allah ?"(Riwayat Muslim).
2.3. Untuk disabitkan kesalahan ke atas
seseorang itu melakukan perbuatan zina, mereka mestilah membawa empat orang
saksi yang adil yang melihat perbuatan tersebut dengan mata mereka sendiri,
sebagaimana firman Allah Ta’ala:
واللا تى يأتين الفاحشة
من نسآئكم فاستشهدوا عليهن اربعة منكم
Maksudnya:
“ Wanita yang mengerjakan perbuatan yang keji hendaklah ada empat
orang saksi di antara kamu (yang menyaksikan perbuatan tersebut) ”(An Nisa: 15).
2.
Hukuman Ke Atas Penzina
Perbuatan zina merupakan suatu perbuatan yang amat keji di sisi
agama dan ianya menyalahi peradaban hidup dan nilai-nilai kemanusiaan. Mereka
yang melakukan perbuatan tersebut mesti menerima hukuman yang setimpal dengan
perlakuan itu. Maka di sana, Islam telah menggariskan peraturan dan
undang-undang hidupnya sendiri untuk dikenakan ke atas pesalah yang melakukan
perbuatan zina ini. Peraturan dan undang-undang ini dianggap satu keadilan
walaupun mendapat kecaman dari pelbagai pihak, termasuk dalam kalangan ummat
Islam sendiri yang menganggap ianya suatu kezaliman ke atas manusia. Seandainya
kita saksikan sendiri dalam masyarakat pada hari ini, di sana berlaku di
mana-mana sahaja perbuatan zina ini, bahkan mereka yang melakukan perbuatan ini
pula tidak segan silu menyebarkan perbuatannya kepada orang lain. Sebabnya,
kerana tiada pelaksanaan peraturan dan undang-undang Allah secara adil,
manakala peraturan dan undang-undang ciptaan manusia hanya kelihatan kaku
melihat temasya keji manusia itu.
2.1. Penzina Muhsan
Iaitu penzina yang pernah berkahwin dan telah
mengecapi dan menikmati hubungan perkahwinannya itu. Jika sabit kesalahan, dia
akan dikenakan hukuman had, iaitu direjam sehingga mati.
Sabda Rasulullah s.a.w.
لا يحل دم امرئٍ مسلم
الاّ بإحدى ثلاث الثيب الزاني والنفس بالنفس والتارك لدينه المفارق للجماعة
Maksudnya: “ Tidak dihalalkan darah
seseorang muslim melainkan tiga perkara: Di antaranya ialah Penzina yang pernah
berkahwin, pembunuh yang melakukan pembunuhan dan mereka yang meninggalkan
agama serta terpisah jauh dengan jama’ah” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
2.2. Penzina Tidak Muhsan
Iaitu penzina yang belum pernah berkahwin dan
jika sabit kesalahan yang dilakukannya, dia akan dikenakan hukuman had, iaitu
disebat sebanyak seratus kali sebatan.
Firman Allah Ta’ala:
الزانية
والزاني فاجلدوا كل واحد منهما مائة جلدة
Maksudnya: “ Penzina perempuan dan penzina
lelaki akan disebat setiap seorang dari mereka sebanyak seratus kali sebatan
”(An Nur: 2).
3.
Faktor Berlaku Penzinaan
Di sana terdapat beberapa faktor yang
menyebabkan berlakunya penzinaan ini dan faktor ini merupakan fenomena biasa
yang wujud di mana-mana tempat dalam sesebuah masyarakat, di antaranya ialah:
3.1.
Kejahilan
Kejahilan diri merupakan faktor asas dalam
apa jua permasalahan yang dihadapi dalam sesebuah masyarakat. Kejahilan ini
juga adalah disebabkan sikap individu itu sendiri yang tidak mahu mengeluarkan
dirinya dari kemelut kejahilan dan dia merasakan sudah cukup dengan apa yang
dia miliki sekarang. Begitu juga perbuatan zina ini, ada dalam kalangan manusia
yang menganggap perbuatan itu tidak salah
di sisi undang-undang apabila dilakukan di atas dasar suka sama suka,
sama ada dengan perempuan yang belum kahwin ataupun dengan isteri orang.
Anggapan ini diperkuatkan dengan kehendak dan kerelaan naluri masing-masing
untuk bertanggungjawab di atas apa yang mereka lakukan. Bagi pasangan kekasih
yang ingin berkahwin atau mereka yang telah melangsungkan ikatan tali
pertunangan, mereka menggunakan platform ini sebagai tempat atau jalan mudah
untuk melakukan hubungan klasik yang terkutuk ini, kerana mereka menyatakan
tetap jua akan mendirikan rumahtangga tidak beberapa lama lagi. Perkara ini
sekarang menjadi adat kebiasaan, sebabnya tidak lain dan tidak bukan melainkan
kejahilan diri terhadap ajaran Ilahi. Justeru, perkara ini perlu dibendung
dengan segera agar masyarakat tidak melahirkan anak luar nikah yang boleh
mengaibkan maruah keluarga.
3.2.
Kemiskinan
Kemiskinan merupakan salah satu faktor yang
boleh menyebabkan seseorang itu terjelumus ke lembah penzinaan. Kerana inginkan
seteguk air dan sesuap nasi, seseorang itu sanggup menjual maruah dirinya bagi
menyara kehidupan. Dia sentiasa bergelombang dalam kancah maksiat kerana harta
dan wang ringgit. Apatah lagi dengan tawaran yang agak lumayan, ditambah pula
dengan keseronakan hidup dalam dunia yang serba moden itu, kebanyakkan golongan
wanita yang masih belia remaja sanggup memperdagangkan tubuhnya bagi mengecapi
kenikmatan seks dan kehidupan yang serba mewah, termasuk memiliki rumah yang
mewah dan kenderaan yang mewah. Dengan perolehan pendapatan yang melimpah-ruah,
mereka bebas melakukan apa sahaja yang mereka mahu tanpa halangan. Arus
kehidupan moden hari ini telah menukarkan
profesion zina itu sebagai suatu perdagangan dan sumber mencari
pendapatan yang lumayan serta menyeronakkan, kerana perbuatan tersebut berkait
rapat dengan pelacuran yang mengenakan beberapa kadar bayaran tertentu untuk
khidmat seks. Oleh sebab itu, Rasulullah s.a.w. pernah memberi peringatan
kepada ummatnya bahawa kemiskinan boleh membawa kepada kekufuran.
Sabda Rasulullah s.a.w.
كاد الفقر أن يكون كفراً
Maksudnya: “ Hampir-hampir kemiskinan itu
boleh membawa kepada kekufuran ”.
3.3. Keterlanjuran
Arus kehidupan moden hari ini tidak
menjanjikan apa-apa keistimewaan, cuma ianya membawa keseronakan dan kenikmatan
hidup yang sementara waktu sahaja. Namun keseronakan dan kenikmatan hidup itu
tidak kekal lama, dia akan berkubur sebelum perjalanan hidup sampai ke
destinasinya. Bagi pasangan kekasih pula, kehidupan mereka
amat indah, aman dan permai. Tetapi, peluang ini mereka menggunakan sepenuhnya
untuk bermadu asmara dan bercumbu rayu, tetapi akhir mereka tewas dengan
realiti yang ada, kerana pujukan hawa
nafsu yang dibisik oleh syaitan laknat. Dengan iringan kata-kata bermadah dan
janji-janji manis, akhirnya mereka kecundang, rebah dan jatuh tersungkur di
bawah timbunan sampah sarap hawa nafsu yang menjijikkan itu. Mereka menjadi
makhluk yang berdosa dan ternoda. Apabila kehidupan mereka
telah terlanjur, pastinya beban masalah banyak dipikul oleh kaum wanita.
Apabila pasangannya itu pergi entah ke mana atau meninggal dunia atau pasangan
hidupnya itu mula berubah hati, sudah tentu kehidupannya itu menjadi semakin
bertambah derita dan perit menanggung sengsara. Oleh sebab itu, Islam
sejak awal-awal lagi mendidik ummatnya agar menjauhkan diri dari perbuatan yang
boleh menjuruskan ke lembah penzinaan. Islam mengatur langkah ummatnya yang
begitu baik agar mereka menjadi hamba Allah yang berguna pada diri mereka
sendiri dan kepada ajaran agama mereka.
3.4.
Paksaan
Adakalanya penzinaan ini berlaku disebabkan
kerana arahan atau paksaan yang menyebabkan seseorang wanita itu terpaksa akur,
kerana dikhuatiri dirinya akan menjadi terancam dan dibunuh
Firman Allah Ta’ala:
وَلاَ
تَكْرِهُواْ فَتَيَاتِكُمْ عَلَى الْبِغَآءِ إِنْ أَرَدْنَ تَحَصُّنًا
Maksudnya: “ Jangan kamu memaksa hamba
wanita mu melakukan pelacuran, sedangkan mereka sendiri menginginkan kesucian “(An
Nur: 33 ).
Sebenarnya, Al Quran telah mendedahkan perkara
ini sejak dahulu lagi dan perkara ini telah berlaku pada zaman ini, seolah-olah
jahiliyah itu kembali semua pada zaman yang serba moden ini, tetapi dalam
bentuk versi baru. Ada dalam kalangan suami yang sanggup melacurkan isterinya
kerana wang dan ada pula bapa yang sanggup melacurkan anak gadisnya kerana
wang. Perkara ini telah
berlaku dalam masyarakat kita dan sekiranya perkara ini tidak dibendung nescaya
masyarakat kita akan menjadi masyarakat yang tidak mempunyai pertalian hidup
dengan Allah. Akhirnya, akan lahir di sana generasi yang tidak mempunyai
pendirian dan pegangan, mereka hidup dalam keadaan terumbang-ambing di
celah-celah kesesatan.
3.5. Pengaruh
Pengaruh persekitaran telah membawa arus
perubahan yang besar kepada masyarakat
kita hari ini, terutama dalam kalangan generasi muda dan belia. Mereka bukan
sahaja terikut-ikut dengan gaya, hiburan dan fesyen semata-mata, bahkan
sehingga kepada budaya hidup yang meliputi soal pegangan dan kepercayaan. Di
antara mereka ada yang sanggup melakukan perkara-perkara haram yang melampaui
batas-batas agama, seperti meminum arak, berjudi, terlibat dengan ketagihan
dadah, mengambil pil-pil khayal dan lain-lain lagi. Apa yang lebih dahsyat dari
itu, golongan wanita sanggup menjual maruah dirinya, kerana arus kehidupan yang
dilalui itu memerlukan kehidupan yang bebas bagi mengecapi keseronakan. Lagipun
dalam kalangan mereka ada yang berpendapat bahawa dara dan kehormatan diri
mereka bukanlah barang antik yang perlu disimpan lama, kerana lambat laun pasti
akan ditebuk jua. Apa yang penting dalam kehidupan mereka ialah keseronakan
agar perasaan hati mereka sentiasa terhibur. Pengaruh budaya hidup barat yang
meresap masuk ke dalam masyarakat kita telah banyak memusnahkan jiwa remaja.
Hubungan mereka dengan Allah amat terlalu jauh, bahkan mereka langsung tidak
mempunyai pertalian hidup denganNya, kerana amalan-amalan dalam ajaran agama
yang diwajibkan ke atas mereka jauh sekali untuk dilaksanakan. Persoalan halal
dan haram tidak langsung dibicarakan, semuanya menjadi halal dengan sebab
perasaan hawa nafsu itu telah mengatasi segala-galanya. Ketahui wahai ummat
Islam..! Bahawa perkara seumpama ini perlu dibendung dengan segera, budaya
barat yang tidak bertamaddun itu mesti disekat daripada merebak masuk ke dalam masyarakat
kita, kerana masyarakat kita hari ini masih lagi mampu mempertahan diri dari
ancaman budaya yang menjijikkan itu.
5. Jalan Keluar
Setiap wanita harus sedar, bahawa di sana terdapat tugas dan
tanggungjawab yang amat berat yang perlu dipikul bersama. Tugas dan
tanggungjawab itu ialah membentuk individu muslim yang mempunyai hubungan
dengan ketuhanan Allah, mereka mampu bergerak dan bertindak di atas acuan
hidupnya sendiri yang bebas dari pengaruh luar. Tugas dan tanggungjawab itu
juga merupakan ‘jalan pintas’ untuk membina semula tamaddun kehidupan
masyarakat yang telah usang itu yang menepati kehendak dan aspirasi syari’at. Dia perlu berusaha
membina kemampuan dirinya sendiri untuk mengubah dan merombak sistem kehidupan
yang ada sekarang, kerana sistem kehidupan yang ada sekarang adalah sistem
kehidupan yang telah dicampur-aduk dengan sistem barat yang menjijikkan. Dia
perlu bangkit untuk membangunkan masyarakat bagi menukarkan sistem kehidupan
yang kotor dan jijik itu untuk digantikan dengan sistem kehidupan yang lebih excellent,
iaitu sistem kehidupan Islam. Sistem yang mempunyai pertalian hidup dengan
ketuhanan Allah bagi mendapatkan rahmat dan cahaya petunjuk dariNya. Dengan
sistem kehidupan yang berakar tunjangkan ‘aqidah yang luhur terhadap Allah,
maka seseorang itu akan bergantung erat dengan Allah dan dia tidak akan
sekali-kali melakukan maksiat kepada Allah, dia akan berjalan terus di atas
jalan yang ditetapkan oleh Allah, dia tidak akan melencong dari jalan Allah
walaupun sedikit. Dengan itu, segala apa jua maksiat termasuk perbuatan zina
tidak akan berlaku sekiranya masyarakat mempunyai pertalian yang erat dengan
Allah. Seseorang hamba yang mempunyai pertalian yang erat dengan Allah bererti
dia telah mempunyai pendirian hidupnya sendiri untuk mendapat restu dari Allah,
Tuhan Yang Maha Perkasa.
Akhirnya, marilah kita mengambil pengajaran
dari sepotong hadith ini, sebagaimana yang diriwayatkan kepada kita bahawa
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَائَةَ
فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ اغَضُّ لِلْبَصَرَ وَاحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ
يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ وِجَاءٌ
Maksudnya: “ Wahai pemuda! Sesiapa yang mampu di antara kamu
untuk berkahwin, hendaklah berkahwin, kerana perkahwinan itu dapat memelihara
pandangan kamu dan dapat memelihara kemaluan kamu, sesiapa yang tidak mampu
untuk berkahwin, hendaklah berpuasa kerana berpuasa itu dapat mengurangkan
kehendak hawa nafsu “.
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment