Rukun bai’ah yang kelima ialah melarang para wanita melakukan
pembohongan atau pendustaan, kerana perbuatan tersebut boleh merosakkan
hubungan persaudaraan iman sesama muslim dalam masyarakat, sebagaimana yang
dinyatakan oleh Allah di dalam Al Kitab.
Firman Allah Ta’ala:
وَلاَ يَأْتِينَ
بِبُهْتَانٍ يَفْتَرِينَهُ بَيْنَ أَيْدِيهِنَّ وَأَرْجُلِهِنَّ
Maksudnya: “ Dan janganlah melakukan pembohongan yang mereka
ada-adakan di antara tangan dan kaki mereka “ (Al Mumtahanah: 12).
Perbohongan
merupakan salah satu sifat daripada sifat-sifat orang munafiq dan sifat seperti ini amat dilarang oleh
Islam, kerana perbuatan itu boleh menyebabkan kekeliruan dan perbalahan sesama
sendiri. Orang yang melakukan perbuatan tersebut akan dipandang hina dalam
masyarakat kerana dia akan menghadapi krisis keyakinan dan ketidak-percayaan
oleh anggota masyarakat. Sebab itu, Islam telah mendidik ummatnya supaya
bercakap benar dan jangan cuba melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan
keraguan orang ramai, kerana perbuatan tersebut boleh membawa fitnah kepada
dirinya sendiri. Islam mendidik ummatnya supaya tidak berbohong dan bercakap
benar, kerana perbuatan tersebut boleh menarik minat orang-orang bukan Islam ke
arah Islam dan ini merupakan suatu uslub dakwah yang amat berkesan.
1.
Takrif Berbohong
Bebohong ertinya suatu pendustaan atau penipuan yang dilakukan
untuk mendapatkan sesuatu atau melepaskan diri dari sesuatu. Seseorang yang
melakukan perbuatan itu akan cuba sedaya upaya dengan pelbagai cara untuk
meyakinkan orang ramai supaya mempercayai kata-katanya. Termasuk dalam
pengertian ini juga ialah menuduh seseorang itu dengan tuduhan palsu tanpa
membawa apa-apa bukti yang sahih. Tetapi, apa yang hendak dimaksudkan
dengan makna pembohongan dalam ayat di
atas tadi ialah wanita yang mengambil anak bukan dari keturunan suaminya lalu
dia menyatakan kepada suaminya bahawa anak tersebut adalah dari keturunan
mereka. Ayat ini telah dijelaskan pengertiannya di dalam sepotong hadith yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
أَيُّمَا امْرَأَةٍ أَدْخَلَتْ عَلَى قَوْمٍ
مَنْ لَيْسَ مِنْهُمْ فَلَيْسَتْ مِنَ اللهِ فِىْ شَئٍ وَلَنْ يَدْخُلَهَا اللهُ
الْجَنَّةَ
Maksudnya: “ Mana-mana wanita yang memasukkan ke dalam
keturunan sesuatu kaum yang bukan dari kalangan mereka, maka tiadalah di sisi
Allah baginya sesuatupun dan Allah tidak akan memasukkannya ke dalam syurga “(Riwayat
Abu Dawud).
Menurut jumhur ulama, apa yang dimaksudkan
dengan mengada-adakan pembohongan di antara tangan dan kaki mereka ialah,
wanita yang mengambil anak lalu dijadikan anak itu sebagai anak kandungnya
sendiri. Ini adalah suatu pendustaan terhadap dirinya sendiri dan perbuatan
sebegini merupakan suatu kesalahan yang besar di sisi agama kerana meletakkan
anak yang tiada hubungan keturunan atau warisan sama seperti anak kandungannya
sendiri. Adakalanya juga si anak itu dibinkan ataupun dibintikan di atas nama
bapa yang memeliharanya, bukan di atas nama bapa kandungnya sendiri dan di
dalam masyarakat kita, kebiasaan ini berlaku dalam kalangan mereka yang mengambil
anak angkat dan kemudian dibinkan atau dibintikan di atas nama bapa angkat. Ini
adalah suatu kesalahan yang besar di sisi ajaran agama….!
2.
Mengapa Manusia Suka Berbohong
Ini merupakan suatu persoalan, mengapa ada dalam kalangan manusia
yang suka berbohong, berdusta dan tidak bercakap benar..? Mengapa dalam
kalangan manusia sanggup terkeluar dari garis kemanusiaan, kerana perbuatan
tersebut merupakan perbuatan yang melencong dari norma-norma kemanusiaan dan
bertentangan dengan garis panduan hidup..?
Asas sesuatu kehidupan yang normal itu
ialah bercakap benar, kerana ianya merupakan suatu proses untuk membentuk jiwa
dan akhlak manusia yang bersih bagi menunaikan amanah yang diwajibkan ke atas
mereka. Kehidupan itu bergerak di atas paksinya sendiri dan mengikut lingkaran
yang telah ditetapkan. Seandainya
seseorang itu tidak pandai menguruskan kehidupannya dan tidak bijak menjalin
hubungan sesama manusia, nanti dia akan ditewaskan oleh arus kehidupan yang
sentiasa datang menjelma, dia akan kalah dan rebah, akhirnya dia akan kecundang
terus jatuh tersungkur. Kehidupan yang dilalui itu memerangkap dirinya sendiri
kerana dia tidak pandai menguruskan aksi hidup untuk membentuk dirinya sebagai
manusia yang berguna. Proses kehidupan memerlukan hubungan di antara satu sama
lain, kerana kehidupan itu memerlukan pertolongan dan saling bantu-membantu
bagi mewujudkan sistem komunikasi yang baik. Setiap seseorang yang wujud dalam
masyarakat perlu menunaikan amanah dan tanggungjawabnya sendiri ketika menjalin
hubungan sesama manusia. Dia perlu mengatur strategi dan mengorak langkah
dengan baik, perlu menguruskan sistem kehidupannya sendiri dengan baik, dia
perlu berhati-hati ketika menjalin hubungan muamalat sesama manusia, dia perlu
meningkatkan keupayaan diri untuk menjadi orang yang dihormati dan disegani. Maka
dengan sebab itu, dia perlu menjauhkan dirinya daripada sifat-sifat yang keji
yang boleh mencemarkan nama baik dirinya, termasuk ajaran agamanya. Dia perlu
mengelakkan dirinya daripada bergaul dengan manusia yang buruk akhlaknya,
dikhuatiri nanti dia akan terjebak sama. Di sini kami nyatakan sepintas lalu
beberapa perkara mengapa manusia suka
berbohong, sedangkan perbuatan tersebut adalah perbuatan yang menipu dirinya
sendiri dan menikam dirinya sendiri.
2.1.
Kejahilan Hidup
Kejahilan merupakan ibu segala permasalahan
dalam kehidupan. Apabila seseorang itu dibelenggu oleh wabak kejahilan,
kehidupannya pasti akan berada dalam keadaan terumbang-ambing, dia tidak
tahu-menahu arah dan tujuan hidupnya dan kemana pula arah yang harus dituju.
Sebabnya, kerana dia seorang yang jahil dan bodoh dan dia tidak pula mempunyai
apa pedoman untuk dijadikan petunjuk dalam perjalanan hidupnya. Begitu juga
dengan manusia yang suka bercakap bohong atau melakukan apa-apa bentuk
perbohongan, dia menilai hakikat sesuatu menurut perasaan hawa nafsunya, bukan
dengan ilmu pengetahuan dan kebijaksanaannya. Dengan sebab itu, dia memilih
jalan penipuan untuk mendapatkan sesuatu, dia cuba memberi keyakinan dan penerangan
yang baik supaya orang ramai tertarik terhadapnya. Adakalanya dia terpaksa
menuduh seseorang tanpa bukti kukuh dan memburuk-burukkan peribadi orang yang
dibenci semata-mata untuk menegakkan ‘benang yang basah’. Dia cuba
memperdayakan manusia dengan lagak hidup yang memperlihatkan penampilannya yang
penuh bergaya, seolah-olah dia seorang yang baik dan kaya-raya. Perkara biasa
yang berlaku dalam kes penipuan ini ialah melibatkan wang ringgit bagi tujuan
pelaburan dalam saham, kononnya keuntungan akan menjadi berlipat kali ganda
dalam tempoh yang singkat. Perkara ini berlaku disebabkan sifat tamak haloba
yang inginkan kekayaan dengan cepat, maka jalan yang paling mudah ialah menipu
manusia dan memperdayakan mereka dengan mewujudkan sesuatu yang tidak wujud.
Begitu juga halnya dengan wanita yang mengambil anak lain yang bukan dari anak
kandungannya sendiri dan kemudian dia sanggup pula memberitahu kepada suaminya
bahawa anak tersebut adalah hasil perkongsian hidup mereka berdua. Dalam erti
kata yang lain, dalam kalangan wanita yang bersetubuh dengan lelaki lain
yang mempunyai rupa yang baik dan
keturunan yang baik, maka hasil persetubuhan itu telah melahirkan anak bukan
dari hubungan dengan suaminya. Kemelut kejahilan dan hubungan yang rapuh dengan
Allah merupakan faktor utama manusia menjadi pembohong, dia tidak dapat
berfikir dengan waras kerana kehendak dan kemahuan hidupnya telah dikuasai oleh
hawa nafsu.
2.2.
Tabiat Semulajadi
Adakalanya tabiat kehidupan itu boleh
memusnahkan kehidupan itu sendiri dan kehidupan itu tidak pernah menjanjikan
apa-apa keistimewaan kepada manusia. Seandainya manusia mempunyai sifat yang
baik dan akhlak yang mulia, maka kehidupan yang dibawa itu adalah kehidupan
yang baik dan mulia, tetapi seandainya manusia mempunyai sifat yang buruk dan
akhlak hidup yang buruk, maka kehidupun yang dibawa itu juga adalah kehidupan
yang buruk dan tidak sempurna. Sesungguhnya tabiat kehidupan itu mesti mendapat
acuan dari syari’at yang diturunkan oleh Allah dan mesti diterjemahkan menurut
panduan hidup yang digariskan dalam syari’at. Tabiat kehidupan itu adakalanya
boleh memberi aspirasi yang baik kepada kehidupan, tetapi adakalanya tidak
begitu. Sebab itu, tabiat memerlukan pedoman dan petunjuk untuk membawa
kehidupan itu sesuai dengan kehendak syari’at. Seseorang yang mempunyai tabiat
hidup yang buruk seperti suka berbohong atau suka bercakap bohong, dia perlu
mengubah dan mengubatnya dengan segera, kerana tabiat itu akan menjadi sebati
dengan darah daging dan jiwa raganya. Apabila tabiat buruk itu tidak dikikis
dan dibuang dari kehidupannya, maka lambat-laun ianya akan mempengaruhi
kehendak dan naluri. Segala tindak-tanduk yang hendak dilakukan pasti
dipengaruhi oleh tabiat yang buruk itu. Sebab itu, wanita yang melakukan
pembohongan terhadap suaminya dengan menyatakan anaknya itu hasil perkongsian
hidupnya secara bersama merupakan suatu tabiat hidup semulajadi yang jarang
berlaku. Sama ada tabiat hidup semulajadinya itu yang suka ‘bermain’ dengan
jantan lain atau kerana mahukan rupa anak yang comel, lalu dia mengambil anak
itu untuk dijadikan anak kandungannya sendiri. Dia sanggup berbuat demikian
sekalipun melanggar adat-adat kemanusiaan dan ajaran agama itu sendiri.
3.
Beberapa Hukum
Sesungguhnya Islam amat mengambil cakna keturunan manusia
semata-mata untuk meletakkan manusia itu sebagai makhluk yang paling mulia di
sisi Allah. Kerana, kehidupan itu saling berkait di antara satu sama lain yang
perlu diuruskan. Sebagai contoh mengenai warisan harta pusaka, seandainya
berlaku kematian, anak tersebut akan memperolehi bahagiannya dalam pembahagian
harta tersebut, tetapi orang yang tidak mempunyai pertalian darah tidak
sekali-kali layak menerima harta tersebut. Namun timbul permasalahan di sana,
apabila anak tersebut dilahirkan secara haram melalui hubungan seks secara
haram atau anak yang diambil tanpa diketahui identitinya, lalu dibinkan atau
dibintikan kepada bukan bapa kandungnya ataupun anak angkat yang diambil dan
kemudian dibinkan atau dibintikan kepada bapa angkat, bukan bapanya yang
sebenar…!
Ini semua adalah suatu permasalahan yang
perlu diselesaikan..!
Begitu juga dengan permasalahan dalam
perkahwinan nanti, kerana bapa angkat atau bukan bapa kandung tidak boleh
menjadi wali dalam perkahwinan dan perkara ini perlu kepada jalan penyelesaian yang baik. Di sana
terdapat beberapa hukum yang perlu dijelaskan berkaitan dengan permasalahan di
atas tadi:
3.1. Hukum Anak Haram
Iaitu anak yang dilahirkan tanpa proses
perkahwinan. Anak yang dilahirkan hasil dari hubungan haram adalah tidak sah
dan haram dibinkan atau dibintikan kepada pasangan yang melakukan perbuatan
tersebut dan dia tidak boleh menjadi wali dalam perkahwinan kepada si anak itu nanti, sekiranya anak itu perempuan dan
anak itu pula tidak boleh mewarisi harta pusakanya.
3.2. Hukum Menukarkan Anak
Haram bagi seseorang wanita yang mengambil
anak atau menukarkan anak dan kemudian menjadikan anak tersebut sebagai anak
kandungnya sendiri, kerana perbuatan tersebut boleh merosakkan keturunan.
Begitu juga dengan seseorang wanita yang mengandung hasil hubungan seks dengan
lelaki lain, kemudian dia menyatakan kandungan itu adalah
3.3. Anak Angkat Dinisbah Kepada Bapa Angkat
Haram bagi seseorang sekiranya anak angkat
yang diambil itu dibinkan atau dibintikan kepada bapa angkat tanpa menjelaskan
kedudukan sebenar.
3.4. Anak Angkat Dinisbahkan Kepada Bapa
Kandung
Diharuskan ke atas seseorang itu apabila
mengambil anak angkat, tetapi hendaklah dibinkan atau dibintikan nama anak tersebut
kepada bapa kandungnya.
Sekian, wassalam
Al Faqir Ila ‘Afwi Rabb
Lutpi Mustafa El-Batnani
No comments:
Post a Comment